PENGUNJUNG SETIA

28 November 2014

JOHOR HASILKAN BERAS WANGI SRI LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK
ABD. Razak Minhat (tengah) memasukkan padi ke dalam mesin PGU untuk diproses menjadi beras sewaktu majlis Perasmian Tanaman Padi Kaedah SRI dan Penyampaian Sijil Mygap serta Mesin PGU di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang, Johor, kelmarin. – UTUSAN/Ishak Rahmad.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, usaha komersial beras daripada varieti MRQ76 itu sudah dilakukan awal tahun ini melibatkan lima buah kawasan sawah padi utama dengan keluasan kira-kira 809 hektar di sini.
 
“Beras wangi ini akan menjadi produk istimewa daerah ini yang mungkin dinamakan Beras Wangi Sri Ledang. Kualitinya setanding beras wangi import dan kini dita­nam di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba, Kesang Gate, Pulau Penarek dan Sawah Ring.
 
“Kita mahu mengurangkan import beras wangi antara dua hingga lima peratus yang kini berjumlah RM500 juta setahun,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Tanam­an Padi Kaedah SRI, Penyampaian Sijil Mygap dan Mesih PGU di Ke­sang Tasik, di sini semalam.
 
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
 
Abdullah berkata, sebagai langkah awal, pesawah-pesawah di sini dibekalkan dengan mesin kisar padi yang mempunyai lima fungsi bagi membantu dan memudah penga­singan beras selain dapat menambah pendapatan.
 
Katanya, ketika ini terdapat dua mesin berkenaan untuk kegunaan di Kesang Tasik serta Kesang Gate dan peralatan buatan Thailand itu pertama kali digunakan di negeri ini malah pada masa akan datang sebanyak 25 lagi mesin akan dibawa masuk.
 
Mesin tersebut, ujarnya, mempunyai lima peranan utama iaitu mengasingkan padi berkenaan kepada beras wangi, beras perang dan beras hancur selain serkam dan dedak yang boleh dijual sebagai baja serta makanan ayam.
 
Bagi jangka masa panjang, Abdullah berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pihak yang mengkormesialkan Beras Wangi Sri Ledang termasuk usaha pembungkusan, pelabelan dan pemasaran.
 
“Namun sebelum itu kita merancang untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendirikan sebuah kilang memproses beras wangi di Teluk Rimba supaya produktiviti dalam skala besar dapat dihasilkan.
 
“Kilang itu juga akan memproses hasil beras sama dari Negeri Sembilan dan Melaka. Selain itu kita juga akan terus membaiki prasarana di kawasan sawah padi di sini yang merupakan dikategorikan sebagai bukan jelapang padi,” katanya.
 
Menurut beliau, Ledang merupakan perintis kepada penghasilan beras wangi di negeri ini dengan produktiviti yang tinggi berbanding negeri lain dan dijangka menjadi model untuk daerah lain bagi menghasilkan beras wangi.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2014

26 November 2014

18 TERIMA SIJIL AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI

HAMIM SAMURI (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S di Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 25 Nov. – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) me­nganugerahkan Sijil Amalan Per­sekitaran Berkualiti QE/5S kepada 18 organisasi di negeri ini yang berpotensi untuk ditingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatannya secara optimum.
 
Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain berkata, pensijilan diberikan selepas orga­nisasi terlibat melaksanakan amalan QE/5S melalui bimbingan, latihan, panduan dan tunjuk ajar MPC dalam tempoh tujuh bulan.

"Kita mahu organisasi yang dianugerahkan sijil ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kualiti, penurunan kos operasi, penambahbaikan kepada sistem penyampaian, moral kakitangan dan peningkatan dalam aspek keselamatan.

"MPC berharap amalan persekitaran berkualiti di organisasi yang diberikan pensijilan dapat dikekalkan serta ditingkatkan daripada segi kecekapan sistem dan proses kerja yang boleh menjadi contoh terbaik serta penanda aras kepada organisasi lain,” katanya demikian pada perasmian Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri merasmikan program tersebut.

Mohd. Razali berkata, agensi terpilih menerima manfaat melalui bimbingan berupa persekitaran kerja lebih baik dan kondusif, mendapat pengiktirafan dan lebih penting suntikan anjakan pemikiran untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.

Sementara itu, Hamim berkata, MPC perlu terus menggandakan usaha agar pelaksanaan sistem amalan persekitaran berkualiti dilakukan lebih banyak organisasi sama ada sektor awam atau swasta khususnya di negeri ini.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, daripada 18 organisasi yang menerima pensijilan itu, 12 organisasi dari daerah ini dan kejayaan berkenaan amat membanggakan.

Pada majlis itu, organisasi di sini yang menerima pensijilan itu ialah Pejabat Daerah Ledang; Majlis Daerah Tangkak; Pejabat Kadi Daerah Ledang; Majlis Agama Islam Johor Daerah Ledang; Masjid Jamek Tangkak dan Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas.

Bagi kategori pendidikan pula, Pejabat Pelajar Daerah Muar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Persisiran Perdana; SMK Tengku Mahmud Iskandar; SMK Ledang; SMK Tun Mamat dan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang Tasek.

Turut menerima pensijilan itu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang; Johor Corporation; Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora); Kolej Komuniti Segamat; Politeknik Ibrahim Sultan dan Puteri Specialist Hospital, Johor Bahru.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2014

25 November 2014

RM41.2 BILION PELABURAN MELALUI AEC TAHUN DEPAN

HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima
HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Ledang, semalam.
LEDANG 24 Nov. - Kira-kira RM41.2 bilion pelaburan dijangka berjaya dibawa masuk ke negara ini berdasarkan jumlah pelaburan negara-negara ASEAN yang akan meningkat 10 peratus apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan akhir tahun depan.
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah pelaburan di negara-negara ASEAN ialah RM406.4 bilion pada tahun lalu dan kewujudan AEC akan menawarkan pasaran daripada 627 juta penduduk rantau ini.
 
“AEC boleh meningkatkan ekonomi peserta negara anggota ASEAN melalui jalinan kerjasama ekonomi di antara 10 negara terlibat. Ini memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dengan peluang memasarkan lebih banyak produk ke rantau ASEAN dengan segala kemudahan eksport dan import yang lebih seragam.
 
“Sebagai contoh dengan keseragaman ini menjadikan aktiviti import dan eksport lebih mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Tangkak, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Razali Hussain dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
AEC bakal membentuk sebuah blok ekonomi lebih liberal dan perdagangan terbuka melalui penghapusan tarif cukai, kebebasan pasaran kerja (kemahiran tinggi) dan pergerakan modal yang bertujuan menjadikan ASEAN sebagai satu pasaran yang tunggal.
 
Menurut Hamim, Malaysia perlu mengambil peluang dengan pelaksanaan AEC di samping meningkatkan daya saing dalam sektor pelaburan dan perdagangan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, negara juga perlu meningkatkan daya saing produk supaya setanding dengan negara lain bagi menembusi pasaran dalam ASEAN yang luas dan berpotensi tinggi.
 
“Jika kualiti produk keluaran Malaysia rendah, ini akan menyukarkan untuk eksport dan sebaliknya hanya akan dijual di peringkat domestik sahaja. Ramai pelabur mencari negara dengan persekitaran ekonomi yang baik.
 
“Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S adalah sebahagian daripada kaedah meningkatkan daya saing mutu produk dan pendapatan serta menjadikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan meningkat secara positif,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2014