TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Februari 2010

GHANI, WIFE FETED IN CNY DO

JOHOR Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman and his wife Datin Prof Dr Jamilah Ariffin were among the more than 500 guests feted to a dinner hosted in conjunction with the Chinese New Year celebration in Tangkak recently.
Datuk Abdul Ghani Othman and his wife  Datin Prof Dr Jamilah Ariffin beating the drum to signify the start of Chinese New Year celebration as well as the inauguration of the basketball stadium at  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Chi Ming 1 in Tangkak.
Datuk Abdul Ghani Othman and his wife Datin Prof Dr Jamilah Ariffin beating the drum to signify the start of Chinese New Year celebration as well as the inauguration of the basketball stadium at Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Chi Ming 1 in Tangkak.

Ghani and Jamilah were greeted by Tangkak assemblyman Goh Tee Tee and Ledang member of Parliament Hamim Samuri.

The celebration was made merrier with a lion dance performance and colourful fireworks display.

During the dinner, Ghani also inaugurated a basketball stadium of Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chi Ming 1, which will also serve as a centre of activities for the local community.

A host of cultural performances of various ethnic groups were also featured during the opening ceremony of the stadium.


SOURCE: NST JOHOR STREETS 28 FEBRUARY 2010

25 Februari 2010

KERAJAAN NEGERI GALAKKAN PENGANJURAN AKTIVITI SUKAN

Ditulis Hamirul Hairi Mohd Noh

Bersama rakyat...Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman sedang membuat balingan semasa bermain bowling kelapa  pada majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Rakyat.
Bersama rakyat...Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman sedang membuat balingan semasa bermain bowling kelapa pada majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Rakyat.

TANGKAK: Kerajaan Johor akan sentiasa menggalakkan penganjuran aktiviti sukan, sama ada di kampung atau bandar dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas.

Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata, untuk tahun ini, kerajaan akan menganjurkan karnival sukan yang membabitkan penyertaan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai langkah untuk memeriahkan program sukan di negeri ini selain memupuk budaya persaingan sihat di kalangan peserta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Rakyat Peti Undi Seri Jaya anjuran bersama Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pemuda Umno Kampung Seri Jaya, di sini, semalam.

Katanya, untuk tujuan itu kerajaan juga akan menyediakan dan melengkapkan kemudahan serta prasarana sukan di negeri ini.

Beliau turut menekankan amalan bersukan di kalangan kanak-kanak supaya mereka tidak hanya pandai dalam pelajaran tetapi turut mempunyai tubuh badan yang sihat.

Abdul Ghani juga mengingatkan orang ramai supaya menjaga amalan pemakanan bagi mengelakkan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung.

SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY 25 FEBRUARI 2010

24 Februari 2010

KARNIVAL SUKAN ANTARA DUN JOHOR

ABDUL GHANI (tengah) bersama kepimpinan Umno Bahagian Ledang, Pemuda Umno Cawangan Seri Jaya dan pemimpin masyarakat selepas penutupan rasmi Karnival Sukan Rakyat di padang bola sepak Kampung Seri Jaya, Tangkak.

ABDUL GHANI (kanan) mencuba makanan peserta yang menyertai pertandingan masakan sempena Karnival Sukan Rakyat di Kampung Seri Jaya.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Kerajaan negeri akan menganjurkan Karnival Sukan antara Dewan Undangan Negeri (DUN ) yang membabitkan 56 kawasan bagi memeriahkan kegiatan sukan di negeri ini yang bermula dari peringkat akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Abd Ghani Othman, berkata kegiatan sukan di peringkat akar umbi memang digalakkan kerana banyak bakat sukan di kampung yang perlu dicungkil dan diketengahkan.

"Pada zaman 60-an dan 70-an kegiatan sukan di daerah ini memang hidup kerana ramai yang berbakat selain kemudahan untuk mengadakan aktiviti itu banyak terutama dengan menggunakan padang sekolah.

“Pada hari ini, terdapat beberapa buah padang sekolah terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan. Oleh itu penyediaan kawasan untuk kegiatan sukan itu perlu bagi kemudahan melaksanakan aktiviti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Karnival Sukan Rakyat di Padang Bola Sepak Kampung Seri Jaya, Tangkak. Karnival selama dua hari itu anjuran bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pemuda Umno Cawangan Kampung Seri Jaya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) gambir, M Asojan.

Abdul Ghani berkata, generasi sekarang perlu aktif bersukan kerana apabila tidak terbabit dengan kegiatan sukan mereka akan menjadi kaku dan masa depan mereka terhad kerana tidak terdidik dengan kemahiran yang boleh diperoleh dalam sukan.

Beliau turut mengumumkan akan menaik taraf padang permainan sedia ada di Kampung Seri Jaya dan membina sebuah gelanggang futsal di kampung itu bagi kemudahan penduduk setempat serta sekolah berhampiran menjalankan aktiviti sukan dan mengadakan pertandingan di peringkat tempatan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 24 FEBRUARI 2010

23 Februari 2010

MERIAH


ABDUL Ghani Othman memalu gendang pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina di SJKC Chi Ming 1 di Tangkak,Johor,baru-baru ini.

Sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chi Ming 1 di Tangkak, Johor baru-baru ini berlangsung meriah dengan dihadiri kira-kira 1,000 masyarakat setempat.

Hadirin nyata terhibur dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan gendang dan kebudayaan masyarakat Cina pada majlis berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut merasmikan stadium bola keranjang sekolah berkenaan yang turut berfungsi sebagai pusat aktiviti masyarakat setempat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 FEBRUARI 2010

22 Februari 2010

MB SERU RAKYAT PERTAHAN KEHARMONIAN

Ditulis oleh Hamirul Hairi Mohd Noh

Gembira...YB Goh Tee Tee (kanan) bersama penduduk sedang memerhatikan perasmian stadium bola keranjang SJK(C) Chi Ming, Tangkak oleh Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman.


Gembira...YB Goh Tee Tee (kanan) bersama penduduk sedang memerhatikan perasmian stadium bola keranjang SJK(C) Chi Ming, Tangkak oleh Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman.

TANGKAK: Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, menyeru rakyat berbilang kaum mempertahankan keharmonian dan persefahaman yang telah diwarisi sejak sekian lama kerana perbalahan dan perpecahan hanya akan merugikan mereka sendiri.

Jika kita berpecah belah, tiada siapa yang akan mendapat faedah kerana perpecahan hanya akan membawa kepada kekacauan, dan seterusnya merencatkan kemajuan.

"Saya harap, rakyat berbilang kaum di negeri ini terus bersatu padu supaya Johor akan terus maju dan membangun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina dan majlis perasmian stadium bola keranjang SJK (C) Chi Ming 1, di sini, baru-baru ini.

Stadium bernilai RM300,000 itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan negeri bagi meningkatkan prasarana sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan tambahan RM300,000 untuk tujuan menaik taraf kemudahan dewan serba guna di sekolah itu.


SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR MEDKOM.MY 22 FEBRUARI 2010

19 Februari 2010

TUJUH DITAHAN KETIKA ASYIK MAIN MERCUN

LEDANG 18 Feb. - Meskipun umum mengetahui bermain mercun adalah dilarang namun masih ada yang berdegil dan tidak mengendahkan perkara itu. Bagaimanapun kedegilan mereka membawa padah apabila enam lelaki ditahan ketika asyik bermain mercun sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

Dalam operasi pada Ahad dan Isnin lalu, polis turut menahan seorang wanita di Paya Emas di sini, kerana memiliki mercun bernilai RM5,000 untuk dijual.

Ketua Polis daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua mereka yang berusia antara 26 dan 56 tahun ditahan di kawasan perumahan masing-masing di daerah ini.

Beliau berkata, enam lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM100 dan RM300.

"Wanita itu pula ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan kesemua mercun itu turut dirampas. Semasa ditahan, polis juga merampas sejumlah rokok seludup daripadanya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 FEBRUARI 2010

17 Februari 2010

SUAMI TIKAM ISTERI SELEPAS BERTENGKAR MINTA CERAI

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
bhnews@bharian.com.my

PAGOH: Seorang suami mengejar isterinya yang meluru keluar dari sebuah kereta sebelum menikam wanita itu disaksikan orang ramai selepas mereka bertengkar kerana wanita itu menuntut cerai, dalam kejadian dekat sebuah stesen minyak di sini malam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, lelaki warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap berusia 41 tahun menikam perutnya selepas isterinya, seorang warga tempatan berusia 37 tahun rebah dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata siasatan mendapati pada mulanya, pasangan berkenaan bergaduh di rumah mereka yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, wanita terbabit kemudian keluar dari rumah dan pergi ke sebuah hentian bas berhampiran stesen minyak itu, sebelum suspek yang memandu kereta mengejarnya.

“Selepas dipujuk, mangsa memasuki kereta sebelum berlaku satu lagi pergaduhan dipercayai akibat permintaan mangsa yang meminta diceraikan.

“Mangsa kemudian keluar dari kereta dan cuba melarikan diri menyebabkan suaminya yang naik angin, mengejarnya sebelum menikamnya pada bahagian kanan dada.

“Mangsa yang cedera parah, rebah di tempat kejadian manakala lelaki terbabit yang panik kerana perbuatannya itu disaksikan orang ramai, terus menikam perutnya sendiri menggunakan pisau sama," katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, pasangan suami isteri berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar oleh orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa kini dalam keadaan stabil manakala suaminya masih berada dalam keadaan kritikal kerana kecederaan parah di perut.

Beliau berkata, hasil siasatan polis menemui botol minuman keras di dalam kereta suspek dan percaya, lelaki yang bekerja sebagai pekerja ladang sawit itu dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Pasangan yang menetap di pekan Pagoh itu mempunyai tiga anak berusia antara 5 hingga 18 tahun dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan, " katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 17 FEBRUARI 2010

TIKAM ISTERI MINTA CERAI

MUAR 16 Feb. - Bagaikan adegan drama, orang ramai yang berada di sebuah stesen minyak di Pekan Pagoh di sini gempar menyaksikan seorang lelaki tiba-tiba mengejar pasangannya.

Situasi bertambah suspen apabila lelaki tersebut menikam wanita berkenaan di dada dengan sebilah pisau sebelum merodok perutnya sendiri.

Orang ramai yang tergamam melihat aksi ganas itu hanya tersedar ia bukan lakonan setelah darah membuak keluar dari dada mangsa dan perut suspek.

Difahamkan, segalanya berlaku apabila suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya mahu bercerai.

Sebelum kejadian pada pukul 11.40 malam itu, kedua-duanya dikatakan bergaduh di dalam kereta di hadapan sebuah stesen minyak di pekan Pagoh di sini.

Mangsa, warga tempatan berusia 37 tahun kemudiannya meluru keluar dari kereta untuk mendapatkan bantuan setelah suspek berusia 41 tahun berang dengan permintaannya untuk bercerai.

Suspek yang merupakan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) bagaimanapun dapat mengejar mangsa sebelum menikamnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pasangan tersebut dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar oleh orang awam untuk rawatan.

"Keadaan wanita itu kini dilaporkan stabil, namun suaminya kritikal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis percaya punca kejadian disebabkan suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya meminta cerai.

Pasangan yang menetap di pekan Pagoh itu mempunyai tiga orang anak berusia antara lima hingga 18 tahun.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 FEBRUARI 2010

16 Februari 2010

TRAINING INSTITUTE TO MANAGE JOBS MALAYSIA

Adnan (left) with Abd Rahman (right) launched the Jobs Malaysia at ILP Ledang.
Picture by Hai Rozzaman Jalal

LEDANG Industrial Training Institute (ILP) has been tasked to run Jobs Malaysia's service of automatically match vacancies to job seekers on the portal initiated by the Human Resource Ministry.

The move is in line with efforts by the Labour Department, which links Jobs Malaysia to human resource training institutes nationwide.

Ledang ILP community and jobs support officer Saat Pawi said Jobs Malaysia could help enhance career prospects.

"We welcome school leavers and graduates at the Jobs Malaysia centre in ILP Ledang. The service is free," he said.

Jobs Malaysia at ILP Ledang was launched by the Labour Department peninsula entrepreneur relations officer Abdul Rahman Bohari and ILP Ledang director Adnan Ismail.

SOURCE: NST JOHOR STREETS, TUESDAY, FEBRUARY 16, 2010

TUMPUAN PERINGKAT AWAL ELAK KECICIRAN

LEDANG 15 Feb. - Murid-murid sekolah rendah yang lemah dalam pelajaran perlu diberi tumpuan daripada peringkat awal bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam sistem pendidikan negara.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, murid-murid terbabit perlu 'diselamatkan' supaya mereka tidak menghadapi kesukaran untuk menghadapi tahap pelajaran yang lebih tinggi.

Jelas beliau, peringkat darjah tiga adalah peringkat terbaik untuk mengenal pasti murid-murid berkenaan supaya mereka sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Masalah yang lebih lanjut pasti akan berlaku sekiranya murid-murid yang tercicir pelajaran tidak diberi perhatian daripada peringkat awal.

"Bagi mengatasi permasalahan ini, saya yakin usaha sedang dilaksanakan Kementerian Pelajaran serta inisiatif pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ma'amor, Tangkak di sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Ledang, Amran A. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Guru Besar SK Seri Ma'amor, Mahat Yahya ser ta Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Rosman Pardi.

Pada majlis yang sama, Abdul Ghani turut menyumbangkan RM6,000 untuk Tabung Kecemerlangan Akademik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Seri Ma'amor.

Sementara itu, jelas Abdul Ghani, beliau juga menyokong pendidikan pra sekolah kepada kanak-kanak di negara ini dimulakan daripada peringkat usia lima tahun.

Katanya, usaha memperluaskan pendidikan berkenaan akan dapat memberi permulaan yang baik kepada kanak-kanak dalam bidang pelajaran sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2010

14 Februari 2010

GENG CURI MOTOSIKAL TUMPAS


HARUN Idris (dua dari kanan) melihat rangka motosikal yang ditemui selepas tumpasnya satu kumpulan mencuri motosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di Tangkak, Johor, kelmarin.


LEDANG 13 Feb. - Polis percaya telah menumpaskan sebuah kumpulan curi motosikal ekoran penahanan lapan lelaki termasuk ketuanya di sekitar Sungai Mati dan Bukit Gambir, di sini sejak 25 Januari lalu sehingga 5 Februari lalu.

Dalam kejayaan itu, polis turut berjaya menemui semula tujuh rangka motosikal curi termasuk yang dibuang di Sungai Belemang dan ditanam di belakang sebuah rumah di Sungai Mati.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kumpulan itu dipercayai melakukan sekurang-kurangnya lima kes curi motosikal.

Katanya, kejayaan itu bermula dengan penahanan ketua kumpulan tersebut, seorang penganggur berusia 18 tahun di Sungai Mati, 25 Januari lalu.

"Ketika ditahan, suspek memiliki segumpal kunci serta kunci Allen. Dia mengaku terlibat lebih lima kes curi motosikal di daerah Ledang serta satu di Sungai Rambai, Melaka.

"Susulan itu, kita menahan tujuh lagi suspek berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dalam beberapa siri tangkapan berasingan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di Tangkak, di sini semalam

Menurut Harun, selain rangka, polis turut merampas dua buah motosikal yang digunakan mereka serta sebuah enjin kenderaan itu.

"Mereka membuang rangka motosikal curi itu dengan menanamnya selain mencampak ke dalam sungai," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Harun memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana memiliki beberapa jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Paya Emas di sini Ahad lalu.

Katanya, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 39 (A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya merampas sebanyak 18.58 gram heroin, 4.5 gram ganja, 2 gram syabu, serta 31 gram ketamin.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 14 FEBRUARI 2010

13 Februari 2010

GURU AGAMA DIDAKWA CABUL MURID

MUAR 12 Feb. - Seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul kehormatan empat murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Sagil, Ledang.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, Samsul Bahri Saleh, 36, didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik darjah di sekolah tersebut antara tahun lalu dan 8 Februari ini.

Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Samsul Bahri mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Muar, Nor'iza Mohamed menetapkan ikat jamin berjumlah RM24,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan tarikh sebutan semula pada 15 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2010

USTAZ DITUDUH CABUL MURID

MUAR: Seorang ustaz berusia 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas empat pertuduhan mencabul murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sagil Kampung, dekat Tangkak, dalam kejadian tahun lalu dan awal tahun ini.

Samsul Bahri Saleh, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nor`iza Mohamed.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan cara meraba paha dan alat sulit murid berusia 10 tahun, jam 1.30 petang, antara 1 Februari lalu hingga 5 Februari lalu di kelas 4 Anggerik di sekolah berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, Samsul Bahri didakwa melakukan kesalahan yang sama dengan meraba alat sulit seorang lagi mangsa dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang pada tahun lalu, di sekolah yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan jam 1.20 tengah hari pada tahun lalu dengan meraba alat sulit mangsa yang berusia 10 tahun dan pertuduhan keempat membabitkan dakwaan meraba buah dada murid tahun empat pada jam kira-kira 1.30 tengah hari, 8 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Fadhli meminta tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan tetapi tertuduh merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan beliau menanggung isteri dan anak serta keluarga bapanya, selain ada tunggakan hutang kenderaan.

Mahkamah memerintahkan wang jaminan dikenakan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan 15 April ini.

SUMBER: BERITA HARIAN, 13 FEBRUARI 2010

12 Februari 2010

USTAZ RABA LAPAN MURID

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

TANGKAK: Dia pandai agama hingga dilantik menjadi guru mengajar al-Quran, malah turut diamanahkan sebagai imam.

Malangnya, di sebalik sifat warak itu, ustaz berkenaan rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia apabila disyaki mencabul lapan murid kelas agama di sebuah sekolah dekat Taman Lagenda di sini.


Lelaki berusia 30-an itu mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan kelas membaca al-Quran di sebuah sekolah rendah berhampiran taman berkenaan dan mangsa kerakusan nafsu syahwatnya adalah kanak-kanak berusia 10 tahun iaitu murid tahun empat di sekolah rendah berkenaan.


Tembelang ustaz syaitan yang dikatakan meraba buah dada dan kemaluan anak murid ketika mengajar al-Quran itu akhirnya pecah apabila seorang bapa mengesyaki sesuatu tidak baik berlaku terhadap anak perempuannya yang lewat pulang dari sekolah, kelmarin.


Bapa seorang daripada lapan mangsa, berkata apabila ditanya mengenai kelewatan murid itu pulang ke rumah, anaknya hanya menjadikan alasan terpaksa berjumpa dengan guru kaunseling kerana didenda akibat tidak menghantar kerja sekolah.


“Selepas didesak beberapa kali, barulah dia menceritakan hal sebenar. Terkejut saya apabila dimaklumkan dia antara lapan rakannya yang sering diraba ustaz ketika belajar mengaji di sekolah.

“Saya marah kerana ustaz sepatutnya mendidik ilmu agama tergamak menjadikan anak didiknya alat untuk melampiaskan nafsunya,” kata bapa berusia 41 tahun itu ketika mendapatkan pemeriksaan anaknya di Hospital Tangkak di sini, semalam.


Bapa berkenaan melahirkan kekesalannya terhadap pendidik yang disifatkan sebagai sukar dipercayai tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu sedangkan pada masa sama mengajar anaknya membaca al-Quran.


Difahamkan, ustaz itu sudah mengajar lebih dua tahun di sekolah itu dan bapa berkenaan bimbang lebih ramai murid yang menjadi mangsa lelaki itu sebelum ini.


“Menurut cerita anak saya, ustaz itu akan mengusap badan anak saya setiap kali duduk bersebelahan, malah ada di antara murid yang diramas buah dada dan disentuh kemaluannya setiap kali kelas itu berlangsung pada setiap Isnin,” katanya.


Ibu seorang lagi mangsa, berkata dia mula menyedari perubahan sikap anak bongsunya itu sejak minggu lalu lagi apabila dia sering tidak mahu pergi ke sekolah dengan menjadikan alasan sakit perut dan demam.


Tetapi apabila mangsa dibawa ke klinik, doktor mengesahkan anaknya itu tidak sakit seperti didakwanya.


“Apabila sebut saja pasal sekolah dia terus menangis seakan-akan terdapat sesuatu perkara yang ditakutkannya.


“Selepas didesak beberapa kali akhirnya dia mengaku menjadi mangsa raba ustaz itu sejak awal sesi persekolahan tahun ini,” katanya.


Wanita itu turut kesal tindakan pihak sekolah yang enggan memberi kerjasama, malah menangguhkan pertemuan ibu bapa bersama lelaki terbabit.


Sehubungan itu, dia bersama tujuh lagi ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Sagil supaya tindakan segera boleh diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dan kes terbabit masih lagi dalam siasatan.

SUMBER: HARIAN METRO, 12 FEBRUARI 2010

LAPAN MURID PEREMPUAN DAKWA DICABUL USTAZ GATAL

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Perbuatan terbongkar selepas diadu kepada guru kaunseling

TANGKAK: Sekurang-kurang lapan murid perempuan Tahun Empat mendakwa menjadi mangsa cabul apabila bahagian paha dan alat sulit diraba serta buah dada mereka diramas oleh seorang ustaz yang mengajar al-Quran dalam kelas pendidikan Islam di sebuah sekolah, dekat sini, 1 Februari lalu.

Kejadian terbongkar selepas sekumpulan murid perempuan itu membuat aduan kepada guru kaunseling sekolah berkenaan mengenai perbuatan ustaz berusia 30-an berkenaan ketika sesi persekolahan kelmarin.

Berikutan itu, keluarga lapan murid terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8 malam kelmarin dan awal pagi semalam, dan semua murid berkenaan turut dibawa membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tangkak (HT).


Difahamkan, ramai lagi murid sekolah itu turut menjadi mangsa ustaz terbabit dan siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa.

Seorang ibu mangsa, berusia 41, berkata beliau tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang seolah-olah trauma dan takut untuk ke sekolah sejak awal tahun ini mempunyai kaitan dengan perbuatan ustaz yang didakwa mencabul anaknya.

Katanya, sebelum ini anaknya sering menangis dan memberi alasan tidak sihat untuk ke sekolah dan keadaan itu semakin ketara sejak awal bulan ini menyebabkan beliau menghantar anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi disahkan tidak menghidap sebarang penyakit.

"Akhirnya selepas berulang kali dipujuk, akhirnya anak saya mendedahkan bahawa seorang ustaz di sekolahnya meraba badannya dan meramas buah dadanya sehingga beliau takut dan sering menangis," katanya di HT, di sini semalam.

Beliau berkata, anaknya turut memaklumkan bahawa ustaz itu sudah melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu dan semakin serius sejak sesi persekolahan tahun ini sehingga menyebabkan anaknya sentiasa trauma untuk ke sekolah dan sering demam.

Seorang bapa mangsa, berusia 42, pula berkata perbuatan ustaz itu terbongkar selepas anaknya bersama beberapa lagi rakannya mengadu kepada seorang guru kaunseling sekolah berkenaan.

Katanya, anaknya mendakwa ustaz itu merabanya sehingga paha ketika mengajar kelas tambahan untuk meningkatkan kemahiran membaca al-Quran yang diadakan pada setiap Isnin.

"Susulan itu saya menghubungi ibu bapa keluarga lain yang kemudian turut dimaklumkan bahawa anak mereka turut menjadi mangsa ustaz yang turut digelar sebagai ustaz gatal di sekolah berkenaan menyebabkan mereka bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

SUMBER: BERITA HARIAN 12 FEBRUARI 2010

10 Februari 2010

SULTAN IBRAHIM VISITS MUAR AND LEDANG

MUAR: The new Johor ruler Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar made his first visit to Muar and Ledang after being proclaimed as the Sultan of Johor.

Sultan Ibrahim, who was accompanied by Mentri Besar Datuk Abdul Ghani Othman and other state leaders, performed Friday prayers at Masjid Jamek Sultan Ibrahim here last week.

The ruler arrived at the mosque at about 1pm and spent about 30 minutes meeting and talking with the rakyat after the prayers.

Royal presence: Sultan Ibrahim greeting the rakyat during his recent visit to Muar.

A day before, he attended a tahlil for his late father Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail at Masjid Jamek Sultan Ismail in Ledang district.

Muar Umno division chairman Datuk Mohd Ismail Mohd Shah said the rakyat here was honoured by Sultan Ibrahim’s decision to visit the district after becoming the Sultan.

SOURCE: THE STAR, 10 FEBRUARY 2010

06 Februari 2010

SULTAN IBRAHIM SOLAT JUMAAT BERSAMA RAKYAT MUAR


Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersalaman dengan rakyat jelata sebaik tiba untuk menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.


SULTAN Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang berada di daerah Muar dan Ledang semalam berkenan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar, Johor.

Ketibaan baginda di masjid berkenaan pada pukul 1 petang disambut oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof; Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsudin dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan.

Turut bersama baginda menunai solat Jumaat ialah beberapa ahli Exco kerajaan negeri Johor dan wakil rakyat.

Selesai menunaikan solat Jumaat, Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lalu meluangkan masa kira-kita setengah jam untuk beramah mesra dan bersalaman dengan rakyat jelata.

Pada malamnya, baginda berkenan menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Jamek Sultan Ismail, Ledang yang dihadiri pemimpin negeri serta pegawai kerajaan dan orang ramai.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 FEBRUARI 2010

05 Februari 2010

TIGA REMAJA DIDAKWA BAKAR DUA SURAU

MUAR 4 Feb. - Tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat sehingga mengakibatkan kebakaran kecil di dua surau di sini pada 21 Januari lalu.

Remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun itu, mengaku tidak bersalah dan memohon supaya dibicarakan.

Mereka didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat untuk menyebabkan kebinasaan rumah ibadat itu.

Perbuatan khianat tersebut didakwa dilakukan ke atas Surau Parit Beting, Jalan Salleh di antara pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi. Manakala Surau Silaturahim, Jalan Ismail pula antara pukul 2 hingga 3.15 pagi hari yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Sementara itu, salah seorang daripada remaja terbabit turut didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kebakaran tersebut.

Laporan didakwa dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pukul 3.54 pagi, hari kejadian.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Lydiana Mansur membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan ke atas mereka yang tidak diwakili peguam, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar.

Dua daripada remaja terbabit dibebaskan setelah membayar wang jaminan manakala seorang lagi ditahan sehingga tarikh sebutan pada 6 April ini setelah gagal membuat bayaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 FEBRUARI 2010

02 Februari 2010

STATISTIK KEMALANGAN LEBUH RAYA ANTARA PAGOH - TANGKAK MENGGERUNKAN

MUAR 1 Feb. - Statistik kemalangan bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan antara Pagoh hingga Tangkak dekat sini didapati amat menggerunkan kerana secara puratanya sebanyak dua kematian dicatatkan setiap bulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian daripada tahun 2000 hingga 2009 menyaksikan sebanyak 958 kemalangan direkodkan di laluan berkenaan.

"Daripada jumlah kemalangan tersebut, sebanyak 253 kematian telah dicatatkan sepanjang tempoh sembilan tahun ini.

"Secara puratanya, jumlah kes kemalangan maut di laluan ini adalah sebanyak 28 kes setahun atau kira-kira dua kes untuk setiap bulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bangunan Pentadbiran JPJ cawangan Muar di Sungai Abong di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan juga mendapati tiada sebarang masalah bagi permukaan laluan lebuh raya sejauh kira-kira 30 kilometer itu yang cukup lebar dan lurus.

"Punca masalah ini mungkin kerana laluan yang terlalu selesa sehingga pemandu mengambil kesempatan untuk memecut laju.

"Bagi saya, usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan ini perlu digerakkan menerusi kesedaran para pemandu agar mereka sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kadar kemalangan yang tinggi itu kerana ia turut melibatkan sikap para pemandu di negara ini.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Abdul Rahim yakin penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berkuat kuasa 1 Jun depan akan dapat membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Penggunaan pengangkutan awam di negara ini adalah sekitar 10 hingga 15 peratus kerana orang ramai lebih gemar menggunakan pengangkutan sendiri walaupun berlakunya kesesakan.

"Dengan pelbagai galakan daripada kerajaan menerusi matlamat NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional), kita berharap peratus penggunaan akan dapat meningkat kepada 25 peratus," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga mengalu-alukan syarikat pengangkutan untuk membuka operasi di kawasan luar bandar bagi menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2010

RM5 JUTA BINA SEMULA BANGUNAN PENTADBIRAN JPJ MUAR


ABDUL Rahim Bakri (depan) meninjau sekitar bangunan pentadbiran JPJ cawangan Muar yang hampir musnah akibat kebakaran di Sungai Abong, Muar, semalam.


MUAR 1 Feb. - Kementerian Pengangkutan akan memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi membina semula bangunan pentadbiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Muar yang hampir musnah dalam kebakaran pada November lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pembinaan semula bangunan berkenaan perlu segera dilaksanakan bagi keselesaan kakitangan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.

"Saya akan menyediakan laporan mengenai perkara ini dengan seberapa segera untuk dibincangkan di peringkat tertinggi.

"Dianggarkan, peruntukan untuk meruntuhkan bangunan asal dan membina bangunan baru ini adalah sekitar RM5 juta namun ia bergantung kepada seberapa segera ia dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di bangunan JPJ tersebut di Sungai Abong di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi beliau dalam lawatan itu adalah Pengarah JPJ negeri, Rosli Ramly; Ketua JPJ cawangan Muar, Azmil Zainal Adnan serta Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Menurut Abdul Rahim, laporan siasatan pihak bomba terhadap kejadian kebakaran pada 30 November lalu didapati berpunca akibat litar pintas.

"Bangunan pentadbiran ini berusia hampir 30 tahun dan sistem pendawaian elektriknya adalah sistem lama yang sudah tidak lagi selamat.

"Sehubungan itu, bangunan asal ini tidak lagi boleh diguna pakai dan perlu diruntuhkan untuk dibina bangunan baru," katanya.

Katanya, berdasarkan kertas cadangan, bangunan baru yang akan dibina adalah setinggi tiga tingkat dan mampu menampung pertambahan kakitangan dari semasa ke semasa.

"Perkara ini sememangnya mendapat pertimbangan yang serius berikutan keadaan kurang selesa dan sempit yang terpaksa dihadapi para kakitangan di bangunan sementara," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2010

01 Februari 2010

LEBIH RAMAI PENULIS BLOG HINA RAJA AKAN DITAHAN

JOHOR BAHRU: Lebih ramai penulis blog yang didapati menghina institusi beraja dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum di negara ini, akan ditahan jika pihak berkuasa mempunyai cukup bukti untuk berbuat demikian, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau beberapa blog dan laman web terbabit.

Selain itu, katanya, pihak KDN akan terus bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar undang-undang hasutan serta menghina Raja.

"Hal yang berkaitan institusi Raja, perkara yang agak sensitif menyentuh agama dan kaum, saya sudah buktikan dalam konteks gereja dibakar di Kuala Lumpur, surau dibaling batu dan cubaan bakar surau di Muar.

"Kita akan menghukum mereka yang bersalah dan memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia tidak berleluasa dan merebak serta menyentuh emosi yang akhirnya apabila rakyat dibakar emosi, negara kita huru hara dan waktu itu sudah terlewat, " katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas sama ada lebih ramai penulis blog akan ditahan kerana menghina institusi beraja, agama dan kaum di Malaysia. Juruteknik komputer, Khairulnizam Abdul Ghani, 29, melalui adukataruna.blogspot.com.my. menghadapi tuduhan menghina Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.


"Saya percaya tindakan kita menunjukkan kita serius, kita bawa sesiapa saja... anak polis dan ahli politik, jika didapati bersalah dan cukup bukti kita akan ambil tindakan di mahkamah.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu berapa berapa ramai dan siapa orangnya. Jangan sampai kita menjejaskan siasatan yang dikendalikan Pengarah Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ketika ini.

"Sebarang maklumat yang keluar tidak tepat dan boleh menjejaskan penyiasatan, tapi kita cukup sensitif terhadap apa yang berlaku, " katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, desakan supaya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, meletak jawatan adalah tidak tepat.

SUMBER: BERITA HARIAN, 01 FEBRUARI 2010

KANAK-KANAK CEDERA MERCUN DIPEGANG TIBA-TIBA MELETUP

TANGKAK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun cedera teruk di tangan kiri dan bawah hidung selepas mercun yang dipercayai dipegangnya tiba-tiba meletup, dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bukit Keledang, Jementah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu Nur Amani Balkis Shahidallah, dikatakan sedang memegang mercun itu berhampiran tempat pembakaran sampah di tepi rumah mangsa apabila secara tiba-tiba ia meletup sehingga mencederakan tangannya dan sebahagian mukanya.

Mangsa kemudian dibawa oleh keluarganya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tangkak (HT) dengan menjalani ujian imbasan sebelum dimasukkan ke wad, bagaimanapun keadaannya dilaporkantidak membimbangkan.

Ibu mangsa, Nurzilah Salim, 33, berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat disusuli jeritan anaknya.

Katanya, ketika berlari keluar rumah dia mendapati anak tunggal perempuannya daripada enam beradik itu dalam keadaan berlumuran darah di muka dan tangannya sambil menangis kesakitan.

"Pada mulanya saya menyangka muka Balkis turut cedera parah termasuk matanya sebelum menyedari ia darah daripada kesan luka di bawah hidung yang menyebabkan banyak darah keluar, selain itu tangan kirinya juga cedera teruk dengan kesan beberapa luka yang agak panjang dan dalam," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HT semalam.


Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana ketika dia membakar sampah, Balkis tiada di situ, sebaliknya berada bersama dua lagi abangnya sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah.

Nurzilah berkata, ketika sedang membakar sampah itu, anaknya yang satu setengah tahun menangis menyebabkan dia masuk semula ke rumah dan ketika itu barulah Balkis pergi ke tempat pembakaran sampah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak tahu bila mercun itu berada di tangan anaknya dan tidak menolak kemungkinan bahan itu ditemui Balkis di bawah timbunan sampah.

"Nasib baik suami saya baru sampai di rumah sebelum membawa Balkis mendapatkan rawatan di klinik swasta di pekan Jementah sebelum dibawa ke hospital," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 01 FEBRUARI 2010