PENGUNJUNG SETIA

19 November 2020

KLUSTER BAHARU DIKESAN DI JOHOR


Share on facebook
 
Share on twitter
 
Share on whatsapp
 
Share on email
 
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu kluster kes Covid-19 baharu telah dikenal pasti di negeri ini iaitu Kluster Parit Kassan melibatkan daerah Tangkak di Johor dan termasuk juga di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pertambahan itu menjadikan keseluruhan enam kluster aktif di negeri ini.

Menurutnya, kluster aktif lain termasuklah Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.

“Kes indeks bagi Kluster Parit Kassan ini dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 13 November lalu dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Saringan kontak rapat yang dibuat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif Covid-19. 

“Sehingga semalam, 105 individu telah disaring di mana 11 kes dikesan positif melibatkan satu kes baru, 70 dikesan negatif sementara 24 yang lain masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tiga lagi kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri ini melibatkan dua daripada kluster sedia ada dan satu daripada kluster baharu.

Tambah Vidyananthan, pertambahan kes dan kluster baharu tersebut dikesan ekoran sikap segelintir masyarakat yang mula tidak peka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan.

“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini sebanyak 1,019 kes dengan 21 kematian, di mana sejumlah 913 kes atau 89.6 peratus dilaporkan telah pulih.

“Sementara itu, peratusan pematuhan terhadap SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini adalah sebanyak 95 peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, masyarakat diingatkan untuk mengelakkan tiga S iaitu pergaulan di kawasan sempit, mengelakkan keadaan sesak dan mengelakkan sembang secara rapat dalam usaha mengekang penularan wabak ini. – SUMBER: UTUSAN ONLINE