PENGUNJUNG SETIA

08 Jun 2019

250 AHLI KELUARGA ALLAHYARHAM PARMAN KASSAN BERHIMPUN BUAT KALI KE-7 SEMPENA AIDILFITRI

Sebahagian daripada 250 ahli keluarga Allahyarham Parman Kassan yang mengadakan perhimpunan Hari Keluarga kali ke tujuh di rumah Daros Parman di Kampung Bukit Banjar, Tangkak sempena Hari Raya Aidilfitri.
 
TANGKAK: Kehadiran hari lebaran Aidilfitri menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan sanak-saudara berikutan kebanyakan ahli keluarga yang tinggal di bandar akan pulang ke kampung bagi meraikannya.

Sehubungan itu, pewaris keturunan Allahyarham Parman Kassan mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengadakan Hari Keluarga Parman Kassan buat kali ketujuh.

Pengerusi perhimpunan, Kamsiah Daros berkata, perhimpunan kali ini merupakan pusingan yang kedua selepas kesemua enam orang anak Allahyarham Parman menjadi tuan rumah semenjak ia diadakan kali pertama pada tahun 2012.

Katanya, perhimpunan kali pertama berjaya menghimpunkan 185 orang ahli keluarga daripada lima generasi yang diadakan dalam suasana meriah.

"Perhimpunan kali ini lebih meriah apabila kami berjaya menghimpunkan 250 orang ahli keluarga hingga generasi ketujuh yang terdiri daripada keluarga enam orang anak Allahyarham datuk kami.

"Perhimpunan ini dilaksanakan mengikut giliran, untuk pusingan kedua ini, tiba giliran bapa saya, Daros Parman, 82, sebagai tuan rumah selepas kali pertama diadakan di sini pada tahun 2012," katanya yang mengadakan perhimpunan itu di Kampung Bukit Banjar, dekat sini.


Sebahagian daripada 250 ahli keluarga Allahyarham Parman Kassan yang mengadakan perhimpunan Hari Keluarga kali ke tujuh di rumah Daros Parman di Kampung Bukit Banjar, Tangkak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kamsiah berkata, usaha menghimpunkan keluarga besar ini bukan sesuatu yang mudah berikutan kebanyakannya tinggal di merata tempat tetapi dengan dibantu lima orang sepupu yang lain ia dapat dijayakan setiap tahun setiap kali bulan Syawal tiba.

Katanya, tujuan utama diadakan perhimpunan keluarga itu untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan di setiap peringkat generasi supaya mereka tahu susur galur keturunan mereka dan sentiasa berinteraksi antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, berkat usaha dan kerjasama semua ahli keluarga keturunan Allahyarham Parman Kassan, kami dapat mengumpulkan dana keluarga untuk membantu ahli keluarga yang sakit, ditimpa kesusahan selain memberikan anugerah kepada anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran," katanya. -INFOLEDANG

1 ulasan:

mastuki berkata...

Tahniah. moga Allah memberkati amal yg baik ini hingga ke Jannah