TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 September 2014

MJSB JOHAN SEPANDUK TERCANTIK PERINGKAT LEDANG

AHLI Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja Syarikat Mohd. Janis Sdn. Bhd. bersama-sama sepanduk yang memenangi pertandingan sepanduk tercantik sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat daerah Ledang, baru-baru ini.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga MJSB menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah bagi kategori swasta.
 
"Kami sepakat menyertai pertandingan sepanduk yang diadakan kali ini dengan melukis dan mewarna secara bergotong-royong selama tiga malam. Sebelum ini, kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah.
 
"Memandangkan pemenang sepanduk tercantik tahun sebelum ini menggunakan kreativiti melukis dan mewarna d serta dapat menarik perhatian, kami mencubanya pula tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Hari Kemerdekaan Kali Ke-57 peringkat daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak di sini baru-baru ini.
 
Yazali berkata, kemenangan itu merupakan 'hadiah' kepada Pengarah Urusan MJSB, Mohd. Janis Abu Bakar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 tahun ini.
 
Dengan kemenangan itu, pasukannya membawa hadiah RM300 dan trofi yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Tempat kedua kategori itu dimenangi Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang, manakala Pejabat Daerah Ledang meraih tempat ketiga.
 
Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Kontinjen Perbarisan Terbaik, Pakaian Terbaik dan Kibaran Jalur Gemilang Tercantik di halaman rumah serta premis.
 
Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan negeri (DUN) Serom muncul johan Pertandingan Perbarisan Terbaik, Pejabat Tanah Ledang (Pakaian Terbaik) dan Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang (Halaman Premis Terbaik) dan Lewan Basman dari Kampung Sagil Parit 1 (Halaman Rumah Terbaik).
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPTEMBER 2014

05 September 2014

SENGKANG MATA TIGA MALAM


Ledang: Kesanggupan bersengkang mata selama tiga malam untuk menyiapkan sepanduk bagi menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Daerah Ledang di sini, berbaloi apabila hasil kreativiti berkenaan mendapat perhatian juri untuk dinobatkan sebagai johan sepanduk tercantik.

Usaha ahli Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja (KESOKEP) Mohd Janis Sdn Bhd membuat persiapan menyediakan sepanduk dan mewarnakannya secara bergotong-royong memberi kepuasan kepada setiap ahli dengan kemenangan yang diperoleh.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga Mohd Janis Sdn Bhd (MJSB) menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan bagi kategori swasta.

Menurutnya, walaupun sambutan dibuat secara sederhana tahun ini, tetapi MJSB tetap bersemangat menyertai acara perbarisan dan pertandingan sepanduk.

"Sebelum ini kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah. Memandangkan pemenang sepanduk tercantik sebelum ini menggunakan kreativiti sendiri dengan melukis dan mewarnanya secara manual menyebabkan kami mencubanya pada tahun ini," katanya.

Yazali berkata, kemenangan itu hasil kerjasama dan muafakat ahli KESOKEP dalam menghasilkan sepanduk yang menarik dan ia juga hadiah kepada Pengarah Urusan MJSB Mohd Janis Abu Bakar yang juga menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada tahun ini.

Hadiah wang tunai RM300 dan trofi itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan selaku wakil Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib johan disandang Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang dan Pejabat Daerah Ledang pula dipilih pemenang ketiga.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 05 SEPTEMBER 2014

01 September 2014

PENAGIH SERANG POLIS

Ledang: Akibat ketagihan melampau, seorang penagih dadah yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Dalam kejadian pada jam 6 petang kelmarin, penagih tegar yang berusia 26 tahun dikatakan membuat bising di dalam lokap, menyebabkan anggota polis itu cuba mententeramkannya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak, berkata suspek kemudian bertindak ganas dengan memukul anggota polis terbabit hingga menyebabkan kecederaan ringan pada bahagian muka mangsa.

"Melihatkan kelakuan suspek yang agresif, anggota terbabit terus beredar dari kawasan kejadian, sebelum beberapa anggota lain berjaya mengawal keadaan.

Alami gangguan mental

"Suspek kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan susulan dan pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan suspek mengalami gangguan mental akibat pengambilan dadah dan gam berlebihan sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Salleh berkata, anggota polis yang juga berusia 26 tahun turut dihantar ke hospital sama dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar akibat cedera ringan.

"Berikutan itu, suspek ditahan sementara di lokap IPD Ledang bagi membantu siasatan sebelum kejadian itu berlaku," katanya.
 
SUMBER: BH, 01 SEPTEMBER 2014