PENGUNJUNG SETIA

24 Mac 2012

PASANG LAMPU DI SEMUA JALAN KAMPUNG

LEDANG 23 Mac - Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membuat anggaran kos yang diperlukan untuk memasang lampu di semua jalan kampung di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perkara itu telah dibincang dengan kerajaan Pusat untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakannya.

"Ini satu keperluan berbangkit di kampung-kampung dan diharapkan apabila lampu-lampu dipasang kita akan bayar bil elektrik untuk kos penyelenggaraannya.

"Kita sedang mengkaji berapa lampu jalan di kampung-kampung seluruh Johor yang diperlukan," katanya semasa merasmikan padang futsal, pertandingan memancing dan kilang industri kecil dan sederhana di Felda Parit Haji Idris, Bukit Gambir di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir dan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri telah membeli tanah seluas kira-kira 2.8 hektar di Felda tersebut dengan harga RM260,000 untuk dijadikan padang bola sepak dan pembinaannya akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sebuah masjid baru di Bukit Gambir akan dibina bagi menggantikan masjid lama yang usang dan tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah yang kian bertambah.

Beliau berkata, tapak masjid baru itu sedang dikenal pasti oleh pejabat daerah dan apabila siap nanti ia dijangka mampu menempatkan lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Abdul Ghani berharap masjid itu mampu disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus dapat mengatasi masalah masjid lama yang lokasinya di pekan Bukit Gambir.

Dalam pada itu, Hamim mengumumkan peruntukan RM340,000 untuk menyediakan kemudahan asas di Felda tersebut, antaranya pembinaan jambatan, jalan, tandas awam, tempat letak kereta, pagar dan longkang untuk memberi keselesaan kepada warganya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 MAC 2012

Tiada ulasan: