TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 April 2014

KPDNKK RAMPAS LORI, DIESEL SUBSIDI

Oleh Zulhisham Isahak

MD Arifin Baharin (kiri) menunjukkan sebuah lori dipercayai menyimpan 300 liter diesel subsidi yang ditahan dan dirampas oleh PPDNKK di Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.

MUAR 28 April - Taktik satu sindiket menjual diesel bersubsidi dengan menggunakan lori membawa air batu berjaya dibongkar selepas kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan polis di sebuah stesen minyak di pekan Bukit Gambir, Ledang dekat sini, semalam.

Lori tersebut ditahan kira-kira pukul 6.30 petang selepas pemandunya yang berusia 27 tahun dilihat berkelakuan mencurigakan sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua PPDNKK daerah, Md. Arifin Baharin berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu mendapati terdapat 300 liter diesel bersubsidi bernilai RM600 disimpan di dalam tangkinya yang telah diubah suai.

"Kita juga mendapati tangki yang telah diubah suai itu boleh memuatkan 1,000 liter diesel," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Md. Arifin, pihaknya percaya, pemandu lori tersebut akan berhenti di beberapa stesen minyak untuk mengisi diesel bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ujarnya, minyak tersebut kemungkinan akan diedarkan kepada pengusaha kilang sekitar daerah ini dan dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa.

"Keseluruhan rampasan termasuk lori dan minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 APRIL 2014

28 April 2014

MALAYSIA TERAJU UTAMA INDUSTRI HALAL DUNIA

LEDANG 27 April - Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengeluar, mengawal, mentadbir dan mengurus sijil halal yang diiktiraf di seluruh dunia dengan pasaran eksport produk bernilai RM32.8 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah tersebut menyumbang lima peratus daripada hampir keseluruhan eksport negara yang bernilai RM800 bilion.

"Ketika ini, kita menerajui industri produk halal dunia dan masih banyak lagi pasaran barangan tersebut yang boleh diterokai. Untuk itu, usahawan Islam perlu merebut dan mengambil bahagian dalam meneroka pasaran produk halal dunia.

"Nilai pasaran dagangan yang ada mencecah trilion ringgit," katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Ismail, di Tanjung Agas di sini semalam.

Kira-kira 1,000 pekerja kilang elektronik ST Microelectronics (M) Sdn Bhd., Micron (M) Sdn. Bhd. dan Pioneer Electronics hadir di majlis anjuran bersama kilang itu dengan Pejabat Kadi Daerah.

Sementara dalam bidang teknologi maklumat (IT) pula, katanya, pakar-pakar IT beragama Islam dari negara ini berjaya menyekat kegiatan ajaran sesat yang menggunakan kaedah salin dan tampal terhadap kandungan al-Quran.

Menurutnya, kegiatan ajaran sesat terbabit menambah juzuk al-Quran daripada yang asal 30 juzuk sehingga kepada 100 juzuk melalui kaedah salin dan tampal untuk mengelirukan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam wajib menguasai bidang dan kepakaran IT bukan sahaja untuk kemajuan tetapi bagi memastikan agama Islam terpelihara daripada sebarang penyelewengan oleh musuh Islam.

"Malaysia turut melahirkan 150 jurutera Islam yang kini berkhidmat dengan syarikat pengeluar pesawat Airbus yang berpangkalan di Perancis.

"Mereka ini terlibat dalam mereka bentuk pesawat masa depan dan sekaligus membuktikan umat Islam juga boleh maju dalam bidang aeroangkasa," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2014

24 April 2014

SUAMI ISTERI MAUT MINUM RACUN

LEDANG 23 April - Sepasang suami isteri maut selepas dipercayai minum racun di kediaman mereka di Jalan Poh Ai, Bukit Gambir di sini hari ini.

Mangsa, Pow Kim Chuan, 49, dan isterinya, Kong Yen Peng, 45, meninggal dunia sewaktu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohd. Salleh Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya punca kejadian ini disebabkan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mangsa.

“Polis menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 10 pagi dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menjumpai kedua-dua mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga anak mangsa iaitu seorang lelaki berusia 18 tahun dan dua anak perempuan berusia 20 dan 25 tahun bagaimanapun tiada di tempat kejadian semasa insiden tersebut berlaku.

“Polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kematian mengejut tetapi kami masih menunggu hasil bedah siasatan yang dijalankan," ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 APRIL 2014

22 April 2014

PROJEK TEBATAN BANJIR RM250 JUTA DI SEROM

LEDANG 21 April - Fasa pertama Projek Tebatan Banjir Sungai ­Kesang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom dengan kos RM250 juta akan dimulakan Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat kajian dan mengenal pasti sungai-sungai yang akan terbabit melibatkan jarak sejauh 38 kilometer.

"Projek tebatan banjir ini melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pelebaran sungai termasuk mendalam dan meluruskannya bagi mengatasi masalah banjir, terutamanya di dalam DUN Serom setiap kali musim tengkujuh.

"Kerja-kerja ini akan bermula dari Kesang Gate ke Kesang Tasik, Kundang Teluk Rimba, Pangkalan Besar, Sialang, Chohwong, Cabau, Asahan, Serom Panggung, Belumang sehingga ke Gersik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Wawasan Air di Balai Raya Kesang Tasik, di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama syarikat Coca-Cola Malaysia dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pei Hwa, Sungai Mati.

Abd. Razak berkata, projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan agensi-agensi di ­peringkat daerah itu turut melibatkan kawasan sempadan dengan sungai di Melaka.

Beliau berkata, projek tersebut amat diperlukan bagi mengatasi masalah banjir hampir di semua kawasan terlibat terutamanya di Kesang Gate, Kesang Tasik, Teluk Rimba dan Kundang Teluk Rimba.

"Sebelum ini untuk mengatasi banjir kita sudah laksanakan kerja-kerja mengorek sungai yang cetek dan alirannya yang berliku diluruskan tetapi secara kecil-kecilan serta melibatkan beberapa kawasan sahaja," katanya.

Namun menerusi projek itu, kerja-kerja mendalam dan me­lebarkan sungai-sungai terlibat dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan laluan air lancar sebelum mengalir keluar ke Selat Melaka.

Mengenai program Wawasan Air yang diadakan, Abd. Razak me­nyarankan supaya program tersebut turut dianjurkan di peringkat sekolah rendah bagi melahirkan kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air, sekali gus menjimatkan penggunaannya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 APRIL 2014

21 April 2014

SINGAPURA MODEL TERBAIK UNTUK BERJAYA - HAMIM

LEDANG 20 April - Singapura adalah contoh terbaik untuk membangunkan negeri ini kerana berjaya muncul sebagai negara perindustrian terkemuka di rantau ini hasil daripada tenaga kerja yang berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, negara jiran itu tidak mempunyai sumber semula jadi dan bahan mentah namun dasar pendidikannya berjaya melahirkan ramai pekerja mahir sekali gus mampu memenuhi tuntutan pelaburan asing.

"Kita boleh rujuk Singapura, mereka tidak mempunyai biji timah atau sumber minyak dan gas tetapi boleh berjaya sebagai sebuah negara kecil dengan mempunyai kekuatan ekonomi dan ukuran mata wang yang tinggi nilainya.

"Ini semua kerana mereka mempunyai modal insan yang sangat baik dan berpengetahuan tinggi," katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 anjuran UMNO Bahagian Ledang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar di sini semalam.

dalam majlis itu, seramai 123 pelajar terdiri daripada 55 pelajar cemerlang PMR, masing-masing 43 dan 25 pelajar SPM serta STPM menerima sijil dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,300.

Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, Korea Selatan juga boleh dijadikan contoh kerana pencapaian negara itu sama seperti Singapura yang turut tidak mempunyai sumber asli tetapi ekonominya kukuh dan maju berasaskan perindustrian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 APRIL 2014

20 April 2014

USAHA ATASI MASALAH PENIAGA

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

SAMAT Atan (kiri) mendengar keluhan peniaga buah-buahan, Idris Jaafar (tengah) di Kampung Rawang, Sungai Mati, Ledang, semalam.

LEDANG 19 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri Johor akan bertemu dengan pengurusan Majlis Daerah Tangkak (MDT) untuk menyelesaikan masalah sebuah kedai yang akan dirobohkan di Batu 5 œ Kampung Rawang, Sungai Mati dekat ini, ming­gu depan.

Yang Dipertua Perkasa negeri, Samat Atan akan bertemu Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin bagi mendapatkan penjelasan kerana peniaga terbabit, Idris Jaafar, 54, mempunyai lesen perniagaan yang sah sehingga hujung tahun ini.

Samat berkata, perbincangan de­ngan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu harus dilakukan kerana Perkasa melihat isu itu sebagai perjuangan mereka untuk membela orang Me­layu terutama peniaga kecil.

"Walaupun mereka menjaja dan membina kedai di tepi jalan tetapi kita berharap MDT melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab untuk membantu dan menaik taraf peniaga-peniaga Melayu.

"Peniaga terbabit perlu dibantu selagi mereka tidak melanggar undang-undang dan mempunyai lesen perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan peniaga terbabit hari ini.

Idris semalam menyatakan rasa kesal dan kecewanya kerana MDT mengarahkan kedainya dirobohkan minggu depan selepas membatalkan lesen perniagaan pada 5 Januari lalu sedangkan tempoh tamat lesen 31 Disember ini.

Peniaga tersebut mendakwa, jika kedai menjual 30 jenis buah-buah­an, tanaman kontan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) itu dirobohkan, ia akan menjejaskan pendapatan lebih 100 petani yang memasarkan hasil pertanian mereka di situ.

Samat menegaskan, setiap peniaga dalam kawasan PBT mesti dibantu dengan diberikan lesen serta tidak merobohkan gerai atau kedai mereka kerana tindakan yang salah hanya akan merugikan peniaga Melayu.

"Perkasa faham peraturan serta akur dengan keputusan tetapi berharap MDT mempunyai kesedaran dan keinsafan membantu peniaga- Melayu. Malah kami menggesa peniaga bekerjasama mematuhi undang-undang pelesenan, namun kes seperti ini banyak berlaku di seluruh negara bergantung kepada PBT untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 20 APRIL 2014

06 April 2014

TINGKATKAN RISIKAN ESSCOM

LEDANG 5 April - Kabinet sudah mengarahkan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) meningkatkan risikan dan maklumat awam bagi memastikan keselamatan di negeri itu diperketat dan dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap kesiapsiagaan di kawasan berkenaan akan dipertingkat dalam semua aspek dengan meneliti langkah-langkah yang perlu diambil selepas ini berdasarkan semua aset dan kemampuan pihak Esscom.

“Kita sedar memang ada kumpulan penculik dan mesyuarat Kabinet semalam telah putuskan supaya kita teliti struktur command yang ada di Esscom sebab di situ ada agensi seperti tentera, polis dan pegawai awam yang terlibat.

“Di samping itu apa aset yang disediakan sama ada alatan-alatan ketenteraan, kawalan bot, helikopter, ini juga akan kita teliti. Jadi, kita telah putuskan supaya Esscom memberi taklimat dalam mesyuarat akan datang dan dari situ kita akan dapat laporan terkini apa yang perlu dilakukan," katanya mengulas perkembangan terkini kes penculikan seorang pelajar China dari Shanghai, Gao Hua Yun, 29, dan seorang pekerja Filipina yang berusia dalam lingkungan 40-an di Resort Singamata, Semporna, Sabah pada Rabu lalu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Ledang di sini hari ini.


SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 06 APRIL 2014

KOLEJ KOMUNITI PENGGERAK PROGRAM PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT

LEDANG 5 April - Sebanyak 90 buah kolej komuniti di seluruh negara akan menawarkan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang menggabungkan aspek kemahiran dan pendidikan agama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program tersebut dibahagi dua fasa bermula tahun ini dan institusi itu dipilih kerana mempunyai kepakaran dalam pembelajaran sepanjang hayat sejak 2001.

“Program PISH ini akan dilaksanakan menerusi dua pendekatan iaitu latihan kemahiran dalam bidang teknikal, vokasional dan pendidikan keusahawanan yang digabung pendidikan agama kepada pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

“Pendekatan ini menggunakan modul sijil Kolej Komuniti dan dilaksana mengikut permintaan dan kesesuaian golongan sasaran," katanya semasa melancarkan PISH di Kolej Komuniti Ledang di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Penasihat Program PISH, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Muhyiddin berkata, pendekatan kedua adalah menyediakan Pendidikan Islam termasuk fardu ain dan fardu kifayah seperti al-Quran, hadis, fikah, tauhid, muamalat dan undang-undang Islam dalam bentuk yang mudah dan praktikal.

Program itu menyasarkan golongan pelajar tahfiz dan sekolah pondok serta belia, pelajar dan masyarakat setempat merangkumi kumpulan dewasa dan warga emas, katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, fasa pertama pelaksanaan program PISH akan dilakukan secara berstruktur dan tersusun bertemakan ‘Membina Hubungan dan Mengeratkan Ukhuwah’ manakala fasa kedua bermula tahun depan bertemakan ‘Memperkasa Bakat Insan’ membabitkan tiga program untuk menyediakan kepelbagaian kepada golongan sasar dan komuniti.

“Pelaksanaan program PISH berbentuk pensijilan bergabung, program berkonsep free and easy at community college dan program pembelajaran Islam kontemporari yang menjurus kepada aspek fardu kifayah seperti prosedur pensijilan dan perundangan halal," katanya.

Menurutnya, pemilihan kolej komuniti itu bagi membolehkan perkongsian sumber membabitkan kewangan, tenaga pengajar, pembangunan modul dan prasarana dilaksanakan secara guna sama, sekali gus mengamalkan penjimatan perbelanjaan.

“Ini juga bermakna pelbagai premis termasuk politeknik, maahad tahfiz dan sekolah pondok yang mengambil bahagian menerusi program ini, boleh digunakan mengikut kesesuaian.

“Tenaga pengajar pula akan digembleng dalam kalangan pensyarah kolej komuniti, guru KAFA, guru Pendidikan Islam dan guru takmir yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya sambil memberitahu, pelaksanaan program PISH membabitkan kerjasama antara pelbagai institusi termasuk Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Jakim, Majlis Agama Islam Negeri, institusi tahfiz, sekolah pondok dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 06 APRIL 2014


05 April 2014

PROGRAM JOM BERBASIKAL RAPATKAN HUBUNGAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal


SELAIN menambah kecergasan diri, program Jom Berbasikal Bersama Wakil Rakyat anjuran UMNO Cawangan Kesang Tasek dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesang Tasek, Ledang menjadi medium merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat.

Dengan menaiki 30 basikal berasingan, mereka Mentua rampas dua anak Wanita tertekan sikap keluarga bekas suami berstatus VIP pin mengelilingi kampung dan sawah padi selain melua ngkan masa menziarahi penduduk sek itar. Pengerusi JKKK Kesang Tasek, Abd Rahman Khamis berkata, program itu adalah cetusan idea Ketua UMNO Cawangan yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop.

Acara julung kali itu disertai Ahli Parlimen Ledang merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Ketua Pemuda, Sahrihan Jani; Ketua Wanita, Khairin Nisa' Ismail dan Ketua Puteri, Fahariyah Md Nordin.

Turut menyertai program berbasikal itu adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian dan cawangan, Ahli JKKK dan penduduk kampung.

Rombongan berbasikal kemudiannya menziarahi 23 rumah penduduk kampung sambil bertanya khabar dan melihat masalah mereka.

Datuk Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sempat menyelami masalah warga tua, uzur dan kurang upaya selain menyampaikan sumbangan barangan makanan serta wang tunai.

Sebanyak 20 beg sekolah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) turut diagih kepada pelajar miskin.

SUMBER: HARIAN METRO, 05 APRIL 2014

HUBUNGAN MALAYSIA, CHINA BAIK

Wartawan Sinar Harian

Hubungan Malaysia, China baik
Hamim melawat gerai pelatih selepas merasmikan Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang di Serom 4, semalam.

LEDANG – Kerajaan memandang serius usaha  pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan di antara negara Malaysia dengan China berhubung insiden penculikan seorang pelancong negara itu di Semporna, Sabah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata, perkara itu  tidak wajar dijadikan isu utama memandangkan kes tersebut agak terpencil dan tidak dijangka berlaku yang membabitkan warganegara China.

Beliau turut menasihatkan segelintir pihak agar tidak membuat penilaian sendiri yang langsung tidak signifikan tentang hala tuju hubungan negara China selepas ini.

“Kita sedar tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 penumpang termasuk seorang bayi dari  negara China memberi tamparan hebat kepada negara apabila media antarabangsa membuat laporan memburukkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang di Serom 4 di sini, semalam.

Ahli Parlimen Ledang itu mengulas mengenai penculikan seorang warga China yang berasal dari Shanghai, Gao Hua Yun, 29, dan seorang pekerja Filipina di sebuah resort di Semporna dekat Kota Kinabalu, Sabah, malam Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Hamim berkata, kerajaan China masih menghargai hubungan dengan Malaysia sebagai rakan perdagangan dan kerjasama antarabangsa serta akan membuat usaha terbaik mengekalkan hubungan dua hala seperti  yang diperkatakan duta negara itu ketika berkunjung ke negara ini, baru-baru ini.

“Setakat ini hubungan kedua-dua negara masih baik serta tidak dipengaruhi dengan dua kejadian itu (kehilangan MH370 dan penculikan di Semporna).

“Negara China merupakan rakan dagangan paling utama  negara yang mencecah nilai dagangan bernilai RM500 bilion tahun lalu,” katanya.

Hamim  berkata, beliau yakin  pihak berkuasa terutamanya pasukan keselamatan di wilayah Kawasan  Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan dapat mengatasi masalah tersebut.

SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014

MB JOHOR NAFI CUTI HUJUNG MINGGU BERUBAH

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin  
Mohamed Khaled

BATU PAHAT - Kerajaan negeri Johor hari ini menafikan desas-desus kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan kembali semula ke hari Sabtu dan Ahad.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perubahan cuti minggu itu tidak timbul sama sekali walaupun ia heboh diperkatakan oleh rakyat negeri ini serta di laman sosial.

"Tidak ada isu seperti itu...jangan percaya kepada khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial," katanya selepas melancarkan program 'Road to MAHA 2014', peringkat negeri Johor, di Dataran Penggaram, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan mengenai desas-desus yang hangat diperkatakan dalam laman media sosial sejak dua minggu lepas kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan diubah.

Cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan lepas atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
 
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sedang melihat potensi daerah Segamat untuk dibangunkan sebagai hab dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

"Untuk merealisasikan rancangan ini, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan pelan induk mengenainya," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memberikan bantuan bernilai RM11.2 juta kepada 2,558 usahawan menerusi Program Galakan Usahawan sejak tahun 2002 hingga 2011.

Katanya, seramai 40 usahawan telah mencapai tahap pendapatan melebihi RM250,000 setahun dan selaras pencapaian itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program galakan berkenaan. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014

04 April 2014

MEDAN IKAN BAKAR PARIT KARANG BAKAL JADI TUMPUAN

ABD. Razak Minhat (kanan) meninjau jeti nelayan semasa lawatan ke tapak Medan Ikan Bakar Parit Karang di Kesang Laut, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 3 April - Medan Ikan Bakar Parit Karang di Kesang Laut di sini, yang kini dinaik­kan taraf dan mempunyai kemudahan baharu dengan kos RM300,000 bakal menyaingi populariti Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Muar dan Medan Ikan Bakar Umbai, Melaka.

Lokasi Medan Ikan Bakar Parit Karang sangat strategik dengan pemandangan menarik kerana terletak kira-kira 400 meter dari pantai, dikelilingi pokok bakau,selain berada dalam kawasan jeti nelayan Parit Karang dan terletak di pertengahan antara kedua-dua medan ikan bakar sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, Medan Ikan Bakar Parit Karang yang bakal berwajah baharu itu diyakini menjadi satu tarikan baharu dan merangsang ekonomi setempat memandangkan lokasinya yang bersempadan dengan Lebuh Raya Air Keroh-Melaka, Jasin (AMJ) dan kedudukannya kurang 20 kilometer dari Plaza Tol Tangkak dan Bukit Gambir.

“Kemudahan awam sudah siap dibina, begitu juga lampu-lampu jalan masuk yang kesemua kosnya lebih RM25,000. Pada 14 April ini tujuh gerai akan dibuka dari pukul 5 petang hingga tengah malam dengan pelbagai menu, antaranya ikan bakar, asam pedas, mi bandung, nasi lemak dan makanan tradisional seperti lempeng, ubi serta jemput-jemput.

“Dewan Serbaguna Kumpulan Ekonomi Nelayan Parit Karang yang dibina Februari lalu akan siap akhir Mei ini dengan kos RM250,000. Dewan ini bukan sahaja akan diguna untuk Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang tetapi orang awam juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau medan ikan bakar itu di sini hari ini.

Selain itu katanya, lima lagi kedai makanan yang menyediakan makanan pagi akan dibina di kawasan berdekatan, beroperasi dari pukul 8 pagi hingga tengah hari, menggantikan warung kayu sedia ada. Di samping itu, semua pasar basah akan dibuka semula supaya orang ramai boleh membeli ikan-ikan atau makanan laut segar setiap hari selepas ini.

Dalam masa terdekat katanya, gelanggang gasing yang menjadi tumpuan permainan itu sebelum ini akan dinaik taraf, selain membina jambatan gantung sepanjang 20 meter melintasi kawasan kuala di situ.

“Turut diwujudkan satu kawasan santai untuk nelayan dan penduduk setempat berkumpul bermain dam atau karom. Pada masa akan datang kita mahu isteri-isteri nelayan meletakkan kuih-kuih mereka di sini," ujarnya.

Medan ikan bakar itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada 103 nelayan dengan 85 bot yang menggunakan enjin sangkut tetapi imej baharu dan menggilap semula potensi pelancongan daerah tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 APRIL 2014


02 April 2014

TERBALIK BERSAMA BALAK

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Seorang pemandu terselamat daripada maut apabila lori balak yang sarat dengan muatan terbalik ketika mengambil selekoh tajam di berhampiran Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lori dipandu Abd Razak Jusoh, 50, yang dalam perjalanan ke sebuah kilang kayu di Sungai Mati, dekat sini, tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di selekoh berkenaan sebelum terbalik.

Menurut Abd Razak, dia bertolak dari Muadzam Shah, Pahang awal pagi semalam, membawa muatan kayu balak bersama beberapa lori lain untuk dihantar ke kilang kayu berkenaan.
“Ini adalah kali pertama saya menggunakan jalan ini dan apabila mengambil selekoh apabila berasa kayu di belakang lori jatuh diikuti lori yang dipandu pandu tiba-tiba senget dan terus terbalik,” katanya.

Katanya, dia sempat memperlahankan lori apabila menyedari ada satu selekoh di hadapan, namun tidak menyangka ia satu selekoh tajam menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.

“Mungkin rantai pengikat kayu balak itu longgar atau tercabut menyebabkan kayu menggelungsur jatuh. Saya cuba mengawal lori, namun ia terus terbalik.

Foto 
KEADAAN lori selepas terbalik dekat Kampung Parit Kassan.
“Nasib menyebelahi saya kerana tidak cedera dan sebaik lori terbalik saya terus keluar dan mematikan enjin dikhuatiri terbakar kerana diesel tumpah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Musa Kasbullah bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Musa berkata, pihaknya menabur habuk kayu di atas jalan raya dilimpahi diesel yang tumpah dari lori berkenaan bagi mengelakkan jalan licin dan mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.

Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, berkata kemalangan sering berlaku di selekoh terbabit membabitkan kenderaan dari arah Sagil ke Bukit Gambir.

Katanya, keadaan selekoh tajam menyebabkan ada kenderaan yang dipandu laju gagal mengawal pemanduan mereka sebelum terbabas.

“Kami berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah sewajarnya dengan melebarkan kawasan selekoh itu bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 02 APRIL 2014

LORI BALAK TERBALIK DI SELEKOH


Lori balak terbalik di selekoh 
 Orang ramai melihat keadaan lori balak yang terbalik di Jalan Sagil - Bukit Gambir di Kampung Parit Kassan, semalam.
LEDANG - Sebuah lori yang sarat membawa muatan kayu balak terbalik di selekoh di Jalan Sagil – Bukit Gambir di Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir di  sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu lori berkenaan bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya keluar daripada kenderaan berat tersebut.

Pemandu, Abd Razak Jusoh, 50, dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang, untuk menghantar kayu balak itu ke sebuah kilang di Sungai Mati, di sini.

“Sewaktu belok di selekoh, tiba-tiba kayu jatuh satu persatu menyebabkan lori hilang kawalan lalu terbalik.

“Pada mulanya, saya cuba kawal lori daripada terbalik tetapi tidak berjaya, namun dapat keluar daripada tempat duduk walaupun mengalami sedikit kesukaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia sempat mematikan enjin lori sebelum  melarikan diri jauh daripada kenderaan tersebut kerana khuatir berlaku kebakaran daripada minyak diesel yang tumpah di atas jalan raya.

Jelasnya, ini adalah kali pertama dia melalui jalan itu dan tidak perasan selekoh tersebut.

“Saya sempat memperlahankan lori tetapi mungkin rantai pengikat kayu ini longgar atau tercabut menyebabkan ia menggelongsor jatuh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Musa Kasbullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.48 pagi dan mengerahkan lima anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menabur habuk kayu atas jalan yang dilimpahi diesel bagi mengelakkan jalan licin dan berbahaya kepada pengguna yang lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar berkata, keadaan selekoh yang tajam menyebabkan kenderaan terbabas apabila dipandu laju.

Tambahnya, kawasan ini juga sering berlaku kemalangan yang pernah membabitkan kemalangan jiwa.

“Kejadian itu boleh dielakkan jika pengguna memandu secara berhemah. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 APRIL 2014

01 April 2014

PPSPPA KUATKUASA LARANGAN BUANG SAMPAH


PPSPPA kuatkuasa larangan buang sampah  
Zainuddin (tengah) menunjukkan tali pita yang akan dipasang PPSPPA di lokasi yang sering menjadi tempat longgokan sampah.
LEDANG - Larangan membuang sampah di lokasi yang bukan tapak pembuangan sampah akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat dengan pemasangan papan tanda amaran di beberapa kawasan di daerah ini dan Muar.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Melaka, Ir Zainuddin Abdul Samad berkata, tindakan tersebut dilakukan disebabkan banyak lokasi tidak sesuai seperti bahu jalan menjadi sasaran tempat melonggokkan sampah.

“Perbuatan ini dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang mengambil jalan mudah tidak membuang bahan buangan itu di tempat telah disediakan.

“Kita akan pasang papan tanda amaran dan letakkan garisan kuning dalam masa sebulan dua ini di kawasan atau tempat pembuangan sampah haram,” katanya pada sidang media di Pejabat PPSPPA Cawangan Muar dan Ledang di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan intipan dan merakam perbuatan pihak yang masih membuang sampah di kawasan larangan.

Tegasnya, hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada mereka yang ingkar dan didapati bersalah Seksyen 71(8) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

“Ia (hukuman) sebagai didikan kepada masyarakat untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah merata-rata atas alasan tidak tahu perbuatan itu menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebanyak 36,230 tong sampah beroda sudah diedarkan ke rumah dan premis di 315 taman di kawasan Pentadbiran Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Menurutnya, kira-kira 400 lagi tong sampah jenis itu yang berkapasiti 120 liter akan diedarkan dalam tahun ini secara berperingkat dan mereka yang sudah menerima wajib menggunakannya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 APRIL 2014