TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Januari 2013

1,000 DAPAT BANTUAN PERSEKOLAHAN

TAHIR Taat menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 kepada pelajar di SMK Tengku Temenggung Ahmad, Grisek, Pagoh, semalam. 
 
PAGOH 22 Jan. - Hampir 1,000 murid dan pelajar dari enam sekolah di sekitar Grisek menerima Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 seorang dalam majlis yang diadakan di dua buah sekolah, di sini hari ini.

Ia melibatkan sebuah sekolah menengah kebangsaan, tiga sekolah kebangsaan dan selebihnya sekolah jenis kebangsaan Cina yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Tahir berkata, walaupun ada yang menganggap wang RM100 untuk setiap pelajar itu tidak seberapa, namun ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu bapa.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh berkata, bantuan berkenaan adalah satu daripada inisiatif kerajaan membantu rakyat dalam bidang pendidikan sebagai usaha mencapai status negara maju.

"Kita memerlukan ramai modal insan dan untuk itu kerajaan perlu memberikan pendidikan secukupnya kepada semua golongan masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kung Yu, di sini.

Tahir berharap bantuan tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meringankan beban ibu bapa terutama golongan yang memiliki ramai anak dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Hasyimah Hassan, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung Ahmad, di sini akan menggunakan wang itu untuk membeli buku memandangkan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

"Bantuan ini memang mampu meringankan beban keluarga. Terima kasih kepada kerajaan yang membantu," katanya.

Kerajaan pada minggu lalu mula mengagihkan bantuan khas itu dan negeri ini menerima sebanyak RM60.5 juta yang membabitkan seramai 605,848 pelajar.

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar menerima peruntukan RM7.1 juta merangkumi daerah Muar, Ledang, Pagoh serta Bakri dengan melibatkan 76,154 pelajar dari 211 buah sekolah rendah dan menengah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 JANUARI 2013

20 Januari 2013

JB TERTINGGI DAPAT BANTUAN AWAL SEKOLAH

ABDUL Ghani Othman (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Othman sambil diperhati Mohd. Nor Abd. Ghani dalam majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar, baru-baru ini. 
 
LEDANG 19 Jan. - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru mencatatkan daerah tertinggi menerima Bantuan Awal Persekolahan RM100 iaitu RM11.8 juta daripada jumlah keseluruhan RM60.5 juta yang membabitkan 605,848 pelajar di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor Abd. Ghani berkata, PPD Pasir Gudang menjadi daerah kedua tertinggi menerima bantuan itu iaitu RM11.4 juta dengan 114,380 penerima.

"Ini diikuti PPD Batu Pahat menerima bantuan sebanyak RM7.7 juta, PPD Muar (RM7.1 juta), PPD Kulaijaya (RM5.4 juta), PPD Kluang (RM5.2 juta), PPD Segamat (RM3.7 juta), PPD Kota Tinggi (RM3.3 juta), PPD Pontian (RM3.2 juta) dan PPD Mersing (RM1.4 juta).

"Pengagihan bantuan bermula 15 hingga 31 Januari ini, bertujuan membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar dekat sini kelmarin.

Penyampaian bantuan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom. 

Yang turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin; dan Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Ahmad Othman.

Mohd. Nor berkata, jabatan pelajaran dan pengurusan sekolah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan bantuan mengikut peraturan bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.

Beliau memberitahu negeri ini turut menerima bantuan lain daripada Kementerian Pelajaran, termasuklah Kumpulan Wang Amanah Pelajar (KWAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Prauniversiti yang berjumlah hampir RM150 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pemberian bantuan yang diperuntukkan melalui pembentangan Bajet 2013 yang lalu itu merupakan sentuhan hati kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Ini menjadi pendekatan baharu kerajaan untuk membantu rakyat secara langsung dan diberikan secara adil kepada semua pelajar dan murid yang terdiri pelbagai bangsa. Kerajaan berkemampuan memberikan pelbagai bantuan yang jelas membuktikan kerajaan menepati janjinya membela dan mengutamakan rakyat," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2013

19 Januari 2013

TIGA SYARIKAT GLOBAL SERTAI JOHOR

Tanjung Langsat, Pasir Gudang, akan menjadi antara pusat aktiviti hiliran industri minyak dan gas di negara ini. 
 
LEDANG 18 Jan. - Tiga syarikat petroleum global iaitu Vitol, Trafigura dan Blanco akan melabur di Tanjung Bin, Pontian dan Tanjung Langsat, Pasir Gudang tidak lama lagi dengan jumlah mencapai berbilion ringgit yang bakal menjadikan Johor sebagai hab baharu industri huluan dan hiliran minyak, gas dan petrokimia di rantau ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hab yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2017 itu bukan sahaja menyedia segala kemudahan berkaitan tetapi juga akan menjadi pusat perdagangan untuk industri itu.

"Di Tanjung Bin, Tanjung Langsat dan Pengerang akan mempunyai segala kemudahan untuk industri tersebut, contohnya, selain minyak mentah, pelbagai minyak akan diproses, begitu juga kita mempunyai tangki penyimpanan minyak yang akan siap pada 2014.

"Untuk itu kita perlukan pelabuhan yang dikendalikan dengan cekap dan juga perlukan tenaga kerja yang ramai, kepakaran serta berkemahiran," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar, dekat sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, melalui penyertaan syarikat perdagangan minyak dan gas dunia itu akan merealisasikan rancangan negeri ini untuk menjadi peneraju utama dalam sektor berkenaan bagi tempoh beberapa tahun lagi.

Katanya, sektor minyak dan gas di negeri ini akan menjadi seperti Singapura yang merupakan sebuah negara kecil tetapi menjadi pusat perdagangan minyak dan gas di rantau ini yang dilengkapi dengan segala kemudahan diperlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain bidang minyak dan gas, Johor akan menerima banyak pelaburan dalam tempoh 10 tahun ini menerusi pelbagai bidang yang dilihat bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

"Untuk itu, kita akan perlukan ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutama di Johor dan ini juga akan memberikan pendapatan yang baik dan tinggi," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2013

16 Januari 2013

GENG CURI MOTOSIKAL TUMPAS

Wartawan Sinar Harian
Geng curi motosikal tumpas
Harun menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang dirampas.
 
LEDANG - Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket mencuri dan menjual komponen motosikal sekitar daerah ini di lokasi berbeza sepanjang hujung tahun lalu hingga Januari ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, tangkapan pertama dan kedua dibuat pada 26 Disember lalu dengan menahan dua remaja lelaki berusia 19 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati dan Taman Kangkar Jaya, Sungai Mati, dekat sini.

“Suspek merupakan penganggur dan dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatannya mencuri serta menjual komponen motosikal.

“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah malah negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harun berkata, tangkapan ketiga dibuat pada 31 Disember lalu dengan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Sungai Mati yang juga merupakan seorang penganggur.

“Tangkapan jam 4 petang itu membawa kepada penemuan rangka motosikal yang dibuang dalam Sungai Belemang, Serom.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bebas dadah,” katanya.

Manakala, dalam tangkapan keempat yang dilakukan anggota Jabatan Narkotik IPD Ledang menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Tangkak.

“Serbuan pada 3 Januari, kira-kira jam 6.45 petang itu menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 125 yang disembunyikan dalam sebuah bilik rumah itu.

“Suspek lelaki berusia 17, 19 dan 26 tahun berasal dari Tangkak, manakala suspek wanita pula berusia 20 tahun dari Melaka. Kesemua suspek adalah warga tempatan, tidak mempunyai pekerjaan dan bebas dadah,” katanya.

Beliau berkata, ketika anggota Unit Peronda IPD Ledang membuat rondaan di Taman Pelangi, Tangkak, 8 Januari lalu, menjumpai sebuah motosikal jenis Kriss Modenas di tepi longkang.

“Motosikal ini dilaporkan hilang di Sungai Mati tahun lalu.

Kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 JANUARI 2013

15 Januari 2013

PADAH UGUT GUNA PISTOL TIRUAN

Wartawan Sinar Harian
Padah ugut guna pistol tiruan
Harun menunjukkan pistol tiruan yang digunakan seorang lelaki untuk memeras ugut warga Bangladesh di sebuah kilang di Tangkak, Sabtu lalu.
 
LEDANG – Tindakan berani seorang lelaki menggunakan pistol tiruan untuk melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki warga Bangladesh mengundang padah apabila ditahan Unit Rondaan Motosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang itu, mangsa berada di hadapan sebuah kilang pakaian di Tangkak, di sini, sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta.

Menurutnya, suspek bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa berusia 25 tahun yang bekerja di kilang berkenaan seterusnya memintanya sejumlah wang.

“Kekecohan yang berlaku menyedarkan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian dan menghubungi pihak polis.

“Dua anggota URB bergegas ke tempat kejadian dan menangkap suspek di belakang kilang berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, selain menahan suspek berusia 20 tahun itu, pihaknya turut merampas pistol tiruan jenis Walter P99 bersama peluru plastik, telefon bimbit dan dompet milik mangsa.

"Ujian air kencing  ke atas suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bersangkutan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah menjalani penjara selama enam bulan berserta denda RM1,800 pada tahun lalu.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 16 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 32 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harun berkata, indeks jenayah IPD Ledang menurun sebanyak 8.45 peratus iaitu 455 kes pada tahun lalu berbanding 497 kes untuk tahun 2011.

Beliau berkata, jenayah jalanan mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus iaitu 75 kes berbanding tahun 2011 sekali gus membolehkan IPD Ledang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)  ditetapkan.

“Bahagian narkotik juga mencatatkan kejayaan apabila jumlah tangkapan meningkat dengan perbezaan 119 kes tangkapan ke atas beberapa kesalahan dadah.

“Tahun lalu kita menahan 702 pesalah berkaitan dadah berbanding 583 pada 2011. Pelbagai jenis dadah dirampas termasuk heroin, syabu, ketamin dan ecstasy,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 JANUARI 2013

13 Januari 2013

FOKUS PARLIMEN: KEGHAIRAHAN BN HANYA RETORIK, KATA PAS

Wartawan Sinar Harian
Fokus PRU 13
 
Fokus PRU 13

PAS melihat keghairahan BN yang terlalu yakin dapat mengekalkan pemerintahan negara dalam PRU13 sebagai retorik semata-mata.

Pesuruhjaya Pas Johor yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Gambir, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, BN sebenarnya sudah mengetahui ada beberapa kerusi milik mereka akan jatuh ke tangan pembangkang.

“Jadi kata-kata itu hanya untuk menyedapkan hati orang ramai terutamanya kalangan ahli-ahli Umno kerana bimbang kehilangan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, Pas-PR sudah bersedia menghadapi PRU13 dan persiapan yang dilakukan sejak tahun lalu kini sudah mencapai 75 peratus.

Katanya, kesediaan itu dipengaruhi dengan maklum balas sangat baik yang diterima parti itu daripada rakyat melalui aktiviti yang dianjurkan seperti ceramah dan jelajah ke kawasan bertemu rakyat.

“Pas mensasarkan untuk menambah pengundi Melayu kerana sebelum ini sukar menarik golongan ini memandangkan kebanyakan mereka adalah penyokong tegar BN.

“Pengundi Cina tidak berganjak menyokong Pas pada PRU lalu sehingga ke hari ini dengan kekuatan 70 peratus sokongan,” katanya.

Mahfodz berkata, Pas juga menyusun strategi memberi tumpuan kepada Dun Gambir dan Dun Tangkak yang dipertandingkan sekali gus berpotensi untuk menang.

“Pas akan bertanding di Dun Gambir, manakala Dun Tangkak akan diisi oleh calon Dap atau PKR,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan BN menyelesaikan kemelut isu tanah di Sengkang yang sudah berlarutan lebih 10 tahun lalu antara isu yang bakal memberi peluang kepada Pas untuk meraih lebih banyak sokongan rakyat pada PRU kali ini.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JANUARI 2013

FOKUS PARLIMEN: BN JOHOR TIDAK GENTAR, KATA ADUN GAMBIR

Wartawan Sinar Harian
Fokus PRU 13
 
Fokus PRU 13

BARISAN Nasional (BN) tidak pernah berasa gentar untuk berhadapan pembangkang yang begitu berminat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gambir pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Exco Kerajaan Negeri, M Asojan, yang juga Adun Gambir.

Sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak dua penggal lalu, beliau telah memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat berbilang bangsa di kerusi Dun Gambir.

“Rakyat semakin matang membuat keputusan tepat memilih parti yang boleh membela nasib mereka, serta menilai wakil rakyat di kawasan itu sama ada dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik ataupun sebaliknya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi PRU13, Asojan berkata, beliau tidak mempunyai sebarang persiapan khas untuk mempertahankan  kerusi di kawasan berkenaan.

“Saya masih menggunakan prinsip yang sama dalam PRU sebelum ini iaitu rakyat tidak perlu melihat diri saya, tetapi melihat individu di belakangnya iaitu Menteri Besar,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JANUARI 2013

FOKUS PARLIMEN: ADUN TANGKAK OPTIMIS CINA SOKONG BN

Wartawan Sinar Harian
Fokus PRU 13
 
Fokus PRU 13

ADUN Tangkak, Goh Tee Tee menyifatkan kejayaan BN melaksanakan pembangunan seimbang di daerah Ledang di bawah pimpinan Menteri Besar menjadi faktor utama peningkatan sokongan orang Cina kepada BN di Dun berkenaan.

Menurutnya, ketika ini sokongan kelompok masyarakat itu telah meningkat kepada 50 peratus dan dijangka semakin bertambah menjelang PRU13.

“Dalam aspek pembangunan pendidikan, hampir semua sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangaan Tamil (SJKT)  mendapat peruntukan untuk mengubahsuai dan bina bangunan baru.

“Hanya sekolah di Johor sahaja menikmati kemudahan ini menerusi peruntukan yang disalurkan daripada kerajaan negeri.

“Begitu juga dalam aspek keagamaan, selain masjid dan surau, kuil, tokong serta gereja juga menerima peruntukkan pembangunan daripada kerajaan negeri," katanya.

Tee Tee berkata, tidak dinafikan ada beberapa isu peringkat nasional yang mengganggu emosi pengundi Cina seperti tuntutan Dong Zong, Projek Lynas dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang.

Bagaimanapun, beliau yakin pengundi Dun Tangkak tidak terpengaruh dan tidak akan menjejaskan sokongan mereka kepada BN kelak.

Katanya, dalam tempoh sepenggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau mendapati rakyat di Dun berkenaan memerlukan pemimpin yang boleh berkhidmat kepada mereka serta kerap berdampingan dengan rakyat.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JANUARI 2013

FOKUS PARLIMEN: 'BUKAN OMONG KOSONG', KATA MP LEDANG

Wartawan Sinar Harian
Fokus PRU 13
 
Fokus PRU 13
 
AHLI Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri begitu optimis dan yakin BN akan dapat mengekalkan pemerintahannya di kerusi Parlimen ini pada PRU13, walaupun mungkin terpaksa melalui jalan getir.

Menurutnya, keyakinan yang dilontarkan itu bukan sekadar gimik politik atau cakap-cakap kosong, tetapi ia bersandarkan kepada peningkatan sokongan rakyat terutamanya dalam kalangan bukan Melayu terhadap BN.

“Ini membuktikan mereka (rakyat) iktiraf usaha dan pembangunan yang dilakukan kerajaan BN selama ini.

“Sokongan kaum India meningkat sebanyak 50 peratus, manakala kaum Cina meningkat 30 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu BN leka dan berasa selesa kerana pembangkang dilihat  agresif untuk merampas dua kerusi Dun dalam Parlimen Ledang.

Namun katanya, BN tidak gentar hadapi tekanan pembangkang dan menganggap ia sebagai persaingan  sihat.

“Kita yakin dengan kemampuan jentera pilihan raya di setiap peringkat untuk mendampingi rakyat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.

“Walaupun pembangkang menyerang Dun Gambir, jentera kita di semua peringkat akan bekerjasama  mendampingi rakyat,” katanya.

Menurutnya, apa jua serangan yang dilakukan pembangkang  tidak menggugat kedudukan BN di Parlimen Ledang hasil kerja keras sehingga menjelang PRU13.

Mengulas mengenai strategi yang digunakan, katanya, BN Ledang berikrar akan terus mendampingi rakyat melalui pendekatan tertentu.

Pimpinan BN di kawasan itu juga sudah mula memberikan penerangan secara agresif dan jelas kepada rakyat mengenai jasa kerajaan membangunkan negara tanpa mengabaikan kepentingan rakyat.

“Kita perlu memberi kesedaran secara total kepada rakyat bahawa hanya kerajaan BN yang boleh membela nasib rakyat di negara ini,” katanya.

Hamim berkata, BN berhadapan dengan tugas agak berat malah perlu berusaha untuk menguatkan sokongan rakyat di samping bekerja keras bagi menangkis serangan fitnah oleh pembangkang.

“Kita tidak mahu fitnah ini terus merebak menjadi barah yang akan menghancurkan kepercayaan dan kesetiaan rakyat kepada BN.

“Pembangkang sering kali guna taktik kotor melalui penyebaran dakyah tidak benar bertujuan memburukkan pemimpin BN termasuk Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman,” katanya.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sangat berat kerana boleh memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penyokong BN.

Selain itu, katanya, BN akan memberikan tumpuan yang lebih di Dun Gambir dan Dun Tangkak  berikutan kemerosotan kemenangan majoriti pada PRU lalu.

“Kita akan perbaiki kedudukan BN di kedua-dua kerusi Dun itu dengan meningkatkan bilangan kemenangan majoriti. Rakyat usah mempertikaikan calon bertanding kerana ahli parlimennya masih beragama Islam.

“Rakyat perlu menyokong siapa sahaja calon BN yang bertanding untuk memastikan kemenangan kekal milik BN,” katanya.

Beliau berkata, BN sudah bersedia menghadapi PRU13 secara keseluruhannya dan ditambah pula dengan peningkatan 40 peratus sokongan golongan muda terhadap  BN.

“Trend ini membuktikan mereka masih yakin dan memberi mandat kepada BN meneruskan pemerintahan,” katanya.

Merujuk kepada hasil kajian dilakukan, pihaknya mendapati mana-mana golongan muda yang menyertai pembangkang akhirnya kembali kepada BN.

Hamim berkata, sehingga suku ketiga tahun 2012, jumlah pengundi baru meningkat sebanyak 9,918 berbanding 58,501 pada 2008, melalui pecahan Melayu sebanyak 36,387 (53.2%), Cina; 28,485(41.6%), India; 3.250(4.8%) dan lain-lain bangsa sebanyak 297.

“Pada 2008, Melayu - 30,961, Cina - 24,813, India - 2,692 dan lain-lain - 35,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JANUARI 2013

FOKUS PARLIMEN: BN, PAS YAKIN KUASAI LEDANG

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
Fokus PRU 13
 
Fokus PRU 13

KEMASUKAN tahun baru 2013 satu tanda detik Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir. Pejam celik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kian hampir tamat penggalnya sebaik sahaja pembubaran Parlimen diumumkan tidak lama lagi.

Tahun baru ini juga secara tidak langsung membawa bahang PRU13 yang semakin dirasai sama ada di peringkat pucuk pimpinan kerajaan, parti pembangkang, termasuk seluruh rakyat di negara ini.

Kesibukan dan tumpuan demi tumpuan seluruh jentera parti Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) turun padang bekerja keras mendekati rakyat dilihat semakin kerap kini.

Kemunculan perang bendera sama ada di pihak BN mahupun PR sudah mula dilancarkan di beberapa lokasi tumpuan di daerah Ledang, beberapa bulan lalu.

Kempen secara 'halus' itu menjadikan PRU13 kali ini bukan sahaja meriah malah boleh disifatkan sebagai pilihan raya paling getir dalam sejarah negara kerana inilah penentu kepada survival perjuangan orang Melayu.

Ini berikutan tsunami politik yang berlaku dalam PRU12 yang memberikan impak berskala besar kepada BN apabila hilang kuasa 2/3 di Parlimen.

Sebaliknya, pembangkang melihat kegagalan BN itu sebagai batu loncatan kepada mereka untuk mendapat kemenangan yang lebih besar sekali gus merealisasikan impian menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, ‘angan-angan’ itu ditentang hebat BN yang berikrar akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kubu BN di Johor termasuk Parlimen Ledang tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Itu senario yang dapat dilihat di seluruh negara ini, termasuk landskap politik di negeri ini yang tidak pernah mengubah keyakinan BN berjuang untuk mencapai kemenangan dan akan terus menjadi kerajaan yang memerintah.

Senario yang sama juga dilihat pada perjuangan PR yang tidak henti menanam cita-cita menawan pusat pentadbiran Johor, Nusajaya seterusnya membawa misi Putrajaya sebagai taruhan utama mereka.

Parlimen Ledang yang disandang BN sudah mula menerima tempias ‘cakap-cakap’ yang kononnya kawasan itu bakal dilanda ‘tsunami’ politik. Difahamkan, jentera perang gerak saraf PR sudah menyusup ke setiap masyarakat di Ledang.

Mampukah BN mempertahankan Parlimen Ledang seluruhnya? Atau PR mampu mengubah ‘ini kali lah’? NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN meninjau senario ini.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JANUARI 2013

12 Januari 2013

HOBI JADI SARA HIDUP SEJAK 15 TAHUN


LEDANG: Mulanya ia hanya sekadar suka-suka namun selepas mendapat banyak permintaan, seorang generasi kedua Felda Sri Jaya, Bukit Serampang di sini, menjadikan hobi menghasilkan kuih tradisional sebagai punca pendapatan keluarga sejak 15 tahun lalu.

Puzaiah Ibrahim, 57, yang mesra dengan panggilan Mak Yah berkata, minat menghasilkan kuih tradisional seperti rempeyek, tumpi dan muruku itu pada mulanya dilakukan bagi memenuhi masa lapang selain hobi.

"Berikutan ada permintaan, saya mula menghasilkannya setiap hari sehinggalah ia menjadi kerjaya sepenuh masa apabila permintaan bertambah.

"Saya menghantar sendiri kuih yang siap dibungkus ke kedai runcit dan warung di sekitar Felda Sri Jaya, Bukit Serampang serta Durian Chondong untuk dijual.

"Saya turut menerima tempahan pada Aidilfitri dan Aidiladha selain majlis perkahwinan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang 3, Bukit Serampang.

Puzaiah berkata, walaupun dia anak generasi kedua Felda namun dia tidak tinggal di tanah rancangan berkenaan tetapi menetap bersama suami, Sapuwan Lasiban, 70, di kampung berhampiran Felda Sri Jaya.

SUMBER: HARIAN METRO, 12 JANUARI 2013

GENG AYIE BMW TUMPAS

Wartawan Sinar Harian
Geng Ayie BMW tumpas
Sahadan (kiri), menunjukkan sebuah kereta mewah yang berjaya dijumpai hasil dari serbuan di sebuah rumah di Tanjung Agas.
 
LEDANG - Polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli geng Ayie BMW di sebuah rumah di Tanjung Agas, Ledang, dekat sini, Rabu lalu selepas disyaki terlibat dalam kes curi dua kereta mewah milik seorang ahli perniagaan bergelar datuk, di Melaka yang bernilai kira-kira RM800,000.

Ahli kumpulan terbabit yang masing-masing berusia 19, 20 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima maklumat berkaitan kejadian curi kereta kira-kira jam 5 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, pihaknya menghantar sepasukan anggota menyerbu rumah berkenaan dan merampas sebuah kereta mewah BMW 6 Series dianggarkan bernilai RM600,000 yang disembunyikan kumpulan terbabit di sebuah rumah di kampung itu.

Menurutnya, turut dirampas pelbagai peralatan diguna untuk memecah rumah dan kenderaan seperti tukul, parang, ragum, senjata tajam dan dadah yang disembunyikan dalam rumah berkenaan.

“Kumpulan terbabit disyaki mencuri dua kereta mewah itu daripada rumah seorang Datuk di Melaka sebelum menyembunyikannya di sini. Sebuah daripada kereta berkenaan iaitu Mini Cooper bernilai kira-kira RM260,000 ditemui sekitar jam 4 petang, hari ini (semalam) yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Ahli kumpulan terbabit berjaya ditahan hanya kira-kira 18 jam selepas mereka melakukan kegiatan jenayah di Melaka,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan terbabit yang dipercayai dianggotai lebih daripada tiga orang itu juga didapati melakukan kira-kira lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak lebih setahun lalu dengan melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui pelbagai barang kemas yang sudah dibakar dipercayai bagi mengeluarkan emas sebelum dijual kepada pihak tertentu selain ujian dadah mendapati mereka positif ketamin.

“Tiga lelaki terbabit yang berasal dari Ledang kini ditahan reman sehingga 16 Januari mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sahadan berkata, pihaknya juga meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya ingin menghubungi Khairul Azrul Abdul Latiff, 21, beralamat di Kampung Pulai, Melaka serta Ahmad Kushairi Mohd Saari, 26, berasal dari Kuala Kangsar, Perak bagi membantu siasatan.

“Kepada mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sahadan berkata, dua pengedar dadah serta 26 penagih ditahan menerusi operasi selama tiga hari membabitkan Jabatan Narkotik IPD Muar di sekitar daerah ini dan Pagoh yang berakhir kelmarin.

Katanya, dua pengedar berkenaan yang masing-masing berusia 29 dan 35 tahun ditahan di Bakri serta Pagoh dan pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 JANUARI 2013

09 Januari 2013

PROGRAMME FOR GETTING OUT OF POVERTY CYCLE

By Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: A smart partnership between the Social Welfare Department (JKM) and corporate bodies through the corporate social responsibility programme is aimed at helping to alleviate the burden of those in need.
 
Ledang JKM district officer, Ab Ghani Abu Bakar, said the aid given through the partnership would help recipients stand on their own feet.

"Sewing machines are among the aid given to help them be independent," he said during a presentation ceremony by Bank Rakyat's Ar-Rahnu X-Change (Tangkak branch) at Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jalan Hassan in Tangkak.

The aid was given out by Ledang member of Parliament, Hamim Samuri. Also present was Tangkak state assemblyman Goh Tee Tee, Ar-Rahnu X'Change analyst Mohd Helmy Md Salleh and PDK Tangkak treasurer Tan Chiang Soon.

During the ceremony, Ar-Rahnu X-Change (Tangkak branch) presented a sewing machine to a single mother, Suria Ahmad, from Taman Intan.

PDK Serom received a refrigerator while PDK Tangkak received a lawn-mower, a wheelchair and books for the trainees.

Ghani said the aid trainees would allow the trainees to climb out of the poverty cycle.

"PDK trainees would be guided by teachers," he said.

Ar-Rahnu X-Change
Suria Ahmad receiving a sewing machine from Hamim Samuri on behalf of Ar-Rahnu X-Change (Tangkak branch). On his left is Tangkak assemblyman Goh Tee Tee. Pic by Hai Rozzaman Jalal

SOURCE: NST STREETS JOHOR, JANUARY 9, 2013

KUIH TRADISIONAL SUMBER REZEKI

 Puzaiah menunjukkan rempeyek yang sudah siap dibungkus di rumahnya di Kampung Simpang 3, Bukit Serampang, Ledang.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]

 » Suri rumah tambah pendapatan keluarga menerusi jualan kecil-kecilan

 "Saya turut menghantar sendiri kuih yang siap dibungkus ke kedai runcit dan warung di sekitar FELDA ini dan Kampung Durian Chondong”

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

Ledang: Minat seorang suri rumah membuat kuih tradisional sejak 15 tahun lalu yang dipasarkan secara kecil-kecilan, berjaya membantu menambah pendapatan keluarga.

Generasi kedua FELDA Sri Jaya, dekat Bukit Serampang, Puzaiah Ibrahim, 57, pada mulanya membuat kuih tradisional seperti rempeyek, tumpi dan maruku bagi memenuhi masa lapangnya.

Permintaan meningkat
Katanya, berikutan permintaan terhadap kuih tradisional yang meningkat setiap hari, beliau menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa, selain mempunyai empat pembantu.
“Saya turut menghantar sendiri kuih yang siap dibungkus ke kedai runcit dan warung di sekitar FELDA ini serta Kampung Durian Chondong.
“Selain itu, saya turut menerima tempahan pada Aidilfitri dan Aidiladha serta majlis perkahwinan sehingga tidak menang tangan. Saya turut menerima tempahan dari Muar, Segamat, Melaka, Seremban dan Selangor,” katanya.
Puzaiah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Yah berkata, bermula dengan menjalankan semua kerja berseorangan, beliau kini mempunyai pekerja sendiri bagi memenuhi tempahan pelanggan.
Promosi mulut ke mulut
Katanya, hasil promosi mulut ke mulut termasuk saudara dan jiran yang pernah membeli kuihnya menjadikan produknya dikenali ramai dan mendapat sambutan baik.
“Saya tidak membuat sebarang promosi. Mungkin saudara-mara terdekat yang pernah membeli kuih rempeyek atau tumpi ada bercerita kepada jiran atau rakan mereka sebelum mereka turut membuat tempahan.
“Lebih menggembirakan apabila ada pelanggan dari Seremban yang membuat tempahan secara pukal setiap minggu sebelum mereka membuat pembungkusan sendiri untuk dipasarkan di sana,” katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 09 JANUARI 2013

PERSATUAN IBU TUNGGAL SASAR TAMBAH AHLI

 Ab Majid(duduk kiri) merakam kenangan bersama ahli Anggun selepas pelancaran persatuan itu di Kompleks Penghulu Mukim Kesang.

LEDANG 8 Jan. - Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (Anggun) Mukim Kesang menyasarkan menambah bilangan ahli berdaftar kepada 400 orang tahun ini.

Penaungnya, Ab. Majid Mistam berkata, sejak ditubuhkan Jun lalu, persatuan itu kini mempunyai 280 ahli berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (Helwa) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) serta bilangannya akan ditingkatkan untuk memperkasakan golongan itu.

Menurutnya, dalam mukim itu ramai ibu tunggal yang mempunyai pelbagai latar belakang dan mereka akan dikenal pasti supaya tidak ada yang terabai.

"Kita mahu ibu tunggal di mukim berkenaan memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki membangunkan kawasan Kesang.

"Jawatankuasa Anggun akan menubuhkan Biro Kebajikan, Kaunseling dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana yang berperanan mengesan ibu tunggal yang mempunyai kemahiran," katanya semasa ditemui dalam majlis pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Anggun di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Helwa Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi persatuan berkenaan, Azizah Md. Top.

Ab. Majid berkata, Anggun juga merancang menghantar ahli-ahlinya mengikuti latihan intensif bagi meningkatkan kemahiran supaya mereka boleh berdikari menjana pendapatan masing-masing.

"Ada kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perniagaan industri kecil dan sederhana berupaya memasarkan produk mereka ke luar daerah," katanya.

Sementara itu, Furaidah melahirkan rasa bangga kerana Kesang merupakan mukim pertama dalam daerah ini yang menubuhkan persatuan untuk membela nasib ibu tunggal.

"Menyertai persatuan ini bukan membuang masa, tetapi sebagai peluang meningkatkan motivasi bagi menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," katanya. 

"Ibu tunggal yang memerlukan bantuan diminta tidak berasa malu untuk mengajukan masalah kepada pemimpin setempat," katanya.

 SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 JANUARI 2013

08 Januari 2013

2013 TAHUN TUAH 'BUDAK TROLI'

Oleh Azidan Nahar


Muar: Kehadiran 2013 membawa ceria buat 'budak troli' apabila pendedahan BH mengenai kemiskinan keluarganya menarik perhatian pelbagai pihak menyalurkan bantuan.

Kesempitan hidup memaksa Muhamad Arif Haikal Mansur, 7, mengerah tulang empat kerat membantu meringankan beban keluarga dengan mengangkat barangan dibeli pelanggan di sebuah pasar raya di Tanjung Agas, di sini.

Terharu dengan bantuan semua pihak


Walaupun malu dengan apa yang berlaku, ibunya, Rasidah Arasani, 32, tetap terharu dengan keprihatinan masyarakat yang tampil membantu susulan kisah anaknya dipaparkan BH Ahad pada 16 Disember lalu.

"Saya amat terharu dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri," katanya ketika ditemui selepas menerima baucar beli-belah RM1,000 sumbangan Pasaraya Econsave, di sini dan dibawa pengurusan pasar raya itu membeli pelbagai keperluan terutama pakaian sekolah, barangan keperluan serta susu bayi.

Pada 16 Disember lalu, BH Ahad melaporkan kanak-kanak itu umpama penghuni tetap pasar raya berkenaan sejak mula cuti sekolah pada November dan akan mengangkat barang pelanggan tanpa meminta upah, namun cukup mengundang simpati ramai.

Malah, dia sudah dikenali di situ kerana keletahnya dan difahamkan tidak pernah meminta wang atas bantuan dihulurkan serta tidak menerima pemberian makanan dan minuman.

Rasidah berkata, dia akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada lima anak berusia 10 bulan hingga 12 tahun selepas ini termasuk seorang yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini kerana apa yang dilakukan Muhamad Arif di pasar raya berkenaan adalah di luar pengetahuannya.

Janji belajar bersungguh-sungguh

Sementara itu, kanak-kanak berkenaan berkata, dia amat seronok kerana dapat berbelanja membeli pelbagai barangan keperluan bersama empat adik beradik lain selain tidak sabar ke sekolah dan berjanji belajar bersungguh-sungguh.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam, berkata sumbangan baucar kepada keluarga terbabit untuk membeli-belah di pasar raya berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu yang akan turut berjumpa suami Rasidah untuk menawarkan kerja jika dia belum mempunyai pekerjaan.

SUMBER: BH 8 JANUARI 2013

07 Januari 2013

16 AHLI MASMA TERIMA SUMBANGAN KEBAJIKAN

HAMIM Samuri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli Masma pada Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat di SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, Ledang, baru-baru ini. 
 
LEDANG 6 Jan. - Seramai 16 ahli Majlis Staf Makmal Sains (Masma) Daerah Muar dan Ledang menerima sumbangan sempena Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, dekat sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Ahmad Yusof berkata, sumbangan kebajikan berkenaan diberikan kepada ahlinya bagi menghargai peranan mereka sewaktu susah dan senang di dalam MASMA.

Katanya, antara penerima sumbangan kebajikan itu meliputi anak cemerlang dalam peperiksaan, mendapat cahaya mata, hadiah perkahwinan, rawatan di hospital, menunaikan ibadah haji, hadiah persaraan dan sumbangan kematian anggota keluarga.

"Persatuan prihatin dengan kebajikan setiap ahlinya dan sumbangan diberikan diharap menjadi pendorong semangat bagi ahli yang lain khususnya meningkatkan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.

"Kami juga sentiasa mengambil perhatian kebajikan ahli yang ditimpa kesusahan seperti dirawat di hospital dan kematian anggota keluarga," katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan berkenaan di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri menyempurnakan majlis perasmian berkenaan dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada ahli Masma.

Ahmad dalam pada itu berkata, penganjuran sukan ragam dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli selain memupuk semangat kesukanan dan kerjasama.

Sementara itu, Hamim berkata, program anjuran Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas dan Masma Daerah Muar dan Ledang itu dapat mewujudkan satu persefahaman antara semua peserta.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2013

PERKONGSIAN BIJAK SALUR BANTUAN

 Ab Ghani menampal pelekat Ar-Rahnu X'Change Bank Rakyat pada kerusi roda sambil diperhatikan
Hamim (kiri) dan Tee Tee sempena penyampaian sumbangan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Jalan Hassan, Tangkak. [ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL]

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

LEDANG:  Perkongsian bijak antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan badan korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

Pegawai JKM Daerah, Ab Ghani Abu Bakar, berkata melalui program itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan badan korporat dalam pelbagai bentuk bantuan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Bantu individu berdikari

Katanya, ramai golongan kurang berkemampuan dalam senarai JKM memerlukan bantuan dan jabatan akan mengagih-agihkan sumbangan badan korporat kepada mereka yang layak.

“Sumbangan badan korporat di bawah tanggungjawab sosial mereka ini dapat membantu individu yang mendapat bantuan jabatan berdikari menerusi agihan peralatan seperti mesin jahit.

“Bantuan diberikan oleh jabatan bersifat sementara dan apabila individu yang diberikan sumbangan peralatan dapat berdikari, bantuan kepada mereka akan ditamatkan,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan peralatan oleh Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat Cawangan Tangkak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jalan Hassan dekat Tangkak.

Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Penaksir 1, Ar-Rahnu X’Change, Mohd Helmy Md Salleh dan Bendahari PDK Tangkak, Tan Chiang Soon.

Pada majlis itu, Ar-Rahnu X’Change Tangkak menyampaikan sumbangan mesin jahit kepada ibu tunggal, Suria Ahmad dari Taman Intan; PDK Serom menerima sebuah peti sejuk manakala PDK Tangkak menerima mesin pemotong rumput, kerusi roda dan buku untuk kegunaan pelatihnya.

Ab Ghani berkata, penerima bantuan jabatan yang produktif, diberi peralatan untuk menambah pendapatan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan keluarga.

Tingkat kualiti kehidupan

Katanya, pelatih PDK pula diberi bantuan bagi mengimbangi kehidupan individu itu dengan fizikal mereka untuk membolehkannya berdikari atas bimbingan guru di pusat itu.

Sementara itu, Mohd Helmy berkata, sumbangan yang disalurkan pihaknya diharap dapat membantu golongan kurang berkemampuan meningkatkan kualiti kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Chiang Soon pula berkata, sumbangan yang diterima PDK Tangkak dapat digunakan untuk melatih pelajar di pusat itu berdikari seperti memotong rumput bagi membolehkan mereka melakukannya di rumah.

SUMBER: BH JOHOR, 07 JANUARI 2013

02 Januari 2013

16 AHLI TERIMA SUMBANGAN

Hamim (kiri) menyampaikan sumbangan kebajikan kepada ahli Staf Makmal Sains (MASMA) Daerah Muar/Ledang sempena Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud Iskandar di Sungai Mati.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]

Ledang: Seramai 16 ahli Majlis Staf Makmal Sains (MASMA) Daerah Muar dan Ledang menerima sumbangan kebajikan bagi menghargai sumbangan mereka.

Pengerusinya, Ahmad Yusof, berkata sumbangan kebajikan itu diberikan kepada  ahlinya  sebagai menghargai mereka terhadap sumbangan dalam pelbagai program yang dianjurkan.

Katanya, antara penerima sumbangan kebajikan itu termasuk anak cemerlang dalam peperiksaan, cahaya mata baru, hadiah perkahwinan, rawatan di hospital, menunaikan Haji, hadiah persaraan dan sumbangan kematian anggota keluarga.

Prihatin kebajikan ahli

“Persatuan sentiasa prihatin kebajikan ahlinya dan sumbangan diberikan diharap menjadi pendorong semangat bagi ahli yang lain khususnya bagi meningkatkan lagi kecemerlangan anak dalam pelajaran.

“Kami juga sentiasa mengambil perhatian kebajikan ahli yang ditimpa kesusahan seperti dirawat di hospital dan kematian anggota keluarga,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan itu.

Serah sumbangan

Majlis penyampaian sumbangan itu sempena Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Ahmad berkata, penganjuran sukan yang julung kalinya dianjurkan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli dan keluarga mereka.

Katanya, semangat kesukanan dan kerjasama dapat dijalinkan menerusi program itu dan berharap ia dapat dijadikan sebagai program tahunan.

SUMBER: BH JOHOR, 02 JANUARI 2013

01 Januari 2013

IBU TUNGGAL DISARAN SERTAI PERSATUAN

 Ab Majid dan Furaidah (dua dari kiri) bergambar bersama ibu tunggal pada majlis pelancaran ANGGUN di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, Ledang.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]

Ledang: Golongan ibu tunggal disaran menyertai persatuan bagi membolehkan kebajikan mereka tidak terabai dan terlepas pandang daripada menerima sebarang bantuan.

Menyedari keperluan itu, Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (ANGGUN) Mukim Kesang, yang ditubuhkan Jun lalu berjaya menghimpunkan 280 ahli berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT).

Sasar pertambahan ahli

Penaung ANGGUN, Ab Majid Mistam, berkata persatuan itu menyasarkan penambahan ahli berdaftar kepada 400 orang tahun 2013 bagi memperkasa program membabitkan golongan berkenaan.

Katanya, ibu tunggal di mukim itu mempunyai pelbagai latar belakang dan pihaknya akan berusaha mengenal pasti keperluan itu bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

“Jawatankuasa ANGGUN akan menubuhkan beberapa biro, termasuk kebajikan, kaunseling, pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), yang berperanan mengesan ibu tunggal berkemahiran.

“Kita mahu golongan ibu tunggal memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki untuk membangunkan mukim ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Persatuan Ibu Tunggal (ANGGUN) di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi HELWA Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi ANGGUN, Azizah Md Top.

Tingkat kemahiran

Ab Majid berkata, ANGGUN sedang merancang untuk menghantar ahlinya mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari menjana pendapatan masing-masing.

Katanya, ramai dalam kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perusahaan IKS dan memasarkan produk mereka bukan hanya di sekitar negeri ini, malah di Melaka.

“Ahli persatuan juga aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk membantu golongan miskin, mengadakan program gotong-royong dan sukan rakyat,” katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 01 JANUARI 2013