PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2014

USTAZ, ANAK NELAYAN TAWAN GUNUNG LEDANG

ABD. Mutalib Abd. Rahim ( berdiri lima dari kanan) dan Abd. Razak Minhat ( berdiri lima dari kiri) bersama peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang di Taman Legenda Gunung Ledang, baru-baru ini.
LEDANG 30 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 42 peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang yang berjaya menyempurnakan misi mereka malam kelmarin selepas lebih empat jam pendakian penuh cabaran.
Segala kesukaran dan keperitan mereka menawan puncak Gunung Ledang berketinggian 1,276 meter dari paras laut dengan melalui trek berbatu, gaung dan terpaksa menggunakan tali nyata berbaloi.
Malah kejayaan itu lebih manis apabila mereka disambut dan diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
Ekspedisi anjuran Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang bermula serta berakhir di Taman Legenda Gunung Ledang.
Abd. Mutalip dalam ucapan penutupnya berkata, program tersebut unik dan lain daripada biasa kerana menggabungkan warga pendidik, komuniti setempat dan anak nelayan.
"Program ini julung kali diadakan. Sebelum ini apabila mahu menganjurkan program seumpama ini kita banyak bangkitkan perkara negatif. Usaha dakwah perlu diubah bagi memastikan dapat bersama-sama orang muda," katanya.
Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin pula berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat, golongan belia dan persatuan nelayan daerah.
"Hasrat menganjurkan program ini sudah lama dirancang. Program selama tiga hari ini yang acara kemuncaknya mendaki Gunung Ledang turut diisikan dengan beberapa pengisian rohani, antaranya tazkirah, solat berjemaah dan qiamullail," katanya.
Seorang peserta, Mohd. Rohaizat Zainal, 25, wakil belia dari PNK Ledang mengakui gembira dapat bersama-sama menjayakan ekspedisi tersebut walaupun mengalami kesukaran semasa mendaki dan menuruni puncak gunung itu pada waktu malam.
"Pelbagai rintangan dilalui. Saya mendapat luka-luka kecil, tergelincir dan sebagainya, namun tidak mematahkan semangat kami. Kesakitan yang dihadapi hilang apabila masing-masing berjaya menawan puncak gunung ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MAC 2014

30 Mac 2014

MANGSA KEBAKARAN TERIMA BANTUAN AWAL

LEDANG 29 Mac - Keluarga pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir dekat sini kelmarin, mendapat perhatian kerajaan.

Selain wakil rakyat, turut melawat Abdul Halim Mokhtar, 55, isterinya, Afidah Md. Arif, 53, dan anak-anaknya yang ditimpa musibah itu adalah agensi-agensi kerajaan terbabit.

Bantuan awal diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3,000, Majlis Agama Islam Negeri Johor (RM5,000) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan dengan sumbangan peribadi (RM500).

Selain itu, Pemuda UMNO Bahagian Ledang turut memberi sumbangan kewangan dan peralatan kepada keluarga malang tersebut.

Asojan berkata, sumbangan itu merupakan bantuan awal sementara menunggu siasatan serta laporan kebakaran tersebut selesai.

"Diharapkan bantuan itu nanti dapat membantu keluarga mangsa membina tempat berteduh yang baharu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga mangsa di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Pegawai JKM Daerah, Ab. Ghani Abu Bakar; Penghulu Mukim Gersik, Ishak Abu Bakar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani dan Ketua Kampung Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed.

Dalam kejadian pukul 8.05 malam itu, Abdul Halim dan keluarganya sempat menyelamatkan diri selepas menyedari stor di belakang rumah terbakar, bagaimanapun tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan berusia 25 tahun itu musnah dijilat api.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 30 MAC 2014

29 Mac 2014

LETUPAN KECIL SELAMATKAN TIGA BERANAK DARIPADA RENTUNG

M Asojan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Abdul Halim Mokhtar yang kehilangan rumah akibat kebakaran di Kampung Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir,Ledang, kelmarin.

LEDANG 28 Mac - Bunyi letupan kecil di stor belakang rumah berjaya menyelamatkan tiga beranak daripada rentung dalam satu kebakaran di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.05 malam itu, Abdul Halim Mokhtar, 55, berada di rumah bersama isteri, Afidah Md. Arif, 53, dan anak bongsunya, Siti Izzatul Akila, 14.

Menurut Abdul Halim, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan disusuli dengan lampu di ruang tamu yang berkelip-kelip sebelum ternampak percikan api di bahagian belakang rumahnya.

"Saya kemudian menyuruh Afidah dan Siti Izzatul Akila menyelamatkan diri.

"Dalam keadaan gelap dan kelam kabut, saya hanya sempat mematikan suis utama elektrik sementara dokumen penting dan pakaian tidak dapat diselamatkan kerana api marak begitu cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Halim yang mengusahakan makanan sejuk beku memberitahu, dia juga berjaya mengalihkan kereta Proton Saga BLM di halaman rumahnya manakala sebuah lagi kereta dan skuter di garaj hangus terbakar.

Menurutnya, walaupun dokumen penting dan barangan dalam rumah papan berusia 25 tahun itu musnah, dia bersyukur isteri dan anaknya terselamat.

"Saya bersyukur kerana kilang yang terletak berhampiran rumah yang menjadi sumber rezeki kami tidak terjejas," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A. Hamid Awaludin yang mengetuai operasi itu berkata, satu jentera dengan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 8.15 malam.

"Rumah kayu berkeluasan 378 meter persegi itu musnah keseluruhannya.

"Bagaimanapun api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan IKS bersebelahan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, Ab. Ghani Abu Bakar, Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani datang melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 MAC 2014

28 Mac 2014

STOR MELETUP LAMPU BERKELIP

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: "Ketika membaca al-Quran, tiba-tiba saya terdengar letupan kecil dari arah stor di belakang rumah," kata Abdul Halim Mokhtar, 55, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Menurutnya, sejurus letupan kecil kedengaran, lampu di ruang tamu rumahnya tiba-tiba berkelip menyebabkan dia bangun untuk menyiasat apa yang berlaku dalam kejadian pada jam 8 malam itu.

"Sebaik pulang daripada menunaikan solat Maghrib di surau, seperti biasa saya membaca al-Quran, bagaimanapun tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dari stor sebelum mendapati api marak.

"Dalam keadaan panik dan gelap, saya cuba menyelamatkan dokumen penting dan pakaian, namun tidak sempat kerana api marak dengan cepat dan hanya mampu mengalihkan kereta di depan rumah," katanya

Abdul Halim berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Afidah Md Arif, 53, dan anak bongsunya, Siti Izzatul Akila, 14, berada di rumah manakala ahli keluarga lain belum pulang dari tempat bekerja.

"Sebuah kereta PROTON Saga dan skuter yang diletakkan di garaj di sebelah rumah turut musnah disambar api apabila kami tidak sempat mengalihkannya.

"Walaupun dokumen penting dan barangan dalam rumah berusia 25 tahun itu hangus, saya bersyukur kerana isteri dan anak terselamat," katanya.

Abdul Halim yang mengusahakan makanan sejuk beku bersama isterinya turut bersyukur kerana kilang terletak berhampiran rumahnya tidak terjejas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir A Hamid Awaludin yang mengetuai operasi itu berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 8.15 malam, sebuah jentera dengan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 MAC 2014

23 Mac 2014

WAU, LAYANG-LAYANG TARIKAN BAHARU LEDANG

Wartawan Sinar Harian

LEDANG -  Satu lagi produk pelancongan  baharu dijangka  diperkenalkan di daerah ini  dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi daerah Ledang yang terkenal dengan pelbagai tarikannya.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri berkata, produk terbaharu itu lebih bercirikan santai serta mempunyai nilai kebudayaan masyarakat Melayu tetapi  berbentuk program iaitu Cabaran Aspirasi Rentap Wau dan Layang-layang.

“Kita akan jadiknya sebagai acara tahunan selepas melihat kejayaan penganjuran yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda Umno  Bahagian Ledang dan Majlis Belia Daerah Ledang.

“Produk pelancongan sedia ada yang lain ialah kawasan rekreasi Gunung Ledang dan bandar tekstil Tangkak,” katanya ketika merasmikan program itu di Kampung Sawah Ring, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Sahrihan Jani dan Ketua Kampung Sawah Ring, Hussin Mohamed.

Menurutnya, faktor angin dan kawasan sawah padi sesuai dijadikan lokasi pertandingan wau dan layang-layang.

Hamim berkata, program itu dapat perkenalkan kawasan sawah padi di Sawah Ring kepada pengunjung.

Tambahnya, pertandingan itu membolehkan peserta menonjolkan kreativiti dan bakat  dalam membuat wau dan layang-layang.

“Seramai 26 peserta menyertai pertandingan wau dan  12 peserta bagi kategori layang-layang,” katanya.

Mohd Masdanial Jailani ungguli kategori layang-layang dan menerima RM100; kedua, Mohd Syafiq Ali (RM70); ketiga, Mohd Arifudin Saiman (RM50) dan keempat, Mohd Irfan Azman (RM30).

Kategori wau dijuarai, Mohd Syafiq Md Sangit (RM200); tempat kedua, Mohamad Anuar (RM100); ketiga, Azhari Sadeli (RM50) dan keempat, Khudhairi Jais (RM30).

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 MAC 2014

22 Mac 2014

14 PREMIS MAKAN DIARAH TUTUP

Wartawan Sinar Harian

14 premis makan diarah tutup
Razali (kanan) memeriksa sebuah kedai makan dalam Operasi Bersepadu terhadap 70 premis di sekitar Ledang.


LEDANG - Pejabat Kesihatan Ledang mengarahkan 14 kedai makan di daerah ini, ditutup serta merta selepas didapati tidak mematuhi kriteria ditetapkan kementerian di bawah Akta Makanan 1983.

Operasi bersepadu dua hari dan berakhir semalam, terhadap 70 premis sekitar kawasan berkenaan, melibatkan kira-kira 62 anggota dan pegawai penguat kuasa termasuk dari Muar dan Segamat.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan pejabat berkenaan, Razali Abd Hamid berkata, operasi dilakukan untuk meningkatkan penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan.

Menurutnya, premis diarah tutup dua minggu bagi membolehkan pengusahanya menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Bagaimanapun tempoh itu (penutupan) boleh dipendekkan jika kebersihan premis memuaskan hati pejabat kesihatan dan mereka boleh berniaga semula.

“Sebaliknya jika terdapat pengusaha ingkar arahan (menutup premis), tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas diambil untuk memastikan kebersihan makanan yang dijual kepada orang ramai terjamin dan tidak mahu kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan akibat pencemaran berlaku.

“Selain itu, sebanyak 37 premis diberi Arahan Kerja di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983, sebagai usaha memberi kesedaran kepada pengusaha kedai makan mengenai aspek kebersihan bagi mengelak penyakit bawaan makanan.

“Ada premis yang diperiksa didapati melakukan lapan kesalahan serius dan kita terus mengeluarkan arahan penutupan,” katanya.

Katanya, kebanyakan premis tidak mengamalkan ciri kebersihan terutama di bahagian dapur, selain pekerja memakai aksesori pada jari dan tidak mengikut peraturan penyediaan makanan yang betul.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 MAC 2014

19 Mac 2014

PENIAGA MAMPU MENJUAL KELAPA ANTARA 300 - 350 BIJI SEHARI



 Kidam (kiri) di gerainya ketika dikunjungi Hamim (tiga kanan) semasa membuat tinjauan harga barang di Pasar Awam Tangkak, baru-baru ini.

Ledang: “Dalam sehari saya mampu menjual antara 300 – 350 biji kelapa yang siap diparut mengikut permintaan pelanggan,” kata Kidam Menin, 52, peniaga kelapa dan cili kisar di Pasar Awam Tangkak.

Kidam berkata, bekalan kelapa diperoleh dari Projek Pertanian Kesang Laut dan Tanjung Gading dihantar pembekal bagi menampung permintaan harian pelanggan.

Katanya, beliau menjual kelapa berdasarkan gred pada harga RM1 hingga RM1.20 manakala bagi kelapa siap parut berharga RM1.50 sebiji.
 Kidam Menin

“Kami tidak menaikkan harga sesuka hati dan setiap barangan keperluan harian yang dijual di sini mengikut harga pasaran.

“Setakat ini tiada komen dari pelanggan mengenai harga kelapa yang dijual apabila kami menjelaskan mengenai harga bekalan yang diperoleh daripada pembekal,” katanya ketika ditemui di premis niaganya di sini.

Kidam yang telah 15 tahun berniaga kelapa dan cili kisar di pasar itu turut menjual barangan keperluan harian lain bagi memudahkan pembeli mendapatkan barang yang diperlukan.

Katanya, sambutan daripada pelanggan amat baik walaupun terpaksa bersaing dengan peniaga lain di pasar awam itu.

Menurutnya, pemantauan pihak penguatkuasaan terutama dari Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya sehingga membebankan pengguna.-iNFOLEDANG

15 Mac 2014

85 TAUKE DADAH BERJAYA DITAHAN

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

85 tauke dadah berjaya ditahan


LEDANG – Seramai 85 pengedar dadah di daerah ini berjaya ditahan melalui beberapa siri tangkapan Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Razak berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 23 kes berbanding tahun sebelumnya.  

Menurutnya, tiga wanita berusia 27, 29 dan 37 tahun turut ditahan disyaki menjadi pengedar dadah dan kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan morfin selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Permintaan terhadap penggunaan dadah juga meningkat sebanyak 41.8 peratus iaitu 730 kes tahun lalu, manakala 515 kes pada 2012.

“Bilangan penagih dadah yang ditangkap tahun lalu ialah 731 orang meningkat sebanyak 93 tangkapan berbanding 2012. 

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50-an termasuk penagih tegar,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Johor 2014 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Serom 4, semalam.

Beliau berkata, 20 peratus daripada mereka juga merupakan penagih berulang yang pernah ditangkap dua atau tiga kali sebelum ini.

Katanya, dadah jenis heroin merupakan rampasan terbesar tahun lalu kira-kira sebanyak 1,336.86gram (gm) dengan nilai pasaran yang dianggarkan ialah RM200,530. Manakala syabu pula rampasan kedua terbesar dengan berat 444.35 gm yang bernilai RM74,060.

“Keseluruhan rampasan bahan terlarang seberat 1781.21 gm dianggarkan bernilai RM306,500 dan boleh menampung bekalan kepada 9,700 penagih.

“Seramai 2,200 penagih telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah sejak IPD Ledang ditubuhkan sehingga akhir 2013,” katanya.

Sementara itu katanya, 131 penagih lain dikenakan pengawasan mengikut balai-balai di daerah Ledang tahun ini.

Dalam perkembangan kejayaan lain, Mohd Salleh berkata, seramai 23 lelaki diberkas menerusi Ops Lejang dan Cantas Khas yang dilakukan pada Januari hingga Disember tahun lalu.

“Dalam operasi tersebut, motosikal, sebuah kereta Honda City, 11 telefon bimbit, satu loket emas, satu surat pajak gadai dan peralatan meleraikan motosikal berjaya dirampas,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 MAC 2014

11 Mac 2014

KERJASAMA MASYARAKAT BANTU POLIS TURUNKAN KADAR JENAYAH



 Mohd Mokhtar (tiga kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dekat Tangkak. 

Ledang: Seramai tujuh orang awam yang memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga penjenayah berjaya ditumpaskan diberikan surat penghargaan  oleh Polis DiRaja Malaysia.

Mereka menyalurkan maklumat kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka sehingga berjaya memberkas penjenayah terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (gambar), berkata kerjasama erat masyarakat negeri ini yang sentiasa mengutamakan kedamaian dan keselamatan dengan menyalurkan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis amat dihargai.

Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama bersama masyarakat dalam menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

“Senjata paling canggih memerangi jenayah adalah kerjasama erat antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

“Hasil kerjasama erat masyarakat ini, Polis Johor  enam tahun berturut-turut telah berjaya menurunkan kadar jenayah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor dan Ketua Polis Daerah Ledang Bersama Masyarakat Ledang di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dekat Tangkak, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim; Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tahir Mohd Taat.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya akan terus berusaha sedaya upaya mengurangkan kadar jenayah di samping menghilangkan ketakutan masyarakat terhadap jenayah dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Katanya, pihak polis juga berusaha mewujudkan suasana aman damai bagi menarik lebih ramai pelancong serta pelabur menjayakan projek Iskandar Malaysia. -iNFOLEDANG

NYARIS MAUT BERTEMBUNG LORI

Wartawan Sinar Harian

Nyaris maut bertembung lori
Keadaan motosikal Mohd Razariffin dan lori yang terbabit berdekatan Rawang, Jalan Muar-Tangkak, semalam. - Foto Sinar Harian


LEDANG - Seorang pekerja kilang biskut nyaris maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori, semalam.

Kejadian jam 1.15 petang itu berlaku berdekatan Rawang, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini.

Mohd Razariffin Ithnin, 22, dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya yang terletak 100 meter dari sebuah warung di tepi jalan tempatnya makan tengah hari.

Apabila tiba di tempat kejadian, motosikalnya berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang datang dari arah Muar menghala ke Sungai Mati sebelum lori itu terbabas lalu  melanggar sebatang pokok.

Razariffin cedera parah manakala pemandu terbabit tersepit selepas lorinya terbalik sehingga terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Abang mangsa, Razaffendy, 23, berkata, adiknya dan pemandu terbabit yang dikeluarkan orang ramai akibat tersepit dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Menurutnya, adiknya ketika itu hendak ke kilang untuk menyambung kerja sebelum terbabit dalam kemalangan dengan lori berkenaan.

“Adik saya cedera teruk kerana terkena salah sebuah pintu lori itu yang pecah selepas melanggar pokok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut  dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 MAC 2014

10 Mac 2014

KARNIVAL SUKAN PARIT PULAI MERIAH

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Karnival Sukan 2014 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Pulai bersama UMNO Bahagian Ledang selama dua hari di sini, baru-baru ini menyemarakkan semangat kesukanan di kalangan penduduk kampung di daerah ini.

Pengerusi JKKK Parit Pulai, Mohd Som Leman, berkata program itu disertai kira-kira 350 orang merangkumi penduduk pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Katanya, penganjurannya antara lain bertujuan memupuk semangat kerjasama selain mengeratkan hubungan antara masyarakat kampung.

"Pelbagai acara diadakan sepanjang program termasuk pertandingan futsal, bola jaring, merentas desa dan sukaneka yang disertai pelbagai golongan termasuk kanak-kanak dan belia.

"Bagi golongan dewasa pula, mereka dihidangkan dengan pertandingan memancing, gubahan, masakan kuih lapis dan karaoke yang kebanyakannya mendapat sambutan baik peserta," katanya.

Mohd Som berkata, perasmian karnival itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat manakala penutupan dilakukan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri.

Acara tahunan

Katanya, karnival sukan itu berjaya mencapai objektif apabila golongan sasaran di kalangan penduduk kampung turut serta dalam program itu, sekali gus mendorong pihaknya menganjurkan ia sebagai acara tahunan.

"Penganjur gembira dengan sambutan yang diberikan semua pihak terbabit dan berharap ia akan terus mendapat sokongan apabila diadakan pada masa depan," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN SUKAN, 10 MAC 2014

05 Mac 2014

BAUCAR BR1M MUDAHKAN PENERIMA TIADA AKAUN BANK

SEBAHAGIAN penerimA bantuan menunggu giliran untuk mendapatkan BR1M di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 4 Mac - Kaedah pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 masih diberikan dengan baucar kerana kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat yang tidak mempunyai akaun bank termasuk 11,028 penerima di daerah ini.
 

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah BR1M yang dibayar menerusi baucar bagi daerah ini ialah kira-kira RM6.2 juta, melibatkan tiga kategori bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
 

Beliau berkata, bagi kategori RM650, sebanyak 8,114 penerima yang layak membabitkan 2,147 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, 1,718 (Serom), 2,481 (Gambir) dan 1,768 (Bukit Serampang), manakala untuk kategori RM450 pula melibatkan 397 penerima iaitu 98 di DUN Tangkak, 97 (Serom), 124 (Gambir) dan 78 (Bukit Serampang).
 

"Sebanyak 2,517 individu bujang menerima RM300 iaitu di DUN Tangkak (800), Serom (765), Gambir (509), manakala Bukit Serampang (443)," katanya dalam Majlis Penyampaian BR1M 3.0 Parlimen Ledang di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik, Sungai Mati di sini kelmarin.
 

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Mohd. Shafiee Ahmad dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.
 

Difahamkan, jumlah keseluruhan isi rumah yang menerima BR1M di daerah ini ialah kira-kira 28,000 orang, melibatkan lebih RM12 juta.
 
 
Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan memahami dan prihatin terhadap masalah serta situasi dihadapi rakyat dan melakukan yang terbaik untuk memudahkan mereka menuntut wang bantuan tersebut.
 

Bagi memudahkan penerima baucar menukarkannya dengan wang tunai, Pejabat Daerah Ledang melantik Maybank Cawangan Tangkak dan membuka kaunter penukaran untuk tujuan itu.
 
 
Sementara itu, seorang penerima BR1M, Md. Yusof Amat, 87, berterima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan BR1M kepada rakyat, khususnya warga emas yang kebanyakannya tidak lagi mampu melakukan pekerjaan.
 

"Walaupun hanya terima RM650 sahaja, namun saya bersyukur kerana bantuan itu dapat meringankan beban keluarga. Terima kasih kerajaan dan saya harap jumlah bantuan dinaikkan pada tahun depan," katanya yang datang bersama cucunya, Ahmad Hakim Mazlan dari Kampung Solok, Tangkak.
 

Sulipah Taib, 74, dari Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir turut bersyukur kerana selain menerima RM650, kerajaan juga memberikan perlindungan insurans kepada penerima BR1M.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 MAC 2014

04 Mac 2014

FORUM KESEDARAN ORPHANCARE & KESIHATAN REPRODUKTIF

Orang ramai dijemput hadir ke Forum Kesedaran Orphancare & Kesihatan Reproduktif pada Rabu, 5 Mac 2014 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor sebagaimana ketetapan di atas.

inovatif . entrepreneurial . global

***********************************************************

SHAFINAZ BTE MOHD YUSOFAssistant Registrar
(Community Partnership Liaison)
Community Transformation Centre (UTM-CTC)
Office of Deputy Vice Chancellor (Development)
Block M38
Universiti Teknologi Malaysia
81310 Johor Bahru, Johor
Tel: +607-5533148
Fax: +607-5533149
HP: +6011-27550265
Email: sp-shafinaz@utm.my

SEMBUNYI BARANG CURI DI RUMAH SEWA

Wartawan Sinar Harian

Sembunyi barang curi di rumah sewa
Mohamad Salleh menunjukkan barangan milik mangsa yang dirampas selepas menahan empat geng pecah rumah, 25 Februari lalu.


Sembunyi barang curi di rumah sewa
  Mohamad Salleh menunjukkan Toyota Camry yang digunakan suspek ketika melakukan pecah rumah di Taman Setia, Rawang dekat Sungai Mati.


LEDANG - Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah pecah rumah membabitkan rampasan bernilai hampir RM160,000 di hadapan Medan Selera Jalan Bukit Gambir dekat Gersik, 25 Februari lalu.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Mohamad Salleh Razak berkata, kesemua ditahan jam 4 petang menerusi Ops Cantas Khas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama Balai Tangkak.

Menurutnya, empat lelaki berkenaan ditahan berikutan kejadian pecah rumah seorang pemilik bengkel di Taman Setia, Rawang, dekat Sungai Mati, di sini pada 22 Februari, kira-kira jam 5 petang.

“Susulan tangkapan tersebut, polis menemui pelbagai barangan termasuk kereta Perodua Viva, komputer riba, barang kemas, set televisyen dan lima telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.

“Kesemua barangan itu disembunyikan di rumah sewa mereka di Bukit Gambir,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati Toyota Camry yang ditemui ketika mereka ditahan adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Skudai, Johor Bahru tahun lalu.

Katanya, kereta itu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu juga digunakan ketika melakukan  pecah rumah di Sungai Mati berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan.

“Suspek berusia 23,36,38 dan 52 tahun dipercayai berasal dari Johor Bahru. Mereka disyaki terbabit dengan tiga kes pecah rumah iaitu dua di Johor Bahru dan satu di Ledang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 38 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah, samun dan memiliki barangan curi sejak 2003,” katanya.

Katanya, manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun itu pula memiliki lima rekod berkaitan dadah dan jenayah yang dilakukan sejak 2001 selain positif dadah jenis syabu.

Mohamad Salleh berkata, kesemua suspek ditahan remah sehingga hari ini (4 Mac) dan akan dituduh di bawah Seksyen 457 kerana pecah rumah yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta dengan jika sabit kesalahan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 04 MAC 2014

03 Mac 2014

PANTAU HARGA BARANGAN KEPERLUAN

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my
HAMIM Samuri (kanan) membuat tinjauan harga barang keperluan harian di Pasar Awam Tangkak Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 2 Mac - Para peniaga di daerah ini diminta tidak menaikkan harga barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran walaupun produk itu tidak termasuk dalam kategori harga kawalan.

 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, para pembekal dan peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan harian tanpa sebab dan sewenang-wenangnya sehingga membebankan pengguna akan dikenakan tindakan tegas oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang sentiasa memantau keadaan itu.

 
"Pihak kerajaan boleh memantau harga barangan tersebut meskipun bukan barangan kawalan kerana kita mahu peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atau menaikkan harga sesuka hati tanpa mempedulikan kesusahan pengguna.

 
"Kita sentiasa mengambil kira rungutan pengguna tentang kenaikan harga ikan dan sayur-sayuran dalam pasaran dengan mengenal pasti punca sebenar kenaikan harga itu," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan harian di Pasar Awam Tangkak, di sini semalam.

 
Yang turut hadir, Ketua Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Md. Arifin Baharin dan Setiausaha Majlis Daerah Tangkak (MDT), Sulaiman Ismail.

 
Mengulas tinjauan tersebut, Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berpuas hati apabila peniaga meletakkan tanda harga pada semua barangan yang dijual walaupun cara pelabelan tidak standard.

 
Justeru, beliau meminta supaya cara pelabelan tanda harga dikemas kini bagi membolehkan pengguna dapat melihat dengan jelas selain memudahkan mereka membuat pilihan sebelum membeli.

 
Mengenai harga barangan yang dijual di pasar awam itu, Hamim berkata, peniaga memberitahu mereka mengambil keuntungan tidak banyak iaitu membeli daripada pembekal pada harga tertentu dan ditambah RM2 untuk harga jualan.

 
"Pada saya harga itu agak wajar untuk menampung kos perkhidmatan, pengangkutan dan susut nilai barangan yang dijual.

 
"Kerajaan akan membuat segala tindakan bermula dari pemeriksaan, perbincangan dan penguatkuasaan sekiranya pihak pembekal menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 MAC 2014