TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Jun 2013

WANG PALSU RM24,586 DIRAMPAS

HARUN Idris menunjukkan wang palsu yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah, Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/ZULHISHAM ISAHAK 
 
LEDANG 27 Jun - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pencetakan dan pengedaran wang palsu membabitkan rampasan berjumlah RM24,586 dengan penahanan dua lelaki, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun ketika sedang mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Tanjung Agas, dekat sini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, polis menemui sejumlah wang kertas dipercayai palsu bernilai RM22,576 dalam beg sandang yang dibawanya.

"Suspek berasal dari Sungai Mati dan bekerja sebagai buruh dipercayai mahu mengedarkan wang tersebut kepada pelanggannya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini hari ini.

Susulan tangkapan pertama itu, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 23 tahun di rumahnya di Muar yang bekerja sebagai pembantu kedai gambar.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai wang kertas dipercayai palsu berjumlah RM2,010 yang disembunyikan di rumah berkenaan.

"Kita turut menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencetak wang palsu tersebut seperti mesin pencetak, dua set komputer, kertas A4 dan pisau. Mereka adalah rakan dan dipercayai baru enam bulan aktif dalam kegiatan itu," katanya.

Menurutnya, pihak Bank Negara turut mengesahkan wang yang dirampas daripada kedua-dua suspek adalah palsu dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui tujuan percetakan itu sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis syabu tetapi mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan dalam usaha gerakan menjejaki saki-baki ahli yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 489A dan Seksyen 489C Kanun Keseksaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 JUN 2013

25 Jun 2013

ABDUL GHANI IS NEW SIME DARBY CHAIRMAN


KUALA LUMPUR: Former Johor Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman has been appointed as Sime Darby Bhd's new chairman effective July 1, taking over from interim chairman Tan Sri Samsudin Osman.

The appointment confirms a Business Times report in May which tipped Abdul Ghani to helm Malaysia's oldest conglomerate. The chairman's post was left vacant following the retirement of Tun Musa Hitam on November 8 last year.

In a statement to Bursa Malaysia yesterday, Sime Darby said Abdul Ghani, 66, was also named Sime Darby's independent and non-executive director.

Following his appointment, the board of Sime Darby will now comprise 13 directors with five independent directors.

Abdul Ghani holds a Bachelor's Degree in Economics from La Trobe University in Melbourne, Australia, and a Master's Degree in Political Economics from the University of Queensland, Australia.

He was a lecturer at the Faculty of Economics, University of Malaya (1974-1980), Dean of the Faculty of Economics and Administration, University of Malaya (1980-1984), Member of Senate (December 1984-July 1986) and Member of Parliament for Ledang (August 1986-March 1995).

He was also deputy energy, telecommunication and post minister (May 1987-November 1990), deputy finance minister (November 1990-November 1993), youth and sports minister (December 1993-March 1995) and Johor's Menteri Besar (March 1995-May 2013).

SOURCE: NST BUSINESS TIMES, JUN 25, 2013

ABDUL GHANI SERTAI SIME DARBY


SIME Darby Bhd mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (gambar) sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baru berkuat kuasa 1 Julai ini.

Sime Darby dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, Abdul Ghani akan menggantikan Tan Sri Samsudin Osman, yang memangku jawatan itu susulan persaraan Tun Musa Hitam sebagai Pengerusi dan Pengarah Sime Darby pada 8 November lalu.

"Susulan pelantikan Abdul Ghani itu, Samsudin akan dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas berkuat kuasa 1 Julai ini," kata kenyataan itu.

Abdul Ghani, 66, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of La Trobe, Melbourne dan memperoleh Ijazah Sarjana Ekonomi Politik dari University of Queensland, Australia.

Beliau menjadi pensyarah Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya dari 1974 hingga 1980 sebelum dilantik Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran universiti berkenaan dari 1980 hingga 1984.

Kerjaya politiknya bermula apabila dilantik menjadi Senator pada Disember 1984 hingga Julai 1986 sebelum menjadi Ahli Parlimen Ledang bermula dari Ogos 1986 hingga Mac 1995.

Semasa dalam pentadbiran Persekutuan, Abdul Ghani dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada Mei 1987 hingga November 1990, Timbalan Menteri Kewangan dari November 1990 hingga November 1993 dan Menteri Belia dan Sukan pada Disember 1993 hingga Mac 1995.

Abdul Ghani kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Johor bermula Mac 1995 hingga Mei lalu.

Sime Darby dalam kenyataannya itu berkata, susulan pelantikan Abdul Ghani itu, Lembaga Pengarah kumpulan kini merangkumi 13 Pengarah dengan lima Pengarah Bebas.

SUMBER: BH, 25 JUN 2013

24 Jun 2013

PENDUDUK MUAR, LEDANG KENA PATUH DARURAT

Penduduk Muar,   Ledang kena patuh    darurat   
Keadaan jerebu yang teruk di sekitar Muar menghadkan jarak penglihatan kepada pengguna jalan raya. - Foto Shahrul M Zain
 
Tawau: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta penduduk Muar dan Ledang di Johor mematuhi sepenuhnya perintah darurat bencana jerebu bagi mengurangkan risiko kesihatan yang berpunca daripada masalah jerebu.

“Saya minta penduduk duduk di rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan.

Pelbagai jenis racun

Saya minta penduduk duduk di rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan," Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Kesihatan

“Ada pelbagai jenis racun dan bahan lain termasuk debu dan zarah atau bahan yang lebih besar yang kalau disedut boleh menimbulkan masalah khasnya kepada mereka yang mempunyai penyakit berkaitan paru-paru,” katanya selepas menghadiri majlis penghargaan warga Kementerian Kesihatan yang terbabit dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, di sini, semalam.

Subramaniam berkata melainkan ada sebab kecemasan, penduduk dua daerah itu perlu sentiasa berada dalam rumah dan mereka yang mempunyai kemudahan pendingin hawa digalakkan menggunakan 'recyling mode'.

Katanya kementerian akan memantau keadaan jerebu di seluruh negara termasuk dua daerah berkenaan sehingga keadaan kembali pulih dan selamat.

Beliau berkata semua klinik kesihatan sudah diarah supaya bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan pesakit yang mendapat rawatan.

Tutup sementara operasi

“Di peringkat kementerian, kita ada bilik operasi berfungsi dari pagi hingga jam 5 petang setiap hari bagi memantau kawasan terbabit daripada segi kesihatan,” katanya.

Mengenai penduduk Muar dan Ledang yang mungkin perlu keluar bekerja, beliau menjelaskan apabila darurat diisytiharkan bermakna majikan perlu menutup sementara operasi termasuk kilang.

Katanya hanya mereka yang bertugas dengan jabatan berkaitan kecemasan dibenarkan keluar bekerja.

Di Johor Bahru, kes berkaitan pernafasan serta asma di Johor meningkat lebih 100 peratus, sejak masalah jerebu berlaku di negeri ini dan keadaan itu akan berlarutan jika orang ramai mengambil mudah kesihatan mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yacob, berkata kanak-kanak paling berisiko menghadapi masalah kesihatan ketika jerebu berikutan salur pernafasan mereka belum matang, selain warga tua. 
 
SUMBER: BH 24 JUN 2013

ENAM LANGKAH SUSULAN DARURAT JEREBU

JOHOR BAHRU 23 Jun - Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Alam negeri mengambil enam langkah segera susulan pengisytiharan darurat bencana jerebu di daerah Muar dan Ledang hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan, enam langkah segera itu merangkumi semua premis pejabat kerajaan dan swasta serta lain-lain tempat kerja.
Beliau berkata, yang pertama mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan, swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari, menentukan semua sekolah ditutup, mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian.
"Yang keempat menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah, menentukan penyebaran maklumat Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada media massa dijalankan seberapa kerap dan terakhir penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka," katanya.
Mohamed Khaled berkata, langkah tersebut bagaimanapun tidak membabitkan kedai, pasar, pasar raya, klinik, farmasi, kedai ubat dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang dirasakan perlu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang sehingga ke suatu masa akan ditarik balik.
Pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan jerebu khususnya di kawasan Muar meliputi dua daerah itu berada pada tahap IPU melebihi 500, iaitu pada tahap kecemasan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2013

MUAR, LEDANG DARURAT

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor hingga ditarik balik.
Beliau berkata, ia susulan keadaan jerebu yang semakin teruk khususnya di Muar meliputi dua daerah yang berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan atau ‘emergency’.
“Pengisytiharan darurat bencana jerebu ini tidak membabitkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekarang.

“Bagaimanapun, semua kementerian dan agensi terbabit dalam pengurusan jerebu hendaklah mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Foto
KEADAAN di Muar pada waktu pagi, semalam.

IPU di Muar, kawasan yang diisytihar darurat pagi semalam menunjukkan penurunan dengan bacaan 507 mata setakat jam 5 petang semalam berbanding bacaan 746 mata yang direkodkan pada jam 7 pagi.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 24 JUN 2013

MUAR, LEDANG DARURAT - PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan keadaan Darurat Bencana Jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang mulai hari ini hingga ke suatu masa pengisytiharan itu ditarik balik.
Perdana Menteri berkata, pengisytiharan tersebut dibuat ekoran tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah berkenaan melebihi bacaan 500 iaitu berada pada tahap kecemasan.
Walau bagaimanapun beliau menjelaskan, pengisytiharan berkenaan tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung serta tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan ketika ini.
''Semua kementerian dan agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut adalah rentetan daripada masalah jerebu yang melanda negara kini terutama di selatan tanah air.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, satu garis panduan tentang tindakan untuk menghadapi Darurat Bencana Jerebu itu telah disediakan.
''Semua pihak hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berpandukan garis panduan tersebut,'' katanya.
Sementara itu di SHAH ALAM, kawasan Pelabuhan Klang mencatatkan IPU tertinggi di Selangor dengan bacaan 192 setakat pukul 11 pagi ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Siti Zaleha Ibrahim berkata, kawasan Petaling Jaya pula mencatat bacaan IPU 125, diikuti Banting (115), Shah Alam (112) dan Kuala Selangor (104).
Di SEREMBAN, keadaan jerebu di tiga daerah di Negeri Sembilan hari ini berada di tahap tidak sihat apabila IPU direkodkan melebihi paras 100.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Charanpal Singh berkata, kualiti udara di Port Dickson, Seremban dan Nilai masing-masing bacaan IPU direkodkan pada pukul 12 tengah hari tadi antara 100 hingga 186.
Katanya, bacaan IPU di Seremban mencatatkan 104, Port Dickson (186) manakala Nilai (101).
Di KUCHING, kualiti udara di seluruh Sarawak berada pada tahap sederhana dengan Limbang, Bintulu dan Kuching mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu mencecah 90.
Pengawal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, kejadian jerebu di negeri ini terkawal, malah tidak ada tompok panas dikesan di mana-mana lokasi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2013

18 Jun 2013

DURIAN DALAM DURIAN

Durian dalam durian
Durian dalam durian ditemui oleh pemandu lori ketika mengupas buah tersebut.
 
LEDANG - Seorang pemandu lori terkejut apabila mendapati sebiji durian kampung yang ditanamnya berbeza, kerana durian tersebut mengandungi durian lain di dalam pangsanya.

Musa Muhammad, 54, berkata, dia menyedari keunikan berkenaan ketika mengupas buah itu untuk dihidangkan kepada anak sulungnya yang hendak pulang ke kolej.

“Saya memungut buah ini yang baru gugur daripada pokok bersebelahan rumah selepas pulang dari tempat kerja.

“Sebaik mengupasnya, saya terkejut melihat terdapat durian berwarna keemasan di tengah antara pangsa buah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian rumahnya di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, dekat sini, semalam.

Menurutnya, dia segara memanggil isterinya, Zaleha Tamyiz, 50, dan dua anak lelaki bagi menyaksikan kejadian pelik itu.

Jelasnya, ini pengalaman pertama mereka melihat kejadian pelik itu.

Tambahnya, jiran yang mengetahui penemuan itu turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejadian berkenaan.

“Walaupun ganjil, tetapi rasa keenakan buah ini sama dengan durian lain.

“Inilah bukti kebesaran ALLAH SWT dan ia menjadi pengalaman menarik dalam kehidupan kami sekeluarga apabila diberikan peluang dipertemukan dengan kejadian seumpama ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 18 JUN 2013

16 Jun 2013

JENGKAUT REMPUH AMBULANS

Oleh HAI ROZZAMAN JALAL

Ledang: Nasib seorang mangsa kemalangan jalan raya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila ambulans yang membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dekat sini, dirempuh sebuah jengkaut di Parit Turun dekat Bukit Gambir, kelmarin.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, pemandu ambulans dari Klinik Kesihatan Grisek di sini, Azlan Ab Rahman, 32, tidak dapat mengelak apabila jengkaut itu tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluannya.
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan di Parit Raja, Grisek ke HPSF bersama seorang pembantu perubatan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Parit Turun sebuah jengkaut tiba-tiba hilang kawalan lalu meluru ke laluannya.
 
Foto
KEADAAN ambulans Klinik Kesihatan Grisek yang rosak teruk akibat dirempuh jengkaut.

“Saya membunyikan hon bagi menyedarkan pemandu jengkaut itu, namun kenderaan berkenaan tidak mengubah haluan dan merempuh bahagian hadapan ambulans kami.
 
SUMBER: METRO AHAD, 16 JUN 2013

SEBUAH LAGI AMBULANS TERLIBAT KEMALANGAN

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 
LEDANG 15 Jun - Jika sebelum ini sebuah ambulans Hospital Pakar Putra Batu Pahat yang membawa pesakit jantung terlibat dalam kemalangan di Jalan Bakri, Muar pada Sabtu lalu, kali ini sebuah lagi ambulans yang membawa mangsa kemalangan terlibat nahas.
 
Kemalangan berlaku di Parit Turun, Bukit Gambir dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
 
Dalam kejadian itu, ambulans Klinik Kesihatan Grisek yang membawa mangsa kemalangan seorang wanita berusia 27 tahun dirempuh sebuah jengkaut yang datang dari arah bertentangan.
 
 
Sebelum itu, wanita berkenaan terlibat dalam kemalangan di Parit Raja, Grisek pada pukul 7.15 malam mengakibatkan ibunya, Rosnah Abd. Rahman, 51, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta.
 
 
Ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Grisek menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menghantar wanita terbabit yang patah kaki kiri akibat kemalangan itu.
 
 
Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, jentera berat dari arah Muar menghala ke Bukit Gambir dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh ambulans tersebut.
 
 
Pemandu ambulans berkenaan, Azlan Ab. Rahman, 32, berkata, dia terkejut apabila melihat jengkaut yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an memasuki laluannya.
 
 
"Saya sempat mengelak tapi jentera itu merempuh bahagian kiri ambulans sebelum terbabas melanggar tiang telefon di tepi jalan. Nasib baik pembantu perubatan duduk di bahagian belakang bersama pesakit.
 
 
"Kemungkinan pemandu jentera itu diserang darah tinggi membuatkannya tidak dapat mengawal pemanduan. Sebaik pelanggaran berlaku, pemandu terbabit pitam dan dia kemudian bersama mangsa dihantar ke HPSF oleh ambulans lain dari Tangkak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE
 
SUMBER: UTUSAN ONLINE, 16 JUN 2013

MANGSA MALANG DUA KALI

Nor'asyikin Mat Hayin
 
Mangsa malang dua kali
Ambulan yang membawa mangsa kemalangan di Grisek terbabit nahas dengan sebuah jengkaut di Kampung Parit Turun, Bukit Gambir, semalam.
 
LEDANG - Seorang wanita melalui malang berganda apabila terlibat dua kali kemalangan dalam jangka masa 15 minit.

Pada kejadian pertama,  wanita berusia 27 tahun itu  terlibat kemalangan dengan sebuah  kereta yang merempuh motosikalnya di Parit Raja, Grisek, kelmarin.

Difahamkan, kemalangan yang berlaku itu turut mengakibatkan ibu wanita berkenaan yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemudian, mangsa terbabit pula dalam kemalangan melibatkan ambulans yang membawanya menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar selepas patah kaki akibat kemalangan bersama ibunya itu.

Kejadian berlaku di Parit Turun, Bukit Gambir kira-kira jam 7.30 malam, membabitkan ambulans berkenaan dengan sebuah jengkaut.

Setibanya di lokasi kejadian, jentera berkenaan yang datang dari arah Muar menghala Bukit Gambir dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh ambulans itu.

Pemandu ambulans, Azlan Ab Rahman, 32, berkata, dia terkejut apabila melihat jengkaut yang dipandu lelaki lingkungan 30an memasuki laluannya.

“Saya sempat mengelak, tapi jentera itu merempuh bahagian kiri ambulans sebelum terbabas melanggar tiang telefon di tepi jalan.

“Mujur pembantu perubatan duduk di belakang bersama pesakit yang patah kaki kiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kemungkinan pemandu jentera itu diserang darah tinggi sehingga tidak dapat mengawal pemanduan.

Jelasnya, sebaik pelanggaran berlaku, pemandu terbabit pitam dan kemudian dia bersama mangsa dihantar ke HPSF oleh ambulans lain  dari Tangkak.

“Mujur pembantu perubatan duduk di bahagian belakang bersama pesakit dan  bersyukur tiada sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 16 JUN 2013

JENGKAUT TERBABAS BERTEMBUNG AMBULANS

 
Ledang: Sebuah ambulans dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, remuk akibat bertembung sebuah jengkaut dekat Parit Turun, Bukit Gambir di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.30 malam itu, ambulans Klinik Kesihatan Grisek itu rosak teruk di bahagian kiri.

Pengawal keselamatan kilang berdekatan lokasi yang menyaksikan kejadian itu dan mahu dikenali sebagai Along, 20, berkata jengkaut dari arah Muar ke Bukit Gambir itu hilang kawalan sebelum memasuki lorong kanan dilalui ambulans berkenaan.

Pemandu ambulans cuba mengelak tetapi tidak sempat lalu dirempuh jengkaut berkenaan dan berlaku dentuman kuat.

Pemandu jengkaut itu dilaporkan pitam selepas kejadian dan dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemandu ambulans, Azlan Ab Rahman, 32, bersama seorang pembantu perubatan dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan di Parit Raja, Grisek ke HPSF.

Sebaik tiba di Parit Turun, katanya, jengkaut terbabit memasuki laluannya dan bertembung selepas tidak sempat mengelak.

Saya bersyukur kerana pembantu perubatan yang berada di belakang ambulans bersama pesakit terselamat, katanya.

Pesakit wanita itu bersama pemandu jengkaut yang cedera dihantar ke HPSF oleh ambulans lain yang dikejarkan dari Hospital Tangkak.

SUMBER: BH AHAD, 16 JUN 2013

14 Jun 2013

RISDA MINTA PEKEBUN BERI KERJASAMA

Oleh Nor Hazwani Hamat


Johor Bahru: Kira-kira 400,000 pekebun kecil diminta memberi kerjasama kepada RISDA bagi menjayakan proses bancian yang akan dilaksanakan agensi itu mulai Isnin ini.

Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Korporat), Ahmad Sufi Alias (gambar), berkata proses bancian yang berlangsung hingga September depan bertujuan mengemas kini maklumat berkenaan keluasan tanah pertanian yang diusahakan pekebun kecil.

RISDA akan memulakan bancian dengan menugaskan 4,000 kakitangan untuk melaksanakan proses ini.

Beri kerjasama


Oleh itu, RISDA berharap pekebun kecil memberi kerjasama yang baik untuk melaporkan maklumat berkaitan pemilikan tanah masing-masing, katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Kasihi Pesara peringkat RISDA negeri Johor di Pejabat RISDA, di sini.

Pada majlis itu, seramai 79 kakitangan diraikan bagi memberi penghargaan kepada kakitangan yang bakal bersara, termasuk kakitangan yang menerima anugerah 25 tahun perkhidmatan dan kakitangan cemerlang.

Pekebun aktif

Ahmad Sufi berkata, setakat ini, RISDA mencatatkan lebih 400,000 pekebun kecil yang bergiat aktif mengusahakan kawasan kebun seluas kirakira 900,000 hektar di seluruh negara.

Mengikut statistik 2002, jumlah keluasan ladang untuk setiap pekebun kecil ialah 2.5 hektar dan kami percaya saiz itu semakin mengecil dengan anggaran 1.8 hingga 1.9 hektar seorang berikutan beberapa faktor, termasuk pemecahan dan segelintir tanah ditukarkan kepada kawasan industri.

Oleh itu, RISDA sedaya usaha meningkatkan produktiviti bagi mengimbangi pengurangan saiz ladang dengan melaksanakan pelbagai program seperti gerakan membaja dan merangsang pokok, selain memberikan bimbingan dengan ilmu pengetahuan serta teknologi daripada agensi penyelidik seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Malah, kita mensasarkan jumlah pengeluaran hasil pekebun kecil menjelang 2015 mencapai 1,750 kilogram untuk setiap hektar dan peningkatan kepada 2,000 kilogram menjelang 2020, katanya.

Sementara itu, Pengarah RISDA Johor, Omar Paimin, berkata Johor akan menumpukan projek penanaman semula getah di beberapa kawasan strategik di negeri ini seperti Segamat, Ledang, Muar dan Kluang.

SUMBER: BH, 14 JUN 2013

11 Jun 2013

PENYEWA BANTU PADAM API

Nor'asyikin Mat Hayin
 
Penyewa bantu padam api
 
LEDANG – Tindakan pantas kira-kira 20 penyewa kediaman memadam kebakaran sebuah stor menyimpan kayu api berjaya menghalang api yang sedang marak daripada merebak ke lima unit rumah sewa  dalam kejadian di Batu 2 ½ Parit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.57 petang itu memusnahkan setor terbabit yang terletak bersebelahan dengan deretan rumah sewa berkenaan.

Pemilik rumah sewa, Dawam Ali,72, berkata, kejadian itu disedari isterinya yang berada di dapur selepas terdengar bunyi letupan kecil dari arah belakang rumah.

Menurutnya, isterinya berasa tidak sedap hati seterusnya keluar ke rumah untuk meninjau keadaan sebelum terkejut melihat api menjulang tinggi membakar keseluruhan setor itu.

“Ketika itu saya sedang membaca al-Quran di ruang tamu sementara menunggu waktu Maghrib. Kemudian saya telah dimaklumkan isteri tentang kejadian tersebut.

“Penyewa-penyewa yang menyedari kejadian itu terlebih dahulu cuba memadamkan kebakaran dengan pancutan air paip, bahkan ada yang mengangkat air menggunakan baldi kerana tekanan air agak rendah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Pesara guru itu berkata, mujur kejadian itu disedari lebih awal bagi membolehkan penyewa-penyewa bertindak memadamkan api sementara menunggu ketibaan pihak bomba.

“Saya amat bersyukur kebakaran ini dapat dikawal dan hanya satu rumah sewa sahaja yang terjejas di bahagian dinding, tingkap dan bumbung,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Maneron berkata, pihaknya mengambil masa semalam 20 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 JUN 2013

06 Jun 2013

LUCKY BONANZA FOR 23-YEAR-OLD MAN IN TANGKAK

By HAMDAN RAJA ABDULLAH
emailed photo@thestar.com.my

LEDANG: A young man from Sagil near here was jubilant when he was called to receive AmBank’s prosperity bonanza campaign reward of RM18,888 at the banks branch in Tangkak last Wednesday.

Mohamad Azrizal Bohari, 23, who came with his mother Rozita Abu Bakar,said he did not think his saving account with the bank would bring him some luck..

He said he was shocked and surprised when his mother informed him that he had been picked as the banks top winner for Johor state and would receive RM18,000 from the bank in Tangkak.

“I was working at a 7-Eleven outlet in Sagil when my mother called to inform me of the good news.

“And, I brought her along today to collect the cash reward,” he told reporters at the Tangkak AmBank branch.

Meanwhile, the branch’s head of service Poh Joo Hoon said Mohamad Azrizal only opened a saving account with the bank but it was sufficient to win him the first prize reward for Johor.

She said the prosperity bonanza campaign reward carried many prizes,including the grand prize of RM388.888 and RM888 daily prize winners..

However, she added, the branch only had one winner and it was Mohamad Azrizal, who won the first prize reward for the state level winner.

SOURCE: THE STAR, JUNE 6, 2013

KEBIRU SK SEROM 5 RAI WARGA EMAS SAMBUT HARI GURU





Guru Besar Sekolah Kebangsaan Serom 5, Zainal Ahmad (dua kanan) menyampaikan sumbangan Kelab Bilik Guru (KEBIRU) kepada warga emas dalam Program Khidmat Masyarakat sempena sambutan Hari Guru sekolah itu.

Ledang: Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 5, di sini bukan meraikan para pendidik saja tetapi turut disertai 15 warga emas dan golongan kurang berkemampuan yang dijemput khas dalam program anjuran Kelab Bilik Guru (KEBIRU) sekolah itu.

Pengerusinya, A Rahim Aziz berkata, program khidmat masyarakat KEBIRU yang menjadi rutin tahunan sejak 2008 itu bertujuan  mendekati masyarakat kampung khususnya warga emas, anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Katanya, ahli kelab yang terdiri daripada guru dan staf mengumpulkan dana dan barangan makanan untuk disumbangkan kepada mereka.

“Budaya membantu golongan memerlukan ini dapat mendidik anak-anak murid mengenai kepentingan bersedekah dan menderma yang dapat menyucikan harta benda serta pendapatan yang diperoleh.

“Tahun ini anak-anak murid dapat menyaksikan sendiri guru mereka menyerahkan sumbangan kepada warga emas dan kurang berkemampuan selain mendidik mereka mengenai budaya bantu membantu sesama insan,” katanya.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian itu disampaikan Guru Besar SK Serom 5, Zainal Ahmad.

A Rahim berkata, tahun sebelumnya, ahli KEBIRU berkunjung ke rumah golongan berkenaan menziarahi mereka sambil menyampaikan sumbangan namun kali ini mereka hadir ke sekolah untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Guru.

Sementara itu, Zainal berkata sepanjang bertugas di lima buah sekolah, SK Serom 5 mencipta kelainan apabila mengadakan sambutan sederhana tetapi menyentuh perasaan bila melibatkan golongan warga emas, kurang upaya dan anak yatim kampung berkenaan.-iNFOLEDANG

02 Jun 2013

'REBUT PELUANG TAMBAH PRODUK HALAL'

Ledang: Usahawan pengeluaran produk halal negara ini boleh menerokai pasaran dunia yang kini mencecah RM73 trilion setahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hamim Samuri, berkata sehingga kini usahawan negara ini hanya mampu mengeksport RM70 bilion produk halal ke seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, usahawan Malaysia perlu merebut peluang dengan menambahkan produk halal untuk dieksport terutama ke negara yang mempunyai ramai umat Islam.

Sedia pensijilan halal

Dalam industri produk halal, hanya Kerajaan Malaysia yang mengambil bahagian menyediakan pensijilan halal untuk memastikan produk dikeluarkan terbukti halal.

Di negara lain, produk halal disahkan persatuan ulama atau Islam sedangkan di sini kerajaan yang menyediakan pensijilan halal terbabit, katanya pada majlis kesyukuran dan tahlil sempena pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan Senator Ahamat Yusop.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang turut mengalukan mereka yang berminat menjadi usahawan untuk merebut peluang disediakan MITI melalui Program Groom Big.

Program itu inisiatif kerajaan untuk menggalak, memupuk dan membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana, katanya.

SUMBER: BH AHAD, 02 JUN 2013

EKSPORT HALAL TEMPATAN HANYA RM30 BILION SETAHUN

LEDANG 1 Jun - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa usahawan Islam agar merebut peluang dalam industri halal antarabangsa berikutan nilai dagangan sektor itu yang kini mencecah RM73 trilion setahun.

Timbalan Menterinya, Ir. Hamim Samuri berkata, setakat ini penglibatan usahawan tempatan dalam mengeksport produk mereka untuk pasaran industri itu hanya bernilai RM30 bilion setahun dan jumlah tersebut masih kecil berbanding keperluan semasa.

"Usahawan Malaysia boleh menceburi pelbagai produk halal yang meliputi bahan makanan, kosmetik, ubat-ubatan dan barangan pengguna lain kerana peluang pasarannya amat besar.

"Justeru kita mengalu-alukan sesiapa sahaja terutama umat Islam membekalkan produk halal yang cukup besar pasarannya di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek Bandar Tangkak, di sini semalam.

Katanya, produk halal keluaran negara ini lebih diyakini di peringkat antarabangsa kerana Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang kerajaannya terlibat dalam mengeluarkan sijil halal bagi menjamin status halal sesuatu produk.

Menurut Hamim, di negara-negara lain tugas mengeluarkan sijil halal dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan dan pihak pengurusan masjid.

"Kerajaan Malaysia amat komited dalam soal mengeluarkan sijil halal terhadap produk halal, perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain termasuk di negara-negara Asia Barat. Saya mengajak usahawan negara ini terutama umat Islam supaya melihat potensi yang ada seterusnya meneroka perdagangan antarabangsa," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang memberitahu, kementerian menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada mereka yang bersedia menceburkan diri dalam bidang pengeluaran produk halal.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan tertentu sebelum barangan layak mendapat sijil halal dan dibenarkan untuk dieksport.

Dalam pada itu, beliau berharap usahawan di Ledang mendapatkan maklumat dari bahagian-bahagian tertentu termasuk Unit Penyertaan Bumiputera di bahawa kementerian tersebut untuk mendapatkan bantuan bagi meningkatkan perusahaan mereka.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 02 JUN 2013