PENGUNJUNG SETIA

15 Ogos 2014

MENANGANI PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT

 
Oleh Hai Rozzaman Jalal
    
Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di bawah Kementerian Kesihatan menjadi pendekatan terbaik menangani beban penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Kampung Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir cukup bertuah apabila dipilih antara tujuh KOSPEN perintis di daerah Ledang.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Mati, Dr Aznil Atiman berkata, tujuan penubuhan KOSPEN di kampung itu untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit tidak berjangkit.

Katanya, aktiviti berjalan 10,000 langkah dan berbasikal bukan saja boleh mewujudkan persekitaran sihat, tapi turut mengeratkan hubungan penduduk kampung yang menyertainya.

"Pejabat Kesihatan Daerah akan melatih orang kampung yang berminat menjadi sukarelawan KOSPEN. Mereka akan membantu mengukur tahap kesihatan tubuh badan penduduk.

"Latihan berkala turut diberi kepada sukarelawan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam membuat saringan kesihatan penduduk termasuk memeriksa tekanan darah serta kandungan gula," katanya ketika menghadiri Program Sukarelawan KOSPEN Parit Haji Idris, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Turut hadir Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Dr Sethil dan Pengerusi KOSPEN Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed.

Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, langkah awal menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana Malaysia antara negara yang mempunyai peratusan penghidap diabetes dan hipertensi tertinggi di rantau Asia.

"Setakat ini, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis. Jadi, Program KOSPEN ini amat baik untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Paling penting, usaha mengurangkan penyakit tidak berjangkit ini bukan saja memberi manfaat kepada individu tetapi turut mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang dalam jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi KOSPEN Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed berkata, pihaknya berbangga apabila dipilih menjadi perintis program KOSPEN bagi daerah Ledang.

"Lebih 200 penduduk kampung turun padang menyertai aktiviti program dan melakukan saringan kesihatan masing-masing," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 15 OGOS 2014

Tiada ulasan: