PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2015

KERJASAMA PENDUDUK BANTERAS WABAK DENGGI


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan meninjau kerja pembersihan longkang pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Pekan Sagil, di sini.
Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kejayaan daerah ini menurunkan kes denggi sehingga hampir 50 peratus tahun lalu berbanding 2013 menunjukkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan tempat tinggal serta persekitaran mereka meningkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Mohd Masni Wakiman (Gambar Kiri), berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat bagi membersihkan kawasan yang menjadi pembiakan nyamuk aedes perlu diteruskan bagi mencegah penularan wabak demam denggi.

Katanya, sesuai dengan kejayaan daerah Ledang sebagai johan di peringkat negeri bagi kategori penurunan dan kes demam denggi paling kurang, masyarakat perlu sentiasa peka dengan kebersihan tempat tinggal mereka agar bebas dari kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“MDT dan Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa bergerak seiring serta bekerjasama bersama komuniti penduduk mengadakan kempen kesedaran demam denggi serta membantu mereka menjalankan gotong-royong pembersihan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“Kami sentiasa membantu penduduk agar kawasan kediaman mereka bersih dan selesa sebagai tempat tinggal tanpa ancaman sebarang penyakit,” katanya pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Balai Raya Pekan Sagil, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan dan turut dihadiri  Ketua Whip MDT, Zakaria Othman dan Pengerusi Program Gerak Mesra Zon Sagil A, Teo Tiam She.

Mohd Masni berkata, MDT sentiasa peka dengan kebersihan kawasan kediaman penduduk malah kontraktor pembersihan yang dilantik perlu melaksanakan kerja pembersihan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Asojan berkata, tindakan pencegahan denggi itu turut mendapat kerjasama Kumpulan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) daerah apabila ia menetapkan 50 program gerak mesra dan kempen anti denggi bagi tahun ini sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kumpulan itu.

Katanya, kejayaan menurunkan kes demam denggi di daerah itu berdasarkan komitmen dan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat yang mementingkan kebersihan kawasan kediaman mereka.

“Di Ledang terdapat lapan kes demam denggi dan tujuh daripadanya di Mukim Tangkak termasuk tiga kes berlaku di Sagil. Kita berharap kawasan yang terdapat kes demam denggi ini digempur habis-habisan agar ia tidak berlaku penularan wabak ke kawasan lain.

“Kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran perlu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka sentiasa peka dengan kawasan pembiakan nyamuk aedes di samping melakukan pembersihan secara berkala,” katanya. -iNFOLEDANG