Terletak kira-kira 15 kilo­meter dari bandar Tangkak dan Le­buh Raya Utara-Selatan (PLUS), lokasi tersebut yang mempunyai sebuah Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang merupakan destinasi percutian yang mampu menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung.

Dengan kejernihan dan desiran air yang mengalir dari gunung diselang-seli pula bunyi sang unggas yang cukup menga­syikkan, pasti sahaja akan memukau para pengunjung sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak untuk menikmati suasana tersebut.

Jauh daripada kesibukan kota sambil dikelilingi ribuan flora dan fauna serta bunyi deruan air terjun menjadikan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang adalah destinasi percutian sempurna untuk dinikmati.

Sebelum ini, pelancong lebih tertumpu di kawasan air terjun di Gunung Ledang Resort sebagai kawasan rekreasi, namun Taman Hutan Lagenda tersebut kini memberikan alternatif kepada mereka yang mementingkan ketenangan dan suasana hutan.

Selain itu, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang yang menjadi pintu masuk untuk ke puncak gunung berketinggian 1,276 meter dari paras laut itu adalah tempat paling sesuai untuk program bina semangat dengan pelbagai kemudahan lengkap.

Malah, kawasan itu juga aktif menjelang waktu malam menjadikan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang sebagai lokasi sesuai untuk dimanfaat bersama keluarga bagi melakukan pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Sejak diwartakan pada tahun 2005 dan mula beroperasi tiga tahun kemudian, kawasan peranginan seluas 10,022 hektar yang diuruskan Perbadanan Taman Negara Johor sentiasa menerima kunjungan orang ramai termasuk pelancong dari luar negara terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Menurut Pengurus Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang, Muhammad Shafiq Mohammad, selain melakukan aktviti mandi-manda, kawasan peranginan itu turut memberi kebebasan kepada para pengunjung menikmati keindahan hutan dengan cara mereka tersendiri.

“Kita tidak menyekat apa-apa sahaja aktiviti yang mereka lakukan, pengunjung bebas membuat aktiviti mereka sehingga larut malam se­perti memasak, barbeku atau pun meraikan sam­butan hari lahir.

“Ia semua terpulang kepada pengunjung dan kebanyakan mereka yang datang ke sini biasanya membuat sambutan ha­ri keluarga kerana mahu menikmati suasana alam semula jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Muhammad Shafiq, keunikan itu juga menjadikan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang sebuah tempat peranginan yang berbeza berbanding kawasan air terjun lain.

“Selain mandi-manda di kawasan air terjun, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang turut menyediakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berbasikal sambil menyelusuri hutan.

“Ia merupakan aktivti utama yang kita wujudkan untuk golong­an yang gemar aktiviti lasak, tetapi kita turut memberi peluang kepada seisi keluarga yang mahu mencuba. Jadi, selain beriadah, percutian ini juga boleh memberi mereka pengalaman baharu,” katanya.

Bagaimanapun, bilangan pengunjung ke kawasan itu terpaksa dihadkan bagi memastikan ia tidak terlalu terdedah dengan kehadiran orang ramai kerana dikhuatiri boleh menyum­bang kepada kemusnahan kawasan hutan dan khazanah alam yang berusia ribuan tahun di situ.

Ujarnya, setiap tahun Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang menerima kunjungan sekitar 15,000 hingga 20,000 pengunjung dan angka itu merupakan jumlah maksimum yang dihadkan pihak pengurusan bagi tempoh setahun.

“Justeru itu, bagi mereka yang merancang untuk berkunjung ke sini, kita menggalakkan mereka untuk menghubungi pihak Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang terlebih dahulu bagi membuat tempahan,” katanya.