PENGUNJUNG SETIA

22 September 2008

MURID TAHUN DUA TERBUNUH

Murid tahun dua terbunuh

MUAR: Seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Sagil Kampung, dekat sini, terbunuh, manakala bapa dan saudaranya parah, apabila Proton Saga yang mereka naiki dirempuh Proton Wira dalam kejadian di persimpangan Parit Rabu di Bukit Gambir, di sini, tengah malam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Nur Fikri Paiman, lapan tahun, dari Kampung Melayu Raya, dekat sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) akibat kecederaan organ dalaman.

Bapa, Paiman Kijan, 54, kakitangan Klinik Kesihatan Sagil, dan sepupunya, Adam Misman, 19, pelajar kolej swasta, cedera parah di tangan dan kaki dan dimasukkan ke wad hospital yang sama, manakala ibu Nur Fikri, Rosnah Daso, 50, hanya cedera ringan.

Pemandu Proton Wira itu yang tidak dikenali turut cedera ringan di muka dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Abang mangsa, Fairuz, 26, berkata, kemalangan berlaku ketika bapanya dalam perjalanan ke bandar untuk menyertainya makan di sebuah gerai selepas beliau mengambil isterinya yang bekerja di sebuah kilang.

"Kami sudah berjanji untuk keluar makan sekeluarga selepas saya mengambil isteri dan sepatutnya, kira-kira jam 11.30 malam kami sudah berada di gerai makan tetapi apabila bapa tidak muncul, saya cuba menghubunginya telefonnya beberapa kali tetapi tiada jawapan menyebabkan saya mula bimbang.

"Saya hanya mengetahui kemalangan yang menimpa keluarga apabila dihubungi seorang rakan sebelum terus bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPSF, di sini, semalam.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan, beliau bersama isteri akan makan lewat malam bersama-sama di bandar dan disertai ibu bapanya dengan ditemani adik bongsu daripada enam beradik itu.

Beliau berkata, adiknya sentiasa mengikut ibu bapa keluar makan kerana masih bersekolah, manakala semua adik beradiknya yang lain sudah bekerja dan berkeluarga.

Fairuz tidak menyangka kemalangan itu menyebabkan adik bongsunya daripada enam beradik dan paling manja dengan anggota keluarga lain, meninggal dunia beberapa hari sebelum menyambut hari raya.

Beliau berkata, semua persiapan hari raya juga sudah disiapkan, malah pada tahun ini mereka sekeluarga akan memakai baju sedondon iaitu warna oren samar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: