PENGUNJUNG SETIA

16 September 2021

LUKIS LOGO KEMERDEKAAN KE-64 DI MEJA MAKAN, HIAS JALUR GEMILANG

Mohamed Abd Rahman (belakang baju Melayu putih) bergambar bersama keluarganya di hadapan rumah beliau yang dihias dengan Jalur Gemilang di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak. -iNFOLEDANG

TANGKAK: Kreativiti seorang penduduk Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir di sini semata-mata untuk menzahirkan semangat patriotik dalam keluarganya sanggup menjadikan meja makan di rumahnya sebagai papan tanda dilukis logo kemerdekaan ke-64.

Mohamed A Rahman, 53, berkata idea itu tercetus ketika menghias halaman rumahnya dengan memasang bendera Jalur Gemilang untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan ke-64.

Katanya, beliau dibantu isteri, Surayah Misran, 47, anak-anak serta cucu memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor di sekeliling rumahnya termasuk melukis logo Hari Kebangsaan di meja makan yang bertemakan Malaysia Prihatin.

“Meja makan yang siap dilukis logo Malaysia Prihatin diletakkan di atas bumbung kereta Proton Iswara yang turut dihias dengan bendera Jalur Gemilang.

“Kami membelanjakan kira-kira RM300 bagi membeli bendera pelbagai saiz untuk dipasang dan dikibarkan di sekitar halaman rumah dan mengambil masa dua hari untuk menghiasnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, di sini.

Kreativiti beliau sekeluarga berjaya menarik perhatian juri apabila muncul sebagai johan dalam pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 anjuran komuniti setempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, kelmarin.

 
Mohamed Abd Rahman (bersongkok) menerima hadiah johan pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 disampaikan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak. -iNFOLEDANG

Mohamed berkata tujuan beliau memasang dan menghias kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang bagi menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga terutama anak dan cucunya.

Menurutnya, walaupun hanya memasang dan mengibarkan bendera sempena perayaan Hari Kebangsaan namun ia menjadi pencetus semangat cintakan negara untuk terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Anak-anak dan cucu hanya tahu bila tiba 31 Ogos saban tahun setiap rumah memasang bendera Jalur Gemilang tetapi kadang-kadang ada yang tidak mengibarkannya.

“Untuk menyemaikan semangat patriotik dan cintakan negara, kami ajak anak-anak dan cucu sama-sama memasang bendera Malaysia dan Johor sempena Bulan Kemerdekaan ini supaya ia dijadikan aktiviti berterusan sepanjang bulan kebangsaan setiap tahun,” katanya.

Mohamed berharap setiap individu turut sama menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga mereka dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah masing-masing setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan. -iNFOLEDANG 2021

Tiada ulasan: