PENGUNJUNG SETIA

08 November 2019

92 SERTAI KURSUS AMALAN BAIK PENYEMBELIHAN TERNAKAN DAERAH TANGKAK

Pegawai Veterinar Daerah Tangkak, Mohd Nazri Omar (duduk 6 dari kanan) bergambar bersama peserta Kursus Amalan Baik Penyembelihan Ternakan di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak.

TANGKAK: Seramai 92 orang peserta menyertai Kursus Amalan Baik Penyembelihan Ternakan anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Tangkak bagi mendedahkan kepada mereka cara penyembelihan ternakan yang mengikut prosedur.

Pegawai Veterinar Daerah Tangkak, Mohd Nazri Omar berkata peserta diberikan penerangan secara teori oleh dua orang penceramah daripada Pejabat Agama Islam Daerah dan Jabatan Veterinar negeri.

Katanya, penerangan berkaitan kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak disampaikan oleh Ustaz Rosli Ahmad daripada Pejabat Agama Daerah Tangkak.

“Kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak diterangkan secara terperinci kepada peserta oleh penceramah supaya mereka faham cara yang betul dan daging ternakan yang disembelih halal dimakan.

“Bagaimanapun sijil pentauliahan hanya dikeluarkan kepada peserta yang mengikuti kursus penyembelihan dianjurkan Jabatan Agama Islam Johor dan perlu diperbaharui setiap dua tahun,” katanya pada program itu yang diadakan di Rumah Penyembelihan Mohd Janis di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, di sini.

Peserta Kursus Amalan Baik Penyembelihan Ternakan anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Tangkak sedang mengikuti penerangan yang diberikan.

Mohd Nazri berkata, ceramah amalan baik penyembelihan ternakan disampaikan Zamari Mohd Amin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor yang menerangkan aspek yang perlu diambil kira bermula dengan syarat-syarat pemilihan ternakan dan sijil kebenaran menyembelih.

Katanya, peserta juga mendapat ilmu penyembelihan secara teori termasuk cara melapah dan memotong daging selain pentingnya kesedaran tentang penyakit haiwan ternakan seperti penyakit kuku dan mulut.

Menurutnya, selepas mengikuti ceramah secara teori, peserta kursus turut menjalani latihan amali penyembelihan yang diadakan di Rumah Penyembelihan Swasta Mohd Janis.

“Pihak jabatan berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada kursus tersebut walaupun ada di antaranya sudah mendapat ilmu penyembelihan yang diwarisi daripada generasi terdahulu,” katanya. - INFOLEDANG : 07112019


Tiada ulasan: