TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2012

SK KESANG DAPAT KEMUDAHAN PADANG BARU

ABDUL Ghani Othman membetulkan tali leher seorang murid sambil diperhatikan Masitah Adenan (kiri) pada Program Jalinan Mesra dan Perasmian Bangunan Baru SK Kesang, di Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD 
 
LEDANG 29 Jun - Sebidang tanah seluas 1.6 hektar berharga RM500,000 akan dijadikan padang baru untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang, dekat sini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, tanah yang dikenal pasti itu adalah kawasan kampung di belakang sekolah berkenaan dan pegawai pendidikan daerah sudah bertemu Kementerian Pelajaran untuk urusan pembelian tanah tersebut.

"Kos untuk membuat padang pula adalah sebanyak RM300,000. Penyelesaian ini diambil kerana padang sekarang ini kecil dan tidak mampu lagi menampung aktiviti sedia ada," katanya ketika merasmikan Program Jalinan Mesra dan Perasmian Bangunan Baru SK Kesang, di sini hari ini.

Turut hadir, Guru Besar SK Kesang, Masitah Adenan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kesang, Mahfiz Rusli.

Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1923 itu adalah antara yang tertua di Ledang dan Muar dan mempunyai banyak jasa termasuk melahirkan beberapa tokoh akademik. 

Kemudahan padangnya kini menjadi terlalu sempit kerana sebahagian besar diambil untuk projek membesarkan Jalan Muar-Melaka di hadapannya.

Sementara itu, Masitah berkata, bangunan baru dengan dua blok yang dirasmikan Abdul Ghani itu menelan belanja kira-kira RM6.2 juta dan antaranya menempatkan lapan bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru dan bilik pendidikan seni dan visual.

Menyentuh mengenai padang sekolah tersebut, katanya, padang yang lama dahulunya menjadi tumpuan masyarakat setempat bermain bola dan beriadah pada sebelah petang itu tidak lagi dapat digunakan sejak 2005.

"Selain padang baru yang mendesak, SK Kesang juga memerlukan sebuah dewan baru untuk pelajar-pelajarnya menjalankan aktiviti," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JUN 2012

BEKAS GURU DAPAT PENGHARGAAN


LEDANG: Bekas Guru Besar Sekolah Agama (SA) Bukit Rahmat, Gersik, di sini, Gufran Adnan, 67, dinobatkan Tokoh Guru 2012 pada sambutan Hari Guru Agama Peringkat Daerah Ledang, semalam.

Anak jati Kampung Parit Raja itu menerima plak dan sijil disampaikan Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Datuk Abdul Razak Hassan.

Katanya, kerjayanya bermula pada 1966 di SA Kundang Ulu sebelum berpindah ke SA Gersik dan SA Felda Sri Jaya.

Katanya, kesabaran dan keikhlasan mendidik anak bangsa menjadi asas menunaikan amanah dipikul sepanjang berkhidmat sebagai guru sehingga bersara pada 2000 di SA Bukit Rahmat.

"Saya bersyukur empat anak turut mengikut jejak sebagai guru agama," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 JUN 2012

'ROKET' MERAH LUAR DAPUR

Wartawan Sinar Harian

‘Roket’ merah luar dapur
Ramlah melihat jantung pisang mendongak ke langit yang tumbuh pada batang pokok pisang tumbang.
 
LEDANG – “Saya sangka roket, rupanya jantung pisang,” kata Ramlah Abdullah, 56, selepas terkejut melihat jantung pisang tumbuh mendongak ke langit di kebun belakang rumahnya di Taman Happy Garden, Jalan Payamas, Tangkak, di sini.

Ramlah berkata, dia menyedari keunikan itu ketika sedang menggoreng kuih karipap di luar dapur rumah, pagi Isnin lalu.

“Saya berasa pelik apabila lihat objek seakan roket berwarna merah hati, lalu segera ke arah objek ini. Setelah amati dan terkejut mendapati objek ini merupakan jantung pisang yang tumbuh pada pangkal pokok pisang yang tumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, biasanya yang tumbuh pada pangkal pokok pisang ialah anak pokok pisang dan bukannya jantung pisang.

Penjual nasi lemak itu berkata, dia sangat terkejut dengan penemuan tersebut serta menganggapnya sebagai pengalaman luar biasa pertama kalinya sepanjang menetap di situ.

“Ahad lalu, saya bersihkan kawasan kebun ini yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah, namun tidak sedar dengan kewujudan jantung pisang unik ini.

“Ini adalah jantung pisang rastali yang semakin jarang ditemui pada masa sekarang,” katanya.

Ramlah berkata, dia tidak bercadang untuk memusnahkan jantung pisang itu kerana mahu melihat rupa sebenar pisang berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada akan nikmati buah pisang ini atau tidak kerana takut dengan kejadian pelik tersebut yang mungkin memudaratkan jika dimakan.

“Jantung pisang ini terus jadi perhatian penduduk sekitar kampung yang turut terkejut dengan keunikan ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 30 JUN 2012

29 Jun 2012

PERHIMPUNAN PAGI BAGI BULAN JULAI 2012 PADA 02 JULAI 2012

  • Perhimpunan Pagi Bagi Bulan Julai 2012
Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Encik Abdullah Bin Haji Rashidi akan menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Pagi Bagi Bulan Julai 2012 yang akan diadakan di  Dataran Ledang pada 02 Julai 2012  jam 7.30 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Daerah Ledang di talian  06-9787100 .

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI KEM PLKN SRI LEDANG BERSAMA KOMUNITI 1MALAYSIA SENGKANG BATU 18 PADA 30 JUN 2012

  • Program Khidmat Komuniti Kem PLKN Sri Ledang Bersama Komuniti 1Malaysia Kampung Sengkang Batu 18-19
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gambir, Yang Berhormat Encik M. Asojan A/L Muniyandi  akan menghadiri seterusnya merasmikan Program Khidmat Komuniti Kem PLKN Sri Ledang Bersama Komuniti 1Malaysia Kampung Sengkang Batu 18-19 Yang akan diadakan di  Kem Motivasi Sri Gelam Batu 17 Sengkang pada 30 Jun 2012  jam 8.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Penerangan Daerah Ledang di talian  06-9781033

28 Jun 2012

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG BADAN KEBAJIKAN DAN BANGUNAN SEKOLAH AGAMA TUN SYED NASIR PADA 29 JUN 2012

  • Mesyuarat Agong Badan Kebajikan Sekolah Agama Tun Syed Nasir dan Perasmian Bangunan Sekolah Agama Tun Syed Nasir
Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri Mesyuarat Agong Badan Kebajikan Sekolah Agama Tun Syed Nasir dan Perasmian Bangunan Sekolah Agama Tun Syed Nasir Yang akan diadakan di  Sekolah Agama Tun Syed Nasir pada 29 Jun 2012  jam 2.30 petang.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Sekolah Agama Tun Syed Nasir di talian  06-9525677 .

PROGRAM JALINAN MESRA DAN PERASMIAN BANGUNAN BARU SK KESANG PADA 29 JUN 2012

  • Program Jalinan Mesra Dan Perasmian Bangunan Baru
Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri Program Jalinan Mesra Dan Perasmian Bangunan Baru Sek. Keb. Kesang program ini akan diadakan di  Sek. Keb. Kesang pada 29 Jun 2012  jam 8.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Sek. Keb. Kesang Ledang  di talian 06-9522230.

26 Jun 2012

JALAN SAGIL PERLU DIPERBAIKI

TAMPALAN di permukaan jalan pekan Sagil, Tangkak yang tidak rata dan sering rosak menyebabkan ketidakselesaan serta tidak selamat kepada para pengguna. 
 
MASALAH jalan yang rosak, terutamanya di pekan Sagil, Tangkak di Ledang bukan masalah baru kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama dan hingga kini masih tidak dapat diatasi.

Walaupun keluhan mengenainya sudah banyak kali disuarakan, namun jalan di pekan ini yang difahamkan di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Tangkak (MDT) masih terbiar.

Keadaannya kini semakin teruk, selain berlubang, ada bahagian jalan yang ditampal, tetapi tidak rata selain pecah dan menggerutu.

Kira-kira dua bulan lalu, pihak bertanggungjawab ada menampal lubang-lubang di laluan tersebut yang menghubungkan Segamat dan Muar, tetapi tidak sampai sebulan, ia rosak semula.

Pekan Sagil dianggap antara laluan penting kerana lima kilometer dari situ terdapat destinasi pelancongan utama di Ledang iaitu pusat rekreasi dan air terjun Gunung Ledang dan kira-kira 20 kilometer lagi terletaknya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat.

Perkembangan ini amat memalukan kerana hampir tiga kilometer di sepanjang jalan dari pekan Sagil ke pusat rekreasi itu dapat dilihat dengan jelas kerosakan dan ia secara tidak langsung membahayakan pengguna serta mencemar imej negeri ini.

Ini kerana pusat rekreasi tersebut menjadi tumpuan pelancong dari dalam serta luar negara dan untuk sampai ke situ sekiranya datang dari arah Muar atau keluar dari Plaza Tol Tangkak, perlu melalui jalan tersebut.

Begitu juga bagi mereka yang ingin ke UiTM Segamat, jika datang melalui lebuh raya tersebut harus menempuhi jalan yang sama melainkan jika datang dari arah Segamat.

Justeru, diharapkan pihak terbabit supaya segera membaiki jalan di pekan Sagil bukan sahaja kerana ia kerap menjadi tempat persinggahan pelancong untuk ke Gunung Ledang atau UiTM tetapi juga untuk keselesaan penduduk tempatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JUN 2012

24 Jun 2012

PEMANDU TERSELAMAT, LORI TERBAKAR TIBA-TIBA

Wartawan Sinar Harian

Pemandu terselamat, lori terbakar tiba-tiba
Lori membawa muatan pakaian terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Jalan Masjid, Pantai Layang, kelmarin.
 
LEDANG – Sebuah lori membawa muatan pakaian musnah terbakar dalam satu kejadian di Jalan Masjid, Pantai Layang, Rawang, dekat ini, kelmarin.

Pemandunya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an bagaimanapun terselamat selepas sempat keluar sebelum api menjilat keseluruhan lori berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke Muar untuk ke sesi penggambaran sebuah persembahan.

Namun, pemandu terbabit bertindak memberhentikan kenderaan tersebut di tepi jalan apabila mendapati kenderaannya itu mengeluarkan bau hangit dan asap di bahagian enjin.

Berikutan itu, sepasukan 10 anggota bomba bersama sebuah jentera, bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Rahman Taib berkata, pihaknya mengetahui insiden tersebut selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, kira-kira jam 6.17 petang.

Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati api sudah marak dan memusnahkan keseluruhan lori berkenaan.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran yang sedang marak. Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 90 peratus struktur kereta itu musnah dan pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mujur pemandu berkenaan bertindak pantas dan segera memberhentikan kenderaan itu sebaik sahaja terhidu bau hangit di bahagian enjin.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 24 JUN 2012

LORI TERBAKAR: PEMANDU NYARIS MAUT

LEDANG 23 Jun - Seorang pemandu nyaris maut apabila lorinya musnah dalam kebakaran di Jalan Masjid, Pantai Layang, Rawang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, pemandu berusia lingkungan 50-an sempat menyelamatkan diri apabila terhidu bau hangit dan asap dari bahagian enjin.

Pemandu itu bergegas keluar dari lori tersebut dan dalam tempoh beberapa saat, kebakaran yang berlaku di bahagian depan merebak ke semua bahagian.

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar kerana khuatir lori itu meletup dan membahayakan pengguna jalan lain.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Rahman Taib berkata, sepasukan 10 anggota bomba bersama sebuah jentera di sini bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran lori itu.

Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati api sudah marak sekali gus hampir memusnahkan keseluruhan lori berkenaan.

"Kami mengambil masa 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran. Pemeriksaan lanjut mendapati 90 peratus struktur lori itu musnah dan pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 24 JUN 2012

21 Jun 2012

BUAYA SEPANJANG 10 KAKI TIMBUL DI SUNGAI MUAR

Wartawan Sinar Harian

Antara gambar buaya timbul di Sungai Muar yang sempat dirakam Hairi.
Antara gambar buaya timbul di Sungai Muar yang sempat dirakam Hairi.
 
LEDANG - Sebuah pasar raya di Tanjung Agas, dekat sini, gempar apabila salah seorang pekerjanya melihat kemunculan seekor buaya yang timbul di permukaan Sungai Muar, berhampiran premis berkenaan, Isnin lalu.

Mahu dikenali sebagai Hairi, 32, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.15 malam, dia sedang membuat rondaan di sekitar pasar raya itu.

Menurutnya, dia terlihat kelibat objek yang tiba-tiba naik dan masuk semula ke dalam air.

“Pada mulanya saya sangka batang kayu tetapi selepas diamati, barulah saya menyedari objek berkenaan adalah seekor buaya dewasa setelah lampu suluh mengenai matanya.

“Saya segera memanggil rakan yang kebetulan memegang kamera dan turut merakam kejadian ini. Reptilia ini agak besar dan panjangnya tidak kurang daripada 10 kaki, namun sejak kebelakangan ini ia kerap muncul pada waktu petang.

“Kehadiran buaya ini telah menimbulkan kebimbangan ramai kaki pancing di pinggir sungai ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 JUN 2012

16 Jun 2012

MINTA BONGGOL JALAN PINTAS

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Penduduk Kesang Tasek, di sini, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina segera bonggol jalan utama kampung itu selepas laluan itu dilihat menjadi jalan kebanyakan kenderaan berat pintas ke Sungai Rambai, Melaka dan sebaliknya.

Ketua kampung berkenaan, Abd Rahman Khamis berkata, bonggol itu penting kerana sebahagian besar pemandu kenderaan berat seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan orang ramai apabila memecut ketika melalui jalan itu.

"Sebelum ini, ada empat bonggol dibina sejak 1999, tetapi ia dibuang sebulan lalu nasihat polis selepas didapati ia melanggar peraturan.

"Bagaimanapun, apa dikesalkan, tiada langkah susulan diambil bagi membina bonggol baru," katanya, semalam.

Menurut Rahman, jika bonggol yang ada sebelum ini tidak menepati piawaian, penduduk berharap JKR melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan kelajuan kenderaan berat yang menggunakan jalan berkenaan.

"Saya pernah lihat bonggol dibina menggunakan batu-bata di jalan raya agak sama seperti ini di Batu Pahat.

"Jika perkara sama dapat dilakukan di sini, tentu ia dapat memperlahankan kelajuan kenderaan berat seterusnya mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Menurut Rahman, laluan sejauh kira-kira tiga kilometer yang bersambung dengan laluan ke Sungai Rambai itu sebenarnya adalah jalan kampung yang dibina sejak 1990-an lagi.

Katanya, kampung itu dihuni kira-kira 600 penduduk, ada dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dengan anggaran pelajar melebihi 400 orang di sini.

"Sebagai ibu bapa, kami bimbang dengan keselamatan anak terutama pada waktu puncak. Kami risau jika pemandu kenderaan berat terus memecut di laluan berkenaan," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Tumijah Tamuri, 53, berkata, dia sudah berniaga di tepi laluan berkenaan sejak empat tahun lalu dan sejak kebelakangan ini, jalan terbabit semakin sibuk dengan kenderaan berat.

Katanya, kenderaan berat seperti lori pasir mula melalui jalan itu seawal jam 7 pagi untuk ke tempat kerja dari kedua-dua arah dan pada sebelah petang, ia bermula pada jam 5.

"Ketika ada bonggol sebelum ini, pemandu tidak memandu laju, namun selepas bonggol di buang, mereka semakin bermaharajalela.

"Kami turut bimbang kerana jentera berat juga menggunakan laluan ini, mereka memandu laju tanpa menghiraukan keselamatan penduduk terutama murid serta pelajar sekolah," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 JUN 2012

15 Jun 2012

PEKAN BUKIT GAMBIR DILIMPAHI PEMBANGUNAN


LEDANG: Sepuluh tahun lalu, Bukit Gambir hanyalah sebuah pekan kecil yang kurang dikunjungi kerana destinasi lokasi di dalam daerah Ledang itu dibayangi kepesatan pembangunan bandar Tangkak dan Muar.

Bagaimanapun, pekan yang kini memiliki kira-kira 40,000 penduduk itu sudah jauh berubah dan dianggap bandar kecil penting selepas Muar dan Tangkak.

Kemajuan dinikmati menyaksikan deretan kedai dan pusat perniagaan wujud di pekan itu bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Penduduk Bukit Gambir, Anisah Omar, 40, berkata, masyarakat kini menikmati limpahan kemajuan pembangunan daripada pelbagai projek dilaksanakan kerajaan.

"Sebagai anak jati Bukit Gambir, saya gembira dengan usaha dilakukan kerajaan untuk membangunkan kawasan ini.

"Pekan yang dulunya kurang dikunjungi dan tidak dikenali kini bertukar wajah dan semakin meriah dengan kehadiran pengunjung," katanya.

Menurutnya, 10 tahun lalu dia terpaksa ke bandar Tangkak atau Muar untuk mendapatkan barangan keperluan atau khidmat perbankan tetapi kini, semuanya boleh didapati di pekan berkenaan.

"Penduduk dari beberapa kampung berdekatan tidak lagi perlu ke Muar untuk menyelesaikan urusan perbankan kerana banyak bank mempunyai cawangan di sini.

"Selain itu, barangan keperluan harian juga boleh didapati dengan mudah di pusat perniagaan Bukit Gambir dan harganya jauh lebih murah daripada bandar berdekatan," katanya.

Penduduk, Mohd Izani Salleh, 33, berkata seiring pembangunan dikecapi, pasaran hartanah di Bukit Gambir semakin mendapat sambutan.

Katanya, faktor seperti pembukaan Jalan Bukit Gambir-Sengkang menyebabkan pekan itu menjadi pilihan orang ramai untuk memiliki aset di kawasan berkenaan.

"Dulu, harga rumah kembar setingkat di kawasan ini sekitar RM120,000 hingga RM160,000 saja, tetapi kini rumah sama boleh dijual mencecah RM600,000.

"Itu membuktikan hartanah di kawasan ini semakin bernilai dan mendapat sambutan hangat," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JUN 2012

SULTAN JOHOR MURKA TERHADAP NIZAR

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima teks ucapan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.
 
NUSAJAYA 14 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataan beliau yang mengkritik secara terang-terangan bidaan RM520,000 oleh baginda untuk mendapatkan nombor pendaftaran WWW 1.

Walaupun tidak menyebut secara langsung nama Mohammad Nizar, namun 'pemimpin politik' yang disebutkan dalam titah baginda jelas merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Perak itu yang disifatkan baginda sebagai 'lupa mengenai adab Melayu serta jahil dan cetek akal' kerana bidaan tersebut dibuat mengikut prosedur yang betul.

"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara sebenar. Bukankah berdiam itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik?
Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya 'janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati'.

"Tindakan yang saya buat adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan setiap kebajikan yang saya buat juga tidak perlu diperbesarkan. Tindakan pemimpin ini bukan sahaja mendatangkan kemurkaan kepada saya tetapi juga satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor. 

"Saya harap dia sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor, bukan kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-12, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat yang menyokong dan menyembah ikrar taat setia untuk menjaga kedaulatan raja dan negeri ini. 

Titah baginda, perpaduan rakyat perlu dikekalkan kerana ia adalah asas kepada kewujudan negara dan kemajuan yang diperoleh, ketika ada sesetengah pihak yang mahukan perpecahan berlaku demi kepentingan politik sempit.

"Mereka sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu-isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara kita. 

"Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah 'musang berbulu ayam' ini," titah baginda.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada 12 Jun lalu, memohon maaf kepada Sultan Johor dan rakyat negeri ini namun tetap mempertahankan pendiriannya dengan dakwaan kenyataan di dalam akaun laman Twitter miliknya sebagai disalah tafsir media.

Beliau ketika itu turut menyatakan kesediaan menghadap Sultan Ibrahim untuk memberi penerangan berkaitan laporan media tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JUN 2012

SULTAN JOHOR MURKA TERHADAP NIZAR


Sultan Johor
Sultan Johor
 
NUSAJAYA  - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap bekas Menteri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah mengingatkan kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan bak kata pepatah “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.”

“Baru-baru ini, ada pemimpin politik yang secara terang-terang mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ). Adakah dia lupa tentang adab Melayu? Atau sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek dan akalnya?

“Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar. Bukankah berdiam itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik.

“Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya 'janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati,” titah baginda semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-12 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, setiap tindakan yang baginda buat adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan setiap kebajikan yang dilakukan tidak perlu diperbesarkan.

“Tindakan pemimpin ini bukan sahaja mendatangkan kemurkaan kepada saya, tetapi juga satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor. Saya harap dia sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat.

“Jika hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor, bukan kepada saya seorang sahaja.

"Pepatah Melayu sering mengingatkan terlajar perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Johor yang telah memberikan sokongan kepada saya dan menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi untuk sama-sama menjaga kedaulatan raja dan negeri Johor Darul Takzim yang kita sayangi ini,” titahnya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Sultan Johor bertitah, baginda bersyukur kerana seluruh rakyat di negeri ini mengecapi hidup dalam suasana yang aman dan menikmati kesejahteraan yang lebih baik hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berterusan.

Baginda bertitah, Johor mencapai pelaburan lebih RM2 bilion dalam suku pertama tahun ini manakala Iskandar Malaysia pula merekodkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM87.56 bilion untuk tempoh tahun 2006 sehingga Mac lepas.

"Lebih 30 peratus daripada nilai projek permulaan di seluruh negara yang dilaburkan di negeri ini membolehkan Johor menceburi bidang baru iaitu minyak dan gas yang sekaligus akan menjadi penjana ekonomi utama di selatan negeri ini.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan rakyat dilengkapi dengan kemahiran di semua peringkat termasuk profesional, teknikal dan vokasional untuk membolehkan mereka menjadi tenaga kerja di bidang-bidang baru ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak supaya terus mengekalkan perpaduan memandangkan ada sesetengah pihak yang berusaha untuk menggugat perpaduan rakyat demi kepentingan politik yang sempit.

Sultan Johor bertitah pihak berkenaan sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara.

"Ingatlah bahawa perpaduan merupakan asas wujudnya negara ini dan kemajuan yang kita peroleh adalah hasil daripada perpaduan yang wujud sejak dulu lagi. Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah "musang yang berbulu ayam" ini," titahnya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 JUN 2012

RM3,600 LESAP SEKELIP MATA

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: "Wang yang dicuri itu dikumpul sejak dua bulan lalu untuk dihantar kepada keluarga di kampung. Malangnya, ia lesap sekelip mata," kata Ye Htut Aung, 28, di sini, semalam.

Lelaki warga Myanmar itu kerugian RM3,600 selepas rumah sewa dihuni bersama rakan di Parit Karang Laut, Kesang dimasuki pencuri antara jam 2 petang hingga 6 petang, kelmarin.

Ye berkata, sebelum kejadian, dia bersama seorang lagi rakan serumah yang dikenali sebagai Zaw, keluar bekerja di sebuah kilang berdekatan pada jam 1.40 tengah hari.

"Seperti biasa, kami pastikan rumah dan bilik dikunci sebelum keluar. Bagaimanapun, sejurus pulang kerja pada jam 7 petang, kami dapati rumah berselerak.

"Penjenayah menyelongkar semua bilik dan melarikan wang tunai, telefon bimbit serta komputer riba yang baru dibeli," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati.

Menurut Ye, sejak dua tahun bekerja di negara ini, itu kali pertama rumah sewanya dipecah masuk.

Apa yang lebih menyedihkan Ye ialah wang tunai yang dikumpul itu adalah untuk kegunaan keluarganya di Myanmar.

"Sudah menjadi kebiasaan untuk saya menunggu gaji akhir bulan sebelum dihantar kepada keluarga. Gaji bulanan saya tidak banyak dan saya terpaksa mengikat perut bagi memastikan sebahagian daripadanya dapat dihantar ke kampung.

"Sepatutnya saya menghantar wang itu bersama wang gaji pada akhir bulan ini, saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga berkaitan kejadian," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

"Kami sudah merekodkan keterangan daripada mangsa dan siasatan masih berjalan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JUN 2012

AWASI TABIAT MAKAN ANAK-ANAK

Wartawan Sinar Harian
  
Awasi tabiat makan anak-anak
Tahir menurunkan tandatangan sebagai simbolik melancarkan Mini Karnival
Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.

LEDANG - Ibu bapa dan pengusaha tadika diminta menyediakan diet yang sihat untuk kanak-kanak bagi menggalakkan pertumbuhan yang baik dari segi mental dan fizikal mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat berkata, mereka juga perlu menghalang anak-anak daripada makan makanan ringan secara berlebihan yang boleh menyebabkan obesiti dan pertumbuhan tidak seimbang.

Menurutnya, bayi dan kanak-kanak prasekolah harus diberikan formula pemakanan yang sihat dan lengkap dengan nutrisi seimbang termasuk susu bagi memastikan mereka  memperoleh diet sihat untuk membesar.

“Kita sering berasa gembira apabila lihat kanak-kanak montel dan menyangka mereka sihat, tetapi sebaliknya.

“Montel bermakna bayi atau kanak-kanak ini mengalami  masalah lebihan berat badan,” katanya ketika berucap melancarkan Mini Karnival Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, diet dan gaya hidup sihat sentiasa diperlukan sepanjang masa.

“Tabiat pemakanan yang sihat akan menggalakkan pertumbuhan fizikal dan mental yang baik dalam kalangan kanak-kanak, secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan rohani serta intelek.

“Saya menyambut baik penganjuran karnival ini kerana dapat memberi pendedahan kepada penduduk kampung berkaitan kepentingan diet sihat,” katanya.

Katanya, karnival tersebut juga melibatkan perbincangan mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat serta acara sukan berorientasi keluarga.

Terdahulu Timbalan  Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Johor, Kapten (B) Abdul Rahim Mohd Salleh berkata, penganjuran karnival berkenaan bertujuan untuk  mempromosikan cara pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan telah memutuskan untuk menganjurkan sembilan karnival yang sama tahun ini dan Pagoh menjadi tuan rumah ketiga selepas Ledang dan Kota Tinggi,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 JUN 2012

PROGRAM KELAB 1MALAYSIA SMK LEDANG PADA 20 JUN 2012

Pejabat Penerangan Daerah Ledang akan mengadakan Program Kelab 1Malaysia S.M.K. Ledang antara pengisian program ini adalah Ceramah 1Malaysia dan Persembahan Sketsa Rukun Negara dimana S.M.K. Ledang mewakili Kelab 1Malaysia di Daerah Ledang ke Peringkat Negeri Johor program ini akan diadakan di  Dewan S.M.K. Ledang pada 20 Jun 2012  jam 8.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Penerangan Daerah Ledang  di talian  06-9781033 .

PROGRAM SEHATI SEJIWA KOMUNITI 1MALAYSIA KG SENGKANG BATU 18-19 PADA 17 JUN 2012

Ahli Parlimen Ledang, Yang Berhormat IR Tuan Haji Hamim Bin Samuri, akan menghadiri seterusnya merasmikan Program Sehati Sejiwa Komuniti1Malaysia Kg Sengkang Batu 18-19  yang akan diadakan di  Kem Motivasi Sri Gelam Sengkang Batu 18  pada 17 Jun 2012  jam 8.00 pagi perasmian pada 3.30 petang.


Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Penerangan Daerah Ledang  di talian  06-9781033 .
 

PROGRAM PENGIMARAHAN PUSAT MAKLUMAT RAKYAT SEMPENA KUNJUNGAN PELATIH PLKN DARI KEM SRI LEDANG PADA 16 JUN 2012

Pejabat Penerangan Daerah Ledang akan mengadakan Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat Sempena Kunjungan Pelatih PLKN Dari Kem Sri Ledang
yang akan diadakan di  Pejabat Penerangan Daerah Ledang pada 16 Jun 2012  jam 12.00 tengahari.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Penerangan Daerah Ledang  di talian  06-9781033 .

PROGRAM PENGAMALAN SAKINAH DUN SEROM 2012 PADA 16 JUN 2012

Ahli Parlimen Ledang, Yang Berhormat IR Tuan Haji Hamim Bin Samuri, akan menghadiri seterusnya merasmikan Program Pengamalan Sakinah DUN Serom 2012 yang akan diadakan di  Dewan Kompleks Sukan Komuniti Serom  pada 16 Jun 2012  jam 8.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim Daerah Ledang  di talian  06-9788177 .

14 Jun 2012

LEBIH 2,000 HADIR, AKUI MANFAAT PENGANJURAN

PERSEMBAHAN pancaragam sekolah turut memeriahkan Karnival Sukan Rakyat 2012. 
 
PAGOH 13 Jun - Kira-kira 2,000 orang hadir pada Karnival Sukan Rakyat di padang awam Felda Sri Ledang dekat sini baru-baru ini, yang berlangsung dengan penuh meriah menerusi pelbagai acara sukan dan persembahan kebudayaan.

Karnival itu juga bertambah meriah dengan kehadiran pelawak tersohor, Abon yang turut bertindak sebagai pengacara.

Ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Sri Ledang, Zahari Aman, 50, menyifatkan karnival tersebut sebagai pendekatan baik mengumpulkan penduduk tanah rancangan itu dan kawasan sekitarnya untuk sama-sama menjalankan aktiviti.

"Karnival ini juga menyasarkan orang muda dan belia sebagai pengisian untuk mereka di samping pelbagai pameran agensi kerajaan dan swasta selain peluang perniagaan kepada peniaga di sini untuk menambah pendapatan.

"Saya kira penganjuran ini adalah cara terbaik menyatupadukan masyarakat di sini tidak kira apa jua latar belakang dan pegangan politik," katanya ketika ditemui selepas perasmian karnival tersebut.

Sementara itu, Laili Husin, 44, meluahkan rasa seronok kerana selain pertama kali diadakan di Felda Sri Ledang, karnival itu juga memberinya peluang menemui 'rakan sejawatan' dari Felda sekitarnya.

Dia yang menyertai pelbagai acara melibatkan suri rumah seperti pertandingan menganyam ketupat dan gubahan bunga hidup, bersetuju dengan objektif penganjuran karnival iaitu untuk menyemai perpaduan ketika rakyat dikusutkan dengan pelbagai polemik politik.

Bagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Nur Atika Jasni, 23, pula, pelawaan pensyarah kepadanya dan rakan-rakan sekuliah untuk memeriahkan karnival itu tidak disia-siakan kerana dapat melihat sendiri kemeriahan masyarakat desa.

"Orang Felda Sri Ledang ini peramah dan saya sedikit sebanyak dapat merasai kehidupan di desa melalui pertemuan dengan penduduk sebaik tiba di sini sejak awal pagi," katanya.

Peniaga tempatan, Muhammad Faiz Termizi, 24, turut menyifatkan karnival yang diadakan sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana bukan selalu masyarakat desa dapat berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama.

Menurutnya, pelbagai pendedahan diterima melalui pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang dikunjungi bersama rakan-rakan lain selain peluang bertemu kenalan dan mewujudkan rangkaian baru perniagaan.

"Saya juga sempat mendaftar sebagai pengundi melalui gerai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada di sini. 

"Rasanya ramai lagi rakan seusia saya yang kini mempunyai kesedaran mengambil peluang menyediakan diri menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara tidak lama lagi," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JUN 2012

KARNIVAL PUPUK PERPADUAN PENDUDUK

SEBAHAGIAN orang ramai yang menghadiri Program Karnival Sukan Rakyat 2012 di Felda Seri Ledang, Pagoh, baru-baru ini. 
 
PAGOH 13 Jun - Orang bandar yang datang ke mana-mana kawasan Felda biasanya menikmati rasa kedamaian desa dengan suasana tenang tanpa hiruk-pikuk metropolitan.

Namun, tidak terdetik di hati mereka bahawa penduduk tanah rancangan itu juga sekali-sekala memerlukan hiburan sekeluarga apatah lagi dalam kalangan belia.

Perkara itu yang menjadi perhatian Kelab Sukan dan Kebajikan Sri Ledang bersama UMNO Cawangan Sri Ledang Utara dengan menganjurkan Karnival Sukan Rakyat buat julung kalinya di Felda Sri Ledang.

Ia bagi memberi peluang kepada aktiviti bersosial melalui acara sukan di padang awal tanah rancangan tersebut.

Pengerusi penganjur, Datuk Zaaba Aman berkata, karnival yang mendapat tajaan Tenaga Nasional Bhd. dan UMW Toyota itu merupakan susulan daripada beberapa acara sukan yang pernah dianjurkan di sini, sebelum ini seperti sepak takraw, bola sepak dan sukan-sukan lain.

"Karnival ini diadakan bukan sahaja untuk berseronok, tetapi bagi memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk melalui pertandingan dan aktiviti bersama yang dilakukan. 

"Selain itu, pelbagai gerai jualan dan pameran melibatkan agensi kerajaan dan swasta membolehkan penduduk Felda Sri Ledang dan Felda berhampiran mengetahui lebih dekat program dan kemudahan yang ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di karnival tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan perasmian karnival itu bersempena dengan aktiviti turun padang beliau selama sehari di Pagoh sejurus selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah dan jamuan bersama jemaah di Masjid al-Muhajirin, tidak jauh dari lokasi karnival.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh merasmikan Surau Raudhatul Jannah Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sri Lanang di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang, di sini yang disumbangkan Koperasi Guru-Guru Malaysia Barat.

PELATIH PLKN Kem Seri Ledang turut menyertai Karnival Sukan Rakyat 2012 di Felda Seri Ledang, Pagoh. 
 
Muhyiddin dalam ucapannya memuji penganjuran karnival sedemikian sebagai salah satu cara memupuk kerjasama dan perpaduan melalui acara sukan tradisional yang dipertandingkan dan menyifatkan ia selari dengan hasrat kerajaan mempromosi aktiviti sosial yang sihat.

Dalam pada itu, Zaaba berkata, karnival itu mendapat sambutan baik penduduk kerana turut melibatkan penyertaan mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sri Ledang dan penuntut Institut Latihan Perindustrian Ledang.

"Kita menyediakan 15 acara iaitu pertandingan sepak takraw, futsal, badminton dan acara lain, termasuk sukan tradisi seperti lari dalam guni dan tarik tali serta program khas untuk golongan suri rumah seperti anyam ketupat, memasak dan gubahan bunga hidup.

"Tidak ketinggalan pertandingan mewarna bagi anak-anak Felda yang masih bersekolah agar mereka tidak berasa ketinggalan dalam kemeriahan sambutan ini," katanya.

Tambah beliau, pengunjung yang membeli tiket berharga RM2 layak mendapat pelbagai hadiah menerusi cabutan nombor bertuah termasuk sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai RM3,500.

"Insya-Allah kita akan mengadakan karnival sama tahun depan berdasarkan sambutan baik penduduk setempat dan Felda sekitarnya bagi membawa keceriaan dan aktiviti untuk golongan muda," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JUN 2012

FORUM PERDANA HAL EHWAL ISLAM PADA 15 JUN 2012


Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri Program Forum Perdana Hal Ehwal Islam Sempena Maulidur Rasul S.A.W. 1433H yang akan diadakan  Perkarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir  pada 15 Jun 2012  jam 9.00 malam.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Daerah Ledang  di talian  06-9787100 .

MAJLIS PENYAMPAIAN NOTIS 5A DAERAH LEDANG PADA 15 JUN 2012


Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Majlis Penyampaian Notis 5A Daerah Ledang dan menyampaikan kepada penerima yang akan diadakan  Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak Ledang pada 15 Jun 2012  jam 3.00 petang.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Tanah Daerah Ledang  di talian  06-9781008 .

13 Jun 2012

DANGER FROM EXPOSED SWITCH BOX


CALLING FOR ACTION: Park visitors want the authorities to repair the switch box before a tragedy happens
 
Danger from exposed switch box
The switch box at Tanjung Emas recreational park in Muar. Pic by Hai Rozzaman Jalal
LEDANG: THE exposed electrical switch box at the Tanjung Emas recreational park is a  danger to the  public, especially the children.
    A check  showed that the switch box's lid has been damaged and it cannot be locked.

  Visitor Umar Sarkinin, 60, said with the box open, there is a danger of people coming into contact with the live wires.

  "It is dangerous, especially for children, as the box is   near the park, which is a favourite among visitors."

  Umar said he was  worried that children playing at the park who  come into contact with the box may get an an electric shock.

 "The local authorities should take immediate action to repair the box to prevent accidents.

  "The park is a favourite among the public, especially during school holidays and weekends," said Umar.

  Mohd Hairulnizam Othman, 35, urged the authorities to monitor the situation at the park  to ensure the safety of the visitors.

 "Children would not know the danger of touching the box," he said, while urging parents to keep an eye on their children if they were playing there.

 "I hope the authorities  take immediate action to repair the  switch box," he said.

SOURCE: NST JOHOR STREETS, JUNE 13, 2012

09 Jun 2012

MENTERI BESAR TERNYATA KECEWA

ABDUL Ghani Othman (kiri) diiringi oleh Hamim Samuri (dua dari kiri) melawat tapak pameran sebuah farmasi sempena Karnival Mini Pemakanan Sihat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 8 Jun - Kempen Gaya Hidup Sihat yang diperkenalkan sejak 12 tahun lalu di negeri ini disifatkan gagal mencapai matlamat kerana bilangan penghidap sakit berbahaya masih lagi tinggi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perkembangan itu menimbulkan tanda tanya sedangkan panduan pengambilan makanan dalam kempen tersebut amat berkesan jika diamalkan.

"Program ini tidak berjalan lancar sejak 12 tahun lalu dan tidak tahu kenapa. Serentak dengan kempen itu kita lancarkan senaman J-Robik di peringkat negeri dengan tujuan yang sama.

"Ini semua untuk membantu rakyat menghindari penyakit dan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya berucap merasmikan Karnival Mini Pemakanan Sihat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; ADUN Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Johor, Abdul Rahman Salleh.

Abdul Ghani berkata, masyarakat perlu sedar bahawa tabiat pemakanan mereka ketika ini yang makan secara berlebihan boleh memudarat dan menyebabkan penyakit berbahaya.

Justeru, beliau berharap melalui kempen tersebut kesedaran dapat dilahirkan kerana majoriti masyarakat negara ini amat mewah dengan pelbagai makanan.

"Kita minta program seumpama ini diterus dan ditambah lagi pada masa depan di peringkat daerah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan setempat," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sasaran program tersebut ialah masyarakat setempat bagi membolehkan mereka memberi perhatian terhadap kesihatan, sekali gus melahirkan generasi sihat, cergas dan bebas penyakit.

Katanya, kempen yang bukan sahaja diadakan di Muar, Labis, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Pagoh itu menyediakan ruang pameran, forum, ceramah kesihatan, pertandingan kesihatan dan sebagainya bagi melahirkan golongan celik kesihatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 JUN 2012

06 Jun 2012

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP MINI KARNIVAL PEMAKANAN SIHAT KEMAS DAERAH LEDANG 2012 PADA 09 JUN 2012

Ahli Parlimen Ledang, Yang Berhormat IR Tuan Haji Hamim Bin Samuri akan menutup rasmi Mini Karnival Pemakanan Sihat KEMAS Daerah Ledang 2012 yang akan diadakan  Dewan Serbaguna Bukit pada 09 Jun 2012  jam 11.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat KEMAS Daerah Ledang  di talian 06-9772250.

MAJLIS PERASMIAN MINI KARNIVAL PEMAKANAN SIHAT KEMAS DAERAH LEDANG 2012 PADA 08 JUN 2012

Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Mini Karnival Pemakanan Sihat KEMAS Daerah Ledang 2012 ini pada 08 Jun 2012 jam 10.00 pagi. Antara pengisian program ini adalah seperti jualan  makanan, pameran dari agensi dan jabatan kerajaan, pemeriksaan kesihatan, program derma darah, pendaftaran derma orgen, pendaftaran Tabika KEMAS 2012&2013, Rawatan Alternatif, rawatan Islam Syifa, urutan, hemopathy, Autoshow, pertandingan mewarna, ceramah dan kuiz kesihatan, pertandingan bercerita, pertandingan bintang kecil dan pelbagai lagi program ini akan diadakan  di Dewan Serbaguna Bukit Gambir  pada 08hb&9hb Jun 2012 dari  jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang perasmian pada pada 08 Jun 2012  jam 10.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat KEMAS Daerah Ledang  di talian 06-9772250.

MAHASISWA DIMINTA KUASAI PELBAGAI ILMU

ABDUL Ghani Othman (belakang tengah) bersama penuntut UKM yang mengikuti Program Khidmat Komuniti di Dewan Kampung Solok, Tangkak, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 5 Jun - Golongan mahasiswa diminta menguasai pelbagai bidang ilmu supaya ia dapat diaplikasikan untuk kepentingan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ilmu dan kemahiran yang diterima semasa di kuliah seharusnya diaplikasikan kepada masyarakat dengan lebih meluas menerusi program kemasyarakatan yang dijalankan.

"Saya harap anda semua dapat memberi sumbangan daripada program komuniti itu bagi kepentingan keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhan," katanya semasa merasmikan Program Khidmat Komuniti oleh 85 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri serta Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin. Program selama tiga hari itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam membentuk golongan saling sepakat selain mendedahkan mahasiswa kepada persekitaran lebih mencabar.

Ia juga sebagai usaha membentuk golongan belia bagi menyahut cabaran dalam apa juga keadaan di samping mengajak golongan terbabit menyumbang buah fikiran ke arah pembangunan masyarakat yang lebih dinamik dan berkualiti.

Abdul Ghani juga berharap, golongan mahasiswa dan pensyarah UKM yang terbabit dapat menjalankan kajian lebih terperinci mengikut bidang ilmu masing-masing di kampung terbabit iaitu Kampung Solok, Kampung Bukit Banjar dan Kampung Sri Jaya demi faedah masyarakat sekeliling.

Sementara itu, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim meminta peserta menimba seberapa banyak pengalaman pada program berkenaan.

Beliau berkata, program seumpama itu adalah yang ketiga diadakan tahun ini selepas Kelantan dan Pahang.
"Sempena 42 tahun UKM, kita mahu mengadakan sekurang-kurangnya tujuh program khidmat komuniti tahun ini dan selepas ini kita merancang ke Sabah pada Julai ini," katanya.

Pada program membabitkan penuntut pelbagai jurusan itu, antara aktiviti yang diadakan seperti anak angkat dan ceramah oleh pakar perubatan UKM mengenai aspek kesihatan kepada penduduk kampung.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JUN 2012

03 Jun 2012

'BANGUNLAH NAK, JANGAN TINGGAL AYAH'

LEDANG: "Izwan, bangunlah nak, jangan tinggalkan ayah," rintih Hashim Kamat, 55, ketika memangku jenazah anak lelakinya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, Mohd Izwan Farid, 19, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Bukit Gambir.

Hashim yang tiba tidak lama selepas kejadian sempat memangku jenazah anaknya hampir sejam sebelum jenazah dihantar ke Hospital Tangkak.

Menurut Hashim, ketika menerima panggilan daripada adik Izwan, Hamizad, 16, berkaitan kemalangan itu, dia berasakan seolah-olah bermimpi dan tidak percaya dengan maklumat itu.

"Ketika dimaklumkan berkaitan kejadian, saya berada di Kampung Parit Jarum Darat kerana menghadiri gotong-royong perkahwinan anak saudara.

"Ia bagaikan mimpi kerana sejam sebelum itu, saya bertemu Izwan di rumah dan dia kelihatan ceria seperti biasa," katanya.

Menurut Hashim, Izwan tidak bekerja pada hari kejadian dan sepanjang di rumah, dia juga tidak menunjukkan kelakuan pelik.

Katanya, jarak lokasi kemalangan dengan rumahnya di Kampung Batu 19 hanya tiga kilometer.

"Arwah tidak memaklumkan apa-apa dan ketika kejadian, dia kemungkinan dalam perjalanan ke Pekan Bukit Gambir untuk bertemu rakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

Harun berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah Sengkang menghala Bukit Gambir dan tiba di tempat kejadian, dia dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

"Mangsa berkemungkinan gagal memotong lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

"Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa berkecai dan mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan," katanya.

SUMBER: METRO AHAD, 03 JUN 2012

TAK SANGKA PERTEMUAN TERAKHIR

Oleh Azidan Nahar

LEDANG: Orang ramai tersentuh melihat seorang bapa memangku dan memeluk mayat anaknya hampir sejam selepas mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, Mohd Izwan Farid Hashim, 19, dari Kampung Batu 19, Sengkang, dekat sini, meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan Perodua Kelisa.

Bapa mangsa, Hashim Kamat, 55, yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan bergegas ke tempat kejadian sebelum terus memangku anaknya sehinggalah dibawa ke Hospital Tangkak.

Hashim berkata, ketika kejadian menghadiri gotong-royong majlis perkahwinan anak saudaranya di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir sebelum menerima panggilan telefon daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16.

"Saya sangat terkejut kerana kami baru saja bertemu satu jam lalu di rumah sebelum saya pergi ke Kampung Parit Jarum Darat. Malah pada hari kejadian arwah tidak bekerja dan sempat membantu memberi makanan kepada lembu peliharaan," katanya.

Hashim berkata, Mohd Izwan tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan beliau berasa sedih kerana kejadian itu berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya, Mohd Izwan juga tidak memaklumkan untuk keluar rumah pada malam kejadian dan kemungkinan anak lelakinya itu hendak bertemu rakannya di pekan Bukit Gambir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal daripada arah Sengkang menghala Bukit Gambir cuba memotong kenderaan lain namun gagal sebelum dirempuh Perodua Kelisa.

SUMBER: BERITA MINGGU, 03 JUN 2012

SASAR HASIL PADI 10 TAN METRIK SEMUSIM

LEDANG 2 Jun - Pejabat Pertanian Ledang menyasarkan hasil padi meningkat kepada lebih 10 tan metrik berbanding empat tan metrik sehektar bagi setiap musim yang mampu dihasilkan ketika ini.

Pegawai Pertanian Daerah, Abdullah Rashidi berkata, hasil itu mampu dicapai dengan menggunakan benih padi, kaedah penanaman, pembajaan dan penjagaan yang betul.

"Strategi penanaman tiga musim setahun perlu diubah, misalnya musim pertama ditanam padi jenis CL1, musim kedua (CL2) dan musim ketiga jenis MR219, MR220, MR253 dan sebagainya bagi mengelak risiko serangan penyakit atau serangga.

"Kaedah pengawalan dan penjagaan juga perlu dilakukan dengan penggunaan baja biasa, baja tambahan dan racun yang betul bagi memastikan produktivi meningkat," katanya ketika ditemui pada Seminar Meningkatkan Kualiti Pengurusan Tanaman Padi MR219 dan MR220 di Pejabat Pertanian Sawah Ring, Bukit Gambir, dekat sini baru-baru ini.

Abdullah berkata, sebelum ini seramai 396 pesawah di daerah itu tidak mengamal cara pertanian yang betul dan moden kerana proses penanaman serta penuaian bagi setiap musim dilakukan serentak.

Sekiranya kaedah penanaman hingga penuaian dilakukan dengan yang betul, setiap hektar sawah mampu menghasilkan 10 tan metrik padi dengan nilai RM12,000 berbanding empat tan metrik dengan pendapatan RM5,000 ketika ini, katanya.

Menurutnya, keperluan meningkatkan hasil padi adalah penting kerana sawah di Ledang adalah yang terbesar iaitu merangkumi 70 peratus dari keseluruhan kawasan padi di negeri ini.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 03 JUN 2012

BAPA PANGKU ANAK KALI TERAKHIR

LEDANG 2 Jun - Seorang bapa sempat memangku dan memeluk tubuh kaku anak lelakinya selama satu jam selepas terlibat dalam kemalangan sebelum dihantar ke bilik mayat di Hospital Tangkak di sini malam tadi.

Hashim Kamat, 55, tidak dapat melupakan saat akhir menatap wajah anaknya, Mohd. Izwan Farid, 19, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir dekat sini pada pukul 9.50 malam.

Dia mengetahui kejadian malang itu apabila menerima panggilan daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16, mengatakan arwah terlibat dalam kemalangan.

Semasa menerima panggilan tersebut dia berada di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.

"Saya amat terkejut kerana kami baru sahaja bertemu sejam sebelum itu di rumah sebelum saya pergi ke rumah kenduri. Sebelum kemalangan, arwah tidak pula menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

"Apa yang menyedihkan, kejadian berlaku hanya tiga kilometer dari rumah kami di Kampung Batu 19, Sengkang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Sengkang ke Bukit Gambir dan dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

"Bagaimanapun, dia gagal menyebabkan motosikalnya memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa. Akibatnya, mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan manakala motosikalnya berkecai.

"Pemandu kereta Kelisa hanya mengalami cedera ringan di muka akibat terkena serpihan kaca cermin rempuhan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau meminta saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 03 JUN 2012

02 Jun 2012

KADAR KEMALANGAN DI LEDANG MENINGKAT

LEDANG 1 Jun - Statistik kemalangan jalan raya di daerah ini bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini meningkat 30 kes kepada 587 kes berbanding 557 kes bagi tempoh sama tahun lalu dengan kebanyakannya melibatkan pembonceng dan penunggang motosikal iaitu 231 kes.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kemalangan maut melibatkan pembonceng dan penunggang motosikal juga tinggi iaitu 12 daripada 23 kes kemalangan maut sepanjang tempoh tersebut.

"Kemalangan bagi kategori ini juga dikenal pasti penyumbang utama peningkatan statistik kemalangan maut di daerah ini. Antara laluan yang kerap berlaku kemalangan adalah di Jalan Bandaran-Sungai Mati dan Jalan Muar-Segamat," katanya.

Justeru, beliau menasihati pengguna supaya berhati-hati ketika menggunakan laluan tersebut terutamanya pada waktu puncak dan malam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JUN 2012

KERJA AMAL KKTM LEDANG

Secebis pendapat marhain mengenai kerja amal di Kg Kesang Laut



nizran nadzar 
nizranbaik@gmail.com

9:13 PG (22 jam yang lalu)

Kerja Amal KKTM Ledang



Hari nie adalah hari kedua bagi kerja Amal kelolaan KKTM Ledang. Semalam rasa macam santai, bukan apa, semalam keluarga yg dibantu tidaklah dalam keadaan dhaif mana.

Tapi keluarga yg dibantu pd hari ini sangat berpatutan, sangat bersesuaian, malah sangat tidak mencukupi.

Sedih juga bila melihat keluarga ni. Kematian suami, kematian anak membuatkan ibu kepada 4 beradik nie overstress.dan terganggu mentalnya.

Salah seorang anak perempuannya pula mengalami penyakit mental. Yg lain.masih bersekolah dan masih kecil.

Syukur, keluarga ini memang menerima sumbangan orang ramai, namunbegitu, ketidakmampuan mereka dalam menguruskan bantuan yg diterima (seperti pakaian dan beras) 
membuatkan banyak bantuan tersebut akhirnya terpaksa dibuang dan dibakar oleh pihak sukarelawan akibat rosak dan busuk.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila didapati keadaan tandas yg tidak boleh digunakan lagi dan bilik air rosak.


Sedih bila mengenangkan bahawa saya hanya dapat datang pada hari ini dan bukannya semalam.. Sekiranya tidak, rasanya mungkin dapat membantu tenaga lebih banyak lagi hatta walapun terpaksa menelan beberapa biji ponstan akibat dah lama x pegang cangkul.

Bertambah sedih juga bila mengenangkan bantuan sumbangan yang dapat disalurkan tidak dapat membantu banyak.. Hanya dapat menggantikan atap zink dan menyimen sekangkang kera bahagian dapur yang sebelum ini atas tanah serta membaiki sedikit tingkap yg tidak berfungsi.

Kedengaran berbagai keluhan bagaimana betapa tidak berfungsi sangat Jawatankuasa Kampung dan ahli surau beserta imamnya., betapa sempoi jiran2 yang hanya melihat di tepi rumah.. dan betapa besarnya rumah adik beradik kepada.keluarga malang yang jaraknya sepelaung

Namun begitu kedengaran juga berbagai pendapat dan hujah mengenai cara-cara utk mendapatkan lebih sumbangan.. yang boleh dicadangkan dan digerakkan oleh JAWATANKUASA KAMPUNG.
  1. Ketua kampung menganjurkan kutipan derma RM10 sekeluarga dari setiap keluarga didalam kampung. Jumlah yang dikumpul bagi membantu menambah baik dan membina tandas dan bilik mandi yang sangat teruk itu. Dapat juga menaikkan dinding simen di bahagian dapur yang hanya menggunakan khemah usang dan dinding kanvas...
  2. Menyalurkan permohonan bantuan utk membina tandas dengan tangki septik yang lebih baik kepada pejabat kesihatan.
  3. Menguatkan ukhwah dan sikap bantu membantu dikalangan orang kampung.
  4. Mengukuhkan dan sekiranya perlu;  merombak kepimpinan Jawatankuasa Kampung bagi meningkatkan tahap keberkesanan fungsi jawatankuasa tersebut.
  5. Mewujudkan kelab atau persatuan pemuda kampung yang boleh digerakkan sebagai  kumpulan sukarelawan.
  6. Langkah terakhir adalah panggil press... InsyaAllah, nanti datanglah YB datuk2 prof2 terhegeh hegeh bagi alasan. Ehh silap.. YB pun dah datang dah... Mari kita lihat tahap keberkesanan mereka pula.

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah yang sangat2 kepada adik2 sukarelawan daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang. Tidak terhingga besarnya jasa kalian, Allah juga lah yang akan membalasnya. Tahniah kpd orang2 kampung yang menolong, Tahniah kepada kakitangan dan pengurusan yang juga bersama-sama turun padang dan mereka2 yang terlibat dalam merancang, menyusun dan mengendali program. Anda semua adalah insan mukhlisin yg menunjukkan sikap mukmin yang baik.
Kerana Allah...

Post ini akan di berikan link nya hingga ke blog2 muar dan ledang.. Semoga sedikitlah risikonya kepada diri hamba yang tiada kuasa dan pangkat ini. Terima kasih...