PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2008

PEMIMPIN PERLU JELAS AKAR UMBI

Pemimpin perlu jelas akar umbi

MUAR 17 Mei - Pemimpin-pemimpin UMNO Johor di peringkat bahagian perlu turun ke cawangan dan akar umbi untuk memberikan penjelasan tentang hala tuju parti supaya tidak timbul masalah pada mesyuarat cawangan yang akan bermula Julai depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pendekatan pemimpin dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi perlu dilaksanakan segera kerana Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah berlalu hampir 70 hari.

Katanya, dalam tempoh 100 hari selepas pilihan raya umum, pemimpin-pemimpin UMNO perlu turun ke akar umbi atau mengadakan mesyuarat bagi mengulas kekalahan teruk yang dialami Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

"Saya percaya sekiranya masih ada pemimpin yang tidak turun ke akar umbi, akan ada perkara terkumpul yang akan dibangkitkan pada mesyuarat cawangan nanti.

"Perkara terkumpul ini termasuk rintihan, harapan yang tersimpan di peringkat akar umbi," katanya selepas merasmikan Surau Al-Fauzan dan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Taman Tanjung Gading, di sini hari ini.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor ditanya mengenai tindakan segelintir pemimpin di peringkat bahagian yang langsung tidak pernah turun padang atau mengadakan mesyuarat serta post mortem selepas pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, beliau sendiri selaku Ketua UMNO Bahagian Ledang telah turun padang sehingga ke peringkat peti undi bagi menemui ahli akar umbi bagi menerangkan situasi terkini politik negara ini.

Sumber: Utusan Malaysia Johor, 18 Mei 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: