TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Disember 2009

MAUT LEPAS 2 KALI NAHAS

TANGKAK: Seorang lelaki yang cuba keluar dari keretanya yang terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 167.4 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, awal pagi semalam, maut selepas kenderaan itu dirempuh sebuah kereta lain.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.25 pagi menghala arah utara itu, Rajan Rishyakaran, 23, dari Subang Jaya, Selangor terbunuh selepas Proton Wira Sedannya dilanggar sebuah kereta yang tidak menyedari kenderaan mangsa berhenti akibat nahas.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari keretanya sebelum sebuah Proton Wira Aeroback di laluan sama merempuh kenderaan mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut serta-mertadan mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 31 DISEMBER 2009

RASUAH: SARJAN POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH

LEDANG 30 Dis. - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah melibatkan wang sebanyak RM900, lebih dua tahun lalu.

Abdul Halim Baharom, 49, didakwa menerima wang suapan tersebut daripada Mohd. Shahrizan Ya Mohd. Halid, Abdul Rahim Abdullah dan Muhamad Nabawi Nordin sebagai dorongan untuk menarik balik kes peras ugut yang dihadapi oleh mereka.

Bagi tuduhan pertama, Abdul Halim yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar didakwa memperoleh suapan bagi dirinya sebanyak RM900 melalui akaun bank di Maybank Berhad, No. 104, Jalan Abdullah, Muar pada pukul 10.35 pagi, 27 Julai 2007.

Dia turut didakwa meminta suapan RM1,000 daripada tiga individu itu melalui Mohd. Shahrizan di Kompleks K-Mart di Lot 3153, Jalan Kesang, Tanjung Agas di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, 20 Julai 2007.

Kedua-dua tuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 11(a) dan 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 Januari tahun depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Taufik Khamis manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 DISEMBER 2009

28 Disember 2009

SUKAN JOHOR AKAN JADI ACARA DWITAHUNAN


Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani menerima cenderamata dari Pegawai Daerah Kluang, Abdul Razak Mohd Salleh di Majlis Persmian Sukan Johor, di Stadium Sultan Ibrahim.

Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani menerima cenderamata dari Pegawai Daerah Kluang, Abdul Razak Mohd Salleh di Majlis Persmian Sukan Johor, di Stadium Sultan Ibrahim.


Ditulis oleh Hamirul Hairi Mohd Noh

MUAR: Sukan Johor akan dijadikan sebagai temasya sukan dwitahunan sebagai landasan untuk mencungkil bakat baru bagi menggalas cabaran negeri di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata dengan penyertaan menyeluruh masyarakat di semua peringkat, ia menjadi medan terbaik bagi mengenal pasti bakat yang berpotensi dari kampung, mukim dan daerah untuk diketengahkan.

“Kebanyakkan atlet dari negara-negara maju juga datang dari penglibatan masyarakat yang menyeluruh dalam program-program sukan yang diadakan. Oleh itu, penganjuran sukan seperti ini amat digalakkan,” katanya pada , di sini, semalam.

Katanya lagi, usaha pencarian bakat itu akan dipergiatkan melalui penganjuran sukan berkenaan yang akan diselang-selikan dengan kejohanan Sukan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri Johor.

"Kita berharap melalui gabungan atlet berusia di bawah 21 tahun dalam sukan Johor dan peserta Sukan JPMM yang merangkumi pelbagai peringkat umur, penyertaan masyarakat dalam sukan akan lebih menyeluruh selain dapat mewujudkan persaingan sihat di kalangan atlet,” katanya.

Sukan Johor mula diperkenalkan pada 2004 membabitkan penyertaan lebih dari 1,000 atlet dalam tujuh acara, iaitu memanah, ping pong, sepak takraw, badminton, basikal, pencak silat dan olahraga.

Abdul Ghani berkata, kerajaan juga akan membangunkan kemahiran teknikal kejurulatihan bagi kemajuan sukan di peringkat tempatan.

“Kita juga akan meningkatkan kualiti dan kemahiran pegawai sukan di peringkat tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai yang berkelayakan mengendalikan pertandingan di peringkat itu,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan turut menyediakan kemudahan asas sukan seperti peralatan kelengkapan yang lebih baik, pembinaan gelanggang dan sebagainya yang diperlukan di semua peringkat.

Sukan Johor 2009 berlangsung selama enam hari bermula pada 23 Disember.

SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, 28 DISEMBER 2009

MAN, THREE SONS DIE IN FIERY CRASH

By Ahmad Fairuz Othman and Chong Chee Seong news@nst.com.my

MUAR: As flames were engulfing their van, Tan Yee King prayed that someone would rescue her and her toddler.
Her prayers were answered when passers-by rescued the 37-year-old mother and her 2-year-old son Ong Zhen Li.

Both of them were in the front passenger seat of their Nissan Vanette before it burst into flames.

However, Tan's husband Ong Duu Siong, 46, and the couple's three other sons who were in the back seat, were burned alive during the 10.30pm incident on Saturday.

The Ong's family van had caught fire following a head-on crash with an MPV.

The incident also involved two other vehicles at Batu 4, Jalan Parit Bunga-Tangkak near here.

Duu Siong, a church worker died on the spot from 90 per cent burns, while his sons -- Zhen Hui, 9 and Zhen Qi, 7, suffered similar burns.

Ong's other son Zhen Jie, 3, succumbed to severe burns after he was rushed to the Sultanah Fatimah Specialist Hospital in Muar.

Tan, who is being kept under close observation at the hospital suffered from internal bleeding but is on the road to recovery. Her toddler Zhen Li escaped with minor injuries.

Ledang police chief Superintendent Harun Idris described the incident as the worst on that particular stretch of road.

He said investigators were in the midst of recording statements from those involved in the crash, including Tan.

He said nine people in the other three vehicles escaped with minor injuries. Passers-by helped Tan and Zhen Li, out of the vehicle before it burst into flames.

Ong's van was the only vehicle that caught fire.

The Ong family were on the way to Tangkak from Muar because Duu Siong had church work in Tangkak.

Harun said initial investigations revealed the Toyota Innova MPV had swerved into the path of Ong's van, while trying to avoid another car which had made an abrupt turn.


It is learnt a car in front of Ong's van had attempted to make a right turn into a house by the roadside.

Harun said police have recorded statements from a 30-year-old Singaporean driver, and another 39-year-old Malaysian driver of another car.

Both men were released on police bail yesterday.

SOURCE: NEW STRAITS TIMES, 28 DECEMBER 2009

TOLONG, POTONG KAKI SAYA!

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my


TANGKAK: “Tolong selamatkan saya, potong saja kaki saya, tolong keluarkan saya.” Begitu kata-kata terakhir seorang lelaki yang rentung bersama tiga anaknya selepas van mereka naiki terbalik sebelum terbakar dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan di Jalan Muar-Tangkak di Parit Bunga di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Ong Dun Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Ong Zhen Hui, 10, dan Ong Zhen Qi, 6, rentung dalam van berkenaan manakala seorang lagi anak lelakinya, Ong Zhen Jie, 3, meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kemalangan turut menyebabkan isteri mangsa, Tan Kock Yew, 37, dan anak lelaki bongsu mereka, Ong Zhen Li yang baru berusia setahun serta seorang lagi rakan sekerja mangsa berusia 20-an dikenali Chan Chen Too, terselamat dengan hanya cedera ringan.

Saksi, Abdul Aziz Samad, 21, berkata dia bersama sepupu dalam perjalanan ke tapak expo di Dataran Tanjung Emas apabila terserempak kemalangan itu.

Menurutnya, dia antara saksi terawal di tempat kejadian dan cuba membantu beberapa ahli keluarga itu keluar dari kenderaan sebelum van terbabit terbakar dan meletup.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila pemandu van itu merayu supaya diselamatkan walaupun sanggup kakinya dipotong,” katanya.

Seorang kenalan mangsa, Tay Kock Yew, 46, berkata keluarga terbabit dalam perjalanan dari Muar ke Tangkak untuk menghantar seorang rakan selepas menghadiri majlis keagamaan di sebuah gereja di sini.

Katanya, mangsa yang juga pekerja di Gereja Calvary di Jalan Kim Kee turut menghadiri dan mempengerusikan satu majlis keagamaan sempena sambutan Krismas yang berlangsung dari jam 8 hingga 10 malam kejadian.

“Dia baru mempengerusikan majlis keagamaan di gereja, tidak sampai setengah jalan perjalanan untuk menghantar seorang rakan sekerjanya pulang ke Tangkak apabila kami dikejutkan dengan berita nahas ngeri itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPSF di sini, awal pagi semalam.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Muar dan Ledang bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran dan operasi mengeluarkan tiga mangsa yang rentung.

Kedua-dua anak Siong ditemui rentung di tempat duduk belakang van berkenaan manakala Siong ditemui tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga itu berlaku membabitkan empat kenderaan termasuk van Nissan Vanette dinaiki keluarga itu.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati sebuah Toyota Wish bernombor pendaftaran Singapura dari arah Muar ke Tangkak dipercayai cuba membelok ke simpang kanan laluan berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dipercayai lambat membelok menyebabkan sebuah Toyota Innova yang datang arah Tangkak ke Muar terlanggar bahagian belakang sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung van dinaiki keluarga itu.

“Sebuah kereta Toyota Vios yang berada di belakang van berkenaan pula melanggar belakang kenderaan mangsa menyebabkannya terpelanting sebelum terbalik dan terbakar berikutan terdapat kebocoran pada tangki minyak,” katanya.

Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa yang rentung dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tangkak untuk dibedah siasat manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia di HPSF sebelum keluarganya menuntut mayat mereka, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, seorang lelaki iaitu pemandu warga Singapura berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan.

“Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis, pagi semalam sementara tindakan lanjut dikenakan terhadapnya,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 DISEMBER 2009

4 BERANAK MAUT NAHAS JALAN RAYA

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Empat sekeluarga maut, tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera apabila van yang mereka naiki terbalik dan terbakar dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang berasal dari Jalan Kim Kee, Muar, dalam perjalanan menghala ke Tangkak kira-kira pukul 10.30 malam menaiki sebuah van Nissan Vanette.

Mereka yang rentung ialah Ong Buu Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Ong Zhen Hui, 7, serta Ong Zhen Zhee, 6, manakala seorang lagi anak lelaki Buu Siong, Ong Zhen Jie, 3, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, akibat mengalami kecederaan parah.

Isteri mangsa, Tan Yee Kiang, 32, dan anak bongsu mereka, Ong Zhen Ki, berusia satu setengah tahun yang berjaya diselamatkan oleh orang ramai kini dirawat di hospital itu dan dilaporkan stabil.

Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Ledang, Inspektor Sayuti Mohamad berkata, mangsa yang rentung dipercayai terperangkap di dalam kenderaan.

Katanya, mengikut siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Innova dari arah Tangkak ke Muar cuba mengelak sebuah Toyota Wish dari arah bertentangan yang tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.

"Keadaan tersebut menyebabkan kereta (Innova) berkenaan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan van yang dinaiki mangsa.

"Van tersebut kemudian dipercayai berlanggar pula dengan Toyota Wish itu dan sebuah Toyota Vios sebelum terbalik lalu terbakar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Sayuti lagi, sembilan penumpang dalam tiga buah kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan.

Mereka juga, katanya, telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, beliau berkata, ketiga-tiga mayat yang rentung dibawa ke Hospital Daerah Ledang untuk bedah siasat.

Katanya, sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tangkak turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semasa kejadian juga dilaporkan berlaku beberapa letupan kecil," jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 DISEMBER 2009

MAUT DIREMPUH LEPAS BELI BUAH

TANGKAK: Seorang pesara kerajaan maut dirempuh sebuah kereta ketika mahu masuk ke dalam kenderaannya selepas berhenti di bahu jalan untuk membeli buah di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak di sini, kelmarin.

Mislan Abu, 62, dikatakan dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki dalam keadaan sedang memotong di bahagian kiri jalan berikutan kesesakan jalan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Muar ke Tol Tangkak untuk pulang ke Seremban, Negeri Sembilan bersama isteri, Jamiah Mat Esa, 50-an selepas menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Simpang Jeram, Muar, di sini.

Seorang peniaga buah, Aishah Adnan, 47, berkata mangsa hendak masuk ke Mercedes Benz dipandunya selepas selesai membeli buah sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta yang memotong di laluan kiri merempuhnya belakang menyebabkan mangsa terpelanting jatuh di depan gerainya.

“Saya sedang melayan pelanggan ketika terdengar bunyi dentuman sebelum ternampak mangsa jatuh di depan gerai, ketika itu isteri mangsa tergamam melihat kejadian itu dan masih belum sempat lagi membuka pintu kereta di bahagian penumpang,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.15 pagi, semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 DISEMBER 2009

TRAGIS



Kurang 24 jam kemalangan ngeri meragut 10 nyawa di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kelmarin, empat sekeluarga pula maut di Tangkak, semalam.

Kemalangan di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak itu, mengakibatkan tiga daripadanya rentung apabila van yang mereka naiki terbalik dan terbakar. Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika kesemua mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke Tangkak.

Bagaimanapun semasa tiba di lokasi, van jenis Nissan Vanette itu bertembung dengan sebuah Toyota Innova dari arah hadapan.

Innova itu dikatakan cuba mengelak kenderaan Toyota Wish di hadapan van terbabit yang secara tiba-tiba memasuki simpang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 DISEMBER 2009

MANGSA RAYU MINTA POTONG KAKI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

IBU Ong hadir ke rumah mayat untuk menuntut mayat mangsa bersama tiga anaknya yang maut dalam kemalangan lewat malam semalam di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak.

Orang ramai tak dapat tarik keluar mangsa, dua anak kerana van terbakar, meletup

TANGKAK: Seorang saksi kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang lelaki bersama tiga anaknya, tidak dapat melupakan jeritan meminta pertolongan mangsa yang turut meminta kakinya dipotong supaya dapat dikeluarkan daripada van Nissan Vannette yang remuk dan sedang terbakar.

Abdul Aziz Samad, 21, bersama sepupunya dalam perjalanan untuk ke ekspo di Dataran Tanjung Emas apabila kemalangan itu berlaku menyebabkannya berhenti untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun, cubaannya itu gagal menyelamatkan mangsa Ong Dun Siong, 46 dan dua anak, Zhen Hui, 10 dan Zhen Qi, 6, yang rentung dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu, manakala seorang seorang lagi anaknya, Zhen Jie, 3, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi, ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Abdul Aziz berkata beliau tiba di tempat kejadian ketika kemalangan baru berlaku dan terdapat beberapa lagi orang yang cuba membantu keluarga malang itu tetapi tidak sempat apabila api mula marak dan van itu meletup.

"Lelaki itu berulang kali menjerit meminta tolong supaya diselamatkan dan supaya kakinya dipotong bagi mengeluarkannya yang tersepit di dalam kereta yang remuk tetapi orang ramai tidak dapat berbuat apa-apa kerana api mula marak dan mangsa tidak dapat dikeluarkan.

"Keadaan di tempat kemalangan itu sungguh menyayat hati, " katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak, di sini semalam.

Pemandu Toyota Vios yang turut terbabit dalam kemalangan itu yang hanya dikenali sebagai Young, 39, berkata beliau bersama isteri, dan dua rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur apabila terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, mereka sempat memecahkan pintu cermin kenderaan itu menggunakan kunci stereng dan berjaya mengeluarkan seorang lelaki, dua kanak-kanak serta seorang wanita sebelum van itu terbakar dan meletup.

"Pada mulanya saya cuba membuka pintu van tetapi gagal menyebabkan saya mengambil kunci stereng kereta saya dan memecahkan cermin tingkap untuk mengeluar dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan," katanya.

Katanya, selepas memecah cermin kereta itu, mereka mengeluarkan seorang kanak-kanak dan menarik seorang lelaki sebelum mengeluarkan seorang wanita bersama bayinya yang berusia kira-kira setahun.

Beliau berkata, selepas berjaya mengeluarkan ibu dan dua anaknya serta seorang lagi lelaki, barulah van itu terbakar dan meletup.

"Hanya selepas van itu terbakar, baru saya sedar bahawa dua lagi kanak-kanak masih terperangkap dalam kenderaan itu tetapi pada masa itu api sudah marak dan saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan semua mangsa, " katanya.

Seorang lagi saksi, Abu Bakar Hamzah, 41, terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa walaupun beberapa kali cuba menarik tangannya berikutan kaki mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Abu Bakar, seorang peniaga pasar malam bersama dua anak kembarnya yang berusia 15 tahun, Mohd Daniel Afiq dan Mohd Daniel Aniq, berkata mereka cuba berulang kali mengeluarkan mangsa tetapi gagal sebelum api mula marak.

"Pemandu lelaki itu beberapa kali minta tolong menyelamatkan dan meminta supaya kami berbuat apa-apa saja termasuk memotong kakinya bagi mengeluarkannya daripada van tetapi kami tidak tidak berdaya langsung menariknya keluar.

"Apabila api semakin marak, saya melihat depan mata mangsa terkapai-kapai kepanasan dalam api dan kejadian itu menyebabkan saya tidak mampu tidur sepanjang malam kerana terkilan gagal menyelamatkannya," katanya.

Sementara itu, bapa dan datuk kepada mangsa, Ong Ker Ting, 65, terkejut apabila kehilangan empat anggota keluarganya secara serentak.

Ong berkata, anak lelakinya bersama keluarganya baru balik ke rumahnya ke Masjid Tanah, Melaka untuk menyambut Krismas bersama-sama pada minggu lalu dan dalam pertemuan itu mereka sempat merancang untuk bergambar beramai pada Tahun Baru Cina akan datang.

"Saya tidak menyangka, hasrat kami untuk bergambar beramai-ramai tidak kesampaian apabila anak saya bersama tiga cucu saya meninggal dunia dalam kemalangan ini.

"Saya akan sentiasa teringat dan merindui cucu saya yang comel dan suka bergambar serta gemar berjenaka itu," katanya sambil memaklumkan keluarga itu baru berpindah ke Muar kira-kira setahun lalu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 28 DISEMBER 2009

MENJERIT DALAM API

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

VAN yang terbabit dalam kemalangan di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak mengorbankan empat beranak, malam kelmarin.

4 beranak maut van terbakar dalam nahas selepas sambut Krismas

TANGKAK: Tidak sampai 24 jam selepas 10 orang maut dalam tragedi bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Ipoh, satu lagi nahas ngeri berlaku mengorbankan empat beranak termasuk tiga rentung apabila van dinaiki dirempuh dua kenderaan sebelum terbakar di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa yang terperangkap dalam van berkenaan dikatakan terkapai-kapai sambil menjerit meminta pertolongan, tetapi tidak sempat diselamatkan kerana api semakin marak.

Mangsa, Ong Dun Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Zhen Hui, 10, serta Zhen Qi, 6, ditemui rentung di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lagi anak lelakinya, Zhen Jie, 3, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, kira-kira lima jam kemudian.

Isteri Ong, Tan Kock Yew, 37, dan seorang lagi anak lelaki pasangan itu, Zhen Li, berusia kira-kira setahun,

Seorang lagi penumpang van itu yang juga rakan Ong, Chan Chen Too, 20-an, cedera ringan.

Ong yang juga kakitangan Gereja Calvary di Jalan Kim Kee dekat sini, dikatakan dalam perjalanan menghantar rakannya dari Muar ke bandar Tangkak selepas mempengerusikan majlis sempena sambutan Krismas yang berakhir kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata siasatan awal mendapati

van Nissan Vannette yang dinaiki mangsa bertembung dengan Toyota Innova yang cuba mengelak sebuah Toyota Wish yang hendak membelok ke simpang kanan.

"Toyota Innova itu dikatakan melanggar bumper Toyota Wish sebelum terbabas ke kiri jalan dan bertembung dengan van mangsa dari arah bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah Toyota Vios yang mengekori dari belakang turut melanggar van berkenaan menyebabkannya terbalik dan terbakar dipercayai akibat kebocoran tangki minyak," katanya.

Beliau berkata, Ong serta dua anaknya terperangkap dalam van yang remuk dan ditemui rentung di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lagi anaknya meninggal dunia beberapa jam kemudian.

SUMBER: BERITA HARIAN, 28 DISEMBER 2009

23 Disember 2009

150 MURID LAWAT SAMBIL BELAJAR KE KL

Pelajar Sekolah Agama Parit Kassan, Ledang bergambar ramai selepas membuat lawatan di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Para pelajar diberi penerangan mengenai peralatan sains dalam lawatan di Pusat Sains Negara.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 150 orang murid Darjah Lima dan Enam dari tiga buah sekolah agama di daerah ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur sempena cuti persekolahan.

Program sehari itu disertai murid-murid dan guru dari Sekolah Agama (SA) Parit Kassan, SA Felda Sri Ledang dan SA Kesang Laut.

Guru Besar SA Parit Kassan, Azahari Hosnan, berkata tujuan program itu adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melawat beberapa tempat menarik di sekitar ibu kota sambil menimba ilmu pengetahuan.

Katanya, antara tempat yang dilawati ialah Pusat Sains Negara, Muzium Negara dan Muzium Kesenian Islam Malaysia yang dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta melalui bahan-bahan yang dipamerkan.

“Di Pusat Sains Negara, mereka dapat mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi serta berpeluang menguji sendiri bahan-bahan yang dipamerkan.

“Dalam lawatan ke Muzium Negara pula, mereka dapat melihat pelbagai artifak dan sejarah dari zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman moden yang dipamerkan di beberapa galeri,” katanya.

Turut menyertai lawatan itu Guru Besar SA Felda Sri Ledang, Rosni Rasiman; Guru Besar SA Kesang Laut, Ishak Nor; Naib Pengerusi Badan Kebajikan SA Parit Kassan, Mohd Janis Abu Bakar serta guru-guru sekolah tersebut.

Azahari berkata, di Muzium Kesenian Islam Malaysia pula, para pelajar telah dibawa melawat himpunan koleksi yang mewakili keseluruhan dunia Islam dari negara Timur Tengah, China, India dan Asia Tenggara.

Katanya, para pelajar dapat menyaksikan sendiri artifak-artifak tamadun Islam yang dipamerkan di galeri yang disediakan seperti koleksi seni bina, Al-Quran, senjata, perisai, mata wang, tekstil dan seramik.

Tambahnya, melalui lawatan tersebut para pelajar bukan hanya berseronok saja tetapi dapat menimba ilmu pengetahuan kerana sebelum ini mereka belum pernah melihat artifak dan koleksi barangan yang dipamerkan di tempat yang mereka lawati.

Menurutnya, ilmu pengetahuan yang diperolehi dapat membantu mereka dalam pembelajaran sama ada di bidang akademik mahupun agama.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 23 DISEMBER 2009

20 Disember 2009

KETUA MASYARAKAT DISARAN AWASI REMAJA

LEDANG 19 Dis. – Ketua masyarakat di daerah ini disaran supaya mengawasi golongan remaja di kawasan mereka agar tidak terjebak dalam kancah gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah yang meningkatkan kadar jenayah daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, pendekatan proaktif tersebut perlu diambil memandangkan peningkatan yang ketara dalam statistik kes jenayah yang melibatkan golongan remaja.

Jelas beliau, walaupun jumlah tersebut tidak membimbangkan, langkah pencegahan awal perlu diambil supaya kes jenayah yang merangkumi kes dadah, samun, pecah rumah, rempit dan curi motosikal dapat dibendung.

“Saya yakin ketua-ketua masyarakat akan dapat memainkan peranan ini dengan berkesan selaku penghubung atau pengantara antara polis dan masyarakat.

“Golongan remaja perlu mendapat didikan serta bimbingan agar tidak terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah,” katanya pada majlis dialog bersama ketua-ketua masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini kelmarin.

Menurut Harun, beliau berpuas hati dengan kawalan keselamatan di daerah ini dengan setiap lapisan masyarakat memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

“Alhamdulillah, keadaan adalah terkawal dan jenayah yang berlaku masih di peringkat rendah, namun saya ingin ingatkan setiap anggota masyarakat agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan jenayah.

“Sikap yang lebih berhati-hati dan tidak memberi peluang untuk penjenayah membolehkan kita tidak menjadi mangsa jenayah,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2009

19 Disember 2009

NOOH GADUT PENERIMA ANUGERAH MAAL HIJRAH JOHOR 2009


ZAINAL Abidin Osman (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Nooh Gadut sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor di Kompleks Islam Johor, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 18 Dis. - Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, 63, dipilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Johor 2009 pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor di sini hari ini.

Anugerah tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar bekas Mufti Johor itu dalam pembangunan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menyampaikan trofi anugerah berkenaan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.

Sambil melahirkan rasa kesyukuran, Nooh ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri.

"Saya berharap agar dapat terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan perpaduan umat Islam pada masa depan," katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin.

Nooh berkata, setiap umat Islam perlu memberi sumbangan kepada Islam mengikut kemampuan masing-masing bagi memartabatkan lagi agama itu.

Menurutnya, ia penting khususnya bagi umat Islam di negara berbilang kaum dan keturunan untuk memastikan ketenteraman dan keharmonian negara.

"Saya mendoakan agar penduduk berbilang kaum di negara ini terus hidup dengan bersatu padu dan maju," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sani Abdullah, 52, yang menerima Anugerah Khas Saudara Baru Lelaki berkata, beliau bersyukur kerana diberikan anugerah berkenaan selepas mengharungi pelbagai liku kehidupan selepas memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, antara pengalaman itu ialah beliau diboikot oleh ahli keluarganya sebaik sahaja memeluk Islam ketika berusia 20 tahun.

Bapa empat orang anak itu berkata, bagaimanapun selepas tempoh tertentu keluarganya dapat menerima beliau kembali dengan hati terbuka.

"Apabila keislaman saya diketahui oleh keluarga, saya pernah dikurung dan dilumurkan daging babi tetapi dengan kuasa Allah saya dapat melarikan diri.

"Dan semasa berlari ke rumah bapa angkat, saya terus menerus melaungkan azan," katanya yang berasal dari Muar menceritakan cabaran awal memeluk Islam.

Mohd. Sani yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan Hospital Jasin aktif dalam pelbagai kerja kebajikan khususnya membantu golongan saudara baru.

Sementara itu, Nur Maliha Abdullah pula menerima Anugerah Khas Saudara Baru Wanita manakala pasangan yang mempunyai tujuh orang anak, Othman A. Rahman, 79, dan isteri, Noraini Abd. Rahman, 69, dipilih sebagai pemenang Anugerah Ibu Bapa Mithali.

Selain itu, ibu bapa kepada enam orang anak, Saim Suradi, 78, dan isterinya, Sainah Amnah Ahmad, 70, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali.

Dalam pada itu, Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti, Skudai dipilih sebagai pemenang pertama Anugerah Masjid Cemerlang manakala Surau Kampung Felda Tunggal Kota Tinggi muncul penerima Anugerah Surau Cemerlang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2009

18 Disember 2009

HIJRAH MINDA PUPUK BUDAYA HIDUP TELUS, ELAK RASUAH

Oleh Abdul Razak Idris

Ummah perlu teruskan perjuangan Rasulullah dengan melahirkan generasi baik sahsiah diri

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW kira-kira 1431 tahun lampau menjadi asas kepada pembinaan tamadun Madinah dan Islam secara khusus. Masyarakat madani yang dilaung-laungkan sebagai bersifat utopia oleh pemimpin dan pemikir Islam tidak berdiri tegap dan kukuh dengan sendiri tanpa Hijrah sebagai batu asasnya.

Perjuangan Rasulullah Nabi Muhammad SAW di Makkah yang dikuasai kafir Quraisy dan penentangan puak kafir yang menolak mentah-mentah syiar Islam dihadapi Baginda dengan penuh tabah dan sabar sehingga Allah SWT memerintah berhijrah ke Madinah demi kesinambungan menegakkan akidah Islam.

Sesungguhnya umat Islam perlu insaf bahawa agama Islam yang syumul perlu dijadikan cara hidup kerana perjuangan yang penuh dugaan dan pancaroba demi menyampaikan kalamullah perlu dihargai oleh setiap khalifah di muka bumi dengan penuh tertib dan takwa.

Umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dengan prasarana moden dan status negara kita sebagai negara Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi, maka wajarlah kita bersyukur dengan kemudahan dianugerahkan Allah kepada kita.

Kita ada masjid indah untuk beribadat. Setiap taman mempunyai surau yang mampu memuatkan jemaah untuk beribadat tidak kira dari parti politik manapun, di depan Allah semua sama cuma ketakwaan dan amal ibadah yang membezakan kita di sisi-Nya.

Justeru, wajar kita memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana kepemimpinan negara sejak zaman selepas merdeka tidak mengabaikan pembangunan modal insan yang menitikberatkan pembentukan sahsiah dari segi keagamaan.

Umat Islam wajar menggunakan sepenuhnya nikmat beribadat kepada Allah dengan mengunjungi masjid dan surau serta mengimarahnya. Jangan jadikan masjid semata-mata tempat untuk 'berhijrah' daripada masalah kewangan dan perasaan tidak keruan atau dijadikan mimbar politik memecah-belah perpaduan ummah.

Sebagai seorang Muslim temujanji lima waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak setiap hari adalah wajib. Dalam menghayati konsep hijrah itu sendiri, umat Islam dianjurkan untuk berpindah daripada satu kedudukan yang buruk dan mudarat kepada kedudukan lebih baik dan selamat.

Kepemimpinan ulil amri yang menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesungguhnya satu proses hijrah daripada baik kepada lebih baik. Peranan SPRM dipertingkatkan dengan kuasa mendakwa diperluaskan.

Mungkin langkah ini dilihat oleh sesetengah pihak yang terkena 'getah' sebagai menganiayai mereka di dunia. Secara individu jika mereka mengaku diri mereka umat Islam mengucap dua kalimah syahadah, bersembahyang lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji, maka soal menghalalkan rasuah sepatutnya tidak menjadi punca bertegang urat lagi.

Penubuhan SPRM yang disokong majoriti Ahli Parlimen menandakan konsep hijrah mampu dihayati semua pihak jika kita sedar bahawa rasuah itu mudarat dan ia adalah penyakit sosial yang jika tidak diubati akan menghancurkan bukan saja negara malah agama Islam itu sendiri.

Amat bertepatan sekali usaha kerajaan di bawah konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia dan penerapan nilai Islam dan memperkasakan institusi Islam seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam secara berterusan dipergiatkan.

Usaha murni kerajaan wajib kita sokong dalam membanteras gejala tidak sihat ini dalam masyarakat. Ulil Amri wajib disokong jika dasar menghapuskan rasuah ini mampu menjadikan negara kita lebih aman dan makmur.

Rasuah perlu difatwakan secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai haram dan berdosa besar. Namun tafsiran rasuah itu sendiri wajar juga digariskan bukan sekadar rasuah atau riswah wang dan ganjaran barang berharga semata-mata.

Hijrah minda yang disarankan dalam roh SPRM perlu mendapat kerjasama sekalian rakyat jelata. SPRM perlu dilihat sebagai langkah mencegah penyakit dan bukan sekadar badan yang dilantik untuk membasmi kuman rasuah dan mengubati penyakit rasuah semata-mata.

Mungkin kita perlu menyedarkan pengamal rasuah yang seronok melihat duit berkepuk dalam peti besi bahawa ada orang yang lebih berhak hidup dalam kemiskinan dan penderitaan akibat tangan yang menerima di bawah meja atau di tepi rusuk.

Maka sempena Maal Hijrah 1431, usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah perlu dilihat sebagai kesinambungan usaha dalam meningkatkan prasarana minda umat Islam dan rakyat negara ini amnya selain dari prasarana fizikal seperti masjid dan sekolah agama rakyat.

Perlu kita sebagai umat yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk selain dari berhijrah dari kemudaratan fizikal perlu juga berhijrah dari sifat keji dalam minda iaitu berdendam, sombong dan bongkak dengan kemewahan hidup.

Justeru, peri penting juga untuk kita turut mendidik diri berhijrah daripada penyakit sosial seperti rasuah yang jika kita tidak beriltizam untuk melakukannya sekarang kita akan terus-terusan melahirkan generasi yang bukan saja hidup tanpa keberkatan dengan hasil rasuah malahan korup akhlak dan sahsiah diri.

Hijrahkan minda kita ke arah budaya hidup penuh ketelusan, biar hidup miskin di dunia jangan muflis di akhirat kelak. Jangan dipersiakan pengorbanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW menghidupkan roh hijrah kerana perjalanan baginda ke Madinah 1431 tahun lampau adalah demi tegaknya kalamullah. Perjalanan itu harus diteruskan dan pastikan ia selesai.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 DISEMBER 2009

15 Disember 2009

AGIHAN PENDAPATAN, BONUS ASB 8.55 SEN


Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah agihan pendapatan dan bonus ASB di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 6.78 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal mendapat agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan 31 Disember 2009.

Jumlah agihan pendapatan itu meningkat daripada 7.00 sen seunit pada tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion, peningkatan sebanyak 19.56 peratus berbanding RM4.14 bilion pada tahun sebelumnya.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula melibatkan sejumlah RM537.65 juta oleh PNB.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman prestasi ASB di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah agihan pendapatan itu adalah kompetitif meskipun ia mampu membuat agihan sebanyak 11 peratus.

Jelas berkata, pelabur tidak boleh membandingkan secara kolektif jumlah agihan pendapatan dan bonus tahun lalu masing-masing sebanyak 7.00 dan 1.75 sen seunit, sebaliknya perlu melihat prestasi dana ASB sendiri.

Mengulas lanjut, Hamad Kama Piah menjelaskan, dalam situasi semasa adalah tidak adil sekiranya para pelabur mengharapkan jumlah agihan yang tinggi.

"Biarpun ramai yang tidak suka cara saya membuat perbandingan, tetapi hakikatnya pulangan yang kita berikan adalah lebih baik daripada simpanan.

"Saya membuat perbandingan sedemikian kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, para pelabur boleh mengeluarkan pelaburan mereka pada bila-bila masa, sama seperti bank.

"PNB memberi agihan 7.30 sen seunit sedangkan kalau kita menyimpan hanya memperoleh 1.7 atau 1.8 peratus sahaja, beza lebih lima peratus," ujarnya.

Ditanya mengapa perlunya PNB menyimpan rizab bagi dana-dananya, Hamad Kama Piah menjelaskan: "Ia adalah pendekatan PNB untuk membolehkan kita menambah pelaburan bagi memperoleh pulangan lebih baik pada masa akan datang".

Ahmad Sarji menambah, sehingga 10 Disember lalu, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM5.46 bilion, naik 3.4 peratus berbanding RM5.28 bilion pada 2008.

Syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM1.48 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan kasar manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM3.67 bilion.

Pendapatan selebihnya yang berjumlah RM309 juta diperoleh melalui pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Ahmad Sarji berkata, pengiraan pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Sementara pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula 2000 hingga 2009.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang saham dan urusan mengemas kini mulai 4 Januari 2010.

Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejen di seluruh negara akan ditangguhkan bermula 21 Disember ini hingga 3 Januari 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 DISEMBER 2009

HASRAT LIHAT MASJID BARU TAK KESAMPAIAN

Allahyarham Roslan Paimin (dalam bulatan) ketika bersama ahli dan jawatankuasa Faceless Motor Club.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Hasrat Setiausaha Masjid Jamek Bukit Gambir untuk melihat masjid baru didirikan di tapak tanah milik keluarganya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya Khamis lalu.

Allahyarham Roslan Paimin, 43, meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Ladang Simpai, Pahang ketika dalam perjalanan berkonvoi ke Kuantan bersama tujuh rakan yang lain menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Umno Cawangan Parit Jarum Tengah, Ramli Abd Rahman, berkata cadangan Allahyarham Roslan mahu sebuah masjid baru dibina di atas tanah yang akan diwakafkan berhampiran masjid sedia ada telah disuarakan sejak dua tahun lalu.

Katanya, jawatankuasa masjid juga telah bermesyuarat mengenai perkara tersebut dan telah mengemukakan permohonan kepada pihak yang berkenaan namun tertangguh hingga kini.

“Allahyarham telah mencadangkan supaya sebuah masjid baru yang lebih luas dibina di atas tapak rumah sewa milik keluarganya bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin bertambah.

“Tapak masjid sedia ada diwakafkan oleh aruah bapanya dan kini mampu menampung 600 jemaah dalam satu-satu masa yang datang dari kawasan Bukit Gambir, Parit Jarum Tengah, Parit Turun, Sungai Rambai dan taman perumahan di sekitarnya,” katanya kepada Berita Harian.

Ramli berkata, hasrat Allahyarham apabila masjid baru dibina, sebuah Pusat Tamadun Ilmu akan dibuka di bangunan masjid asal untuk kegunaan penduduk tempatan.

Katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila Allahyarham telah pergi dahulu dan beliau serta rakan-rakan yang lain merasakan satu kehilangan besar kerana semasa hayatnya Allahyarham merupakan seorang yang aktif dan banyak membantu dalam hal-hal kebajikan dan kemasyarakatan.

Menurut beliau lagi, impian Allahyarham untuk membina sebuah perkampungan baru yang menempatkan rumah sewa sebagaimana yang dipelopori oleh aruah bapanya lebih 40 tahun lalu di pekan Bukit Gambir juga tidak kesampaian.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 15 buah rumah sewa di atas tapak yang dicadangkan untuk dibina masjid baru yang dikenali Kampung Cikgu Paimin dan apabila cadangan itu menjadi kenyataan, rumah sewa itu akan dipindahkan ke kawasan baru di Parit Jarum Tengah.

Sementara itu, Pengerusi Faceless Motor Club (FMC), Razali Yacob turut merasai kehilangan seorang yang banyak membantu dan menyokong segala aktiviti dan perjalanan kelab.

Katanya, Allahyarham merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kelab itu yang banyak memberikan komitmen dan pandangan bernas demi kemajuan kelab.

“Kami ahli FMC amat terasa kehilangannya kerana beliau adalah rakan yang baik dan mudah diajak berunding apabila terdapat perkara yang memerlukan pendapat beliau.

“Selain menganggotai FMC, beliau juga pelopor kelab Bukit Gambir Bikers yang menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi di kawasan Bukit Gambir,” katanya.

Katanya, sifat peramah dan terbuka Allahyarham membuatkan beliau disenangi oleh rakan-rakan sama ada di dalam kelab mahu pertubuhan lain yang beliau sertai.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 15 DISEMBER 2009

PELANCONG SERONOK SAKSI AKTIVITI KUTIP TIRAM

MUAR 14 Dis. - Biarpun baru bermula sejak dua tahun lalu, namun pakej pelancongan meninjau aktiviti penyelam tiram di Sungai Muar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelancong di seluruh negara.

Malah, keenakan hidangan tiram segar itu menarik minat orang ramai untuk melihat sendiri bagaimana hasil laut tersebut dipungut dan nyata pengalaman yang diperoleh berbeza.

Menurut seorang pengusaha agensi pelancongan, Cheah Kong Chun, respons yang diterima pihaknya bagi pakej pelancongan itu adalah di luar jangkaan dan setakat ini sebanyak tiga rombongan telah dibawa ke Pangkalan Nelayan Parit Tiram.

Beliau berkata, tarikan terbaru dalam sektor agropelancongan itu membolehkan para pelancong mengenali spesies tiram secara lebih dekat di samping mengikuti kehidupan seharian penyelam tiram.

"Hasil maklum balas mendapati ramai pelancong tempatan berminat untuk melihat keunikan menyelam tiram Sungai Muar kerana kegiatan itu tidak boleh didapati di tempat lain.

"Selain itu, para pelancong juga boleh membeli tiram segar yang baru dinaikkan dari sungai," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Loh Sen Kiang, 46, memberitahu, dia bersama-sama tiga anaknya amat gembira dapat mengikuti rombongan meninjau aktiviti penyelam tiram.

"Selama ini, saya selalu menikmati hidangan tiram di restoran, namun kali ini saya nampak bagaimana tiram dipungut dari dasar sungai," katanya.

Dia mengakui sama sekali tidak pernah menyangka ada kegiatan menyelam tiram di negara ini kerana lazimnya tiram-tiram yang diperoleh adalah diimport dari luar negara.

Bagi Low Cuan Kai, 53, yang turut menyertai rombongan meninjau aktiviti menyelam tiram itu mengakui kagum dengan semangat para penyelam untuk mencari rezeki di dasar sungai berkenaan.

"Bila dapat melihat sendiri cara mereka mendapatkan tiram, saya memang betul-betul kagum kerana penyelam dapat tahan nafas lama di dasar sungai," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 DISEMBER 2009

PENYELAM TIRAM SUNGAI MUAR


Pelancong boleh melihat lebih dekat kehidupan para nelayan mencari tiram di Sungai Muar, Muar, Johor. - UTUSAN/Kamil Maslih


MUAR 14 Dis. - Daerah Muar kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan, namun antara yang paling mencuri tumpuan adalah aktiviti menyelam tiram secara tradisional yang masih diamalkan golongan nelayan di sini.

Dengan kemampuan menahan nafas selama hampir empat minit, kelebihan nelayan terbabit untuk mengutip hasil tiram adalah amat mengagumkan kerana mereka langsung tidak menggunakan sebarang kelengkapan menyelam moden.

Nelayan-nelayan dari Parit Tiram dekat sini hanya menggunakan pancang kayu untuk dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan daripada arus dan mengaut tiram di bawah paras lima meter sedikit demi sedikit untuk dibawa ke permukaan.

Pengerusi Pengurusan Sumber Perikanan Kumpulan Nelayan Parit Tiram, Jelani Laham berkata, aktiviti menyelam tiram tersebut telah wujud sejak 1870-an dan diteruskan dari satu generasi ke generasi lain oleh penduduk.

Menurutnya, kini seramai 20 penyelam tiram berusia antara 30 hingga 68 tahun masih lagi aktif mencari rezeki di sekitar lokasi perikanan yang tertua di daerah ini.

"Pangkalan Nelayan Parit Tiram ini cukup terkenal dengan pengeluaran hasil tiram bermutu tinggi sejak negara belum merdeka lagi, malah mutu tiram yang dikeluarkan dikatakan antara yang terbaik di dunia.

"Kegiatan menyelam tiram ini adalah bergantung kepada jadual air pasang dan setiap sehari para nelayan boleh memperoleh 40 hingga 50 kilogram tiram yang dijual dengan harga RM25 sekilogram," katanya di sini baru-baru ini.

Berikutan keunikan teknik tradisional menyelam tiram itu, pihaknya telah mendapat banyak permintaan daripada sektor pelancongan untuk membawa para pengunjung menyaksikan sendiri kegiatan berkenaan.

Menerusi pakej yang ditawarkan, para pelancong yang melawat pangkalan itu berpeluang menaiki bot untuk melihat secara lebih dekat bagaimana penyelam bertarung nyawa setiap hari untuk mencari rezeki.

"Penyelam tiram yang meneroka dasar Sungai Muar itu perlu memegang batang kayu yang dipacak pada dasar sungai untuk mengelakkan daripada dihanyutkan arus sebelum mengaut tiram berulang kali.

"Sebelum ini, para pelancong tidak pernah melihat bagaimana tiram diperoleh kerana membelinya yang telah siap diproses. Pastinya, peluang melihat proses menyelam tiram itu memberikan pengalaman berharga dan berbeza," katanya.

Jelani memberitahu, pakej pelancongan yang ditawarkan sejak dua tahun lalu kini mendapat sambutan hangat daripada pelancong dari Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Singapura.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menaik taraf Pangkalan Nelayan Parit Tiram supaya lebih mesra pelancong dengan pelbagai produk dapat dijual untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.

Beliau berkata, kawasan Sungai Muar masih kaya dengan hasil tiram kerana pada ketika ini hanya sebahagian kecil dari kawasan sepanjang 20 kilometer pesisir sungai itu diteroka oleh penyelam tiram.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 DISEMBER 2009

14 Disember 2009

CAR OWNERS SHOW OFF THEIR PRIDE AND JOY

One the strikingly painted cars on display at the auto show.
- Picture by Hai Rozzaman

A TOTAL of 30 cars of various models converged on the field of the Bukit Gambir Multipurpose Hall recently for an auto show held in conjunction with the Ledang Mega Sales Carnival 2009.

The event was jointly organised by the Faceless Motor Club (FMC) and the Tangkak District Council, in association with Jazz Mal Productions and Entertainment.

There was also a car competition which attracted participants from Johor, Malacca and Kuala Lumpur.

Event coordinator Mohd Zainal Norizan said the competition, which was divided into four categories, was similar to the one held in January this year at the Pasar Tani Bukit Gambir Complex.

"The motor clubs which participated, include the South Kelisa Owners, Peace Motorclub, Advanti, Pantera and Proton Club.

"The event provides a platform for car enthusiasts to get to know one another and share their enthusiasm for cars.

"The cars were judged on the basis of their accessories, decor and condition."

Zainal said most of the participants were regulars at auto shows.

SOURCE: NST JOHOR STREETS, DECEMBER 14, 2009

13 Disember 2009

LEBAH BALAS DENDAM

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

TANGKAK: Sekumpulan 20 tetamu, termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun, diserang lebah ketika membuat persiapan dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Melepang, Sagil di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, sekumpulan lebah menyerang sanak saudara pengantin perempuan, Saniah Abu Bakar, 26, menyebabkan enam ahli keluarga, termasuk dua adiknya, Noraini, 18, dan Zarinah, 23, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Shahrul Iman Azman terpaksa diberikan rawatan pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Tangkak.

Saniah berkata, ketika kejadian dia sedang bersolek di dalam bilik pengantin dan terdengar jeritan di perkarangan rumahnya kerana sekumpulan lebah menyerang sanak saudara yang membuat persiapan sebelum majlis persandingan berlangsung, jam 11 pagi.

Katanya, dua tiga hari lalu, keluarganya ada menyembur racun serangga apabila nampak lebah di tiang lampu di hadapan rumahnya.

“Tidak sangka pula, sekumpulan lebah datang menyerang ketika majlis persandingan saya dan mungkin ada kaitan dengan kejadian dua tiga hari lalu.

“Kumpulan lebah itu banyak... terbang menghala ke rumah saya dan terus menyengat ahli keluarga yang sedang membuat persediaan di perkarangan rumah... nasib baik belum ada tetamu yang hadir,” katanya sambil menjelaskan majlis pernikahan sudah dijalankan pada sebelah malam kelmarin.

Sementara itu, bapanya Abu Bakar Omar, 71, berkata ketika kumpulan lebah itu datang menyerang rumahnya, dia duduk bersembang dengan saudaranya.

Katanya, dia hanya mendiamkan diri dan lebah itu tidak menyengatnya hanya berpusing-pusing di atas kepalanya.

“Saya diamkan diri dan tidak bergerak tetapi lebah berpusing-pusing di atas kepala sebelum pergi,” katanya tidak menyangka kejadian itu berlaku ketika majlis persandingan anak perempuan itu.

SUMBER: METRO AHAD, 13 DISEMBER 2009

RUMAH PENGANTIN DISERANG LEBAH

TANGKAK: Majlis perkahwinan sebuah keluarga kecoh apabila sekumpulan lebah hutan menyerang 20 keluarga dan penduduk kampung yang bersiap-siap menyambut tetamu, dalam kejadian di Kampung Melepang, dekat Sagil, semalam.

Malah, sekurang-kurangnya enam saudara pengantin perempuan itu, termasuk budak lelaki tiga tahun, cedera disengat dalam kejadian jam 9 pagi itu yang berlaku di luar rumah berhampiran khemah kenduri ketika saudara mara pengantin dan penduduk kampung sedang sibuk membuat persiapan terakhir majlis perkahwinan.

'Serangan' lebah itu yang dikatakan secara tiba-tiba menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri tetapi jumlah kumpulan lebah yang banyak menyebabkan sebahagian besar mereka terkena sengatan lebah.

Bagaimanapun pengantin perempuan, Saniah Abu Bakar, 26, tidak cedera kerana berada di dalam bilik bersiap bagi majlis persandingannya yang dijadualkan tengah hari.

Enam saudara mara pengantin itu termasuk dua adik perempuannya yang dikenali sebagai Noraini, 18, dan Zarina, 23, dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut akibat teruk disengat lebah. Budak lelaki tiga tahun, Mohamad Sharul Aiman Azman dan budak perempuan berusia lapan tahun, Nor Hidayah Norin, turut cedera.

Saniah berkata, beliau pernah ternampak sekumpulan kecil lebah berhampiran tiang lampu di luar rumahnya, dua hari lalu menyebabkan ahli keluarganya menyembur ubat serangga sehingga mati.

“Saya tidak menyangka dua hari selepas kejadian itu dan pada hari perkahwinan saya, sekumpulan lebah yang lebih banyak datang menyengat orang yang sedang menyiapkan kenduri,” katanya.

Saniah berkata, majlis akad nikah dengan pasangannya dijalankan pada kelmarin yang disusuli majlis perkahwinan semalam yang tetap diteruskan walaupun berlaku 'serangan' lebah.

Sementara itu bapa pengantin perempuan Abu Bakar Omar, 71, berkata beliau berada di bawah khemah sambil berbual dengan saudaranya apabila orang ramai menjerit menyatakan lebah menyerang.

“Bagi mengelak serangan itu, saya terus berdiam diri dan tidak bergerak,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 13 DISEMBER 2009

12 Disember 2009

DUA PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT

KUANTAN - Kegembiraan tujuh penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi dari Muar, Johor ke Kuantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Ladang Simpai dekat pekan, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Roslan Paimin, 43, seorang guru dari Bukit Gambir, Muar, Johor maut di tempat kejadian manakala rakannya Rosli Bunthing, 48, seorang kontraktor juga berasal dari Bukit Gambir disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah, Rompin.


Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, seorang lagi penunggang, Hamzah Sa’amah, 35, dari Felda Institut Teratak Batu, Pasir Putih, Kelantan, patah lengan dan pergelangan tangan kanan serta cedera dirusuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya pemandu kereta, Ramlah Endut, 41, dari Pontian, Johor turut parah dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah manakala dua anak lelakinya berusia 10 dan 14 tahun tidak alami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, guru wanita memandu kereta jenis Proton Wira itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Segamat.

“Apabila tiba di lokasi, pemandu terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Virago 1000 cc yang ditunggang ketiga-tiga mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, empat lagi penunggang dipercayai sempat mengelak dan terselamat dalam nahas meragut dua nyawa dua rakan itu.

“Akibat pertembungan itu, tiga rakan terbabit tercampak ke atas jalan dan cedera parah menyebabkan Roslan mati di tempat kejadian, manakala Rosli menerima nasib sama selepas dihantar menerima rawatan di hospital,” katanya.

Katanya, jenazah mangsa dituntut keluarga sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian selepas bedah siasat. Polis masih siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN PAHANG, 12 DISEMBER 2009

11 Disember 2009

PELAJAR JUARA BINTANG LAGENDA LEDANG

Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman (kanan) sedang menyampaikan hadiah kepada johan karaoke Bintang Lagenda Ledang 2009, Nur Syafika Aida Amran.

Barisan finalis pertandingan karaoke Bintang Lagenda Ledang 2009 sempena Karnival Jualan Mega Ledang 2009 sedang menanti keputusan.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Batu 27, Lenga muncul juara pertandingan karaoke Bintang Lagenda Ledang sempena Karnival Jualan Mega Ledang 2009.

Nur Syafika Aida Amran yang membawakan lagu “ Kemelut Di Muara Kasih” nyanyian asal Ziana Zain berjaya mengalahkan empat peserta lain dalam pertandingan akhir di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Nur Syafika yang juga penyanyi kumpulan Ghazal Seri Nilam Panchor turut menerima hadiah bagi kategori pakaian terbaik manakala bagi kategori persembahan terbaik jatuh kepada naib johan pertandingan, Farah Mokhtar.

Farah membawakan lagu “Rela” nyanyian Eja manakala tempat ketiga dimenangi Nada Jamaludin yang membawakan lagu berjodol “Hajat” yang dipopularkan oleh Haida.

Dua peserta lelaki yang turut mempersembahkan bakat mereka dalam pertandingan akhir itu, Md Rasul Wahab dari Pagoh Jaya yang membawakan lagu Ibnor Riza berjodol “Mimpi Yang Tak Sudah” manakala pelajar, Azren Nasir dengan lagu “Dalam Diam Aku Menyintaimu” yang dipopularkan oleh kumpulan Sting.

Para pemenang menerima hadiah berupa hamper dan wang tunai yang telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman.

Pertandingan karaoke mencari Bintang Lagenda Ledang 2009 itu dianjurkan oleh Jazz Mal Production & Entertainment dalam usaha untuk mencungkil bakat penduduk tempatan.

Pengurusnya, Jamaluddin Haseman, berkata sebelum pertandingan akhir dijalankan, pemilihan di peringkat saringan telah diadakan melibatkan kira-kira 15 peserta.

Katanya, peserta telah menonjolkan bakat masing-masing dan mereka mempunyai potensi untuk mengembangkan bakat yang ada dalam bidang itu.

Menurutnya, johan pertandingan karaoke itu berpeluang membuat persembahan di mana saja karnival yang dianjurkan oleh syarikatnya dalam usaha mengembangkan bakat mereka dalam bidang nyanyian.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 11 DISEMBER 2009

2 FRIENDS KILLED IN CRASH

PEKAN: Two friends died and another was injured when their motorcycles crashed into a car at Km86 Jalan Kuantan-Segamat near Ladang Simpai yesterday.

Teacher Roslan Paimin, 43, and 48-year-old contractor Rosli Bunting died at Muadzam Shah Hospital while Hamzah Sa'amah, 35, was warded with several fractures at Tengku Ampuan Afzan Hospital in Kuantan.

They were among seven people travelling in convoy from Muar to Kuantan on motorcycles when the accident occurred at 11am.

District police chief Superintendent Yahaya Othman said initial investigations showed the driver of the car was attempting to overtake a lorry when she crashed into the oncoming motorcycles.

SOURCE: NEW STRAITS TIMES, DECEMBER 11, 2009

DUA PESERTA KONVOI MAUT DIREMPUH KERETA

PEKAN: Kegembiraan tujuh sahabat berkonvoi dari Muar, Johor ke Kuantan dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha Virago berakhir tragedi menyedihkan apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Segamat di Ladang Simpai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Roslan Paimin, 43, seorang guru di Muar dan tinggal di Bukit Gambir, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Rosli Bunthing, 48, seorang kontraktor juga berasal dari Bukit Gambir disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.

Seorang lagi penunggang, Hamzah Sa’amah, 35, dari Pasir Puteh, Kelantan pula patah lengan kanan, pergelangan tangan kanan, cedera di rusuk dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati, empat lagi rakan mangsa tidak cedera kerana sempat mengelak dirempuh kereta Proton Wira berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian, pemandu kereta itu, Ramlah Endut, 31, dari Pontian, Johor dalam perjalanan menghala ke Pontian dari Kuantan cuba memotong lori.

Katanya, pemandu wanita itu yang juga seorang guru dipercayai memotong lori terbabit sebelum bertembung dengan tiga daripada tujuh motosikal berkuasa tinggi berkenaan.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Roslan, Rosli dan Hamzah tercampak sebelum Roslan maut di tempat kejadian manakala Rosli disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HMS.

“Hamzah masih menerima rawatan di HTAA dan polis mengambil keterangannya sebaik pulih bagi membantu siasatan lanjut kejadian terbabit.

“Pemandu kereta itu yang cedera di muka dan lutut kiri mendapat rawatan di HMS manakala dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 10 tahun tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, jenazah dua sahabat terbabit dituntut ahli keluarganya sebaik selesai dibedah siasat selesai petang semalam.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: HARIAN METRO, 11 DISEMBER 2009

09 Disember 2009

KARNIVAL MARA CATAT JUALAN RM300,000

MUAR: Karnival Jualan anjuran Majlis Amanah Mara (Mara) dalam program jelajah di negeri ini berjaya mendapat sambutan menggalakkan sehingga mencatatkan nilai jualan melebihi RM300,000 dalam tempoh tiga hari karnival dijalankan.

Setakat ini, empat karnival jualan diadakan di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Segamat termasuk yang terbaru disertai oleh 80 usahawan daerah Muar dan Ledang yang diadakan di Dataran Tanjung Emas, dekat sini.

Pengarah Mara Johor, Ahmad Sokirin, berkata penganjuran karnival jualan yang biasanya diadakan selama tiga hari pada hujung minggu itu mempromosi produk buatan tempatan dengan menyediakan ruang dan peluang perniagaan dengan kadar bayaran RM200.

Katanya, selain itu melalui karnival itu orang ramai berpeluang mendapat pelbagai barangan termasuk makanan, produk kesihatan, pakaian dan perhiasan dengan harga lebih murah berbanding di pasaran.

“Karnival jualan itu bukan saja mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah usahawan juga berebut-rebut untuk menyertai berikutan ia mencatatkan hasil jualan yang membanggakan, ” katanya pada majlis perasmian Karnival Jualan Daerah Muar/Ledang di Dataran Tanjung Emas.

Katanya, pada karnival di Segamat yang diadakan baru-baru ini, pihaknya mencatatkan nilai jualan RM380,000 sepanjang tempoh tiga hari karnival diadakan dan pihaknya menjangkakan nilai jualan itu akan terus meningkat pada karnival yang akan dianjurkan selepas ini.

Ahmad berkata, susulan sambutan menggalakkan itu, sepanjang bulan ini pihaknya akan mengadakan karnival jualan di Kulaijaya dan Johor Bahru, manakala awal tahun depan di Kluang, Batu Pahat serta Mersing.

Sementara itu seorang usahawan produk kraf, Tuzelan Ahmad, 45, Pengurus Perusahaan Zalifkraf, berkata karnival anjuran Mara itu memberi peluang kepada beliau memperkenalkan produknya dan pada masa yang sama membuka peluang mewujudkan jaringan perniagaan kepada mereka yang berminat dengan produknya.

Katanya, melalui karnival itu juga beliau menjual produknya dengan harga jauh lebih murah berbanding dengan harga pada hari biasa, sekali gus membantu orang ramai mendapatkan produk yang murah.

“Melalui karnival itu saya bukan saja dapat menjual produk syarikat, malah dapat membentuk jaringan perniagaan dengan mereka yang berminat memasarkan produk kraf itu, sekali gus meningkatkan lagi hasil jualan, ” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 09 DISEMBER 2009

07 Disember 2009

KARNIVAL MEGA MARA BANTU TINGKAT JUALAN

MUAR 6 Dis. - Penganjuran Karnival Jualan Mega 2009 oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan para usahawan bumiputera, malah memperluaskan lagi rangkaian perniagaan usahawan-usahawan terbabit di seluruh negeri ini.

Pengarah Mara negeri Johor, Ahmad Sokirin berkata, karnival berkenaan merupakan kesempatan terbaik untuk mempromosikan produk-produk tempatan bermutu tinggi di samping menarik lebih ramai wakil pengedar.

Katanya, karnival jualan yang mula diperkenalkan pada tahun ini sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai berikutan kepelbagaian produk yang ditawarkan.

"Dalam program Jualan Mega ini, barang-barang seperti produk makanan dan kesihatan dijual secara runcit pada harga borong dan ini membuatkan ia lebih murah.

"Kami juga mahu menaikkan lagi jenama produk-produk buatan tempatan serta membantu para usahawan mendapat wakil jualan di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Jualan Mega peringkat daerah Muar dan Ledang yang disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Karnival selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perancangan Korporat Mara, Mohd. Rosdi Ismail serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abd. Wahab Ridwan.

Program Jualan Mega yang diadakan di Muar dan Ledang itu merupakan lokasi keempat penganjurannya selepas Johor Bahru, Kota Tinggi dan Segamat.

Ahmad Sokirin berkata, pihak beliau meletakkan sasaran karnival yang menghimpunkan sebanyak 80 gerai itu akan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM500,000.

"Karnival ini tidak hanya menarik penyertaan para usahawan, ia juga melibatkan pameran-pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta bank-bank tempatan," katanya.

Sementara itu, Hamim dalam ucapannya menyarankan para usahawan supaya lebih kreatif dalam memasarkan produk serta menggunakan sepenuhnya kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

"Saya yakin program seperti ini akan terus mendapat sambutan pada masa akan datang kerana ia memberi pelbagai kelebihan kepada golongan peniaga dan juga pengguna," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 DISEMBER 2009

05 Disember 2009

GANGGUAN AIR DI LEDANG SELASA INI

JOHOR BAHRU 4 Dis. - Beberapa kawasan di daerah Muar akan mengalami gangguan bekalan air Selasa ini ekoran kerja-kerja penyelenggaraan Loji Air Gersik dekat sini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH), Jamaluddin Jamil berkata, gangguan itu berlaku selama 10 jam bermula pukul 10 pagi sehingga pukul lapan malam.

"Antara kawasan yang mengalami gangguan adalah sepanjang Jalan Muar ke Melaka, seluruh Jalan Kesang Laut, Jalan Muar ke Bukit Gambir hingga ke Kundang Ulu dan kawasan perumahan sekitarnya.

"Turut mengalami gangguan, Pekan Sungai Mati hingga persimpangan Sungai Solok, Tangkak termasuk kampung-kampung dan kawasan industri di sekitarnya termasuk Kampung Cohong, Pekan Bukit Kangkar, Pengkalan Besar, Jalan Solok sehingga kawasan Bukit Banjar serta kawasan sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang gangguan bagi mengelakkan sebarang masalah.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Operasi SAJH di talian bebas tol 1-800-88-7474.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 5 DISEMBER 2009

04 Disember 2009

30 KERETA SERTAI AUTOSHOW DI KARNIVAL LEDANG

Sebuah kereta yang menyertai pertandingan autoshow di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang.

Pengunjung Karnival Jualan Mega Ledang 2009 melihat kereta yang menyertai pertandingan autoshow di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Sebanyak tiga puluh buah kereta pelbagai jenama memenuhi Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir bagi menyertai pertandingan autoshow sempena Karnival Jualan Mega Ledang 2009.

Program autoshow itu yang dianjurkan oleh Faceless Motor Club (FMC) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dengan kerjasama Jazz Mal Production & Entertainment itu berjaya menarik minat peserta dari seluruh Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Penyelaras Program, Mohd Zainal Norizan, berkata program itu bertujuan untuk menghimpunkan seberapa banyak kereta menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada empat kategori dengan hadiah yang menarik.

Katanya, program tersebut merupakan kesinambungan kepada kejayaan FMC menganjurkan program serupa pada Januari lalu di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir.

“Melalui program ini, kami dapat menghimpunkan beberapa kelab kereta yang ada di sekitar negeri Johor dan Melaka seperti South Kelisa Owners Club (SKOC), Peace Motorclub, Advanti, Pantera dan Proton Club.

“Selain menyertai pertandingan mereka dapat berkenalan dan bertukar-tukar pandangan sama ada berkaitan kelab ataupun kereta terutama kenderaan yang memasuki pertandingan tersebut,” katanya.

Zainal berkata, walaupun mereka yang menyertai pertandingan itu mempamerkan corak dan aksesori yang hebat pada kereta namun persaingan di antara satu sama lain menjadikan kemenangan sebagai perkara kedua.

Katanya, minat yang mendalam terhadap aksesori kereta menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bidang itu.

Tambahnya, kebanyakan peserta pertandingan autoshow ini pernah menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh kelab kereta, persatuan belia, syarikat mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Johor dan Melaka.

Selain itu, Zainal berkata dengan penganjuran program seumpama itu dapat mempromosikan pekan Bukit Gambir khasnya dan daerah Ledang amnya kepada para peserta pertandingan yang mungkin baru pertama kali datang di sini.

Katanya, ia juga dapat menarik pengunjung tempatan menyaksikan pameran kereta cantik dengan hiasan aksesori yang menarik yang jarang diadakan di kawasan ini.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 04 DISEMBER 2009