PENGUNJUNG SETIA

16 September 2021

LUKIS LOGO KEMERDEKAAN KE-64 DI MEJA MAKAN, HIAS JALUR GEMILANG

Mohamed Abd Rahman (belakang baju Melayu putih) bergambar bersama keluarganya di hadapan rumah beliau yang dihias dengan Jalur Gemilang di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak. -iNFOLEDANG

TANGKAK: Kreativiti seorang penduduk Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir di sini semata-mata untuk menzahirkan semangat patriotik dalam keluarganya sanggup menjadikan meja makan di rumahnya sebagai papan tanda dilukis logo kemerdekaan ke-64.

Mohamed A Rahman, 53, berkata idea itu tercetus ketika menghias halaman rumahnya dengan memasang bendera Jalur Gemilang untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan ke-64.

Katanya, beliau dibantu isteri, Surayah Misran, 47, anak-anak serta cucu memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor di sekeliling rumahnya termasuk melukis logo Hari Kebangsaan di meja makan yang bertemakan Malaysia Prihatin.

“Meja makan yang siap dilukis logo Malaysia Prihatin diletakkan di atas bumbung kereta Proton Iswara yang turut dihias dengan bendera Jalur Gemilang.

“Kami membelanjakan kira-kira RM300 bagi membeli bendera pelbagai saiz untuk dipasang dan dikibarkan di sekitar halaman rumah dan mengambil masa dua hari untuk menghiasnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, di sini.

Kreativiti beliau sekeluarga berjaya menarik perhatian juri apabila muncul sebagai johan dalam pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 anjuran komuniti setempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, kelmarin.

 
Mohamed Abd Rahman (bersongkok) menerima hadiah johan pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 disampaikan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak. -iNFOLEDANG

Mohamed berkata tujuan beliau memasang dan menghias kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang bagi menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga terutama anak dan cucunya.

Menurutnya, walaupun hanya memasang dan mengibarkan bendera sempena perayaan Hari Kebangsaan namun ia menjadi pencetus semangat cintakan negara untuk terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Anak-anak dan cucu hanya tahu bila tiba 31 Ogos saban tahun setiap rumah memasang bendera Jalur Gemilang tetapi kadang-kadang ada yang tidak mengibarkannya.

“Untuk menyemaikan semangat patriotik dan cintakan negara, kami ajak anak-anak dan cucu sama-sama memasang bendera Malaysia dan Johor sempena Bulan Kemerdekaan ini supaya ia dijadikan aktiviti berterusan sepanjang bulan kebangsaan setiap tahun,” katanya.

Mohamed berharap setiap individu turut sama menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga mereka dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah masing-masing setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan. -iNFOLEDANG 2021

19 Mei 2021

SURAU AN NUR SERAH KUTIPAN TABUNG PALESTIN

 Pengerusi Jawatankuasa Surau An Nur Taman Cempaka, Ismail Abd Rahman (kanan) menyerahkan kutipan sumbangan kepada Pengurus Aman Palestin Cawangan Johor, Norul Ahmady Abd Rahman di surau berkenaan dekat Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.

TANGKAK: Simpati dengan nasib umat Islam dan rakyat Palestin yang hidup dalam kesengsaraan berikutan keganasan dan pembunuhan yang dilakukan rejim Israel, Jawatankuasa Surau An Nur, Taman Cempaka Bukit Gambir dekat Tangkak sepakat melancarkan kutipan tabung dalam kariah taman berkenaan.

Pengerusinya, Ismail Abd Rahman berkata pihaknya sepakat membuat kutipan derma bagi membantu kesengsaraan rakyat Palestin yang terus-terusan diserang rejim Israel tanpa berperikemanusiaan.

Katanya, semangat perpaduan yang terdapat dalam kalangan kariah Surau An Nur dengan kerjasama Pakatan Wanita Islam Taman Cempaka bekerjasama membuat kutipan derma mempamerkan soladariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin khususnya umat Islam di sana.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengumpulkan sejumlah RM4,896.00 hasil sumbangan umat Islam di kariah surau ini yang masing-masing turut bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

“Sumbangan yang kami kumpulkan diserahkan kepada Pengurus Aman Palestin Cawangan Johor, Norul Ahmady Abd Rahman untuk diuruskan agar sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Palestin di sana,” katanya selepas penyampaian sumbangan di Surau An Nur Taman Cempaka dekat Bukit Gambir, Tangkak, di sini.

Ismail berkata kesepakatan yang ditunjukkan masyarakat Islam di taman itu membuktikan semangat untuk membantu saudara seagama yang ditimpa musibah begitu kuat dan pihak jawatankuasa surau melahirkan rasa terima kasih atas kerjasama tersebut.-iNFOLEDANG 2021

01 Mei 2021

SURAU 2 PARIT KASSAN AGIH BALDI RAMADAN

Surau 2 Parit Kassan, Zakaria Haiyun (kiri) menyampaikan baldi barang keperluan harian kepada penerima dalam Program Baldi Ramadan 2021.

TANGKAK: Jawatankuasa Surau 2 Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak, di sini berjaya mengagihkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 120 buah keluarga dalam kariah itu menerusi Program Baldi Ramadan 2021.

Pengerusinya, Zakaria Haiyun berkata Program Baldi Ramadan adalah inisiatif jawatankuasa surau untuk mengagihkan sumbangan sempena bulan Ramadan.

Katanya, perancangan yang dibuat sebelum bulan Rama
dan itu turut mendapat sokongan seorang anak jati kariah surau itu yang memberikan sumbangan peribadi bagi melaksanakan program.

“Syukur Alhamdulillah, program yang kami rancang turut mendapat sumbangan dana daripada individu yang turut bersedekah sempena bulan baik ini manakala perbelanjaan selebihnya menggunakan dana kewangan surau.

“Terdapat 120 buah rumah dalam kariah surau kami dan setiap rumah mendapat sebaldi barangan keperluan termasuk tepung, gula, minyak masak, kordial dan ketupat segera,” katanya selepas menyertai agihan sumbangan Program Baldi Ramadan yang bermula dari Surau 2 Parit Kassan, di sini.

Zakaria berkata, melalui program itu, penyumbang dapat berkongsi rezeki yang diperoleh bersama-sama masyarakat kampungnya malah derma yang disalurkan orang ramai menerusi akaun surau dapat dikembangkan supaya bermanfaat dan penderma mendapat bahagian pahalanya.-iNFOLEDANG2021