TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Oktober 2012

SME BANK SUMBANG RM25,000

ABDUL Ghani Othman menyampaikan replika cek wang zakat kepada Pengerusi JKKK Kampung Sialang, Mohd. Yusof Ahmad (kiri) sambil diperhatikan Sheikh Ghazali Sheikh Abod (kanan) di Kampung Sialang, Tangkak, baru-baru ini. 
 
LEDANG 30 Okt. - Empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebuah surau di Tangkak menerima sumbangan wang zakat RM25,000 dan tujuh ekor lembu daripada SME Bank sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi kewangan itu sempena Aidiladha kali ini.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang menerima sumbangan itu ialah JKKK Sialang; Tanjung Labuh; Seri Maamor; Padang Lerek 1 dan 2 dan Surau Anjung Batu.

Setiap satu menerima RM5,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf di kampung berkenaan sementara daging korban bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan SME Bank, Dr. Sheikh Ghazali Sheikh Abod berkata, program yang julung kali dianjurkan itu dapat memberi peluang syarikat korporat turun padang untuk bertemu dan beramah mesra bersama penduduk kampung sambil menyampaikan sumbangan.

"Keuntungan yang diraih SME Bank wajib dikongsi bersama masyarakat dengan menyalurkannya melalui pengeluaran zakat untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya," katanya ketika berucap pada Majlis Korban Perdana dan Sumbangan Wang Zakat 2012 anjuran UMNO Bahagian Ledang dan SME Bank di Kampung Sialang, Tangkak, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin; Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib dan Ketua Kampung Sialang, Mohd. Yusof Ahmad.

Sebanyak 31 daripada 48 ekor lembu disembelih dan dilapah oleh penduduk Kampung Sialang sebelum dagingnya diagihkan kepada penerima di Parlimen Ledang. 

Sheikh Ghazali berkata, SME Bank akan terus menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dari semasa ke semasa dan berharap setiap program dapat memberi impak kepada masyarakat untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, penyertaan syarikat korporat dalam menyalurkan sumbangan zakat kepada masyarakat dalam melaksanakan CSR adalah satu perkembangan positif.

Katanya, terkini kutipan zakat di negeri ini mencecah RM100 juta berbanding lapan tahun lalu yang tidak sampai RM50 juta berikutan kesedaran individu dan korporat membayar zakat.

Beliau berharap setiap umat Islam dapat menghayati konsep yang terkandung dalam perayaan korban dan mengambil pengajaran daripada pelaksanaan ibadah itu untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OKTOBER 2012

29 Oktober 2012

KERAJAAN JOHOR MULA EDAR BEKALAN MAKANAN, PERSIAPAN HADAPI BANJIR

LEDANG - Kerajaan negeri Johor sudah mula menghantar stok bekalan makanan kepada penduduk di kawasan pulau dan pedalaman negeri ini yang sering terputus hubungan akibat banjir sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.
  
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata pihaknya sudah memilih kedai-kedai yang akan membekalkan makanan bagi memastikan penduduk terlibat dalam bencana alam itu tidak terputus bekalan.
  
"Kita telah mengenal pasti tempat dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir dan melengkapkan segala kemudahan logisitk supaya bantuan kepada mangsa banjir mudah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis korban perdana Parlimen Ledang, di sini, hari ini.
  
Abdul Ghani berkata kerajaan negeri telah menerima maklumat dari Jabatan Meteorologi mengenai ramalan kadar hujan turun di negeri ini yang dijangka lebih daripada paras biasa pada tahun ini.
  
Beliau berkata sehubungan itu pihaknya sedang menunggu laporan terkini mengenai ramalan cuaca dari jabatan berkenaan untuk dijadikan panduan.

Katanya, semua penduduk kawasan yang mudah dinaiki air dinasihatkan lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan dan mereka perlulah segera berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa berbuat demikian.
  
Terdahulu sebanyak 31 daripada 43 ekor lembu yang diperuntukkan bagi program sempena Aidiladha telah disembelih di kawasan masjid.
  
Pada majlis itu, Abdul Ghani yang juga Ketua Umno Bahagian Ledang menerima sumbangan tujuh ekor lembu dan bayaran zakat berjumlah RM35,000 dari Bank SME untuk penduduk di lima kampung kawasan berkenaan. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 29 OKTOBER 2012

27 Oktober 2012

DUA PEKEBUN KECIL MENANG HADIAH CANTAS ALAT MEMOTONG TANDAN SAWIT BERMOTOR

AHMAD Manud (dua kiri) memenangi mesin Cantas sambil diperhatikan Zulkifli Shawal (dua kanan) pada Program Jom Guna Cantas di Bukit Gambir, Ledang, Johor baru-baru ini. 
LEDANG 26 Okt. - Dua pekebun kecil kelapa sawit, Alias @ Aziz Yunos dan Ahmad Manud masing-masing memenangi hadiah cabutan bertuah berupa satu unit pemotong sawit bermotor dikenali sebagai Cantas dalam Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang di Kompleks Mohd. Janis Sdn. Bhd., Bukit Gambir dekat sini kelmarin.

Kedua-duanya membawa pulang mesin berharga RM3,400 itu yang disampaikan oleh Ketua Wilayah Selatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Zulkifli Shawal dalam majlis tersebut.

Aziz, 73, yang juga Ahli Lembaga Koperasi Membeli Tanah Mukim Grisek Berhad berazam memanfaatkan mesin itu untuk menuai hasil sawit di kebunnya yang seluas dua hektar.

"Penggunaan mesin penuai sawit bermotor itu memudahkan kerja penuaian kelapa sawit dan pemangkasan pelepah terutama bagi pokok yang ketinggiannya di bawah paras 4.5 meter.

"Saya juga bercadang memperkenalkan mesin Cantas ini untuk digunakan di ladang koperasi bagi meningkatkan produktiviti penuaian buah kelapa sawit yang dilakukan pekerja ladang," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Senduk, Grisek, dekat sini.

Ahmad, 72, bersyukur kerana menang cabutan itu kerana telah menyimpan hasrat untuk membelinya sendiri bagi memudahkan kerja memotong pelepah dan menuai buah kelapa sawit.

Katanya yang menetap di Kampung Parit Raja, Grisek, mesin itu akan dicuba untuk menuai buah sawit di kebunnya seluas 7.30 hektar.

Program itu bertujuan memperkenalkan penuai sawit bermotor kepada peniaga, penuai dan pekebun kecil kelapa sawit untuk meningkatkan produktiviti selain menyelesaikan masalah kekurangan buruh dari luar.

Sempena program itu, tiga syarikat pengeluar Cantas mengadakan pameran dan penerangan penggunaan mesin penuai sawit bermotor selain kaunter Agro Bank Cawangan Bukit Gambir.

MPOB turut membuka kaunter pelesenan dan kaunter permohonan Skim Diskaun Cantas (Skidic) yang menawarkan diskaun RM1,000 kepada pemohon yang berminat untuk membeli mesin Cantas.

 SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2012

REBUT TAWARAN SKIDIC SEBELUM HUJUNG TAHUN INI

LEDANG 26 Okt. - Pekebun kecil dan syarikat peladangan sawit di negeri ini tidak harus melepaskan tawaran Skim Diskaun Cantas (Skidic) untuk mendapatkan pemotong sawit bermotor dikenali sebagai Cantas dengan potongan harga RM1,000 sehingga hujung tahun ini.

Ketua Wilayah Selatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Zulkifli Shawal berkata, mesin penuai buah dan pemotong pelepah sawit bermotor itu amat berkesan dalam meningkatkan produktiviti selain dapat mengurangkan kebergantungan pekerja ladang dari luar.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi memberi peluang kepada pekebun kecil membeli mesin Cantas dengan diskaun bernilai RM1,000 bagi setiap unit. Dengan tawaran ini mereka boleh membeli mesin Cantas dengan harga RM2,500 hingga RM4,400. 

"Setakat ini, sebanyak RM2.3 juta diskaun sudah diberikan kepada pemohon dan baki yang ada perlu dipohon berdasarkan siapa cepat dia dapat sehingga tawaran tamat hujung tahun ini," katanya berucap merasmikan Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang di Kompleks Mohd. Janis Sdn. Bhd., Bukit Gambir dekat sini kelmarin.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada peniaga, pengusaha ladang, koperasi dan pekebun kecil sawit menghadiri program pengenalan dan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2012

26 Oktober 2012

KES MASIH DISIASAT


LEDANG: Polis masih menyiasat kes kecurian motosikal membabitkan seorang kanak-kanak dan remaja lelaki masing-masing berusia 10 dan 15 tahun yang ditahan polis di sekitar pekan ini, 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, dua suspek ditahan sepasukan polis sebelum pemeriksaan mendapati motosikal dinaiki mereka dilaporkan hilang di Tangkak Jaya, beberapa hari sebelum kejadian.

"Berikutan itu, kami membawa kanak-kanak dan remaja terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang bagi membantu siasatan.

"Hasil soal siasat, kanak-kanak itu mengaku mencuri motosikal berkenaan selain satu lagi kecurian motosikal di bandar ini.

"Apapun, siasatan masih diteruskan dan kedua-dua suspek dibebaskan atas jaminan polis," katanya ketika ditemui di IPD Ledang, baru-baru ini.

Menurutnya, mereka akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan tiada pihak teraniaya.

SUMBER: HARIAN METRO, 26 OKTOBER 2012

'DIA SANGGUP KHIANATI SAYA'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: "Saya anggap dia seperti abang dan tidak menyangka dia sanggup menggunakan saya untuk melepaskan diri," luah Najmi Ahmad (bukan nama sebenar), murid 10 tahun yang ditahan polis baru-baru ini kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

Najmi berkata, rakannya yang dikenali sejak dua tahun lalu sebagai Izam, 15, masih bersekolah dan berasal dari kampung berhampiran.

Katanya, sebelum ini, dia pernah melihat Izam menunggang motosikal berbeza, namun menyangka ia kepunyaan keluarga rakannya itu.

Bagaimanapun, katanya, pada 14 Oktober lalu, Izam menemuinya di pekan Tangkak dan mengajaknya menaiki motosikal untuk bersiar-siar.

"Apabila Izam ajak saya membonceng, saya terus mengikutnya tanpa mengetahui niat sebenar.

"Saya tak sangka ketika melalui satu lorong, kami ditahan polis kerana motosikal itu dipercayai hilang sehari sebelumnya dari sebuah kilang berhampiran.

"Ketika itu, Izam beria-ia menafikan pembabitannya dan menuduh saya menjadi dalang kecurian motosikal itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di pekan Ledang di sini, semalam.

Menurut Najmi, mereka dibawa ke balai polis berhampiran dan Izam sekali lagi menuduhnya mencuri motosikal itu dan sebuah motosikal lain ketika mereka disoal siasat.

Katanya, pada masa sama, Izam mengugutnya supaya mengaku atas semua kesalahan itu kerana jika enggan, dia tidak akan melepaskannya apabila dibebaskan kelak.

"Saya ketakutan sepanjang disoal siasat dan terpaksa mengaku kerana Izam sudah mengugut akan menunggu saya di luar jika menceritakan perkara sebenar.

"Mujurlah, selepas soal siasat saya dibebaskan sementara dengan jaminan polis," katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum ini Izam pernah menunjukkan sejumlah wang tunai tetapi apabila ditanya bagaimana dia memperolehnya, remaja itu hanya mendiamkan diri.

"Saya menyesal mempercayai Izam yang dianggap sebagai abang. Kerana dialah nama saya kini berada dalam rekod polis.

"Walaupun berasal dari keluarga miskin, saya tidak pernah terfikir untuk mencuri dan memalukan keluarga.

"Namun, nasi sudah menjadi bubur dan itulah pengajaran paling berguna buat saya," katanya yang kini masih menunggu siasatan sama ada akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

Sementara itu, bapanya, Ahmad Mustafa, 40, berkata, dia dan isterinya terkejut apabila dimaklumkan penahanan anaknya itu.

Ahmad berkata, Najmi mempunyai ramai kawan dan ada antara mereka lebih tua daripadanya.

"Hampir setiap petang, Najmi akan ke kampung berhampiran untuk bermain bola sepak dan mungkin dari situlah mereka berkenalan.

"Saya bukannya mahu membela anak semata-mata tetapi jika difikirkan, mustahil Najmi yang baru berusia 10 tahun dapat mempengaruhi remaja berusia 15 tahun," katanya.

Ahmad berkata, keluarganya berharap pihak berkuasa menyiasat kes itu sebaik mungkin kerana mereka yakin anaknya tidak bersalah.

SUMBER: HARIAN METRO, 26 OKTOBER 2012

IMAM MAKKAH TETAMU PARIT KASSAN

Imam Sharif (jubah putih) bergambar bersama penduduk Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir selepas mengadakan kunjungan ke kampung itu.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH ]

Ledang: Penduduk Parit Kassan, di sini, menyambut baik kunjungan Imam Masjid Abbad Makkah, Al Hafiz Mohammad Sharif Mohammad Imrani, yang turut dikenali sebagai Imam Sharif.

Sambil mengucapkan rasa gembira, Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, berkata kunjungan mesra Imam Sharif itu menjadi kenyataan atas jemputan Bendahari Surau 2, Mohd Janis Abu Bakar, yang kebetulan mengenali Imam Sharif.

Imam jemputan

“Imam Sharif menjadi imam jemputan untuk program imarah Ramadan di Melaka sejak 1999, termasuk sepanjang Ramadan lalu dengan mengimamkan solat Tarawih di masjid dan surau terpilih setiap malam.

“Kami bertuah kerana Imam Sharif sudi berkunjung ke kampung kami walaupun untuk tempoh singkat bagi memenuhi undangan kariah kampung ini.

Beramah mesra dengan penduduk

“Dalam kunjungannya ke sini, beliau sempat menjadi imam untuk solat Asar berjemaah di Surau Parit Kassan dan menyertai majlis tahlil bersama penduduk kampung di kediaman Mohd Janis,” katanya.

Imam Masjid Jamek Parit Kassan, Mohd Taha Husnan, berkata kunjungan kali pertama Imam Sharif yang bertugas sebagai imam dan guru al-Quran di Masjid Abbad, Makkah, ke kampung itu memberi peluang penduduk beramah mesra dengannya.

"Walaupun kunjungannya tidak rasmi, penduduk kampung gembira meraikan kehadirannya yang fasih berbahasa Melayu,” Katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 26 OKTOBER 2012

24 Oktober 2012

PEKEBUN DISARAN GUNA CANTAS

Pegawai MPOB memberi penerangan mengenai kualiti buah sawit yang dituai menggunakan Cantas pada Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang di Bukit Gambir. 
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/ BH ]

Ledang: Pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit negeri ini disaran merebut peluang mendapatkan Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi membeli mesin penuai buah sawit bermotor dikenali sebagai Cantas melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Melalui skim berkenaan, kerajaan memperuntukkan RM5.3 juta bagi memberi peluang kepada pekebun kecil membeli mesin Cantas dengan diskaun bernilai RM1,000 bagi setiap unit.

Ketua Wilayah Selatan MPOB, Zulkifli Shawal, berkata kerajaan menyediakan skim diskaun berkenaan yang ditawarkan kepada pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit untuk menggunakan teknologi menuai tandan sawit dan memotong pelepah sawit bermotor.

Tawaran berakhir hujung tahun

Katanya, tawaran bagi mendapatkan SKIDIC akan berakhir penghujung tahun ini atau pun sehingga peruntukan yang disediakan pihak kerajaan habis diagihkan kepada pemohon.

“Pekebun kecil sawit perlu merebut peluang ini dengan memohon SKIDIC untuk membeli mesin Cantas yang berharga antara RM2,500 dan RM4,400 seunit.

“Setakat ini, sebanyak RM2.3 juta diskaun berkenaan diberikan kepada pemohon dan baki yang ada perlu dipohon berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ sehingga peruntukan habis,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang anjuran MPOB di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd dekat Bukit Gambir.

Seramai 150 peserta terdiri daripada peniaga, penuai, koperasi dan pekebun kecil sawit menghadiri program pengenalan dan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan.

Hadir sama Felo Penyelidik Kanan NKEA MPOB, Adzmi Hassan; Ketua Kumpulan Unit Perundingan dan Implentasi Projek MPOB, Zulkifli Abd Manaf; Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Ab Rahman Mohamed dan Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar.

SUMBER: BH JOHOR, 24 OKTOBER 2012

ZARUL WAKILI NEGARA DALAM ASC


LEDANG 23 Okt. - Seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang dipilih mewakili negara dalam pertandingan kemahiran, ASEAN Skill Competition (ASC) di Jakarta, Indonesia pada November ini.

Pelatih jurusan Teknologi Komputer, Zarul Azali (gambar), 21, akan bertanding kategori Rangkaian Teknologi Maklumat (IT Network) mulai 14 November ini.

Anak kelahiran Batu Pahat dan masih menuntut dalam tahun pertama di ILP Ledang kini gigih membuat persiapan akhir dengan dibantu jurulatihnya, Al Hazari Jamal.

"Persiapan sudah lebih 80 peratus dibuat dan yakin akan membawa pulang pingat emas dalam ASC. Kategori yang saya sertai adalah mencipta rangkaian teknologi maklumat sendiri.

"Jika saya berpeluang mendapat pingat emas atau perak, ini akan melayakkan saya mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2013 di Leipzig, Jerman pada Julai tahun depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

ASC merupakan pertandingan di peringkat Asia yang dianjurkan dua tahun sekali secara bergilir-gilir oleh negara terlibat dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran.

Zarul yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik dipilih mewakili negara dalam ASC setelah memenangi pingat emas Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) pada 2011.

Dia yang menerima bendera kontinjen Malaysia daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Perhimpunan Warga Kemahiran 2012 pada 10 Julai lalu berkata, ASC dijangka sengit kerana akan disertai wakil dari 10 negara serantau.

Sementara itu, Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail bersyukur dan bangga dengan penyertaan tersebut dan berharap anak buahnya dapat mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dalam pertandingan itu.

"Pelbagai persiapan sudah dijalankan seperti latihan insentif di makmal teknologi komputer di bawah pemantauan jurulatihnya serta latihan selama tiga minggu di bawah pemantauan pakar industri negara (PIN) yang diadakan di Shah Alam, Selangor," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2012

23 Oktober 2012

KILANG PERABOT TERBAKAR

Wartawan Sinar Harian
Kilang perabot terbakar
Keadaan kilang yang terbabit dalam kebakaran pagi semalam.
 
LEDANG – Bunyi letupan kuat menyelamatkan kira-kira 50 pekerja warga asing dalam satu kebakaran di sebuah kilang perabot di Bukit Kangkar dekat Sungai Mati, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika kesemua pekerja terbabit sedang tidur nyenyak di asrama yang terletak di belakang kilang berkenaan.

Berikutan itu, kesemua pekerja kilang lari menyelamatkan diri ke kawasan lapang berhampiran tempat kejadian.

Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu bapa pemilik kilang berkenaan yang tinggal di hadapan kilang itu, sebelum menghubungi balai bomba berhampiran untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ledang, Amran Isa berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi dan mengerahkan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka turut dibantu sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, namun apabila tiba lokasi kejadian, hampir 80 peratus kilang berkenaan telah musnah dijilat api.

“Kita berjaya mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 3.15 pagi daripada merebak ke bahagian lain.

“Kebakaran dikatakan berpunca dari bahagian depan kilang sebelum merebak dengan cepat ke seluruh bahagian, namun sempat dikawal bomba sebelum merebak ke dua kilang bersebelahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, mujur ada pekerja yang  menyedari kejadian itu lebih awal dan menyelamatkan nyawa rakan yang lain kerana ketika itu, kesemuanya sedang tidur.

“Nilai kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 OKTOBER 2012

MASTHEAD BARU BLOG iNFOLEDANG MULAI HARI INI

Mulai hari ini, 23 Oktober 2012, iNFOLEDANG menggunakan masthead baru bagi menggantikan masthead lama yang telah digunakan sejak blog ini dimulakan pada tahun 2008.


22 Oktober 2012

CAUSE FOR FIRE PREVENTION

By HAMDAN RAJA ABDULLAH
metrose@thestar.com.my

<b>Brand new station:</b> Muhammad Hanafiah (left) presenting a mock key to mark the handing over of the newly built Bukit Gambir fire station to Abd Ghani (right) in Bukit Gambir. Brand new station: Muhammad Hanafiah (left) presenting a mock key to mark the handing over of the newly built Bukit Gambir fire station to Abd Ghani (right) in Bukit Gambir.
 
TANGKAK: All industries that will be built in Penggerang especially around the state’s RM20bil Petronas Refinery and Petrochem-ical Integrated Development (Rapid) will be required to set up their own in-house fire fighting teams.

State Fire Services and Rescue Department director Datuk Abd Ghani Daud said this was aimed at curbing fires at the industries from breaking out and spreading before firemen could arrive.

Speaking to reporters in Bukit Gambir he said there would be several petroleum and gas industries planned in Pengerang in the next few years.

“Although the department has plans to build two fire stations in the area, we still want the industries to set up their own fire fighting teams.

“We will provide skill training courses as the industries are related with petroleum and gas,” he said after receiving the newly built Bukit Gambir fire station from the Housing and Local Government Ministry’s southern region project development and implementation branch assistant director Muham-mad Hanafiah Shariff last week.

Abd Ghani said the department also planned to build a fire station at the Tanjung Langsat petrochemical industrial site near Pasir Gudang to cater to the needs of heavy industries there.

He said plans were underway to locate a suitable site in Tanjung Langsat but expected the land to cost be between RM4mil and RM7mil.

He said the price of land in the Iskandar region had increased tremendously over the past several years and this increased the cost of new fire stations planned in Johor Baru.

On the new Bukit Gambir fire station, which included four units of living quarters, Abd Ghani said it was built in 2008 at the cost of RM8.1mil.

He said the complex was completed last year and provided fire and rescue services not only to Bukit Gambir residents, but also to surrounding areas up to Pagoh.

“The station here has some 31 personals, and since January had fought some 44 house fires.

“They were also called to assist in 86 rescue missions, including accidents along the roads and seven special services such as catching snakes in the villages,” he added.

SOURCE: THE STAR, OCT 22, 2012

BANTU KES CULIK POLIS

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

Bantu kes culik polis
Mohd Muizz dikehendaki untuk membantu siasatan kes culik polis.
 
LEDANG – Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes melarikan seorang anggota polis selain cuba mencederakannya di Serom, dalam kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, lelaki berkenaan, Mohd Muizz Khairil Annuar berusia 26 tahun dan berasal dari Tangkak.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang Selasa lalu, anggota polis terbabit, Koperal Kamarullah Hawari, 40-an, yang baru selesai bertugas di Pondok Bit Serom mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak berhampiran.

“Semasa anggota polis yang berpakaian preman itu sampai di lokasi kejadian dan menyoal suspek, separuh badannya berada dalam kereta melalui tingkap pemandu.

“Suspek kedua yang sedang mengisi angin tayar meluru masuk ke tempat duduk penumpang hadapan dan terus menarik Kamarullah masuk,” katanya.

Harun berkata, anggota polis itu kemudian dilarikan dan sepanjang perjalanan, mangsa mengalami kecederaan kecil dipercayai terkena objek tumpul kerana bergelut sebelum ditinggalkan di persimpangan lampu isyarat di Serom 1.

Katanya, bagaimanapun anggota polis terbabit sudah kembali bertugas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 KK yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Harun memberitahu, sebuah rumah di pekan Rawang, di sini dimasuki tiga pencuri kira-kira jam 8 malam semasa penghuninya sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu.

Katanya, mangsa pertama, 56, cedera akibat terkena pisau di telinga sebelum diikat manakala anak perempuannya, 16, dan cucu lelakinya, 2, tidak diapa-apakan sebelum tiga perompak terbabit menggeledah rumah tersebut selama setengah jam dan melarikan wang tunai RM33,000.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan di kawasan rumah kongsi yang terletak kira-kira setengah kilometer dari kediaman mangsa selain menggempur sarang penagih dadah berdekatan untuk mengesan suspek.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 OKTOBER 2012

MAJLIS KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA BAGI TAHUN 2012/1433H PERINGKAT UMNO BAHAGIAN LEDANG

Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri seterusnya menyampaikan daging korban kepada penerima di Majlis Korban Sempena Hari Raya Aidiladha Bagi Tahun 2012/1433H Peringkat UMNO Bahagian Ledang yang akan diadakan di Perkarangan Masjid Kg Sialang Tangkak
pada pada 28 Oktober 2012  jam 10.00 pagi

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat UMNO Bahagian Ledang di talian 06-9783114.

19 Oktober 2012

PELUANG NIKMATI GAJI LUMAYAN

Wartawan Sinar Harian

Peluang nikmati gaji lumayan
Adnan (dua, kanan) mengiringi Abdul Rahman bersalaman dengan pelatih ILP Ledang.
 
LEDANG - Golongan belia disarankan menyertai kursus di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang terutama dalam bidang kimpalan bagi memperoleh Sijil Kimpalan 6G yang menjanjikan gaji lumayan.

Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail berkata, setelah memiliki sijil itu,  pasaran kerja sangat luas malah menjadi rebutan dalam industri perkapalan, dan binaan struktur serta kejuruteraan berat.

Menurutnya, pada permulaan mereka akan menerima gaji antara RM900 hingga RM6,000 dan ke atas bergantung kepada sesebuah syarikat.

“Mereka tidak perlu bimbang dengan peluang pekerjaan kerana ILP Ledang sentiasa menjalin kerjasama dengan syarikat dan wakil industri termasuk Petronas di negeri ini.

“Biasanya, gaji yang ditawarkan semasa wakil mereka datang ke ILP Ledang untuk menawarkan peluang pekerjaan adalah sama apabila pelatih bekerja nanti. Mereka menepati janji,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Sijil Profesional 6G di ILP Ledang, Sagil, dekat sini, baru-baru ini,

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kepakaran Kimpalan Institusi latihan Jabatan Tenaga Manusia, Abdul Rahman Said yang juga Pengerusi ILP Selandar.

Adnan berkata, peluang jurukimpal yang memiliki sijil berkenaan bukan  sahaja terhad perkhidmatannya di negara ini tetapi juga diambil bekerja  oleh syarikat luar dengan gaji berganda.

“Ada antara bekas pelatih ILP Ledang bekerja dengan syarikat luar antaranya di Singapura, Vietnam, Australia, Asia Barat dan Afrika dengan gaji kira-kira RM80 untuk satu jam.

“Pelatih ILP Ledang dalam bidang lain antaranya teknologi plastik, reka bentuk produk industri dan fabrikasi logam turut mempunyai banyak peluang pekerjaan khususnya di kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 OKTOBER 2012

POLIS HAMPIR TERBUNUH

Wartawan Sinar Harian

LEDANG - Seorang anggota polis hampir menemui ajal apabila cubaan menikamnya gagal tetapi mengalami kecederaan ketika bergelut dengan seorang penjenayah di Serom, Sungai Mati, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Kamarul, 40-an, cedera di dada kiri akibat tercucuk objek tumpul dan insiden tersebut berlaku dalam kereta selepas penjenyah melarikannya hampir satu kilometer.

Sinar Harian difahamkan, penjenayah itu meninggalkan mangsa berhampiran persimpangan lampu isyarat di Serom 1 sebelum memecut untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan dan dibenarkan pulang.

“Kita sedang giat mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an. Kita percaya suspek itu pernah  terbabit dalam beberapa kes curi di sekiar daerah Ledang.

“Sebelum kejadian anggota polis itu yang bertugas di pondok Bit Serom mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak berhampiran,” katanya.

Harun berkata, ketika anggota polis itu sampai di lokasi kejadian, seorang suspek berada dalam kereta sementara seorang lagi sedang mengisi angin tayar di luar kenderaan terbabit.

“Anggota tersebut melakukan prosedur biasa dengan meminta suspek yang berada dalam kereta supaya keluar untuk membolehkannya menyemak identitinya namun tiba-tiba rakannya menyerbu dan berlaku bergelutan.

“Ketika bergelut, mangsa ditarik ke dalam kereta dan suspek memecut laju meninggalkan stesen minyak,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 OKTOBER 2012

18 Oktober 2012

ANGGOTA POLIS CEMAS 'DICULIK'

LEDANG 17 Okt. - Kurang 24 jam selepas seorang anggota polis dirempuh penjenayah di ibu negara semalam, seorang lagi anggota pasukan itu berdepan detik cemas apabila 'diculik' dua penjenayah di Serom dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa, Koperal Kamarullah Hawari, 40-an, dibawa menaiki kereta suspek sejauh satu kilometer sebelum ditinggalkan di satu lokasi.

Semasa dilarikan dengan menaiki kereta suspek, Kamarullah turut cuba ditikam dengan pisau namun sempat mengelak.

Kejadian berlaku selepas Kamarullah yang bertugas di Pondok Bit Serom menerima maklumat berhubung dua suspek berusia 20-an yang menaiki sebuah kereta Proton Waja di sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, semasa sampai di lokasi itu, seorang suspek berada dalam kereta sementara seorang lagi berada di luar dan sedang mengisi angin tayar.
Kata Harun, anggota itu yang berseorangan kemudian meminta suspek yang berada di dalam kereta supaya keluar untuk tujuan pemeriksaan identiti.

"Namun tiba-tiba rakannya menyerbu dan berlaku pergelutan. Ketika bergelut, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum suspek memecut laju.

"Semasa dalam kereta, mangsa turut diacu dengan pisau dan cuba ditikam tetapi sempat mengelak lalu bergelut.

"Dalam pergelutan itu, mangsa dicucuk dengan objek tumpul menyebabkannya cedera di bahagian dada. Mangsa kemudian ditinggalkan suspek di satu persimpangan di Serom 1," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, Kamarullah kemudian memaklumkan kejadian itu di balai polis berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan.

"Kita sedang mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an. Kita percaya suspek pernah terbabit dalam beberapa kes curi di sekitar daerah Ledang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2012

16 Oktober 2012

RM425,000 BANTU NGO DI DUN GAMBIR

M. ASOJAN (tengah) bersama sebahagian wakil NGO Cina selepas menyampaikan cek Kerajaan Johor di Kampung Batu 18, Bukit Gambir, Ledang, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 15 Okt. - Kerajaan negeri menyalurkan RM425,000 kepada 85 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan atau keagamaan.

Sumbangan Pejabat Menteri Besar itu membolehkan setiap NGO berkenaan menerima RM5,000 bagi kegunaan mereka menjalankan aktiviti bersama ahli persatuan atau masyarakat setempat.

Peruntukan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan kepada ketua kaum Cina, Wang Liang Seng di Kampung Sengkang Batu 19, Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, dana tersebut diberikan kepada NGO terbabit untuk menggerak kegiatan mereka selain untuk memenuhi keperluan serta kepentingan sekolah, rumah ibadat dan komuniti kampung.

"Diharap peruntukan ini dapat memberi manfaat kepada NGO terbabit dan masyarakat setempat. Kerajaan negeri sentiasa membela rakyat tidak mengira kaum dengan menyalurkan peruntukan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun projek demi kesejahteraan dan faedah semua masyarakat," katanya.

Sementara itu, Liang Seng mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang menyalurkan dana berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan itu dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk dengan pemimpin dan amat berharap masyarakat Cina di kampungnya terus mengekalkan perpaduan sedia ada.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan dan memelihara perpaduan antara kaum supaya dapat hidup dengan lebih sejahtera," katanya.

Pengerusi Peladangan Sayur Berkelompok Batu 18 dan 19 Sengkang, Tan Soo Tiok pula berkata, sumbangan itu menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2012

15 Oktober 2012

PEMANDU MUNGKIN KANTUK

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, maut manakala seorang lagi saudara mereka kritikal selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bertembung lori membawa tong gas di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, Ledang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu mangsa yang terbunuh Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, serta dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar, untuk mengambil barangan jualan, bersama isteri Mohd Adzhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta serta seorang saudara, Safawi Abd Malik, 20.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori menyebabkan Perodua Kancil berkenaan remuk dan Safawi cedera parah.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan, namun Mohd Wahyu disahkan meninggal dunia jam 6 petang kelmarin, diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian dan Mohd Adzhar, jam 3 pagi semalam.

Safawi masih dalam keadaan kritikal manakala Salasiah dilaporkan stabil dan mereka dirawat di HPSF.

Pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, dari Tangkak cedera ringan di kaki dan tangan.

Mohd Shahril ketika ditemui berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata Perodua Kancil berkenaan memasuki laluannya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum berlanggar secara berdepan.

"Mujur, lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup. Saya cedera di kaki dan hanya depan serta tepi lori remuk. Saya simpati dengan keluarga mangsa, namun tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi berkata, Perodua Kancil itu dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan dari Ledang ke Bukit Pasir, Muar, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kemungkinan pemandu kereta terbabit mengantuk menyebabkan dia hilang kawalan lalu memasuki laluan lori arah bertentangan.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 OKTOBER 2012

TIGA BERANAK MAUT, 2 PARAH

Oleh Shaiffulazhar Misri


Ledang: Seorang bapa dan dua anaknya maut, manakala dua lagi anggota keluarganya parah, selepas Perodua Kancil dinaiki merempuh lori membawa muatan tong gas, di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Wahyu Mohd Azhar, 3, meninggal dunia selepas dua jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Adiknya, Nursyifa Qistina, meninggal jam 9 malam diikuti bapa mereka, Mohd Azhar Abu Bakar, 29, jam 3 pagi semalam ketika dirawat di hospital sama.

Pemandu lori cedera ringan

Selain itu isteri Azhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta dan adiknya, Safawi Abdul Malik, 20-an, dilaporkan parah dan dirawat di HPSF, manakala pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 24, hanya cedera ringan di kaki serta tangan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika Azhar yang juga peniaga jambu batu bersama keluarganya dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar untuk mengambil barang jualan.

Hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Kancil itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori daripada arah bertentangan.

"Siasatan awal menunjukkan kemungkinan pemandu kereta itu mengantuk menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori berkenaan. Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa remuk teruk," katanya.

Harun berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Syukur 20 tong gas tak meletup

Sementara itu, Mohd Shahril, berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila Perodua Kancil berkenaan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandunya.

"Saya bersyukur kerana 20 tong gas yang dibawa tidak meletup dan jika ia berlaku, pasti lebih ramai lagi terkorban dalam nahas ini," katanya.

SUMBER: BH, 15 OKTOBER 2012

TIGA SEKELUARGA MAUT

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

Tiga sekeluarga maut
Keadaan kereta remuk setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.
 
LEDANG – Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah jambu bersama serbuk asam, tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang sarat membawa muatan tong gas menyebabkan tiga daripada lima penumpang kereta Perodua Kancil iaitu Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia beberapa jam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Menurutnya, Mohd Wahyu meninggal dunia jam 6 petang, diikuti Nursyifa Qistina jam 9 malam dan Mohd Adzhar meninggal dunia pada jam 3 pagi semalam.

“Pemandu kereta merupakan isteri kepada Mohd Adzhar, Shahlasiah Abd Malik, 29, kini dirawat di HPSF dan keadaannya stabil. Manakala adik pemandu, Safawi Abd Malik, 20an, dilaporkan kritikal.

“Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan lori dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan sebelum terbabas di bahagian kanan jalan.

“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Kancil remuk teruk di bahagian hadapan dan Mohd Adzhar tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.

“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahril berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kereta kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluannya sebelum merempuh lorinya secara berdepan.

“Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori  remuk,” katanya.

Difahamkan, kemalangan tersebut membuatkan jalan berdekatan Parit Bunga itu sesak sepanjang hampir satu kilometer.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 OKTOBER 2012

TIGA BERANAK MAUT KEMALANGAN

KERETA kancil yang membawa lima penumpang bertembung dengan sebuah lori mengakibatkan tiga maut termasuk dua kanak-kanak di kilometer 5, Jalan Tangkak- Muar, di Ledang, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 14 Okt. - Tiga beranak maut dan seorang lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, mangsa, Mohd. Adzhar Abu Bakar, 29, dan dua anaknya, Mohd. Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2, terbunuh akibat mengalami kecederaan parah.

Tiga beranak berkenaan menghembuskan nafas terakhir semasa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. Mohd. Wahyu disahkan meninggal dunia pukul 6 petang diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian, manakala Mohd. Adzhar 3 pagi ini.

Dua lagi iaitu adik ipar Mohd. Adzhar, Safawi Abd. Malik, 20-an, dilaporkan kritikal manakala isteri Mohd. Adzhar, Salasiah Abd. Malik, 29, yang memandu kereta tersebut dalam keadaan stabil dan masih dirawat di HPSF.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd. Shahril Abu, 27, yang berasal dari Tangkak hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan.

Difahamkan mangsa yang berniaga menjual jambu batu dalam perjalanan pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, siasatan awal polis mendapati kemungkinan pemandu kereta Perodua Kancil terbabit mengantuk menyebabkannya hilang kawalan lalu memasuki laluan lori yang datang dari arah bertentangan lalu bertembung.

"Akibat pertembungan itu, kereta mangsa berpusing ke arah bertentangan sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mohd. Shahril memberitahu, kejadian itu berlaku dengan pantas apabila tiba-tiba kereta Perodua Kancil tersebut memasuki laluannya.

"Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori remuk," katanya.

Akibat kemalangan itu, laluan berdekatan Parit Bunga, di sini sesak sepanjang hampir satu kilometer.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2012

14 Oktober 2012

JANGAN SALAHKAN BAHASA MELAYU JIKA GAGAL KUASAI ILMU

LEDANG 13 Okt. - Orang Melayu diminta tidak menyalahkan bahasa Melayu jika gagal menguasai ilmu pengetahuan yang disediakan dalam bahasa itu kerana ia sudah terbukti sebagai bahasa ilmu sejak ribuan tahun.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka tidak seharusnya menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak mampu menyampaikan pengetahuan sedangkan mereka yang sebenarnya tidak berupaya mencari ilmu.

Beliau berkata, bahasa Melayu telah menjadi bahasa penting dan sebagai alat pertuturan penduduk rantau ini bermula dari zaman Majapahit dan menjadi bahasa utama dalam kalangan pedagang di Asia Tenggara ketika itu.

"Sejak dahulu ia menjadi bahasa perhubungan antara pelbagai keturunan dalam rumpun Melayu diikuti perhubungan dengan suku kaum lain. Malah, perhubungan dalam masyarakat seluruhnya dan bahasa perantara dalam pasaran melibatkan kaum-kaum utama antara Melayu, Cina dan India.

"Namun, mulai penghujung abad ke-20, cerdik pandai di negara ini termasuk orang Melayu bagaikan mengalami krisis psikologi bahawa bahasa Melayu disifatkan sebagai kekampungan dan bahasa lain diagung-agungkan kerana kononnya melambangkan moden, maju serta kontemporari," katanya semasa melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Jubli Intan, Tangkak di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.

Abdul Ghani berkata, bahasa Melayu pernah memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu kepada ribuan penuntut pada 1983 apabila ia digunakan secara meluas di universiti tempatan.

Menurutnya, bahasa berkenaan digunakan dalam pengajian sastera, sains dan kejuruteraan termasuk aliran perubatan manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menggunakannya dalam aliran sains.

Justeru, bahasa Melayu seharusnya dibangunkan dan untuk itu ahli politik, golongan korporat dan ahli perniagaan seharusnya memahami apa yang diperjuangkan menerusi Dasar Bahasa Kebangsaan.

"Dasar berkenaan sudah banyak membantu kejayaan dalam aspek pendidikan negara serta pentadbiran dan seharusnya disokong supaya ia boleh dikembangkan ke sektor swasta," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, Bulan Bahasa Kebangsaan telah disambut sejak awal 1960-an dengan sasaran untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan bahasa kebangsaan untuk membina kedaulatan bangsa.

"Kita minta semua warganegara ini untuk menyambutnya dengan pelbagai aktiviti yang boleh dijayakan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pada masa sama, kami di DBP akan terus membangunkannya untuk menjadikannya sebagai bahasa ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2012

13 Oktober 2012

ISTERI JADI AHLI GENG PERAGUT

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
 Harun Idris
Harun menunjukkan antara dompet wanita yang ditemui bersama ahli sindiket peragut bersiri yang berjaya ditahan.
 
LEDANG – Demi cinta, seorang wanita sanggup melakukan apa sahaja untuk suaminya, walaupun terpaksa menjadi ahli sindiket peragut bersiri.

Namun cinta mereka akhirnya membawa ke tirai besi apabila kegiatan jenayah yang dilakukan berjaya dihidu polis.

Demikian nasib seorang kerani wanita yang ditahan bersama empat lelaki pada 25 September lalu di beberapa lokasi berbeza kerana dipercayai menjadi ahli kumpulan peragut bersiri yang dikehendaki setelah terbabit lebih 12 kes ragut dan samun sekitar daerah ini.

Wanita berusia 27 tahun itu merupakan isteri kepada salah seorang ahli kumpulan berkenaan yang sudah bergiat aktif dengan kegiatan meragut sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar selepas pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah rumah di Jalan Cabau Kampung Chondong, Jasin, Melaka, kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, suspek dikehendaki polis berhubung dengan laporan berkaitan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Selepas tangkapan suspek pertama, pihak polis berjaya menjejaki suspek seterusnya iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun di Jalan Sialang, Tangkak pada jam 6.15 pagi.

“Lelaki itu ditahan kerana disyaki terlibat kes ragut bersangkutan dengan laporan di Balai Polis Sungai Mati,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketika ditahan, polis turut merampas dua paket plastik lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dan syabu.

Katanya, hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan beberapa kes ragut di daerah Ledang, selain didapati positif dadah jenis heroin.

“Kita turut merampas dua beg tangan wanita  mengandungi pelbagai kad ATM, MyKad dan lesen memandu dipercayai milik mangsa yang diragut.

“Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu berkaitan jenayah dan dadah.  Manakala suspek kedua, mempunyai tiga rekod penyalahgunaan dadah,” katanya.

Harun berkata, susulan itu, pihak polis berjaya memberkas tiga lagi suspek iaitu dua lelaki yang masing-masing berusia 28 tahun dan seorang wanita di Sungai Mati juga Muar untuk membantu siasatan.

Jelasnya, kesemua suspek didapati turut terlibat dalam kes ragut di daerah berhampiran seperti Segamat, Muar dan Melaka. 

“Suspek kemudiannya diserahkan ke IPD Muar untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM10,000 dan kebanyakan barangan kemas milik mangsa sudah  dijual ke kedai pajak gadai dan sebahagiannya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan untuk melupuskan bukti kegiatan mereka,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 OKTOBER 2012

'JANGAN SALAHKAN BAHASA MELAYU'

Wartawan Sinar Harian

'Jangan salahkan Bahasa Melayu'
Abdul Ghani (tiga, kiri) selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, semalam.
 
TANGKAK -  Orang Melayu diminta supaya tidak menyalahkan Bahasa Melayu jika mereka gagal memperolehi kecemerlangan dalam bahasa tersebut yang sudah wujud sejak beribu-ribu tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Bahasa Melayu sudah digunakan oleh generasi terdahulu sejak era Majapahit dan menjadi perantara dalam kalangan peniaga di Asia Tenggara.

“Bahasa Melayu juga digunakan dalam pelbagai golongan masyarakat di Kepulauan Melayu kepada kaum Melayu, Cina dan India.

“Bagaimanapun, kehebatan Bahasa Melayu semakin berkurangan selepas abad ke-20 apabila ramai pihak termasuk bangsa Melayu sendiri menganggap bahasa ini tidak moden,” katanya ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini, semalam.

Beliau berkata, Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam memberikan ilmu pengetahuan kepada ribuan pelajar pada 1983 dan turut digunakan di institusi pengajian tinggi negara.

“Bahasa ini digunakan untuk pengajian sastera, sains, kejuruteraan termasuk sains tulisan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar dalam pengajian di institusi berkenaan.

“Ia perlu terus dimajukan dan badan politik juga korporat digesa agar memahami Dasar Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, dasar tersebut telah membantu kejayaan pendidikan dan pentadbiran negara dan ia perlu disokong supaya meluas ke sektor swasta.

Terdahulu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, Bulan Bahasa Kebangsaan telah disambut sejak 1960-an.

“Kita menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bahasa kebangsaan ini untuk pembangunan negara berdaulat,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 OKTOBER 2012

4 LELAKI, SEORANG WANITA DITAHAN TERLIBAT KES RAGUT

LEDANG 12 Okt. - Bergerak dari satu daerah ke satu daerah untuk meragut menjadi modus operandi satu kumpulan peragut yang berpusat di sini bagi mengelak dikesan dan mendapatkan hasil lumayan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita meragut mangsa di sekitar Ledang, Muar dan Segamat selain Melaka sejak setahun lalu.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya ditumpaskan apabila salah seorang daripadanya ditahan sepasukan polis di Kampung Chondong, Jasin, Melaka pukul 4.30 pagi, 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, penahanan suspek yang berusia 32 tahun itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 26 tahun di Kampung Kemuning, Tangkak di sini.

"Suspek kedua ditahan kerana terlibat kes ragut yang dilaporkan di Balai Polis Sungai Mati, di sini dan kedua-dua suspek mengaku terlibat beberapa kes ragut di Ledang. Selain itu, kedua-duanya didapati positif dadah jenis heroin.

"Polis turut merampas dua beg tangan wanita mengandungi pelbagai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad pengenalan diri dan lesen memandu dipercayai milik mangsa ragut.

"Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod dadah," katanya di sini semalam.

Susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya memberkas tiga lagi suspek iaitu dua lelaki yang tidak bekerja dan kedua-duanya berusia 28 tahun serta seorang wanita berumur 27 tahun di Sungai Mati dan Muar untuk membantu siasatan.

Harun berkata, wanita berkenaan bekerja sebagai kerani dan isteri kepada salah seorang suspek.

Beliau berkata, kesemua suspek didapati terlibat dalam 12 kes ragut di sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran dengan nilai keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan lebih RM10,000.

"Kebanyakan barangan kemas milik mangsa dijual ke kedai pajak gadai dan sebahagiannya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan untuk melupuskan bukti," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 OKTOBER 2012

12 Oktober 2012

SI TUA BOGEL DALAM BILIK

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Seorang warga emas berusia 66 tahun yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung, tergamak menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 sebagai pemuas nafsu walaupun mangsa adalah anak kenalannya sendiri.

Kejadian berlaku pada jam 4 petang, Selasa lalu di bilik belakang sebuah kedai makan di Jalan Panggung Lama, Tangkak, di sini.

Mangsa juga dikatakan mengenali suspek yang sering berkunjung ke kedai makan milik bapanya.

Difahamkan, kejadian disedari adik mangsa yang membuka bilik berkenaan dan mendapati warga emas terbabit berbogel di depan mangsa.

Adik mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya sebelum satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, pada jam 6 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya menahan warga emas terbabit di kediamannya di Kampung Baru Tangkak, pada jam 10 malam.

"Suspek mengenali keluarga mangsa dan sering ke kedai makan berkenaan untuk menjamu selera.

"Suspek sudah berkeluarga dan mempunyai cucu, malah dikatakan baru selesai menjalani pembedahan pintasan jantung.

"Dia kini direman bagi membantu siasatan. Kes pula disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, IPD Ledang mengesan Goh Chian Poh, 20, beralamat terakhir di No. 68, Kampung Baru 2, Tangkak, kerana dipercayai terbabit dalam kejadian rogol membabitkan seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah taman perumahan, Selasa lalu.

Menurut Harun, suspek dipercayai rakan kepada mangsa dan keluarga mangsa membuat laporan berkaitan kejadian pada jam 8.15 malam di IPD Ledang.

"Sejurus menerima laporan, kami menyerbu rumah lelaki terbabit, namun suspek menghilangkan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Chian Poh diminta tampil membantu siasatan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 12 OKTOBER 2012

THREE RAPED IN TANGKAK

Mission successful: Supt Harun (centre) showing some of the drugs seized from the house in Rawang. Mission successful: Supt Harun (centre) showing some of the drugs seized from the house in Rawang.
 
TANGKAK: Three girls aged between six and 15 were raped in separate incidents here within a span of seven hours.

In the first case, Ledang police chief Supt Harun Idris said a six-year-old girl claimed that her 24-year-old cousin grabbed her while she was asleep at 1pm on Tuesday and took her to a rubber plantation where he forced himself on her.

“We rushed a team out to arrest the cousin. He is now under remand,” he said yesterday.

Supt Harun said the second case involved a 66-year-old man accused of raping a friend's daughter, aged 10, behind a shop at about 6pm.

He said the girl, whose father ran a restaurant, lodged a report and police managed to detain the suspect later that night.

In the third case, he said a 15-year-old girl lodged a report against a 20-year-old man but police had yet to make any arrest.

Police believe they were friends and that the alleged rape took place in the man's house.

On another matter, Supt Harun said the Ledang narcotics branch had arrested two men and seized about RM150,000 worth of drugs when a team raided a house in Rawang on Oct 8.

He said both men, aged 20 and 34, were unemployed.

“We found several types of drugs including heroin, syabu, Ecstasy and ketamine and RM4,000 cash.”

In JOHOR BARU, a pasar malam peddler was sentenced to five years in jail by a Sessions Court for committing statutory rape on his then 13-year-old girlfriend.

Roslan Zakaria, 30, pleaded guilty to two charges of the offence that took place at his house in Jalan Saujana, Plentong between Aug 10 and 13. He married the girl last month.

Judge Zamri Bakar sentenced him to jail from the date of the arrest on Sept 9 and ordered that the sentences run concurrently.

SOURCE: THE STAR, OCT 12, 2012

2 DITAHAN ROGOL KANAK-KANAK 6, 10 TAHUN

Wartawan Sinar Harian

LEDANG - Tidak sedar diri, tepat buat seorang warga emas berusia 66 tahun apabila tergamak menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas adik mangsa melihat mangsa ditindih suspek dengan kedua-duanya berbogel, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu, di belakang kedai makan dan minuman di Jalan Panggung Lama, Tangkak.

Menurutnya, suspek adalah pelanggan tetap kedai milik bapa mangsa dan kenalan bapanya sejak sekian lama.

“Suspek ditangkap jam enam petang, hari sama dan direman sehingga Ahad ini.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Dalam kes berlainan pada hari sama, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirogol sepupunya berumur 24 tahun dalam kebun getah belakang rumah  mangsa di Kampung Anjung Batu, Tangkak.

Harun berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, kanak-kanak berkenaan sedang tidur atas sofa di beranda rumah, dan suspek yang kebetulan lalu di situ terangsang apabila melihat pakaian mangsa tersingkap.

“Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan suspek mendukungnya ke kebun getah lalu merogolnya,” katanya.

Jelasnya, ekoran itu pihaknya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama kira-kira jam 4.50 petang dan ditahan  direman sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 OKTOBER 2012

BELIA PERLU REBUT PELUANG DALAMI BIDANG KIMPALAN

LEDANG 11 Okt. - Belia disaran menyertai kursus yang ditawarkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang terutama dalam bidang kimpalan dengan memperoleh Sijil Kimpalan 6G yang menjanjikan gaji lumayan.

Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail berkata, pasaran kerja sangat luas bagi mereka yang memiliki sijil tersebut malah menjadi rebutan dalam industri perkapalan, binaan struktur dan industri serta industri kejuruteraan berat.

"Mereka tidak perlu bimbang dengan peluang pekerjaan kerana ILP Ledang sentiasa menjalin kerjasama dengan syarikat dan wakil industri termasuk Petronas di negeri ini.

"Biasanya gaji yang ditawarkan semasa wakil-wakil mereka datang ke ILP Ledang untuk menawarkan peluang pekerjaan adalah sama apabila pelatih bekerja nanti. Mereka menepati janji," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sijil Profesional 6G di ILP Ledang, Sagil, dekat sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kepakaran Kimpalan Institusi latihan Jabatan Tenaga Manusia, Abdul Rahman Said yang juga Pengerusi ILP Selandar.

Adnan berkata, peluang jurukimpal yang memiliki sijil berkenaan bukan sahaja terhad perkhidmatannya di negara ini tetapi juga diambil bekerja oleh syarikat luar dengan gaji berganda.

"Ada antara bekas pelatih ILP Ledang bekerja dengan syarikat luar antaranya di Singapura, Vietnam, Australia, Asia Barat dan Afrika dengan gaji kira-kira RM80 untuk satu jam," katanya. 

Menyentuh tentang kursus melibatkan bidang yang lain, Adnan berkata, pelatih ILP Ledang dalam teknologi plastik, reka bentuk produk industri dan fabrikasi logam turut mempunyai banyak peluang pekerjaan khususnya di kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang.

Beliau menarik perhatian bahawa semua lepasan ILP Ledang tidak pernah berhadapan dengan masalah pengangguran, malah sebelum habis belajar mereka sudah ditawarkan pekerjaan oleh industri mengikut kemahiran masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Katanya, pihaknya kini sedang berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India dan wakil komuniti masyarakat Cina untuk menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu ke ILP Ledang.

Adnan memberitahu, daripada 524 pelatih di ILP tersebut, hanya 26 India dan empat Cina manakala selebihnya Melayu sedangkan institut itu terbuka kepada semua kaum terutama belia berumur 18 hingga 35 tahun.

10 Oktober 2012

TIGA BALAI BOMBA AKAN DIBINA DI KAWASAN KOMERSIAL

Wartawan Sinar Harian

Tiga balai bomba akan dibina di kawasan komersial
Abd Ghani (kiri) meninjau bangunan Balai Bomba Bukit Gambir selepas merasmikannya semalam.
 
LEDANG – Tiga kawasan di Johor iaitu Nusajaya, kawasan perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang  dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang akan dibina balai bomba tidak lama lagi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Ab Ghani Daud berkata, pembinaan tiga balai bomba itu dalam usaha memberi keyakinan kepada pelabur luar negara tentang aspek keselamatan sekali gus menarik lebih banyak pelaburan.

Menurutnya, pembinaan balai bomba baru itu adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan di kawasan tersebut kerana apabila berlaku kebakaran atau kemalangan, bantuan dapat diberikan dengan segera.

“Ini akan memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur yang hendak melabur di negara kita.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti tapak untuk membina balai bomba baru itu contohnya di Nusajaya kita sedang berbincang dengan pemaju untuk beli tanah yang harganya lebih RM8 juta, begitu juga di Tanjung Langsat yang harga tanahnya antara RM7 hingga RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Bomba Bukit Gambir, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Wilayah Selatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Muhammad Hanafiah Shariff dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit  Gambir, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairuddin.

Ab Ghani berkata, bagi kawasan Rapid di Pengerang, pihak pengurusannya juga akan mempunyai pasukan bomba persendirian lengkap dengan jentera serta kemudahan sendiri khusus untuk kawasan berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 OKTOBER 2012

TIGA BALAI BOMBA BARU DIBINA

Muhammad Hanafiah Shariff (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Ab. Ghani Daud sebagai simbolik penyerahan Balai Bomba Bukit Gambir di Ledang, semalam. 
 
LEDANG 9 Okt. - Tiga balai bomba baru akan dibina di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Nusajaya, kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, pembinaan balai baru itu dalam masa terdekat merupakan usaha memberi keyakinan kepada pelabur luar negara tentang aspek keselamatan, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan.

"Pembinaan balai bomba baru itu adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan di kawasan tersebut kerana apabila berlaku kebakaran atau kemalangan, lebih cepat bantuan dapat diberikan di tempat kecemasan iaitu dalam masa lima hingga tujuh minit seperti yang disasarkan.

"Ini akan memberi keyakinan kepada pelabur yang hendak melabur di negara kita. 

"Setakat ini kita sudah kenal pasti tapak untuk membina balai bomba baru itu contohnya di Nusajaya kita sedang berbincang dengan pemaju untuk membeli tanah yang harganya lebih RM8 juta, begitu juga di Tanjung Langsat yang harga tanahnya antara RM7 hingga RM10 juta," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Balai Bomba Bukit Gambir di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Wilayah Selatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Muhammad Hanafiah Shariff. 

Ab. Ghani berkata, bagi kawasan RAPID, pihak pengurusan pusat tersebut akan mempunyai pasukan bomba persendirian lengkap dengan jentera serta kemudahan yang diperlukan.

Beliau berkata, selain tiga kawasan komersial tersebut, sebuah lagi balai bomba dicadang untuk dibina di Pagoh berikutan daerah itu yang akan menjadi hab pendidikan tinggi selain mempunyai kawasan perindustrian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pembinaan balai bomba di Ayer Hitam, Batu Pahat dengan kos RM9.8 juta dan sebuah lagi di Bandar Putra, Kulaijaya bernilai RM8.6 juta dijadual siap hujung tahun ini.

Menurutnya, kedua-dua balai tersebut akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan jika pembinaannya siap mengikut jadual dan masing-masing akan menempatkan 30 anggota dan pegawai.