PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2023

ASAM PEDAS KAK FYDA TAMBAT SELERA

 HAFIDAH menunjukkan seleksi asam pedas dan lauk-pauk kampung yang ditawarkan di warungnya di Kampung Sagil Parit 2, Tangkak, Johor.

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
20 Julai 2023, 9:17 am

KESEGARAN ikan jenahak jelas terasa saat menjamahnya bersama kuah asam pedas yang pekat.

Gabungan rempah yang dikisar dalam kuah masakan kampung itu menerbitkan kesimbangan rasa pedas dan masam.

Masakan asam pedas itu menjadi bertambah lengkap dan enak apabila dimakan bersama nasi putih, telur masin dan sayur atau ulam.

Set makanan itu merupakan antara pilihan makanan paling laris yang boleh didapati di warung Asam Pedas Kak Fyda, Kampung Sagil Parit 2, Tangkak, Johor.

Selain ikan jenahak, warung tersebut turut menawarkan asam pedas ikan pari, merah, mayung, sembilang, parang, kembung dan cencaru.

Menurut pemilik kedai, Hafidah Kamarodin, 35, aneka ikan segar yang dimasak di gerainya diambil dari Kampung Parit Jawa, Muar.

“Ayah saya merupakan seorang nelayan laut di sekitar Parit Jawa.

“Di situlah, saya mendapat bekalan ikan laut segar untuk menampung permintaan pelanggan.

“Kesegaran ikan adalah keutamaan saya kerana ia merupakan penyumbang terbesar kepada keenakan asam pedas kami.

“Oleh itu, kami akan membawa ikan segar dari Parit Jawa ke sini (Sagil, Tangkak) setiap dua kali sehari,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, inspirasi untuk membuka warung tersebut bermula pada 2019 setelah perniagaan ‘masakan dari rumah’ yang diusahakan sejak 2015 mendapat sambutan.

Sokongan daripada keluarga dan sahabat membuatkan Hafidah yakin untuk membuka warung yang menyediakan juadah dalam skala lebih besar.

Sejak itu, Hafidah dan suami, Arifudin Wagiman, 43, membuka warung di hadapan rumah mereka dengan mengetengahkan resepi ibunya sendiri.

Selain asam pedas, warung tersebut turut menyediakan masakan kampung seperti ayam goreng berempah, ikan masin pekasam dan aneka sayur-sayuran.

Lebih unik, pelanggan juga boleh mencuba juadah berasaskan siput sedut dan belangkas yang turut mendapat permintaan tinggi di warungnya.

HAFIDAH (tiga dari kanan) bergambar bersama tenaga kerja di warung Asam Pedas Kak Fyda.

“Kebiasaannya, kami akan masak siput sedut dan belangkas dengan gulai masak lemak cili api.

“Tetapi, pelanggan boleh buat permintaan awal sekiranya mahu dimasak sambal atau asam pedas.

“Disebabkan belangkas adalah makanan bermusim, saya sarankan pelanggan menghubungi kami dahulu untuk tahu tentang stok makanan ini sebelum datang,” ujarnya.

Bagi seleksi minuman pula, para pe­langgan di gerai tersebut gemar memesan air soda herbs, strawberi herb serta asam boi.

Untuk pencuci mulut pula, warung itu menyediakan tapai pulut, tapai ubi, pulut mangga serta kudapan seperti kuih-muih tradisional.

SUMBER: KOSMO! ONLINE

03 Mac 2023

SUKANEKA BATU 19 CERIA UKHUWAH PUPUK SEMANGAT KERJASAMA

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani (duduk 3 dari kanan) bergambar bersama Pengarah program, Mazeni Keling (duduk 3 dari kiri) serta jawatankuasa program selepas merasmikan Sukaneka Batu 19 Ceria Berukhuwah 2023 anjuran penduduk Kampung Melayu Batu 19 Sengkang, Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Hampir 100 orang penduduk pelbagai peringkat umur menyertai program Sukaneka Batu 19 Ceria Berukhuwah 2023 yang julung-julung kali diadakan, baru-baru ini.

Pengarah program, Mazeni Keling berkata program itu bertujuan menghimpunkan warga Kampung Melayu Batu 19, Sengkang Bukit Gambir sama ada yang berada di kampung mahupun di luar menyertai program yang dirancang.

Katanya, walaupun baru pertama kali dianjurkan namun ia mendapat sambutan positif penduduk apabila mereka turut menyertai pertandingan dalam sukaneka permainan tradisional yang diadakan termasuk baling tin, boling kelapa dan tarik tali.

Menurutnya, mereka sama-sama bergotong-royong membuat persiapan dari mula hingga selesai program dalam suasana harmoni.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani ketika merasmikan program itu berkata penganjuran program itu dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk di samping mengeratkan ukhuwah yang sedia terjalin. -INFOLEDANG

27 Februari 2023

SAWAH RING FC JUARA BOLA SEPAK 7 SEBELAH PIALA MUKIM GRISEK

Pasukan Sawah Ring FC (jersi putih) menjuarai Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Mukim Grisek 2023 menewaskan pasukan Sengkang FC (jersi hijau) yang turut disertai 16 pasukan lain berlangsung di padang SK Sawah Ring, Tangkak, Johor, baru-baru ini. Penghulu Mukim Grisek, Mohd Nor Mohajin (belakang, 8 dari kanan) menyampaikan hadiah kepada para pemenang.-INFOLEDANG

13 Februari 2023

PASUKAN RAGBI TAHUN 6 SK BUKIT GAMBIR DUDUKI TEMPAT KETIGA

 PASUKAN ragbi Tahun 6 SK Bukit Gambir, Tangkak mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Ragbi MSSJ-BP 10’S 2023 yang disertai 24 pasukan seluruh negeri Johor berlangsung di SMK Tinggi Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.-INFOLEDANG

25 Januari 2023

120 AHLI KELUARGA HAJI ABU BAKAR HAJAH SAPIAH BERKUMPUL

Sebahagian 120 orang  ahli keluarga yang menghadiri Hari Keluarga Haji Abu Bakar Hajah Sapiah 2023 mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama sepuluh orang anak pasangan itu di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Seramai 120 ahli keluarga Allahyarham Haji Abu Bakar Abd Hamid dan Allahyarhamah Hajah Sapiah Salim berkumpul dalam sambutan Hari Keluarga Haji Abu Bakar Hajah Sapiah 2023 diadakan di kediaman anak kedua pasangan itu Mohd Janis Abu Bakar, 66 di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Program hari keluarga kali pertama itu diadakan sempena cuti Tahun Baru Cina. Pasangan itu mempunyai 15 orang anak tetapi yang masih hidup 10 orang terdiri enam lelaki dan empat perempuan yang menetapdi Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pelbagai acara diadakan termasuk tahlil, sukaneka dan jamuan. Mereka menikmati masakan Jawa iaitu nasi ambeng dan ayam engkong. Program itu amat meriah dengan kehadiran tiga generasi iaitu anak, cucu dan cicit. -INFOLEDANG

16 September 2022

FESTIVAL AMAZING TANGKAK 2022 TARIK PENGUNJUNG SERTAI PELBAGAI AKTIVITI

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar (kanan) melawat reruai Galeri Sejarah Tangkak sempena Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Penganjuran Festival Amazing Tangkak 2022 yang penuh dengan pelbagai pengisian bermanfaat dapat menarik kehadiran orang ramai ke daerah itu sekali gus memperkenalkan Tangkak sebagai daerah pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata festival anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu berjaya menarik orang ramai berkunjung ke Dataran Ledang bagi menyaksikan pelbagai program yang dianjurkan.

Katanya, sebelum ini masyarakat tidak dapat menyertai aktiviti seumpama itu akibat kekangan pandemik Covid-19 tetapi kini mereka gembira kerana dapat membawa keluarga bersantai sambil menyaksikan atau menyertai aktivit yang dianjurkan.

“Festival Amazing Tangkak 2022 ini satu program yang baik untuk masyarakat Tangkak dan sekitarnya malah ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga tempatan yang menyertai festival ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar (tengah) sambil disaksikan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezlan Farid Mohd Said (kiri) menerima cenderahati berupa buku-buku terbitan Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak ketika melawat reruai Tinta Karya sempena Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor

Hadir sama Yang Dipertua MDT, Ezlan Farid Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani dan Penyelaras Khas DUN Tangkak, Datuk Ir Hamim Samuri.

Raven berkata MDT telah mengenalpasti beberapa tempat menarik untuk diketengahkan menjadi produk pelancongan daerah Tangkak.-INFOLEDANG