Rawatan ‘mampu milik'
Aurarich Beauty Spa semakin dikenali

SURAYA SULAIMAN di hadapan spa yang diusahakannya di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir Tangkak, Johor.
Muhamad Aimy Ahmad
utusan.johor@gmail.com
TANGKAK 21 Nov. -
Wanita dan kecantikan umpama irama dan lagu kerana tiada wanita yang
tidak mementingkan kecantikan kerana semua mahu tampil berseri-seri,
jelita dan sedap mata memandang.
Meskipun ada yang berpendapat, kecantikan bukan
terletak pada luaran semata-mata, tetapi personaliti juga harus menawan
untuk melengkapkan pakej kecantikan seseorang wanita.
Lantaran
itu, sebuah spa kecantikan dan kesihatan, Aurarich Beauty Spa di Bukit
Gambir, dekat sini bukan sahaja menawarkan rawatan dan perkhidmatan
kepada golongan hawa untuk kelihatan cantik, malah secara tidak langsung
mengekalkan kesihatan diri.
Diusahakan seorang ibu tunggal, Suraya Sulaiman,
37, lebih lima tahun lalu, spa yang bertapak di Kompleks Pasar Tani
Kekal Bukit Gambir itu juga menawarkan harga yang berpatutan sesuai
dengan lokasinya selepas diambil alih sejak 2013 daripada pemilik
terdahulu selepas beliau empat bulan bekerja di pusat kecantikan dan
kesihatan berkenaan.
“Ketika itu saya masih mengenali bidang ini
kerana tidak memiliki kemahiran berkaitan sehinggalah mengambil alih
perniagaan ini baharulah saya mula mendalami selok-belok perniagaan spa
dan pada masa sama mengikuti pelbagai kursus. Jika dihitung sudah lebih
10 kursus termasuk facial, make up, urutan Melayu dan pelbagai lagi yang
saya ambil secara jangka pendek di Kolej Komuniti Ledang, Muar dan Batu
Pahat,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Seperti peniaga lain, bisnes Suraya turut
berdepan pasang surut apabila terpaksa menutup salah sebuah cawangan
spanya setelah berdepan masalah rumah tangga pada tahun kedua
perniagaan.
“Namun, saya tidak mahu menoleh lagi dan
berbekalkan cabaran bergelar ibu tunggal serta memikirkan dua orang
anak, saya bertekad meneruskan perniagaan ini turut disokong ahli
keluarga. Alhamdulillah dalam usia yang masih boleh dikatakan setahun
jagung ini, saya sudah ada ramai pelanggan tetap yang akan singgah
mendapatkan rawatan setiap bulan,” katanya.
Semangat Suraya memang tidak pernah patah apabila
kini bakal membuka semula cawangan spa keduanya di Bandar Tangkak yang
diberi nama Auraseri Beauty Spa pada bulan depan.
Malah, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan anak
jati Kampung Sawah Ring itu juga terbukti apabila Kolej Komuniti sekitar
menghantar pelatih mereka menjalani sesi latihan industri selama empat
bulan di spanya.
Bercerita
mengenai rawatan yang disediakan, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai
khidmat seperti skrub badan, lulur, urutan badan, facial, resdung, mandi
bunga, bekam dan sauna serta pakej istimewa bagi bakal pengantin yang
merangkumi lima rawatan pada harga yang mampu milik.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA JOHOR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan