LEDANG 24 Dis. - Taman Rekreasi Kesang, dekat
sini yang bersempadan dengan Sungai Rambai, Melaka dan dibina sejak
lebih sedekad lalu dengan kos lebih RM1 juta kini terbiar dan tidak
terurus sejak beberapa tahun lalu.
Kawasan tersebut yang suatu masa dahulu 'hidup' dengan pelbagai
aktiviti dan popular kerana menempatkan deretan kedai makan, gelanggang
futsal dan replika beca gergasi sekarang ini seakan-akan sudah 'mati'.
Lebih menyedihkan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah serta tandasnya tidak boleh digunakan kerana rosak.
Seorang peniaga, Kimbong Osman, 60, berkata, sejak lapan tahun
lalu dia menjadi peniaga tunggal gerai makanan di situ selepas 10
peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan masing-masing kerana
tidak mendapat sambutan.
"Dahulu kawasan ini meriah dan ceria dengan kehadiran ramai
pengunjung untuk beriadah pada petang hujung minggu dan cuti umum.
Banyak kedai diusahakan termasuk kemudahan untuk karaoke.
"Namun, situasi itu hanya bertahan selama setahun dan lama kelamaan
pusat ini terbiar tidak terurus serta berlaku banyak kerosakan pada
kemudahan yang disediakan," katanya ketika ditemui di kedainya di taman
tersebut, di sini semalam.
Setiap hari dia bersama suami berniaga nasi lemak bermula pukul 2
petang hingga 12 malam dan kebanyakan yang singgah ke gerainya adalah
pelanggan tetap terdiri daripada penduduk berhampiran dan remaja yang
bermain futsal di taman rekreasi itu.
"Saya pun hairan tempat ini susah nak membangun jika dibandingkan
dengan medan selera di Sungai Rambai, Melaka yang terletak berhampiran
dengan taman rekreasi ini, memang jauh bezanya kerana ramai pengunjung,"
katanya sambil mengakui sejak adanya gelanggang futsal setahun lalu
bilangan pengunjung bertambah terutamanya golongan muda untuk beriadah
pada waktu petang.
Seorang pengunjung, Mohd. Afiq Jaafar, 21, berkata, dia ke taman rekreasi tersebut setiap petang untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya.
"Kawasan ini perlu dibangunkan kerana penduduk sekitar tidak
mempunyai tempat sesuai membawa anak-anak beriadah. Ada antara mereka
terpaksa ke Taman Rekreasi Tanjung Emas, Muar kerana tiada pilihan
lain," katanya.
Kakitangan swasta, Fauziah Rashid, 30, mengakui tidak
menyangka keadaan Taman Rekreasi Kesang semakin teruk terutama berlaku
banyak kerosakan terhadap kemudahan yang disediakan.
Justeru, dia berharap pihak yang berkaitan mencari jalan terbaik
memajukan semula tempat riadah itu supaya dapat menarik semula
kedatangan pengunjung.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2013
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan