PENGUNJUNG SETIA

17 April 2022

BAPA BINA PONDOK WAKAF UNTUK JARIAH ARWAH ANAK

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani (empat dari kanan) dan Salbani Mustafua (dua dari kiri) bergambar di hadapan pondok wakaf yang terletak berhadapan Sekolah Kebangsaan Parit Kasan dekat Bukit Gambir. 


TANGKAK: Seorang bapa membina sebuah pondok wakaf bagi kegunaan orang ramai khususnya ibu bapa yang menunggu anak-anak mereka keluar daripada sekolah sebagai tempat berteduh.

 

Salbani Mustafua, 68, berkata beliau membina pondok menunggu untuk diwakafkan sebagai kegunaan penduduk kampung dan ibu bapa yang menunggu anak mereka keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan pada sebelah tengah hari.

 

"Sebenarnya pondok ini dibina untuk diwakafkan atas nama arwah anak sulung saya, Farkhana yang telah meninggal dunia September tahun lepas. Semoga jariah ini berpanjangan untuk kegunaan penduduk kampung dan orang ramai," katanya ketika membuat penyerahan kepada pengurusan kampung pondok wakaf tersebut yang terletak berhadapan SK Parit Kasan dekat Bukit Gambir, di sini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani yang mengadakan program Ziarah Aspirasi Ramadan 1443H di kampung itu menyaksikan simbolik penyerahan pondok wakaf itu yang turut disaksikan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar.

 

Dalam program ziarah itu, Sahrihan mengunjungi empat buah rumah penduduk sambil bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur sempena bulan Ramadan. -INFOLEDANG 2022