PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2015

MUDIR TOKOH MAAL HIJRAH LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK

HAMIM SAMURI (kiri) menyaksikan Ab. Han Ramin (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah kepada Muhammad Ismail sempena Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang Maal Hijrah di Ledang, Tangkak, Johor, malam semalam.
 
LEDANG 15 Okt. - Sumbangan seorang mudir Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul Ulum, Serom 4, dekat sini mendapat penghargaan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah.
Muhammad Ismail, 69, menerima anugerah itu atas komitmennya yang tinggi dalam mendalami ilmu pengajian Islam hingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Pengurusan di Open University Malaysia Melaka pada 2014.
 
Anugerah tersebut juga berdasarkan ketokohan bapa kepada sembilan anak itu yang turut melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di tempatnya apabila dilantik sebagai Imam Masjid Jamek Parit Bunga, Guru Takmir dan Naib Kadi daerah.
 
Beliau menerima anugerah itu pada Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang Maal Hijrah 1437H Pe­ringkat Daerah di Dataran Ledang, Tangkak di sini malam tadi.
 
Program itu dirasmikan Pegawai Daerah, Ab. Han Ramin yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Kadi Daerah Ledang, Mohd. Zaini Mohd. Salleh.
 
Manakala Anugerah Khas Saudara Kita pula, Nafsiah Abdullah, 58, dari Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dipilih yang memeluk agama Islam pada tahun 1975 di Pejabat Kadi Daerah Muar.
 
Nafsiah berkata, ibu bapanya beragama Kristian tetapi dia dipelihara sebuah keluarga angkat Melayu sejak kecil dan apabila usianya 18 tahun dengan rela hati telah memeluk agama Islam.
 
“Saya mengikuti pelbagai kursus pemahaman agama dan pemantapan akidah yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bertujuan mendalami Islam,” kata ibu kepada enam anak yang juga memiliki Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Sekolah Agama Kerajaan Johor.
 
Anugerah Khas Orang Asli diberikan kepada Niya Ng Abdullah, 21, dari Kampung Orang Asli Tanah Gembur, Tangkak yang memeluk agama Islam pada Disember 2013 di Kompleks Darul Huda, Melaka.
 
Suaminya, Abdul Rauf Asah dari Kampung Orang Asli Machap Umboo, Melaka menerima anugerah itu mewakili Niya Ng yang kini mempunyai seorang anak perem­puan berusia dua tahun.
 
Niya anak kepada seorang peniaga berbangsa Cina dan ibunya yang keturunan Orang Asli dari Tanah Gembur sentiasa memberikan komitmen berterusan sejak dia memeluk Islam dengan mengikuti program JAIJ.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2015