TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2014

SME BANK TAJA KEMUDAHAN TUTOR ONLINE UNTUK TIGA SMA

LEDANG 25 Mei - SME Bank melaksanakan tanggungjawab korporat (CSR) dengan menaja kemudahan Tutor Online kepada 100 pelajar daripada tiga buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dalam Parlimen Ledang.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, penajaan itu selaras dengan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan besar ke atas sistem pendidikan negara.

“Dalam mengharungi era globalisasi pelajar tidak boleh ketinggalan mempelajari dan mening­katkan diri dengan tekno­logi terkini termasuk bidang ICT, penggunaan kaedah e-learning kini menjadi lumrah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Berdasarkan faktor ini, SME Bank berbesar hati menaja Tutor Online kepada tiga buah sekolah di sini.

“Tutor Online adalah program pembelajaran dalam talian yang mem­bolehkan pelajar mendapat akses kepada nota pelajaran yang dikongsi secara dalam talian," katanya berucap da­lam Majlis Penyampaian Sumbangan Tutor Online SME Bank kepada tiga buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dalam Parlimen Ledang di Dewan Syed Idrus Al-Habshi, SMA Lughatul Quran, Kesang Tasek, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Tim­balan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Perfisio Solutions Sdn. Bhd.; Datuk Abu Hanipah Pandak Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin.

Dalam majlis itu, SMA Lughatul Quran, Kesang Tasek; SMA Lughatil Arabiah, Tangkak dan SMA Darul Ulum, Serom 4 menerima kemudahan Tutor Online tersebut.

Mohd. Radzif berkata, menerusi kemudahan aplikasi berbentuk interaktif itu, pelajar membuat penilaian kendiri dan menentukan tahap pembela­jaran berdasarkan kemampuan masing-masing.

Katanya, SME Bank berharap pelajar yang menerima kemudahan itu dapat menggunakannya sebaik mungkin untuk meningkatkan pencapaian akademik masing-masing dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian sekolah.

Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang memuji langkah SME Bank menaja kemudahan Tutor Online kepada tiga buah sekolah menengah agama sebagai permulaan menjadikan Ledang maju ke hadapan dalam pendidikan malah diharap dapat melahirkan golongan terpelajar yang mahir dalam agama.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2014


23 Mei 2014

POLIS TUMPASKAN KUMPULAN PECAH RUMAH, SEKOLAH

LEDANG 22 Mei - Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan pecah sekolah dan rumah apabila mereka ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Muar-Tangkak, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 48 tahun serta seorang warga Thailand berumur 39 tahun ditahan dalam serbuan Op Cantas Khas.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis merampas satu enjin motosikal; lapan telefon bimbit pelbagai jenama; satu komputer riba jenis Acer dan Dell serta satu monitor jenis Acer dan Dell.

"Selain itu, kami turut menemui satu peket mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.63 gram di rumah berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Salleh, hasil siasatan, suspek mengaku melakukan lebih daripada satu kes pecah bangunan dan kumpulan tersebut berjaya dijejaki hasil maklumat orang awam serta berdasarkan satu laporan polis tentang kes pecah sekolah.

Katanya, kes itu dilaporkan pada 12 Mei tahun lalu, apabila seorang kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kampung Parit 3, Sagil di sini, membuat laporan polis tentang kehilangan beberapa barangan seperti komputer riba dan monitor bernilai lebih RM10,000.

Mohamed Salleh berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya memberkas kesemua mereka di rumah tersebut.

Mengenai lelaki Thailand itu, pemeriksaan mendapati, suspek masuk ke negara ini menggunakan dokumen perjalanan sah namun tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan dan didapati positif dadah jenis heroin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MEI 2014


22 Mei 2014

ECONSAVE MUAR TAWAR KERJA KEPADA ANAK SAMSI

Lim Wet Khung (duduk, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Samsi M. Lazim yang terlantar akibat serangan angin ahmar dan sakit jantung di Kampung Kesang Laut, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 21 Mei - Penderitaan seorang bekas pemandu lori, Samsi M. Lazim, 48, bersama keluarganya selepas diserang angin ahmar, sakit jantung dan kini hanya terlantar terus mendapat perhatian Pasaraya Econsave Muar.

Pengurus Operasi Zon Selatan II Econsave, Lim Wet Khung yang ditemani Pengurus Econsave Muar, Aw Wee Siang dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang, Ab. Gani Ab. Bakar hari ini bukan sahaja menyampaikan sumbangan, malah menawarkan kerja kepada anak Samsi semasa melawat keluarga tersebut di Kampung Kesang Laut di sini.

Melihat sendiri keadaan keluarga Samsi, Wet Chung terus membuat keputusan menawarkan kerja kepada anaknya, Nazatul Alia, 21, yang ketika ini bekerja sambilan di sebuah pasar raya di Tanjung Agas.

Lebih menyedihkan, pendapatan Nazatul Alia tidak menentu menyukarkannya membantu keluarga yang dihimpit kesusahan sejak bapanya sakit dan tawaran itu sebagai pertolongan bagi jangka masa panjang selepas pihaknya memberikan sumbangan sebelum ini.

"Kami juga tidak keberatan menerima seorang lagi anak Samsi iaitu Ismail, 19, penuntut sebuah kolej di ibu negara yang kini sedang menjalani latihan praktikal untuk bekerja di Econsave selepas tamat pengajiannya nanti.

"Kami amat tersentuh apabila membaca laporan tentang kesusahan Samsi dalam akhbar yang mempunyai tujuh anak berusia enam hingga 21 tahun dengan lima daripadanya masih bersekolah," katanya.

Pada 17 Mei lalu, Utusan Malaysia menyiarkan penderitaan keluarga Samsi yang tidak boleh bergerak dan bercakap serta memerlukan kira-kira RM1,500 untuk membeli susu dan lampin pakai buang kegunaannya.

Isterinya, Rohaya Dol, 47, mengambil tugasnya mencari rezeki tetapi agak terbatas kerana terpaksa menjaga suaminya itu dan hanya mampu mengambil upah membuat peralatan sembahyang di Jalan Bakariah dengan pendapatan RM200 sebulan.

Sementara itu, Ab. Gani berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Econsave untuk membantu dan memastikan keluarga miskin di sini yang benar-benar memerlukan mendapat bantuan seperti Samsi.

"Samsi menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM400, bantuan JKM (RM450) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2007," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 MEI 2014


21 Mei 2014

MDT BERI PERINGATAN KEDAI DI TAPAK HARAM TETAP DIROBOHKAN

LEDANG 20 Mei - Majlis Daerah Tangkak (MDT) menolak rayuan peniaga buah-buahan di Batu 5 œ Kampung Rawang, Sungai Mati dekat sini supaya tidak merobohkan kedainya sebaliknya tindakan itu akan diteruskan selepas November ini.

Setiausaha MDT, Sulaiman Ismail berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk peniaga itu mencari tapak baharu supaya urusan pemindahan kedai dapat dilakukan dan notis sudah pun diserahkan kepada pemiliknya.

“Penguatkuasaan untuk merobohkan kedai buah-buahan itu adalah kerana kesalahannya berniaga di atas rizab jalan dan juga tidak mendapat kelulusan Lesen Pendudukan Sementara(LPS) dari Pejabat Tanah Ledang.

“Tindakan ini bukan bermaksud pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membela nasib peniaga-peniaga kecil terutama Melayu, tetapi ini lebih tertumpu kepada aspek keselamatan dan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 April lalu, pemilik gerai buah-buahan, Idris Jaafar, 54, merayu MDT supaya tidak merobohkan kedainya kerana menjadi tempat pemasaran untuk hasil pertanian serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) daerah ini.

Idris yang mendakwa sudah 13 tahun berniaga di situ menjual 30 jenis buah-buahan, tanaman kontan serta produk IKS dari kawasan berdekatan dan masalah itu juga mendapat perhatian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri.

Sulaiman dalam penjelasan lanjut berkata, kedai tersebut harus dirobohkan kerana sudah beberapa kali berlaku kemalangan apabila kenderaan terbabas ke dalam gerai kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan jalan raya dan tindakan yang diambil MDT adalah satu keperluan dan wajar.

“Secara tidak langsung juga, MDT juga dapat menghindarkan kebarangkalian dipersalahkan sekiranya disaman oleh pihak terbabit dalam kemalangan yang sudah tentunya dari duit pembayar cukai," katanya.

Katanya, MDT amat bertimbang rasa kepada peniaga contohnya peniaga-peniaga kupang sepanjang jalan tersebut diberi kebenaran berniaga dengan syarat gerai harus berada atas tanah persendirian dan belakang parit malah turut menyediakan pedati baharu kepada mereka bagi menunjukkan keseragaman.

Justeru, MDT berharap peniaga-peniaga tidak menyalahkan pihaknya dan mereka perlu faham tujuan sesuatu tindakan dilakukan adalah untuk memastikan mereka berniaga dalam keadaan selamat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014


MITI CARI JALAN 'SEGARKAN' SEKTOR PERKILANGAN DI LEDANG

LEDANG 20 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mencari jalan bagi ‘menyegarkan’ semula sektor perkilangan dan industri di daerah ini yang semakin malap dan mungkin lumpuh jika tidak diselamatkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara punca utama kerana para pengusaha tidak lagi mendapat insentif daripada kerajaan sehingga merencatkan produktiviti mereka.

“Tinggal beberapa kilang sahaja yang masih bertahan. MITI kini berusaha mencari jalan menerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) untuk menghidupkan semula sektor industri di Ledang yang malap.

“Ini kerana sektor industri sebelum ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Ledang," katanya dalam Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah, Penyerahan Bantuan Bina dan Baik Pulih Rumah Bagi Peruntukan Menteri Besar dan Penyampaian Sijil Inap Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, bagi membantu menghidupkan semula sektor tersebut, Kolej Komuniti Ledang, Kolej Matrikulasi Ledang, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk melatih sumber manusia yang berkemahiran.

Selain tumpuan terhadap sektor industri dan pertanian, beliau berkata, pihaknya juga memberi fokus untuk membangunkan lagi sektor pelancongan yang ketika ini mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri.

“Untuk itu kita minta pegawai daerah, semua ketua jabatan dan ketua kampung untuk melakukan transformasi Ledang sebagai sebuah destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan memanfaatkan segala sumber yang ada seperti kraf tangan, inap desa dan produk industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mengakui lawatan kerjanya ke Ledang begitu nostalgik kerana pernah bersekolah di sini sehingga tamat darjah enam sambil menegaskan adalah penting bagi masyarakat di peringkat akar umbi memahami dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, pembangunan daerah-daerah di bahagian utara negeri ini seperti Ledang tidak serancak di selatan contohnya di Iskandar Malaysia, Johor Bahru atau Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Kota Tinggi.

“Namun begitu, kerajaan negeri akan usahakan untuk membawa manfaat di Iskandar Malaysia dan Rapid untuk sama-sama dirasai di utara Johor supaya tidak ada daerah yang tercicir, selain dapat duduk sama tinggi dan rendah dengan daerah lain," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014


LEDANG SUSUN SEMULA PUSAT PENTADBIRAN

Ledang: Kerajaan negeri akan membina kompleks pentadbiran daerah yang baharu bagi daerah ini, selain memperbanyakkan rumah mampu milik serta memajukan lagi industri pelancongan, perabot dan pertanian.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perancangan itu membabitkan proses transformasi yang dimulakan dengan penyusunan semula pusat pentadbiran daerah.

Katanya, kos pembangunan pusat pentadbiran baharu itu akan dimuktamadkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) dan pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

"Pusat pentadbiran itu akan menempatkan Kompleks Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah terlebih dahulu bagi fasa pertama. Pembinaan kompleks itu adalah perlu kerana hanya Ledang belum mempunyai bangunan pentadbiran sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah, Penyerahan Bantuan Bina dan Baik Pulih Rumah Bagi Peruntukan Menteri Besar dan Penyampaian Sijil Inap Desa di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil, dekat sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, turut hadir dalam program itu.

Lonjak sektor pelancongan

Mohamed Khaled berkata, satu pelan pembangunan menerusi Jabatan Pelancongan negeri akan disediakan bagi mengeksploitasi sumber terutama di Gunung Ledang dan Pulau Penarik bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri turut mengeluarkan sijil kepada pengusaha inap desa di Sagil bagi mewujudkan satu rangkaian perniagaan, sekali gus menyokong usaha membangunkan destinasi pelancongan di daerah ini.

"Bagi mengembangkan lagi industri perkayuan dan perabot, kerajaan merancang membina Pusat Pameran Perabot Antarabangsa. Kita juga mahu mewujudkan satu kawasan perindustrian berasaskan kayu dan perabot di daerah ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga meluluskan kawasan 80 hektar di daerah ini bagi pembinaan 2,500 rumah mampu milik.

Katanya, pembinaan rumah itu akan difokuskan di luar Tangkak yang merangkumi terutama di Sagil dan Bukit Gambir bagi memenuhi keperluan penduduk kerana sebelum ini projek berkenaan tertumpu di bandar dan pinggir bandar.

SUMBER: BH, 21 MEI 2014

20 Mei 2014

UMNO LEDANG BERI PULUT KUNING SEMPENA HARI GURU

ZAITON Kasran (enam dari kiri) mewakili kepimpinan UMNO Bahagian Ledang menyampaikan pulut kuning kepada Sahardin Yusof (lima kanan) sempena sambutan Hari Guru 2014 sekolah berkenaan di Bukit Gambir dekat Ledang, kelmarin.

LEDANG 19 Mei - UMNO Bahagian Ledang membuat kejutan sempena sambutan Hari Guru dengan mengagihkan pulut kuning ke 49 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Khairin Nisa' Ismail berkata, program itu yang julung kalinya dianjurkan adalah untuk mencari kelainan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik itu.

“Ini adalah ilham Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana pe­ngorbanan golongan guru dalam mendidik anak-anak terlalu mulia dan tinggi nilainya.

“Pulut kuning bersama kad ucapan Hari Guru daripada Datuk Ir. Hamim disampaikan kepada guru besar dan pengetua sekolah dalam Parlimen Ledang yang me­ngadakan sambutan pada hari ini," katanya selepas menyampaikan pulut kuning kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Sahardin Yusof di sini, semalam.

Sahardin pula mengucapkan terima kasih kepada Hamim dan UMNO Bahagian Ledang yang membuat kejutan dengan memberikan pulut kuning kepada warga pendidik dan cukup terharu atas penghargaan yang diberikan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 MEI 2014


19 Mei 2014

AGIH PULUT KUNING SAMBUT HARI GURU

Ledang: UMNO Bahagian Ledang mempunyai cara tersendiri meraikan sambutan Hari Guru apabila mengagihkan pulut kuning kepada 49 sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen itu.


Sambutan itu diadakan semalam berikutan Hari Guru jatuh pada Jumaat yang menjadi cuti hujung minggu di negeri ini.

Cetusan idea Ketua Bahagian, Datuk Hamim Samuri itu mendapat kerjasama Biro Pendidikan, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian bagi merealisasikan inisiatif itu menghargai jasa golongan pendidik.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Khairin Nisa' Ismail, berkata program julung kali itu dirancang sempena sambutan Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei dan kali ini pihaknya membuat kejutan dengan menyediakan pulut kuning untuk diagihkan ke sekolah.

Katanya, pengorbanan golongan pendidik mendidik tinggi nilainya dan sebagai menghargai jasa mereka UMNO Bahagian Ledang mengambil pendekatan itu untuk bersama-sama meraikannya.

"Pulut kuning bersama kad ucapan Hari Guru daripada Ahli Parlimen Ledang disampaikan kepada semua guru besar dan pengetua sekolah dalam Parlimen Ledang yang mengadakan sambutan pada hari ini," katanya.

SUMBER: BH 19 MEI 2014

PEMBANGKANG SEBAR PERSEPSI BURUK GST

Wartawan Sinar Harian
Pembangkang sebar persepsi buruk GST

Hamim menyampaikan bantuan kepada salah seorang daripada 12 penerima pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo dekat Parit Bunga, semalam.
LEDANG - Kerajaan sedang berusaha menangani pelbagai persepsi buruk yang dilakukan pembangkang bagi menghasut rakyat supaya membenci dan menolak apa sahaja perubahan dilakukan kepimpinan  demi kebaikan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, cabaran terbesar buat masa ini adalah berkaitan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan.

Menurutnya, kerajaan mendapat tekanan daripada pembangkang yang secara terbuka menolak cadangan itu malah menyebarkan maklumat tidak tepat dan mempengaruhi rakyat.

Jelasnya, GST untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini untuk mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

“Pada masa yang sama menjaga kepentingan rakyat dengan jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak naik.

“Kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada rakyat dan GST adalah sistem percukaian terbaik berdasarkan kajian dilakukan terhadap lebih 140 negara dunia yang terlebih dahulu melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo, dekat Parit Bunga, di sini, semalam.

Hamim turut memberitahu, terdapat tiga kategori barangan dan perkhidmatan yang termasuk dalam GST.

“Kategori pertama, dikecualikan daripada membayar cukai GST iaitu buku, ubat-ubatan dan syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000. Kedua, barangan dalam senarai GST, tetapi kadarnya kosong peratus iaitu barangan keperluan harian yang beratus senarainya seperti beras, minyak masak dan tepung.

“Manakala ketiga, berkadar enam peratus yang dikenakan ke atas barangan lain seperti beg tangan, kasut dan baju,” katanya.

Katanya lagi, rakyat sebenarnya sudah membayar cukai ketika membeli barang yang dikenakan peniaga, pembekal dan pengilang yang dinamakan cukai terselindung.

Tegasnya, sedangkan membayar cukai secara terus kepada kerajaan bukan tanggungjawab pembeli (rakyat).

Hamim berkata, dianggarkan sebanyak RM8 bilion setahun cukai tidak dikutip daripada ramai peniaga, pembekal dan pengilang yang mengelak membayar melalui sistem cukai perkhidmatan (SST).

“GST dapat mengatasi kelemahan STT dengan menghapuskan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 MEI 2014

49 SEKOLAH TERIMA PULUT KUNING

Wartawan Sinar Harian

46 sekolah terima pulut kuning
Zaiton Kasran mewakili kepimpinan Umno Bahagian Ledang menyampaikan pulut kuning kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Sahardin Yusof, sempena sambutan Hari Guru 2014 di sekolah itu, semalam.


LEDANG - Sebanyak 49 sekolah rendah dan menengah di parlimen ini menerima kejutan dengan pemberian pulut kuning daripada Umno Bahagian Ledang sempena sambutan Hari Guru.

Ketua Wanita Umno Bahagian Ledang, Khairin Nisa’ Ismail berkata, pemberian itu adalah cetusan idea Ketua Umno Bahagian, Datuk Ir  Hamim Samuri.

“Ia bertujuan menghargai jasa pengorbanan warga pendidik.

“Pada masa yang sama, kita juga mahu mendidik anak menghargai guru kerana kejayaan mereka hari ini hasil didikan guru selain doa ibu bapa masing-masing,” katanya, di sini.

Khairin Nisa’ berkata, penyampaian pulut kuning kepada pihak sekolah dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Ledang seawal jam 7 pagi yang bergerak mengikut sekolah yang ditetapkan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 MEI 2014

10 Mei 2014

GST TAK BEBAN PENIAGA RUNCIT

Oleh Ibrahim Isa


Ledang: Semua peniaga runcit di negara ini tidak akan terbeban apabila kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunakan ketika ini.

Kerajaan sudah menjalankan kajian sebelum melaksanakannya bertujuan menjaga kepentingan semua pihak, terutama peniaga runcit dan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri (gambar) berkata, GST adalah transformasi sistem cukai negara kerana sebelum ini sebahagian besar barang yang dijual di Malaysia dikenakan SST.

"Untuk makluman, semua pihak iaitu pengilang, pengedar dan peniaga ada tanggungjawab untuk membayar cukai.

"Bagaimanapun menerusi GST peniaga tidak perlu membayar cukai yang sepatutnya dikenakan kepada pengedar dan pengilang.

"Perubahan ini tidak akan merugikan peniaga kerana selama ini mereka sudah membayar SST," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Terengganu) Ahmad Izani Abdul Ghani yang menyatakan peniaga dikhuatiri berdepan kerugian sekiranya kuasa beli pengguna berkurangan disebabkan GST.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat di Pejabat UMNO Bahagian Ledang, Tangkak, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan GST dapat mengesan cubaan mengelak membayar cukai penuh oleh segelintir pengilang dan pembekal.

"Peniaga kecil dengan jumlah perniagaan tahunan tidak melebihi RM500,000 setahun akan dikecualikan daripada membayar GST dengan syarat mereka perlu melaporkan rekod jualan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

"Kami kini berusaha memberi penerangan berhubung GST bermula di peringkat pimpinan UMNO termasuk sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 MEI 2014

06 Mei 2014

LEDANG DIISYTIHAR DESTINASI PELANCONGAN BAHARU 2015

HAMIM Samuri (kanan) melepaskan peserta Johor International Gunung Ledang MTB Ride 2014 di Dataran Ledang dekat Tangkak,Johor, baru-baru ini.

LEDANG 5 Mei - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengisytihar Ledang sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di negeri ini tahun depan bagi memperkenal keistimewaannya yang tidak terdapat di tempat lain.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, daerah ini menawarkan pelbagai produk pelancongan yang berasaskan alam semulajadi contohnya Gunung Ledang selain budaya dan makanan tradisi tempatan.

"Selain produk pelancongan sedia ada, penambahan produk baharu juga mesti ditonjolkan contohnya permainan kemplingan iaitu persembahan muzik masyarakat Jawa Ledang, masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Begitu juga inap desa mesti disediakan. Ini semua dapat dapat menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke daerah ini," katanya ketika ditemui dalam program Johor International Gunung Ledang MTB Ride 2014 di Dataran Ledang, di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Johor, Mohammad Isa Abdul Halim; Pengurus SK Event Pro Bike Management, Datin Sofea Karmila dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, apabila kehadiran pelancong bertambah, secara langsung turut meningkatkan ekonomi pengusaha industri pelancongan dan penduduk tempatan.

Hamim berkata, seperti juga program tersebut, penganjurannya memberi banyak manfaat kepada hotel dan inap desa selain perniagaan makanan, pengusaha produk pelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, Mohammad Isa berkata, program itu bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan pertandingan kayuhan basikal lasak itu dapat memberi peluang kepada peminat sukan lasak itu melalui pengamalan baharu di sini.

"Secara tidak langsung acara ini menjadi pencetus memperkenalkan inap desa dikenali sebagai Homestay Ledang yang diiktiraf pihak kementerian Mac lalu," katanya dan memberitahu program anjuran pihaknya dengan kerjasama SK Event Pro Bike Management disertai 650 peserta dalam dan luar negara.

Mohammad Isa berkata, peserta tempatan serta dari Australia, Indonesia dan Singapura dilepaskan dari Dataran Ledang menuju ke Taman Negara Gunung Ledang melalui trek yang mencabar termasuk ladang sawit dan getah sebelum berpatah balik ke Dataran Ledang sejauh 40 kilometer.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 MEI 2014

02 Mei 2014

KADET POLIS, KELAB PENCEGAHAN JENAYAH TANGANI JENAYAH DI SEKOLAH

MOHAMED Salleh Abd. Razak (depan, tujuh dari kanan) bersama para pegawai anggota kadet pada Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Kali Ke-44 Peringkat Daerah di SMK Ledang dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 1 Mei - Penubuhan Pasukan Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah di peringkat sekolah merupakan satu mekanisme yang mampu menangani permasalahan jenayah dalam kalangan pelajar di daerah ini melalui pendekatan memantau dan menyalurkan maklumat sebagai langkah awal pencegahan gejala negatif.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, antara peranan yang boleh dimainkan pasukan beruniform itu adalah membimbing rakan-rakan dan membantu mengenal pasti rakan bermasalah serta melaporkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

"Selain itu Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah perlu diaktifkan dengan kerjasama Pegawai Perhubungan Sekolah yang diwakili pihak polis. Pegawai itu diarahkan untuk melawat dan memberi bantuan kepada pihak sekolah dengan kerjasama guru selain merancang program pencegahan jenayah dan motivasi.

"Saya percaya komunikasi dan kerjasama erat polis dan pihak sekolah, termasuk ibu bapa dan pelajar, sebarang kegiatan jenayah dapat dibendung dengan berkesan dalam suasana harmoni," katanya ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis kali ke-44 peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang di sini kelmarin.

Kira-kira 200 anggota Pasukan Kadet Polis dari 13 buah sekolah menengah di sekitar daerah ini menerima sijil, surat penghargaan dan pemakaian pangkat yang sempurnakan oleh Mohamed Salleh.

Mohamed Salleh dalam pada itu turut meminta pihak sekolah agar memantapkan disiplin bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah atau memukul pelajar lain.

Katanya, jika berlaku pihak sekolah perlu mengambil tindakan setimpal dengan kesalahan dan ibu bapa yang terlibat juga perlu dibawa dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian segera.

"Remaja juga perlu bijak memilih kawan dan tidak bergaul dengan rakan-rakan yang boleh menjerumuskan mereka ke arah kehancuran atau keruntuhan ahkhlak di samping ibu bapa perlu memainkan peranan.

"Ibu bapa hendaklah memberikan perhatian lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mesti diterapkan supaya dapat membezakan yang baik dan buruk," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 MEI 2014