PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2008

PENDUDUK BANGGA DAERAH DINAIKTARAF

Penduduk bangga daerah dinaiktaraf

LEDANG 29 Jun - Penduduk Ledang berasa bangga berikutan daerah itu dinaik taraf sebagai daerah penuh dan berharap agar pembangunan di kawasan itu dapat dimanfaatkan semua pihak.

Rata-rata penduduk yang ditemui selepas Tangkak diisytiharkan sebagai daerah baru Ledang oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail baru-baru ini, melahirkan rasa terharu dan gembira kerana akhirnya hasrat mereka untuk melihat sebuah pentadbiran baru yang lebih tertumpu dapat dilaksanakan.

Daerah kecil tersebut diisytiharkan sebagai daerah penuh yang kesembilan di Johor oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail di Dataran Ledang Tangkak, di sini yang dihadiri lebih 1,000 jemputan.

Seorang penduduk Ledang, Zulkarnain Sahat, 36, berkata, dia berbangga kerana akhirnya Tangkak yang terkenal sebagai pusat jualan kain dan Gunung Ledang itu diiktiraf sebagai sebuah daerah penuh yang ditadbir sendiri.

"Sudah pasti saya amat berbangga dengan pengisytiharan itu dan berharap supaya Ledang akan menjadi sebuah daerah yang maju dan dapat bersaing dengan daerah lain," katanya yang berasal dari Sungai Mati ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kerajaan negeri pada tahun lalu mengumumkan langkah untuk menaik taraf Tangkak menjadi sebuah daerah yang dikenali sebagai Daerah Ledang yang kini mempunyai sejumlah 132,778 penduduk.

Selain Tangkak, Kulai juga dinaik taraf menjadi daerah penuh dan dengan pengisytiharan kedua-dua daerah baru tersebut, Johor bakal mempunyai 10 buah daerah.

Lapan buah daerah sedia ada ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Bagi Kamarul Ariffin Kassim, 25, pula, dia begitu terharu sebaik sahaja Sultan Johor mengisytiharkan daerah itu kerana tidak menyangka tempat kelahirannya itu akan berkembang pesat selepas ini.

"Saya amat bertuah kerana menjadi salah seorang warga daerah Ledang dan kami berharap agar pembangunan di kawasan ini adapat diteruskan dan berkembang maju," katanya yang berasal dari Kampung Bukit Banjar, Tangkak di sini.

Penduduk Kampung Solok, Ramlah Ali, 50, pula berkata, dia berharap agar Ledang lebih maju dan menerima limpahan pembangunan yang meluas sebaik sahaja dinaik taraf sebagai daerah penuh.

Katanya yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di sini, sekiranya kawasan ini tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak sebelum ini, maka dia berharap pengiktirafan itu dapat memartabatkan nama daerah itu.

"Saya berharap supaya lebih banyak peluang pekerjaan disediakan oleh kerajaan negeri kepada penduduk daerah ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 30 JUN 2008

Tiada ulasan: