TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

27 Februari 2009

33 SYARIKAT HENTIKAN 1,784 PEKERJA

SERAMAI 1,784 pekerja diberhentikan 33 syarikat sektor pembuatan, elektrik dan elektronik, serta perkhidmatan di Johor sejak Januari sehingga 16 Februari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia , Sains, Teknologi dan Inovasi, M Asojan, berkata sejak 1 hingga 16 Februari ini, sebanyak 10 syarikat sektor terbabit memberhentikan seramai 359 pekerja mereka.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 209 pekerja tempatan manakala baki 150 orang pekerja asing.

Katanya, bagi Januari lalu pula, 23 syarikat turut memberhentikan seramai 1,425 orang membabitkan 515 pekerja tempatan dan 910 pekerja asing.

“Kesimpulannya, bagi tempoh 2009, setakat ini seramai 1,784 pekerja sudah diberhentikan iaitu 724 orang pekerja tempatan dan 1060 pekerja asing, ” katanya menjawab soalan Datuk Osman Sapian (BN-Kempas) dan Jaafar Hashim (BN-Senggarang).

SUMBER: BERITA HARIAN, 27 FEBRUARI 2009

TULISAN DAN BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA

DI mana letaknya tulisan orang Melayu? Tulisan jawi. Tulisan orang Melayu inilah yang menjadi identiti bangsa Melayu.

Kita boleh lihat tulisan kaum Cina, India, Thailand, Jepun, Korea dan lain-lain di televisyen. Sedihnya di mana tulisan jawi, tulisan orang Melayu? Mengapa tulisan ini dipinggirkan? Pemimpin atasan semuanya orang Melayu, apakah pemimpin-pemimpin ini tidak sayangkan identiti bangsanya?

Dahlah Bahasa Melayu jadi Bahasa Malaysia hilang Melayunya, sesetengah drama-drama TV menggunakan bahasa Malaysia rojak.

Anak-anak orang Cina jiran saya setiap hari berlanggan akhbar tulisan Cina. Mereka megah, bangga dengan tulisan bangsanya. Apa sudah jadi dengan bangsa saya (Melayu) akhbar tulisan jawinya terselit seminggu sekali sahaja di dalam akhbar tulisan rumi.

Saya pasti akhbar berbahasa Melayu akan terkubur 20 tahun lagi dari tarikh saya menulis ini. Seperti terkuburnya akhbar tulisan jawi. Lebih kurang 20 tahun kemudian setelah orang Melayu sendiri menghina akhbar tersebut.

Saya teringat pada tahun awal 70-an dulu ketika saya mengepit Utusan Melayu masuk ke bilik guru di sebuah sekolah di Felda, seorang kawan sebangsa dan seagama dengan saya menyatakan Utusan Melayu ialah akhbar orang sekolah atap.

Jelas, lebih kurang 20 tahun kemudian akhbar Utusan Melayu terkubur.

Orang Melayu jangan berasa sedih jika 20 tahun akan datang surat khabar berbahasa Melayu tulisan rumi pula akan juga terkubur. Sekarang ini kita lihat orang Melayu sudah mula seperti malu hendak bertutur dalam bahasa ibundanya. Kita boleh lihat temuramah-temuramah di TV dan drama-drama TV bahasa Inggeris seperti diutamakan.

Pemimpin-pemimpin ini hendaklah sedar bahawa mereka naik kerana undi rakyat khususnya undi orang Melayu. Agama yang dianuti orang Melayu jangan diperlekehkan. Bahasa Melayu hendaklah terus diguna pakai dalam pembelajaran semua perkara di sekolah.

Untuk meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, apa salahnya pembelajarannya ditambah selama satu jam seminggu. Saya tidak nampak guru-guru atau tenaga pengajar akan memberontak. Selamanya saya lihat guru-guru sentiasa taat arahan dan perintah.

Tulisan jawi saya sarankan diwajibkan diajar di peringkat sekolah rendah lagi selama 45 minit seminggu diselitkan dalam pelajaran agama Islam. Tulisan jawi ini adalah identiti bangsa Melayu. Insya-Allah Utusan Melayu akan kembali segar.

Saya menyeru kepada kepimpinan Melayu agar terus mengagungkan Bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) dan budaya Melayu.

Kembalikan hak Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Gunakan seterusnya istilah-istilah matematik dan sains yang beribu-ribu yang dicipta oleh DBP.

Pemimpin-pemimpin Melayu sibuk dengan katanya "ketuanan Melayu" terhakis selepas pilihan raya yang lalu. Tetapi pemimpin Melayu tidak sedar ketuanan bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) terhakis kini dan selamanya. Siapa yang menghakis?

Orang Melayu sekalian, sayangilah bahasa anda dan tulisan bangsa anda (tulisan jawi) yang menjadi identiti bangsa anda. Hilang bahasa, Melayu akan lenyap di Malaysia dan seterusnya di muka bumi ini.

'Tulisan dan bahasa menunjukkan bangsa.'

MD. ESA KARDI
Persara Guru Muar, Johor

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2009

24 Februari 2009

JKKK FELDA PASAK ANJUR LAWATAN KE LEDANG

Sebahagian AJK JKKK Felda Pasak bergambar di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd bersama Pengarah Urusan MJSB, Haji Mohd Janis Abu Bakar (4 dari kanan) dan Pengerusi JKKK Felda Pasak, Haji Mohd Dom Harun (5 dari kanan).

Pengerusi JKKK Felda Pasak, Haji Mohd Dom Harun (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Haji Mohd Janis Abu Bakar sambil diperhatikan Setiausaha JKKK Felda Pasak, Noh Haji Sitam (tengah). Foto: AdiSabariman

LEDANG: Seramai 55 orang peserta telah mengikuti lawatan sambil belajar ke daerah ini yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Felda Pasak, Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Pengerusinya, Haji Mohd Dom Harun berkata, tujuan program ini untuk memberikan pendedahan kepada Ahli Jawatankuasanya serta para pemimpin belia dan wanita yang terdapat di kampungnya melihat bagaimana sesebuah kampung yang dilawati memajukannya.

"Melalui program seumpama ini, minda mereka lebih terbuka untuk mempelajari cara pengurusan sesebuah kampung bagi diaplikasikan di kampung sendiri," katanya kepada iNFOLEDANG ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke premis Mohd Janis Sdn. Bhd. di Kampung Parit Kassan.

Sementara itu, Setiausahanya, Noh Haji Sitam berkata, antara destinasi yang dilawati ialah Kampung Parit Bugis, Muar yang mengadakan program Homestay, bengkel pembuatan bahulu tradisional dan kraftangan serta persembahan zapin.

Menurutnya lagi, destinasi kedua ialah melawat perusahaan Mohd Janis Sdn Bhd di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir yang baru-baru ini telah memenangi Anugerah Industri Sawit 2007 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kota Kinabalu, Sabah bagi kategori peniaga buah sawit.

"Selain diberi penerangan mengenai aktiviti syarikat itu, kami juga dibawa ke tapak semaian benih sawit dan pusat ternakan lembu yang diusahakan oleh Pengarah Urusan syarikat itu, Haji Mohd Janis Abu Bakar," katanya lagi.

Tambah Noh lagi, destinasi ketiga ialah melawat Masjid Jamek Dato Abd Ghani Othman di Sagil Parit 2 bagi melihat keindahan seni bina kubah masjid kampung itu kerana rekabentuk itu akan digunakan untuk membina masjid di kampungnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat sepanjang lawatan tersebut.

23 Februari 2009

KELUARGA NELAYAN MAUT DIBERI BANTUAN

TANGKAK: Kerajaan negeri akan membantu keluarga nelayan yang meninggal dunia dalam kejadian bot karam di perairan Parit Haji Baki, dekat Muar, 8 Februari lalu, termasuk memberikan lesen nelayan kepada anak keduanya bagi memastikan keluarga itu terus memperoleh pendapatan.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi, berkata sebagai langkah awal membantu keluarga itu, pihaknya menyumbang RM3,000 selain bantuan RM2,000 oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta persatuan nelayan yang mengutip sumbangan berjumlah RM500.

Aziz berkata, pihaknya juga bersedia membantu isteri mangsa, Norlaila Abdul Aziz, 40, dan empat anaknya yang berusia antara enam tahun hingga 19 tahun.

“Sumbangan awal itu sebagai tanda kerajaan negeri prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga itu dan kita akan membantu mereka jika ada masalah lain, ” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan itu kepada keluarga mangsa di rumahnya di Kampung Kesang Laut, di sini, semalam.

Dalam kejadian perairan Parit Haji Baki, dekat sini, kira-kira jam 11 malam 8 Februari lalu, Jaafar Osman dihanyutkan arus manakala rakannya Rizalman Baba, 35, yang sempat berpaut kepada pelampung berjaya diselamatkan nelayan yang kebetulan melalui tempat kejadian, kira-kira sejam kemudian.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila bahagian bawah bot itu pecah sebelum dimasuki air dan karam ketika ribut.

Mayat Jaafar ditemui empat hari kemudian oleh sekumpulan nelayan, terapung di perairan Parit Sakai, kira-kira 12 kilometer daripada lokasi bot karam itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 23 FEBRUARI 2009

CEDERA LANGGAR LEMBU

MUAR: Lima beranak bernasib baik apabila hanya cedera selepas Perodua Kancil dinaiki mereka melanggar seekor lembu dalam kemalangan di Baru 15, Jalan Muar-Tangkak di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Muar untuk melawat kenalan di Tangkak.

Sumber berkata, ibu bapa dan seorang anak lelaki berusia empat tahun diberikan rawatan di Hospital Tangkak manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun diberikan rawatan lanjut di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun hanya menerima rawatan pesakit luar.

Katanya, akibat pelanggaran itu, bahagian depan kereta itu remuk dan cermin pecah sebaik melanggar lembu yang dipercayai melintas jalan raya menyebabkan ternakan itu akhirnya mati.

“Mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Muar melawat kenalan di Tangkak dan semua mangsa dihantar orang awam ke Hospital Tangkak.

“Kawasan kejadian memang gelap dan pemandu kereta berkenaan tidak menyangka kemunculan lembu di tengah jalan raya menyebabkannya gagal mengelak, sebaliknya merempuh haiwan itu,” katanya.

Menurutnya, lokasi kejadian berhampiran kawasan perindustrian dan sekumpulan pekerja warga Indonesia membantu menarik dan mengalihkan lembu yang tumbang di tengah jalan raya bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

SUMBER: HARIAN METRO, 23 FEBRUARI 2009

22 Februari 2009

SENGAJA TEMPAH PADAH

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM
zalifah@hmetro.com.my

PERIKSA...Harun melihat sembilan motosikal curi yang ditemui semula sepanjang operasi yang diadakan Januari hingga awal Februari ini.

TANGKAK: Seorang pemuda yang sanggup bermotosikal dari Negeri Sembilan ke daerah ini bagi membantu abangnya melarikan diri daripada buruan polis menempah padah apabila dia turut ditahan kerana tersenarai sebagai orang yang dikehendaki polis.

Penangkapannya berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas di sini, petang kelmarin, membongkar rekod jenayah pemuda berkenaan diburu polis kerana kes curi di Selangor.

Dua beradik berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang kelmarin, selepas melarikan diri sejauh kira-kira 25 kilometer daripada sekatan jalan raya yang diadakan di Jalan Bekok menghala ke Segamat.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata lelaki berusia 25 tahun dipercayai dari Negeri Sembilan itu menunggang motosikal keluarga bagi menyelamatkan abangnya yang bersembunyi selepas diburu pihak berkuasa.

Menurutnya, penahanan kedua-dua lelaki itu membongkar kegiatan jenayah dilakukan mereka, di mana si abang adalah penagih dadah yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain empat kes dadah dan curi motosikal.

Terdahulu, lelaki berusia 27 tahun itu melarikan diri ke kebun kelapa sawit dan diburu sepasukan anggota dan pegawai yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Azmi Ali dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dari Segamat.

Harun berkata, lelaki itu diburu kerana disyaki mencuri kereta Proton Persona di Melaka pada 17 Februari lalu, sebelum ditemui terbabas di Jalan Bekok, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemandu kereta yang dipercayai pencuri kenderaan berkenaan melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran apabila kenderaan dipandunya terbabas selepas dikejar pemilik kenderaan yang tinggal di daerah ini.

“Penjenayah terbabit melarikan diri ke kebun berhampiran dan operasi dilancarkan sebelum mengadakan sekatan jalan raya berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 5 petang.

“Ketika sekatan jalan raya, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki kelihatan mencurigakan apabila berpatah balik menghala ke Tangkak bagi mengelak pemeriksaan.

“Unit peronda mengejar motosikal itu sebelum berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Harun berkata, sejumlah sembilan motosikal yang dicuri dikesan semula dan lima lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes motosikal curi yang dilaporkan di Bukit Gambir, Muar dan Tangkak sejak awal tahun ini.

Katanya, empat daripada lelaki yang ditahan dituduh di mahkamah, manakala seorang masih lagi direman.

SUMBER: METRO AHAD, 22 FEBRUARI 2009

BALU, 4 ANAK TERIMA SUMBANGAN RM5,500


ABD. Aziz Kaprawi berbual dengan Norlela selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,500 kepadanya di Kampung Kesang Laut, Muar, semalam.

MUAR 21 Feb. – Nasib seorang balu dan empat anaknya yang kematian suami akibat lemas di laut mendapat simpati apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abd. Aziz Kaprawi menghulurkan sumbangan RM5,500 kepada lima beranak itu.

Wanita berkenaan, Norlela Abdul Aziz, 40, kehilangan suaminya yang merupakan seorang nelayan, Jaafar Osman, 44, selepas bot yang dinaiki Allahyarham karam di perairan berhampiran Parit Sakai di sini 9 Februari lalu.

Menurut Abd. Aziz, sumbangan yang diserahkannya itu terdiri daripada sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM3,000, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (RM2,000) dan sumbangan Persatuan Nelayan Muar sebanyak RM500.

“Dalam menghadapi musibah ini, kita akan memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham dan tuan punya bot yang kehilangan botnya.

“Saya juga akan membantu sekiranya ada masalah lain atas rasa keprihatinan kepada musibah ini,” katanya kepada pemberita ketika di rumah Norlela di Kampung Kesang Laut di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, pihaknya akan membantu menjelaskan sewa rumah Norlela pada setiap bulan sehingga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi keluarga tersebut disiapkan.

“Kami akan membantu membayar sewa rumah keluarga ini sehingga mereka berpindah ke rumah baru,” katanya.

Dalam pada itu, Norlela memberitahu, dia melahirkan rasa syukur di atas bantuan yang diberikan kepada keluarganya dalam menghadapi musibah tersebut.

“Saya pun hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM500 sebulan dan akhir-akhir ini kami ada mendengar khabar angin kemungkinan bakal kehilangan kerja sebab kilang akan ditutup,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 FEBRUARI 2009

MALANGNYA NASIB PENCURI KERETA

LEDANG 21 Feb. – Lelaki ini pernah mencuri sebuah kereta jenis Proton Persona di Melaka, awal bulan ini.

Namun, penjenayah itu yang menetap di ibu negara tersilap percaturan kerana dia akhirnya tertangkap akibat memandu kereta yang dicurinya di kawasan tempat tinggal pemiliknya di Tangkak di sini.

Suspek berusia 27 tahun itu tersilap memilih ‘kawasan pemanduan’ kereta yang dicurinya kerana pemilik kenderaan itu terserempak dengannya lalu mengekori kereta itu di Jalan Bekok-Segamat, pukul 11.30 pagi semalam.

Menyedari dia diekori, pencuri itu memecut untuk melarikan diri sebelum terbabas di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit. Dia kemudian melarikan diri dengan meninggalkan kereta itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris hari ini berkata, tindakan pantas anggotanya mengadakan sekatan jalan raya membolehkan suspek ditahan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 FEBRUARI 2009

PENCURI TERBABAS DIKEJAR TUAN KERETA

TANGKAK: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang sedang memandu kereta Proton Pesona dicurinya di Melaka hampir seminggu lalu, terbabas selepas dikejar pemilik kenderaan itu yang terserempak dengannya di Jalan Bekok, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan berjaya melarikan ke kebun kelapa sawit berhampiran dan meninggalkan kereta yang terbabas sebelum pemiliknya menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kereta itu dilaporkan hilang di Melaka, 17 Februari.

"Polis melancarkan operasi memburu suspek diketuai Ketua Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Azmi Ali yang dibantu Unit Anjing Pengesan, tetapi suspek gagal dikesan," katanya, di sini semalam.

Katanya, kira-kira enam jam kemudian, polis yang melakukan sekatan jalan raya mengesan motosikal dinaiki dua lelaki yang mengelak daripada pemeriksaan dan berjaya ditahan berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas.

"Siasatan mendapati seorang daripada lelaki itu ialah suspek yang melarikan diri ke kebun sawit, manakala seorang lagi ialah adiknya yang menunggang motosikal dari Negeri Sembilan untuk membantu suspek melarikan diri.

"Lelaki berusia 27 tahun itu dikehendaki polis kerana kes pecah rumah dan curi motosikal di Kuala Pilah, manakala adiknya berusia 25 tahun dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Selangor," katanya.

SUMBER: BERITA MINGGU, 22 FEBRUARI 2009

19 Februari 2009

KUMPULAN HIJAU JUARA OLAHRAGA SKPK

Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar sedang menyampaikan piala kepada wakil Rumah Hijau sambil diperhatikan oleh GPK Ko-kurikulum, Khudhairi Jais. (Foto: AdiSabariman)

LEDANG: Kumpulan Hijau muncul sebagai juara keseluruhan dalam Kejohanan Olahraga Kali Ke-12, Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK).

Kumpulan Hijau telah mendapat 375 mata mengalahkan tiga kumpulan lain iaitu Biru (350), Kuning (317) dan Merah (310).

Dalam kejohanan yang diadakan di padang SKPK petang semalam, Muhammad Syahrezat Abd Halim telah dinobatkan sebagai Olahragawan SKPK 2009 manakala Nor Hazirah Fasihah Sijas sebagai Olahragawati.

Kejohanan itu telah ditutup rasmi oleh Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar. Turut hadir pada majlis itu, Guru Besar SKPK, Hajah Munah Abd Majid, Yang DiPertua PIBG, Padil Md Amin, Naibnya, Haji Mohd Janis Abu Bakar serta Guru Penolong Kanan (GPK 1), Haji Mohamad Md Amin.

Dalam ucapannya, Mohd Hamzah menasihatkan para pelajar supaya menseimbangkan di antara akademik dan ko-kurikulum untuk mencapai kecemerlangan.

Tambahnya lagi, bersukan merupakan satu aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan dan minda para pelajar. -iNFOLEDANG

PAMERAN HAIWAN DI GIANT MUAR

MUAR 18 Feb. - Pameran Safari yang diadakan di Kompleks Pasaraya Giant, Tanjung Agas, Muar menawarkan koleksi lebih 100 spesies haiwan liar untuk dilihat dan dikenali dengan lebih dekat oleh orang ramai.

Pameran yang bermula semalam dan akan berlangsung selama dua minggu mempamerkan haiwan yang dijangka menjadi tarikan termasuk ular senduk putih, buaya tembaga, beruang, ungka dan musang binturong.

Penyelaras Pameran tersebut, Mohd. Naufal Rabin berkata, Muar merupakan destinasi kelima pameran tersebut di Johor dengan sebelum ini ia diadakan di Kluang.

Harga tiket bagi pameran tersebut adalah RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak. Pameran dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 FEBRUARI 2009

17 Februari 2009

MAHARANI RIVIERA DIPANTAU 24 JAM

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Dua penduduk dikesan buang sampah

MUAR: Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Tangkak (MDT), melakukan pemantauan 24 jam setiap hari, sejak 10 hari lalu bagi memastikan kawasan penempatan baru, Maharani Riviera, Tanjung Agas, di sini, tidak dicemari dengan kegiatan pembuangan sampah dan sisa pepejal.

Setiausaha MDT, Hasrin Kamal Hashim, berkata pemantauan itu dilakukan berikutan kegiatan pembuangan sampah dan sisa pepejal, oleh mereka tidak bertanggungjawab, di bahu jalan berdekatan dengan tebing Sungai Muar, sejak akhir tahun lalu.


Beliau berkata, hasil pemantauan itu, anggota unit penguatkuasa MDT dapat mengenal pasti dua penduduk tempatan yang dikesan membuang sampah di kawasan berkenaan.

"Mereka diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu, sekali gus mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, kerana melanggar Akta Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDMU) 1988.

"Mengikut akta itu, mereka yang dikesan membuang sampah di kawasan larangan, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500," katanya kepada Berita Harian, di sini kelmarin.

Beliau mengulas laporan akhbar ini, baru-baru ini, mengenai pencemaran sampah sarap dan sisa pepejal, akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab, sehingga menjejaskan kebersihan dan keindahan, kawasan penempatan baru Maharani Riviera, baru-baru ini.

Berdasarkan laporan itu, pengunjung ke kawasan berkenaan melahirkan rasa kekecewaan mereka, terhadap sikap pihak tidak bertanggungjawab, menjadikan bahu jalan di tebing Sungai Muar, di situ, sebagai tempat pembuangan sampah.

Hasrin berkata, kawasan penempatan baru Maharani Riviera kini di bawah tanggungjawab MDT, sejak pembentukkan Daerah Ledang, tiga tahun lalu, sama ada dari segi pentadbiran, pengurusan termasuk kebersihan.

Beliau berkata, sebagai langkah pemantauan jangka panjang, kawasan bahu jalan sepanjang kira-kira 200 meter ke arah Sungai Muar itu, ditambak dengan tanah merah, yang dapat menambah lagi keceriaan pemandangan semula jadinya, kerana kedudukannya berdekatan dengan hutan paya bakau sepanjang tebing sungai itu.

"Kami juga meletakkan tiga papan tanda amaran, di sepanjang bahu jalan itu, supaya orang ramai tidak membuang sampah dan sisa pepejal di kawasan berkenaan pada jarak kira-kira 70 meter setiap satu," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 17 FEBRUARI 2009

12 Februari 2009

UKM TERUSKAN KHIDMAT MASYARAKAT DI KUNDANG ULU

TANGKAK: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan penyelidikan berteraskan khidmat masyarakat di Kampung Kundang Ulu, dekat sini, selama tiga tahun mulai tahun lalu membabitkan peruntukan kira-kira RM400,000.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahahabudin, berkata Kampung Kundang Ulu dipilih sebagai kampung angkat universiti itu dan kira-kira 1,500 tenaga kerja serta penuntut pernah berkampung di situ membantu mangsa banjir besar, dua tahun lalu.

Katanya, susulan program itu, tiga kumpulan penyelidik iaitu daripada Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat serta Fakulti Pendidikan terbabit dalam penyelidikan berteraskan khidmat masyarakat, yang bermula Oktober tahun lalu.

"Perkenalan ketika banjir besar itu membuka ruang kepada universiti untuk menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat supaya bantuan yang diberikan tidak terhenti hanya ketika kecemasan sebaliknya berpanjangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu, yang dirasmikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, selepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan, penyelidikan akan difokuskan terhadap tiga perkara iaitu kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pendidikan masyarakat di kampung angkat itu.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, walaupun kerajaan sudah menyediakan banyak infrastruktur di kawasan itu, pihaknya tetap menyambut baik penyelidikan yang dijalankan di kampung berkenaan.

Katanya, penyelidikan yang dijalankan di kampung itu akan mengenal pasti kekurangan yang ada supaya usaha menambah baik dapat dilaksanakan pada masa depan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 FEBRUARI 2009

09 Februari 2009

'JANGAN KELIRUKAN RAKYAT'

LEDANG 8 Feb. – Rakyat Perak tidak sewajarnya dikelirukan dengan kewujudan dua kerajaan negeri kerana ia hanya membantutkan pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan di negeri itu.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedegilan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap dirinya sebagai Menteri Besar Perak hanya akan membawa kerugian kepada rakyat negeri berkenaan.

‘‘‘Sepatutnya dihormati keputusan Tuanku Sultan Perak, maknanya kerajaan baru oleh Barisan Nasional (BN) ambil alih, sah dari segi undang-undang, kita tidak mahu rakyat keliru dengan kerajaan negeri yang sah dengan yang tidak mahu berhenti.

‘‘Kesan pada rakyat amat besar, lagi cepat perkara ini diselesaikan, lebih baik untuk kepenting rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jalinan Erat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Masyarakat Kundang Ulu di sini hari ini.

Semalam, Mohammad Nizar masih menggangap dirinya sebagai Menteri Besar Perak dengan mengadakan mesyuarat exconya walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor telah mengangkat sumpah kelmarin sebagai Menteri Besar Perak Ke-11.

Menurut Muhyiddin, Mohammad Nizar sepatutnya memberi laluan kepada kerajaan negeri yang diterajui BN itu kerana terlalu banyak urusan negeri tersebut tertangguh kerana kemelut yang berlaku.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 FEBRUARI 2009

MODUL SAKINAH KINI MULA DILAKSANA

Pegawai Penggerak Sakinah YPKDT, Ustaz Zakaria Muhammad sedang mencukur rambut bayi pada majlis Pengamalan Sakinah di Surau 2 Parit Kassan, baru-baru ini.

MUAR: Program Modul Sakinah yang diperkenalkan Kerajaan Johor lebih 10 tahun lalu kini sampai ke peringkat amali.

Ia bertujuan mempraktikkan teori yang disebarkan melalui modul itu supaya dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian yang berlandaskan ajaran Islam.

Antara aktiviti itu ialah amalan mencukur rambut bayi baru lahir, memberi nama bayi dengan nama bercirikan agama, penyerahan tanggungjawab ibu bapa terhadap suruhan agama kepada anak sedang meningkat remaja, khatam al-Quran dan adab di majlis perkahwinan.

Pegawai Penggerak Modul Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Hasbollah Md Samad, berkata ia bertujuan mengelak acara yang diadakan itu berunsur khurafat sehingga boleh menjejaskan akidah di kalangan umat Islam.

Katanya, jika sebelum ini program Modul Sakinah diperkenalkan melalui ceramah, tayangan video atau slaid, kini pegawai penggerak modul itu turun padang untuk memberi bimbangan secara praktikal kepada masyarakat Islam.

“Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) yang bertanggungjawab terhadap kejayaan Program Modul Sakinah turut menganjurkan acara yang sama di peringkat mukim dan daerah sejak setahun lalu.

"YPKDT juga sedia menghantar pegawai dan kakitangan untuk menjayakan program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang ingin mengadakan acara mencukur rambut dan menamakan bayi di kediaman masing-masing," katanya.

Berucap pada majlis ceramah Modul Sakinah di Surau Taman Tun Dr Ismail 5, di sini kelmarin, Hasbollah berkata, Modul Sakinah dapat mengelak masyarakat Islam daripada melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, pengetahuan agama yang cetek menyebabkan ramai masyarakat Islam terpengaruh dengan budaya asing terutama ketika mengadakan majlis termasuk perkahwinan dan memberi nama anak yang kurang elok.

“Ibu bapa perlu menggalakkan anak mengaji al-Quran sehingga tamat 30 juzuk serta mengadakan acara berkhatam sama ada secara bersendirian di rumah atau berkelompok di masjid dan surau.

SUMBER: BERITA HARIAN, 09 FEBRUARI 2009

TIGA CADANGAN UTAMA BANTU SEKTOR INDUSTRI, PERDAGANGAN

MUHYIDDIN melancarkan buku bertajuk Pengukuhan Keterlibatan Masyarakat: Menyemarakkan Masyarakat Penyayang, sambil diperhatikan oleh Dr Syarifah Hapsah, sempena Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu, di Tangkak, semalam.

TANGKAK: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengemukakan tiga cadangan utama bagi membantu sektor industri, pelaburan dan perdagangan, pada pakej ransangan kedua ekonomi yang akan dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan itu yang akan dikemukakan kepada Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat ini, penting bagi menghadapi kemungkinan ekonomi lebih merosot terutama pada suku tahun kedua.

Katanya, asas cadangan bagi memastikan sektor industri terus mendapat sokongan, selain menarik pelaburan asing dan menggalakkan produk eksport.

"Pada peringkat kementerian, kita mahu melihat apa yang boleh dibuat untuk membantu sektor industri khususnya pembuatan dan juga pelaburan, disamping perdagangan dan ini adalah tiga perkara yang akan kita ambil kira," katanya selepas merasmikan Program Jalinan Erat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Masyarakat Kundang Ulu, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya sektor pembuatan itu mempunyai sokongan supaya tidak terus merosot dengan begitu teruk yang boleh menyebabkan pengunjuran dan kesan sampingan kepada ekonomi yang lain.

Selain itu katanya, unjuran dibuat pihak Bank Dunia bahawa pelaburan tahun ini akan menguncup jauh lebih kecil berbanding tahun sebelum ini menyebabkan Malaysia yang bergantung kepada pelaburan asing memerlukan langkah tambahan serta insentif bagi menarik minat pelabur.

"Kita memerlukan insentif bagi menarik pelaburan secara tertumpu ke negara ini dan saya fikir masih ada yang berminat melabur di Malaysia kerana keadaan ekonomi yang merosot di negara maju menyebabkan kos tinggi dan ada syarikat asing contohnya di Jepun berminat menukar operasi mereka ke negara ini kerana kos jauh lebih rendah," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan mengemukakan kepada kerajaan cadangan pakej rangsangan untuk menggalakkan perdagangan eksport dengan mencari pasaran baru yang perlu dijalankan bagi mengelak situasi lebih sukar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 9 FEBRUARI 2009

08 Februari 2009

MB: DON'T CAUSE DISUNITY DURING THESE TRYING TIMES

TANGKAK: Johoreans have been urged to avoid “playing politics” which could cause disunity in these trying economic times.

Mentri Besar Datuk Abdul Ghani Othman said everyone must focus on improving the economy and ensuring stability.

“We are facing hard times due to the global economic recession.

“We have to look for ways to increase investment and expand the industrial sector to curb unemployment,” he said at the Johor Gerakan Chinese New Year dinner on Friday.

Abdul Ghani, accompanied by Gerakan president Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, said he feared unemployment could reach more than 6% next year from 3%, causing 600,000 workers in the country to be jobless.

He said the country had been hit by political turmoil since the general election in March last year leading to the crisis in Perak.

Dr Koh hoped that the political turmoil would recede and the country would be peaceful for everyone to focus on economic growth.

“This is a responsibility of all leaders, including those in Pakatan Rakyat, to ensure that the country’s economic strength continues to grow,” he added.

Later, Johor Gerakan chairman Datuk Teo Kok Chee presented Abdul Ghani and his wife Datin Paduka Jamilah Ariffin with flowers to mark their 34th wedding anniversary.

The couple showed their appreciation by singing a few songs.

SOURCE: THE STAR, Sunday February 8, 2009

MITI SEDIA KERTAS CADANGAN BANTU INDUSTRI KETIKA GAWAT

MUAR, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang menyiapkan kertas cadangan untuk membantu sektor industri pembuatan, menggalakkan kemasukan pelaburan luar dan perdagangan yang terjejas ekoran masalah ekonomi global.

Menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat, dan jika dipersetujui, ia akan dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya kertas cadangan yang dirangka itu berasaskan pandangan-pandangan yang dikumpul selepas dialog bersama Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), dewan-dewan perniagaan, persatuan perniagaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun lalu.

"Sektor pembuatan misalnya menghadapi masalah permintaan dan dijangka menjadi lebih teruk lagi jika tidak mendapat sokongan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu di sini hari ini.

Mengenai sektor pelaburan, MITI mencadangkan agar diadakan langkah-langkah tambahan yang difikirkan perlu selain daripada insentif sedia ada untuk menarik pelabur asing datang melabur ke negara ini.

Katanya walaupun Bank Dunia mengunjurkan bahawa pelaburan asing akan menguncup lebih kecil pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, terdapat syarikat-syarikat asing yang berminat memindahkan perusahaan ke negara ini atas faktor kenaikan kos di negara mereka.

"Kalau kita boleh beri pakej tambahan, saya rasa sedikit sebanyak kita boleh mempertahankan pelaburan masuk ke negara ini," katanya dan mengakui pencapaian pelaburan tahun ini sukar untuk diramal.

SUMBER:-- BERNAMA, 8 FEBRUARI 2009

DUA MAUT

Laporan dan foto JUNITA MAT RASID
am@hmetro.com.my
SIASAT... polis memeriksa tempat kejadian yang meragut
dua nyawa dalam kemalangan di Tangkak, kelmarin.

TANGKAK: Dua penunggang motosikal, termasuk seorang warga Indonesia, maut manakala seorang lagi parah apabila dua motosikal bertembung di satu laluan gelap di persimpangan Parit Kassim, Batu 17, Jalan Bukit Gambir-Sengkang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Nasir Talib, 28, berasal dari Kampung Bukit Keledang, Jementah dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Budi Setiawan, berusia 30-an, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Manakala pembonceng motosikal yang juga warga Indonesia cedera parah dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki Nasir yang dalam perjalanan dari Bukit Gambir menghala ke Sengkang bertembung dengan motosikal dinaiki dua warga Indonesia yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua motosikal remuk teruk dan semua penunggangnya terpelanting, menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, beliau ada beberapa meter dari tempat kejadian apabila mendengar bunyi dentuman kuat.

Katanya, keadaan lokasi kemalangan yang gelap mungkin antara faktor kemalangan berlaku, selain motosikal ditunggang dengan laju.

“Sebelum kemalangan berlaku, saya melihat sebuah motosikal dari arah Bukit Gambir cuba memotong sebuah kenderaan sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki cuba membelok ke simpang Parit Kassim, menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya.

Katanya, orang ramai kemudian menghubungi anggota paramedik dari Klinik Kesihatan Bukit Gambir, namun kedua-dua lelaki itu disahkan meninggal dunia, manakala mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital.

SUMBER: METRO AHAD, 8 FEBRUARI 2009

2 MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG


MOTOSIKAL yang remuk teruk akibat kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Batu 17, Simpang Parit Kassim, Bukit Gambir, kelmarin.


LEDANG 7 Feb. - Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dua buah motosikal bertembung di Batu 17, Simpang Parit Kassim di Jalan Sengkang-Bukit Gambir di sini malam tadi.

Penunggang motosikal yang terbunuh adalah Nasir Talib, 28, yang berasal dari Kampung Bukit Kledang, Jementah dan seorang warga Indonesia, Budi Setiawan, berusia lingkungan 30-an.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, seorang lagi mangsa yang cedera parah adalah pembonceng motosikal yang dinaiki Budi.

Bagaimanapun, identiti lelaki warga Indonesia itu belum dikenal pasti.

"Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang oleh Nasir dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Sengkang manakala motosikal dinaiki dua lelaki Indonesia itu datang dari arah bertentangan," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku ketika motosikal warga Indonesia itu cuba membelok ke Parit Kassim, sebelum dirempuh oleh motosikal yang ditunggang oleh Nasir.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tangkak manakala mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 8 FEBRUARI 2009

06 Februari 2009

MOVE TO MAKE TANGKAK FURNITURE CITY

WORKS are under way to transform the 130ha Tangkak industrial site into a Furniture City and Ledang administrative centre.

Tangkak district council president Asmail Abdul Kadir said the council had approved its layout plans, adding the multi-million projects under the Ninth Malaysia Plan were expected to complete in five years.

He said a permanent furniture exhibition showroom of international standard would be built to enable manufacturers and traders from all over the world to display their latest designs under one roof.

Asmail, who is also the Ledang district officer, said the council had also taken steps to upgrade the infrastructural development in its industrial sites at Bukit Gambir, Grisik, Gunung Ledang tourism resort and the Kesang recreational centre, near Johor-Malacca border.

"The council is going all out to woo local and foreign investors to spearhead its industrial and tourism industry," he said at the opening of its branch office at Tanjung Agas here recently.

Also present were the Muar Municipal Council president Abdul Wahab Ridwan and Tangkak district councillors and senior officers.

SOURCE: JOHOR BUZZ, NEW STRAITS TIMES, 6 FEBRUARY 2009

PELATIH PLKN CEDERA DIBELASAH RAKAN


AB. KARIM Sulaiman memeriksa badan Asharizan Abu Bakar, pelatih PLKN yang lebam dipukul akibat salah faham antara pelatih PLKN Kem Putra Putri Taboh Naning, Alor Gajah sambil diperhatikan oleh Omar Kaseh di Hospital Melaka, semalam.

MELAKA 5 Feb. - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putra Putri Taboh Naning, Alor Gajah dekat sini cedera dengan kesan lebam di muka, belakang badan dan kepala akibat dipukul oleh tiga pelatih lain di kem tersebut.

Mangsa, Asharizan Abu Bakar, 17, dari Tangkak, Johor, mendakwa dipukul dan dipijak akibat salah faham dengan seorang daripada tiga pelatih kem terbabit dalam kejadian yang berlaku semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semasa pelatih tersebut bersama dua rakannya berjumpa dengannya untuk menyelesaikan satu masalah.

"Dia mendakwa saya ada mengambil barangnya tanpa kebenaran. Tanpa banyak soal, mereka terus menumbuk muka, belakang kepala, dan memijak belakang badan saya," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka (HM) di sini hari ini.

Beliau dimasukkan ke HM malam semalam selepas dirujuk oleh Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut kira-kira pukul 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Sukan dan Belia negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman turut melawat Asharizan di hospital tersebut.

Jelas Asharizan, semasa kejadian terdapat beberapa lagi rakan lain turut menyaksikan insiden kira-kira 10 minit itu, namun tidak dapat berbuat apa-apa.

Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Omar, 44, melahirkan rasa kesal dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu.

"Sepatutnya di kem PLKN, mereka dapat melatih semua bersatu padu antara satu sama lain, bukannya berkasar begini.

"Bagaimanapun, anak saya bersetuju untuk menamatkan baki satu bulan latihan yang perlu dilalui," katanya sambil berharap anaknya dapat dipindahkan ke kem lain selepas ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya telah mengambil keterangan tiga pelatih berkenaan setelah laporan dibuat di Balai Polis Simpang Ampat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 FEBRUARI 2009

JAIJ TEGAH UMAT ISLAM SAMBUT HARI KEKASIH

JOHOR BAHRU 5 Feb. - Jangan sambut Hari Kekasih, demikian kenyataan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) hari ini yang menasihatkan masyarakat Islam terhadap trend sambutan Hari Kekasih diraikan pasangan bercinta pada setiap kali tiba tarikh 14 Februari.

Jabatan itu menegaskan, ini kerana sambutan Hari Kekasih itu bercanggah dengan akidah Islam dan mempunyai unsur-unsur ajaran Kristian yang dibawa oleh masyarakat Barat.


''Ia secara tidak langsung bertujuan melekakan serta merosakkan akidah dan akhlak masyarakat Islam,'' kata kenyataan akhbar JAIJ itu.


Sehubungan itu, umat Islam dilarang menyambut Hari Kekasih yang bercanggah dengan agama tersebut.


Tambahnya, kenyataan JAIJ itu adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.


''Lagi pun roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam," katanya.


Menurutnya, Valentine merupakan nama sebenar St. Valentino seorang paderi di zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol dan merupakan antara orang yang menghancurkan tamadun Islam di negara tersebut.


Justeru itu, katanya, jika umat Islam merayakan hari berkenaan ia seolah-olah bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.


''Jika seseorang Islam masih berhasrat memberi hadiah kepada seseorang pada hari berkenaan, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep Hari Kekasih,'' tegasnya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 FEBRUARI 2009


04 Februari 2009

MAHARANI RIVIERA PENUH SAMPAH

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

SAMPAH sarap berselerak di bahu jalan dan permukaan jalan di kawasan Maharani Riviera, Tanjung Agas, menjejaskan keindahan alam semulajadi.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab jejas keindahan penempatan baru

MUAR: Orang ramai yang berkunjung ke kawasan penempatan baru, di Maharani Riviera, Tanjung Agas, di sini kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan bahu jalan berdekatan tebing Sungai Muar, di situ, tempat pembuangan sampah.

Sebahagian besar bahu jalan yang bersempadan dengan kawasan perindustrian Tanjung Agas itu, dipenuhi dengan pelbagai jenis sampah sarap dan bahan terbuang, selain sisa pepejal, tin dan botol bekas minuman serta karung plastik.

Mereka berpendapat, kawasan itu tidak sepatutnya dijadikan tempat membuang sampah kerana terdapat papan tanda yang melarang perbuatan itu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan pemandangan semula jadi yang menarik di kawasan berkenaan.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati pelbagai sampah-sarap bertaburan bukan saja di bahu jalan, malah memenuhi sebahagian permukaan jalan sehingga menjadikan kawasan persekitaran berbau busuk dan mengalami pencemaran teruk.

Apa yang menimbulkan tanda tanya sebahagian besar bangunan yang dibina di kawasan berkenaan masih belum diduduki, kecuali terdapat beberapa restoran di lorong yang bertentangan dengan Sungai Muar.

Di lorong bahagian depan yang bertentangan dengan kawasan perindustrian, pula terdapat sebuah daripada bangunan rumah kedai di situ dijadikan Pejabat Cawangan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Penduduk, Ibrahim Abu Bakar, 32, berkata Maharani Riviera sebuah kawasan penempatan baru di tebing Sungai Muar yang didirikan tiga tahun lalu dalam usaha PBT melengkapkan lagi pembangunan Bandar Maharani.

"Apa yang dikesalkan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan kawasan berdekatan dengan tebing sungai di situ, sebagai tempat membuang sampah sarap.

"Kegiatan tidak bertanggungjawab itu turut menjejaskan usaha PBT untuk menjadikan kawasan hutan bakau di tebing sungai itu, sebagai kawasan rekreasi dan bersantai di kalangan penduduk bandar ini," katanya.

Ibrahim berkata, PBT turut melengkapkan bangku tempat duduk, di tebing sungai bagi membolehkan orang ramai bersantai, disamping menikmati keindahan pemandangan menarik Sungai Muar.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 60, mendakwa sampah sarap di situ berkemungkinan besar dibuang oleh warga asing yang menyewa bangunan bertentangan dengan sungai di situ.

Beliau berkata, ini kerana kawasan itu terpencil dan sebahagian besar bangunan rumah kedai di situ masih belum berpenghuni, manakala kedudukannya pula agak jauh dari kawasan perumahan lain.

"Justeru, agak tidak munasabah, sampah sarap di situ dibuang penduduk luar kawasan," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 4 FEBRUARI 2009

Kerja Kosong : Desktop Designer

From: One Touch Creative <satusentuhankreatif@yahoo.com>
Subject: Kerja Kosong : Desktop Designer
Date: Wednesday, February 4, 2009, 2:07 AM

Syarikat kami yang sedang berkembang memerlukan Perekabentuk yang berdedikasi membangun bersama kami. Jika anda/kenalan/saudara mara anda berminat, sila emelkan resume anda ke satusentuhankreatif2@yahoo.com


ONE TOUCH CREATIVE SDN BHD ::
Main Email : satusentuhankreatif@yahoo.com
2nd Email : satusentuhankreatif2@yahoo.com
http://www.percetakan.com.my


03 Februari 2009

REAKSI TERHADAP KENYATAAN CADANGAN NAIKKAN HARGA GULA

MUAR: Pelbagai pihak meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan menaikkan harga gula kerana boleh mewujudkan situasi tidak sihat, termasuk mendorong peniaga menyorokkan bekalan bahan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tatangga (KRT) Taman Damai, di sini, Aziz Mohamad, berkata sebarang kenyataan berhubung cadangan menaikkan harga barang keperluan termasuk gula perlu diteliti terlebih dulu di peringkat kerajaan sebelum diumumkan.

Beliau berkata, menteri tidak seharusnya mengumumkan cadangan itu tanpa memikirkan kesannya kepada orang ramai kerana setiap kali ada kenyataan sedemikian, peniaga akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh, termasuk menyorok bekalan gula masing-masing.

“Keadaan itu sudah tentu menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd Firdaus Abdullah, baru-baru ini.

Firdaus dilaporkan berkata, kenyataan berhubung cadangan menaikkan harga gula boleh menimbulkan panik di kalangan masyarakat, selain mendorong peniaga menyorok bekalan bahan itu dan pengguna membeli secara berlebihan untuk stok sebelum harga dinaikkan.

Peniaga kuih, Salina Sulaiman, 38, dari Bukit Gambir, di sini berkata kenaikan harga gula boleh menimbulkan masalah kepada pengusaha industri kecil yang banyak menggunakan bahan pemanis itu seperti pengusaha kuih muih.

Beliau yang mengeluarkan produk kek, biskut dan tat, berkata jika harga gula dinaikkan, pengusaha kuih muih juga terpaksa menaikkan harga produk yang kemudian berisiko menjejaskan perolehan mereka jika pelanggan menjauhkan diri kerana harga mahal.

“Bagi pengusaha luar bandar, kebanyakan pelanggan adalah penduduk kampung dan pekan kecil yang mungkin berasa harga dinaikkan itu tidak mampu dibeli mereka,” katanya yang memerlukan kira-kira 50 kilogram gula seminggu untuk menghasilkan produk keluarannya.

Pesara guru, Jamal Sudin, 67, dari Panchor, berkata pengumuman mengenai kemungkinan harga gula dinaikkan menyebabkan ada peruncit mendakwa stok gula di kedai masing-masing hanya berbaki kuantiti kecil.

“Jika harga gula dinaikkan, peniaga juga akan menaikkan harga makanan berasaskan gula sedangkan rakyat kini sudah pun berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan lain seperti ikan dan sayur-sayuran,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 FEBRUARI 2009

KEKASIH MERAJUK BERPISAH NYAWA

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

ALIH...orang ramai mengalihkan mayat mangsa ke bahu jalan selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori di Batu 29, Jalan Muar-Segamat, kelmarin. Gambar kecil, Wan Mohd Annazul Hady.

TANGKAK: “Selepas Ahad ini (kelmarin), kita tidak ada apa-apa lagi,” begitu kata-kata seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada teman wanitanya yang akhirnya menjadi kenyataan apabila mangsa meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Batu 29, Jalan Muar -Segamat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Wan Mohd Annazul Hady Wan Ja’afar Sidi, 23, putus lengan kanan dan pecah perut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori.

Mangsa, anak kedua daripada empat beradik itu dikatakan dalam perjalanan dari kampungnya di Batu 3 1/4, Jalan Bakri di sini, menuju ke tempatnya bertugas di Pangkalan TUDM, Kuantan, Pahang.

Teman wanitanya, Ella Sakila Abu Bakar, 20, berkata arwah teman lelakinya ada menyebut hubungan mereka putus selepas Ahad ini ketika mereka berselisih faham dan mangsa merajuk, Sabtu lalu.

Katanya, dia masih tidak percaya dan terkejut dengan kejadian itu kerana arwah ada datang berjumpa dan singgah di rumah keluarganya di Jalan Junid di sini, selama sejam sebelum bertolak balik ke Pahang.

“Saya tidak sangka kerana sebelum itu, dia ada mengajak saya ke Pahang, malah sempat membawa buah tangan beberapa biji mangga yang masih lagi elok dalam bungkusan plastik,” katanya yang mengenali arwah lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, arwah juga kelihatan lebih ceria dan sering bergurau berbanding biasa apabila lebih banyak berdiam diri jika bertemu.

Sementara itu, ibu mangsa dikenali Fauziah berkata, anaknya balik bercuti selepas menghadiri kursus di Puchong, Selangor dan sepatutnya mula bertugas semula di Kuantan, semalam.

“Angah langsung tidak menunjukkan perubahan, cuma kali ini ketika balik bercuti, dia lebih banyak mendiamkan diri.

“Baru dua jam dia keluar rumah dalam keadaan elok, tiba-tiba dapat maklumat arwah terbabit kemalangan,” katanya.

Wanita itu yang mulanya tabah dengan tragedi itu akhirnya rebah dan pengsan selepas melihat mayat mangsa di Hospital Tangkak, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dalam perjalanan menghala ke Segamat apabila termasuk ke laluan kanan di satu selekoh sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Katanya, motosikal mangsa bergesel dengan cermin sisi di bahagian pemandu lori berkenaan sebelum terjatuh dan terseret menyebabkan lengan kanannya terputus dan perutnya pecah, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut waris, kira-kira 2 petang semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 3 FEBRUARI 2009

02 Februari 2009

BEKAS PEMAIN MAMPU BERI SUMBANGAN

MUAR - Idea daripada bekas pemain kebangsaan perlu ditimba bagi memartabatkan kembali sukan bola sepak tanah air memandangkan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimiliki mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, input daripada wira-wira sukan negara itu amat berharga kerana mereka lebih mendalami sukan ini.

"Semua rakyat Malaysia sayang dengan sukan bola sepak dan ia dianggap moral kepada negara.

"Kalau kita sebagai penonton berasa sedih dengan kemerosotan ini, mereka sebagai bekas pemain lebih merasainya kerana ia dekat pada hati mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Gelanggang Sukan Rakyat di Taman Pelangi, Tangkak di sini semalam.

Menurut Ismail, bagi mencari jalan mengeluarkan sukan bola sepak dari kemelut kemerosotan, beliau akan mengadakan perbincangan hari ini di ibu negara dengan beberapa bekas pemain negara.

Katanya, pemain-pemain terbabit pernah mewakili negara dan negeri di waktu kegemilangan dan beliau harap dapat bertukar-tukar fikiran bagi tujuan kebaikan sukan ini.

"Waktu saya berjumpa dengan bekas pemain hoki negara, mereka nyata serius dan dapat memberi satu pelan rancangan yang begitu menyeluruh kerana cinta kepada sukan," katanya.

Jelas beliau, bekas-bekas pemain negara mempunyai pengalaman mereka tersendiri namun berkemungkinan sebelum ini tidak berpeluang untuk mengutarakan pendapat mereka.

"Sebenarnya, kita juga mesti menghormati sumbangan bekas-bekas atlet ini, untuk itu, saya telah menubuhkan Yayasan Kebajikan Atlet di samping menggalakkan penubuhan pertubuhan bekas atlet bagi setiap jenis sukan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2009

JUITA TO SET UP 2 CHILDREN CENTRES

THE Johor Assemblymen's Wives Welfare Association (Juita) will open two children day-care centres in Johor Baru.

Juita chairman Prof Datin Dr Jamilah Ariffin said the first centre, to be set up in Jalan Petri, would be located at a renovated government quarters.

The centre, which will house about 40 children, is expected to be fully operational by the middle of the year.

The second centre, which has a similar capacity, will be opened in Gelang Patah.

Jamilah, who is also the wife of Johor Mentri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, said each centre would house children selected from poor families.

Earlier, Jamilah handed out donations to flood victims in Ledang, Tangkak.

The donations were from a programme organised by Juita recently. Also present was Abdul Ghani.

SOURCE: NST JOHOR BUZZ, 2 FEBRUARY 2009

PANGGIL IBU SEBELUM AJAL

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


NILAI: “Saya dengar dia memanggil ‘mak’ beberapa kali sebelum suaranya terhenti,” kata saksi kemalangan ngeri yang menyebabkan seorang mati dan lima parah di Kilometer 286.4 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Kuala Lumpur, berhampiran Hentian Rehat Nilai di sini, semalam.

Pekerja trak penunda, M Sivarajo, berkata suara itu daripada seorang penumpang belakang, dipercayai Firdaus Edi Azly, 9, yang tersepit dalam kenderaan remuk teruk itu.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya nampak semua mangsa tersepit pada tempat duduk masing-masing dan kebanyakan mereka dipercayai parah.

“Keadaan amat ngeri apabila kenderaan terbabit remuk dan ‘melekat’ pada tiang papan tanda jalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.

Kejadian jam 3.25 petang itu dipercayai berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki enam sekeluarga itu terbabas lalu melanggar tiang lampu dan papan tanda jalan.

Berikutan itu, Firdaus Edi Azly mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

Bapanya yang memandu kenderaan berkenaan, Edi Azly Abu, 42, ibu, Fauzi @ Fauziah Abu, 37, adik beradiknya, Amirah, 10, Sabrina, 11, dan Haziq, 5, cedera parah.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Semenyih selepas berkelah di pantai Port Dickson.

Sementara itu, sepasukan pegawai serta anggota Bomba dan Penyelamat Seremban 2 yang membuka pusat operasi di hentian berkenaan sempena Ops Sikap ke-19 terkejut selepas terdengar dentuman kuat sebaik kejadian berlaku.

Mereka bergegas ke lokasi di seberang jalan untuk melakukan usaha menyelamatkan mangsa yang cedera dan tersepit.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Abd Rahim Abd Karim, berkata pihaknya terus melakukan operasi menyelamat sebaik melihat mangsa tersepit.

“Bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan semua penumpang yang tersepit di tempat duduk. Seorang daripada penumpang di belakang mati dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, beberapa ambulans ke lokasi kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer apabila orang ramai memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) Seremban untuk mendapatkan rawatan. Jenazah mangsa turut dihantar ke bilik mayat hospital sama.

SUMBER: HARIAN METRO, 2 FEBRUARI 2009

KANAK-KANAK MAUT, LIMA AHLI KELUARGA PARAH


REMUK... Kereta yang dipandu Edi Azly ini melanggar tiang papan tanda di Kilometer 286.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, menyebabkan anaknya, Firdaus maut manakala lima lagi anggota keluarganya cedera parah, semalam.

NILAI 1 Feb. - Keriangan sebuah keluarga mengikuti perkelahan di Port Dickson hari ini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 286.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat sini hari ini.

Kemalangan pukul 3.45 petang itu berlaku berhampiran susur masuk ke Bukit Mahkota lebuh raya itu, membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki enam sekeluarga tersebut.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Firdaus Edi Azly, 9, tersepit dalam kenderaan itu yang remuk teruk selepas merempuh tiang lampu dan papan tanda susur keluar di kiri laluan berkenaan.

Lima lagi ahli keluarga iaitu bapanya, Edi Azly Abu, 42; ibunya, Fauziah Abu, 37, serta tiga lagi anak mereka iaitu Amirah, 10; Sabrina, 11 dan Haziq, 5, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah berkata, kereta yang dipandu Edi Azly dipercayai terbabas dan merempuh tiang lampu di kiri lebuh raya tersebut.

Ia kemudiannya terbalik sebelum melanggar papan tanda susur keluar Bukit Mahkota.

Berikutan rempuhan itu, katanya, kenderaan tersebut remuk teruk selain menghempap kesemua mangsa.

"Polis percaya keluarga ini dalam perjalanan pulang selepas berkelah di Port Dickson untuk balik ke rumah mereka di Semenyih, Selangor.

"Mangsa yang meninggal dunia cedera parah di bahagian kepala dan muka," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di HTJ lewat petang ini mendapati, kesemua lima mangsa dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

Difahamkan, keluarga mangsa telah dihubungi oleh pihak polis sementara mayat Allahyarham Firdaus telah dibawa ke bilik mayat hospital itu untuk bedah siasat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2009

BUDAK LELAKI MAUT MPV REMPUH TIANG LAMPU

KEADAAN MPV yang remuk dalam nahas di Kilometer 286.4 Lebuh Raya Utara-Selatan.

NILAI: Seorang budak lelaki terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan merempuh tiang lampu serta papan tanda di Kilometer 286.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Hentian Rehat Nilai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, Firdaus Edi Azly, 9, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan berikutan tersepit di bahagian bumbung kenderaan.

Ibu bapa mangsa, Edi Azly Abu, 42, dan Fauzi @ Fauziah Abu, 37, serta tiga lagi adik-beradiknya, Amirah, 10; Sabrina, 11; dan Haziq, 5, cedera parah dalam kejadian yang menyebabkan Toyota Avanza yang dinaiki mereka itu remuk teruk.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku akibat pemandu terbabit hilang kawalan, namun, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

"Semua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Abdul Rahim Abdul Karim, berkata pihaknya yang bertugas di kawasan rehat itu sempena Ops Sikap 19 terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

"Kami melihat sebuah MPV terbabas dan melekat di bahagian tiang besi papan tanda sebelum bergegas memberi bantuan. Kami dapati seorang kanak-kanak sudah meninggal dunia kerana tersepit di bumbung kereta.

"Lima lagi mangsa yang terselamat tetapi tersepit dipercayai keluarga mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 10 minit. Mereka kemudian dikejarkan ke HTJS," katanya.

p/s: Keluarga Edi Azly Abu berasal dari Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, Ledang. Jenazah anak beliau yang meninggal dunia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, Bukit Gambir tengah hari ini. Al-fatihah. -iNFOLEDANG

SUMBER: BERITA HARIAN, 2 FEBRUARI 2009