PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2019

TAUTAN KASIH KELUARGA HAJI DAROS HAJAH ZAINAH LEBIH ERAT APABILA DAPAT BERHIMPUN


Generasi keturunan Haji Daros Hajah Zainah bergambar ramai sempena Program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah  dan Sambutan Aidilfitri di hadapan rumah pusaka di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.
 

TANGKAK: Memiliki anak yang ramai merupakan satu anugerah yang amat indah serta menjadikan sesebuah keluarga itu lebih ceria terutama apabila mereka dapat berkumpul beramai-ramai dalam suasana yang meriah.

Bagi pasangan Allahyarham Daros Abdullah dan Allahyarhamah Zainah Anwar yang dikurniakan 14 orang anak, tautan kasih dalam legasi keluarga itu bertambah erat apabila mereka dapat berhimpun bersama.

Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dalam keluarga besar ini, program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah diadakan mengambil sempena bulan Syawal.

Pengerusi Jawatankuasa program, Md Zin Daros, berkata tujuan utama himpunan itu diadakan untuk mengumpulkan semua ahli keluarga mereka daripada generasi pertama hingga kelima pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Acara sukaneka memeriahkan lagi himpunan keluarga keturunan Haji Daros Hajah Zainah.

Katanya, daripada 14 adik-beradiknya, kini cuma sembilan orang yang masih hidup dan tinggal di merata tempat berikutan kerjaya dan komitmen masing-masing.

“Arwah ibu bapa kami dikurniakan 14 orang anak iaitu enam lelaki dan lapan perempuan. Kami mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyusun salasilah keluarga besar ini untuk memudahkan generasi kedua dan ke bawah mengenali antara satu sama lain.

“Sekiranya arwah masih hidup, sudah tentu mereka paling gembira apabila dapat melihat perjumpaan yang menghimpunkan sembilan anak, sepuluh menantu, 42 orang cucu, 38 cicit dan 3 piut dalam suasana Aidilfitri yang meriah,” katanya pada majlis Semarak Kasih Sesuci Aidilfitri yang diadakan di rumah pusaka keluarganya di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, baru-baru ini.

Ahli keluarga yang hadir menikmati jamuan yang disediakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Md Zin berkata, program yang julung-julung kali dianjurkan itu amat bermakna bagi keluarga mereka kerana masing-masing dapat pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama-sama di rumah pusaka milik keluarganya.

Katanya, selain dapat bersua muka dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, himpunan keluarga itu lebih meriah apabila diadakan acara sampingan seperti sukaneka, cabutan bertuah dan bertukar-tukar cenderahati.

 Himpunan Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah akan dijadikan acara tahunan.

“Himpunan pertama kali ini memberi kenangan terindah buat setiap keluarga yang hadir dan kami merancang untuk menjadikan ia sebagai himpunan tahunan setiap ketibaan Aidilfitri.

“Selain dapat bertemu dan mengenali antara ahli keluarga, kami juga dapat pulang ke kampung halaman dan bercuti di rumah pusaka yang menjadi tempat kami dibesarkan,” katanya. -INFOLEDANG

13 Jun 2019

ججق كاسيه عيدالفطري : 700 واريث درڤد 5 ڬينراسي ڤرجن برهيمڤون

ججق كاسيه عيدالفطري : 700 واريث درڤد 5 ڬينراسي ڤرجن برهيمڤون

لبيه 700 اهلي كلوارڬ ڤرجن مليبتكن ليم ڬينراسي براوسيا دري ستاهون هيڠڬ همڤير 90 تاهون يڠ داتڠ دري سلو
لبيه 700 اهلي كلوارڬ ڤرجن مليبتكن ليم ڬينراسي براوسيا دري ستاهون هيڠڬ همڤير 90 تاهون يڠ داتڠ دري سلوروه نڬارا بركومڤول دكامڤوڠ ڤاريت راج، ڬريسيق دكت سيني بارو٢ اين.

تڠكق 13 جون – سمبوتن هاري راي عيدالفطري منجادي كسمڤتن تربا؞يق اونتوق كلوارڬ اﷲ يرحم ڤرجن شكور دان رابيقون كرومو اونتوق بركومڤول دكامڤوڠ ڤاريت راج، ڬريسيق دكت سيني بارو٢ اين.

لبيه 700 اهلي كلوارڬ ڤرجن مليبتكن ليم ڬينراسي براوسيا دري ستاهون هيڠڬ همڤير 90 تاهون يڠ داتڠ دري سلوروه نڬارا بركومڤول دالم سواسان مرياه دان ڤنوه ككلوارڬا؞ن.

ڤروڬرم تاهونن ايت دأداكن دكديامن انق سولوڠ ڤاسڠن ترسبوت يا؞يت احوان، 85، دان ايستري، لستوم رابيقون، 78، دسمڤيڠ دأداكن باچا؞ن تهليل دان دعاء سلامت سرتا مجليس سواي كنل دالم كالڠن اهلي كلوارڬ.

منوروت ڤڠوروس ڤروڬرمڽ، زوزيزن احوان، 53، اكتيۏيتي ترسبوت منجادي ڤلتفوم اونتوق ڬينراسي بهارو دان لاما بركنلن سلا؞ين مڠرتكن صيلةالرحيم انتارا مريک كران ماسيڠ٢ تيڠڬل برجا؞وهن.

بلياو يڠ مروڤاكن چوچو درڤد ڬينراسي كدوا ڤرجن بركات، والاوڤون مريک برساودارا اد دالم كالڠن مريک تيدق  ڤرنه برتمو دان كسمڤتن سرتا ڤلواڠ ايت دڬوناكن سبا؞يق-با؞يقڽ اونتوق مراڤت سرتا ممولاكن هوبوڠن.

”ڤروڬرم سڤرتي اين سوده سمستيڽ داڤت مڠرتكن لاڬي ايكتن ڤرساودارا؞ن. اونيکڽ ڤد تاهون اين مجليس جوڬ دسرتا؞ي واريث درڤد سبله امق ساي يا؞يت اﷲ يرحمه رابيقون. توروت سرتا انق اﷲ يرحمه يڠ لا؞ين حاضير سڤرتي مرفوعه رابيقون، 85.

”اينيله كالي ڤرتام كامي مڠهيمڤونكن دوا واريث دالم ساتو مجليس يڠ ڤستيڽ امت مرياه دان توجوان مڠرتكن صيلةالرحيم كلوارڬ ترچاڤاي. دهارڤ سمواڽ برجومڤا لاڬي ڤد تاهون دڤن،“ كاتاڽ.

08 Jun 2019

250 AHLI KELUARGA ALLAHYARHAM PARMAN KASSAN BERHIMPUN BUAT KALI KE-7 SEMPENA AIDILFITRI

Sebahagian daripada 250 ahli keluarga Allahyarham Parman Kassan yang mengadakan perhimpunan Hari Keluarga kali ke tujuh di rumah Daros Parman di Kampung Bukit Banjar, Tangkak sempena Hari Raya Aidilfitri.
 
TANGKAK: Kehadiran hari lebaran Aidilfitri menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan sanak-saudara berikutan kebanyakan ahli keluarga yang tinggal di bandar akan pulang ke kampung bagi meraikannya.

Sehubungan itu, pewaris keturunan Allahyarham Parman Kassan mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengadakan Hari Keluarga Parman Kassan buat kali ketujuh.

Pengerusi perhimpunan, Kamsiah Daros berkata, perhimpunan kali ini merupakan pusingan yang kedua selepas kesemua enam orang anak Allahyarham Parman menjadi tuan rumah semenjak ia diadakan kali pertama pada tahun 2012.

Katanya, perhimpunan kali pertama berjaya menghimpunkan 185 orang ahli keluarga daripada lima generasi yang diadakan dalam suasana meriah.

"Perhimpunan kali ini lebih meriah apabila kami berjaya menghimpunkan 250 orang ahli keluarga hingga generasi ketujuh yang terdiri daripada keluarga enam orang anak Allahyarham datuk kami.

"Perhimpunan ini dilaksanakan mengikut giliran, untuk pusingan kedua ini, tiba giliran bapa saya, Daros Parman, 82, sebagai tuan rumah selepas kali pertama diadakan di sini pada tahun 2012," katanya yang mengadakan perhimpunan itu di Kampung Bukit Banjar, dekat sini.


Sebahagian daripada 250 ahli keluarga Allahyarham Parman Kassan yang mengadakan perhimpunan Hari Keluarga kali ke tujuh di rumah Daros Parman di Kampung Bukit Banjar, Tangkak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kamsiah berkata, usaha menghimpunkan keluarga besar ini bukan sesuatu yang mudah berikutan kebanyakannya tinggal di merata tempat tetapi dengan dibantu lima orang sepupu yang lain ia dapat dijayakan setiap tahun setiap kali bulan Syawal tiba.

Katanya, tujuan utama diadakan perhimpunan keluarga itu untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan di setiap peringkat generasi supaya mereka tahu susur galur keturunan mereka dan sentiasa berinteraksi antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, berkat usaha dan kerjasama semua ahli keluarga keturunan Allahyarham Parman Kassan, kami dapat mengumpulkan dana keluarga untuk membantu ahli keluarga yang sakit, ditimpa kesusahan selain memberikan anugerah kepada anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran," katanya. -INFOLEDANG

01 Jun 2019

MENYANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI AIR TAWAS MENJELANG SYAWAL

Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor, Mohd Isnin Tawaf (depan, 4 dari kiri) dan Tok Batin Mengek Achai (duduk, 5 dari kiri) bergambar bersama ahli NGO dan penduduk pada Program Silaturahim Menjelang Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
 
TANGKAK: Seramai 30 keluarga di perkampungan Orang Asli Air Tawas, di sini gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian sempena Program Silaturahim Menjelang Syawal anjuran Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ).

Pengerusi KBKJ, Mohd Isnin Tawaf berkata kunjungan ke perkampungan itu bertujuan untuk memberikan mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam bersama mereka menerusi aktiviti yang diadakan.

Katanya, pihak KBKJ rasa terpanggil untuk mengisi jurang yang tidak sepatutnya dipisahkan berikutan perbezaan agama dan kaum termasuk tinggal di pedalaman.

Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor, Mohd Isnin Tawaf (kiri) menyerahkan buku sumbangan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor kepada Tok Batin Mengek Achai pada Program Silaturahim Menjelang Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
 
Menurutnya, KBKJ bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu bersama-sama menyantuni mereka dan memberikan sumbangan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Kita mungkin tidak mampu memberi kebahagiaan kepada keseluruhan hidup mereka sepanjang masa. Tetapi kita cuma mampu memberi mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam saja dalam hidup mereka.

“Selain penyampaian sumbangan kepada setiap keluarga berupa beras, kuih, air mineral dan pakaian, setiap kanak-kanak turut menerima duit raya sumbangan penulis Zety Natalia Elias,” katanya ditemui pada Program Silaturahim Menjelang Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
Kanak-kanak menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Zety Natalia Elias di Balai Raya Kampung Orang asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.

Hadir sama, Tok Batin Mengek Achai, Ikon Membaca KBKJ, Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) dan Pengerusi Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tangkak, Hussein Mujip.
Ikon Membaca Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ), Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga masyarakat Orang Asli Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang, Tangkak.
 

Mohd Isnin berkata, dalam Program Buku Bersama Komuniti pula diadakan aktiviti untuk kanak-kanak iaitu membaca buku dan bercerita serta mewarna bersama Hasren Ismail yang lebih dikenali sebagai Uneh Raja Pensil Warna.

Katanya, bagi golongan dewasa pula diadakan ceramah motivasi oleh Pustakawan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Johor, Dr Siti Nisrin Mohd Anis yang juga ahli Persatuan Biblioterapi Malaysia (Perbima Selatan).
Raja Pensil Warna, Uneh @ Hasren Hj Ismail mengadakan aktiviti mewarna bersama anak-anak masyarakat Orang Asli Kampung Air Tawas, Tangkak.

"KBKJ sentiasa menyahut seruan kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan dengan mengadakan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat selaras dengan kempen Dekad Membaca 2020.

“Dengan membaca buku atau bahan bacaan yang bermanfaat kita boleh menakluki dunia kerana melalui pembacaan kita dapat menimba banyak pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Mengek berterima kasih kepada KBKJ dan NGO yang hadir di atas pemberian sumbangan barangan keperluan dapur dan pakaian kepada 30 keluarga termasuk tiga keluarga Islam yang tinggal di perkampungan itu.
Tok Batin Mengek Achai (kanan) mewakili keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak menerima sumbangan sempena Program Silaturahim Menjelang Syawal.
 
Katanya, pelbagai aktiviti yang diadakan sempena program itu diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di kampung itu dan jalinan hubungan itu akan berterusan walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman. -INFOLEDANG

31 Mei 2019

ANGGOTA IPD TANGKAK LAKSANA KHIDMAT SOSIAL SEMPENA RAMADAN


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosli Abu Bakar disaksikan Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar (tengah) pada program khidmat sosial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di Kampung Hang Tuah, Sagil.
 
TANGKAK: Rasa gembira jelas tergambar pada wajah seorang ketua keluarga apabila rumah kediamannya yang uzur dibaiki lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Rosli Abu Bakar, 59, yang tinggal bersama keluarga di Kampung Hang Tuah, Sagil melahirkan rasa syukur apabila atap kediamannya yang uzur ditukar baru sempena program khidmat sosial anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, baru-baru ini.

Rosli berkata, beliau yang tinggal bersama enam orang anak dan menjaga ibunya yang sudah uzur mengucapkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada anggota polis IPD Tangkak yang bergotong-royong bersama penduduk kampung mengganti zink rumahnya yang usang.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri dan anggotanya yang memberikan sumbangan mengganti zink, barang dapur dan keperluan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
 
Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bersama penduduk kampung bergotong-royong mengganti zink rumah Rosli Abu Bakar di Kampung Hang Tuah, Sagil dekat Tangkak.

Sementara itu, Mohad Idris berkata inisiatif mengadakan program khidmat sosial bagi membantu individu atau keluarga kurang berkemampuan itu merupakan aktiviti tahunan IPD Tangkak sempena bulan Ramadan.

Katanya, warga IPD Tangkak secara sukarela memberikan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan bagi meringankan beban keluarga yang dipilih.

“Diharapkan usaha ini menjadi landasan warga IPD Tangkak mendekati masyarakat kampung malah saya sentiasa menggalakkan pegawai dan semua anggota dapat membina hubungan lebih erat dan mesra dengan masyarakat.

“Bila masyarakat selesa dan mesra dengan kami, penyaluran maklumat secara terus, telus dan tepat dapat diperoleh bagi mempercepatkan risikan maklumat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dipetik dari laman Facebook Polis Daerah Tangkak.

Hadir sama dalam program itu Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis, Idris Abd Rahman; Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Tangkak, Dalilah Basiron dan Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri (duduk lima kanan) bersama Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar (duduk lima kiri) bergambar ramai selepas  program khidmat sosial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di Kampung Hang Tuah, Sagil.

Norazman pula berkata, melalui program bersama masyarakat yang dilaksanakan pihak IPD Tangkak itu dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk kampung dengan pihak polis.

Katanya, moto ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dapat membina hubungan dua hala dalam menyalurkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku agar langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Kami berterima kasih kepada pihak IPD Tangkak yang bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong membaiki kediaman keluarga Rosli, memberikan sumbangan keperluan dapur dan berbuka puasa bersama,” katanya. -INFOLEDANG

18 Mei 2019

AGIH BUBUR KACANG PERCUMA UNTUK JUADAH BERBUKA PUASA

Arman Manan (kanan) mengagihkan bubur kacang kepada pengunjung yang singgah membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak.


TANGKAK: Kebiasaannya setiap kali tiba bulan Ramadan, pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai menjadi satu aktiviti badan bukan kerajaan (NGO), masjid atau surau sebagai juadah berbuka puasa.

Tetapi berlainan pula bagi peniaga Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, di sini apabila bubur kacang hijau menjadi menu agihan juadah kepada orang ramai dan pengunjung bazar tersebut.
Bubur kacang yang sudah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak.

Penyelaras program, Arman Manan, berkata idea untuk memasak bubur kacang bagi menggantikan bubur lambuk sebagaimana kebiasaannya timbul ketika bersembang bersama rakan-rakan kumpulan WhatsApp Warung Wak Endan (WWE).

Katanya, cadangan membuat bubur kacang untuk diagihkan kepada orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan di kampung itu mendapat sokongan rakan-rakan yang lain.

“Kami ingin membuat sedikit kelainan dengan membuat bubur kacang hijau bukan bubur lambuk seperti kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan jawatankuasa masjid atau surau untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Kerja menyediakan bubur kacang dilakukan secara gotong royong antara peniaga bazar dan ahli kumpulan WWE daripada memasak hinggalah mengagihkan kepada penerima,” katanya ketika mengagihkan bubur kacang kepada pengunjung di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, di sini.
Pengunjung yang membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan diberikan bubur kacang percuma.

 
Arman berkata, sebanyak 150 bekas bubur kacang berjaya diagihkan kepada orang ramai yang singgah membeli juadah berbuka puasa di bazar itu.

Katanya, sempena bulan Ramadan peniaga dan ahli kumpulan WWE mengumpulkan sumbangan dalam kalangan mereka bagi menjayakan program agihan bubur kacang kepada orang ramai.

“Bazar Ramadan yang ditempatkan di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan ini menjual pelbagai juadah berbuka puasa antaranya kuih-muih, nasi ambeng, ikan bakar, lemang dan pelbagai jenis air minuman.

“Alhamdulillah, selain memudahkan penduduk kampung ini mendapatkan juadah berbuka puasa, ia juga menjadi singgahan orang ramai yang melalui jalan Sagil - Bukit Gambir dan kampung sekitarnya,” katanya. -INFOLEDANG

26 Mac 2019

TANAMAN LAYU AKIBAT CUACA PANAS

MOHD Janis menunjukkan tanaman sawi di kebunnya yang tidak menjadi berikutan cuaca panas yang berpanjangan.

TANGKAK: Keadaan cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan pekebun sayur mengalami kerugian mencecah belasan ribu ringgit akibat pelbagai tanaman rosak kerana layu.

Seorang pekebun, Mohd Janis Abu Bakar, 62, berkata, sejak dua bulan lalu, pelbagai tanaman sayuran diusahakan di kawasan seluas 3.6 hektar miliknya di sekitar Parit Kassan di sini, tidak menjadi.

Katanya, ia dipercayai akibat kesan panas berpanjangan dan hujan yang kurang sejak awal Januari lalu.

“Sayur seperti sawi antara yang terjejas teruk dengan daunnya yang kekuningan serta kering, selain tanaman seperti peria katak, keladi, bendi, bayam, lada, kacang panjang selain pokok jagung,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan seperti meletakkan siraman air bagi memastikan tanaman segar dengan menggunakan pam dari sumber air di Sungai Sagil berhampiran, namun gagal.

“Bukan kebun sayur sahaja rosak akibat kemarau namun pekebun memiliki kebun buah berkeluasan ratusan ekar terkesan kerana melawas (kurang penghasilan) selain hasil pengeluaran tidak berkualiti,” katanya.

Menurutnya, tiga tan tanaman sawinya musnah sejak musim kering, sedangkan sebelum ini ia mampu dipasarkan dengan harga borong RM2 setiap kilogram.

SUMBER: HARIAN METRO, RABU, 26 MAC 2019

05 Januari 2019

SANTAI PUISI TANGKAK 2019: BACA PUISI ANTOLOGI SEGALA KASIH KARYA MOHAMED MN

 
Mohd Noh Mohamed (duduk 4 dari kanan) bersama ahli Karyawan Ledang dan pembaca puisi bergambar ramai selepas program Santai Puisi Tangkak 2019 yang diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Oleh Khairun Haneffa

TANGKAK (5 FEBRUARI): Karyawan Ledang dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Tangkak mengadakan program Santai Puisi Tangkak 2019 yang menampilkan beberapa penulis dan peminat puisi membacakan puisi karya Mohamed MN.

Puisi yang mengandungi pelbagai tema itu termuat dalam antologi puisi Segala Kasih, antologi kedua selepas Penunggu Waktu yang dihasilkan Mohamed MN atau nama sebenarnya Mohd Noh Mohamed.

Mohd Noh, 58, menulis sajak sejak di bangku sekolah menengah hingga kini dan sudah menghasilkan beratus-ratus buah sajak yang merangkumi kisah kehidupannya dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Mohd Noh Mohamed membacakan dua buah puisinya dari antologi puisi Segala Kasih pada program Santai Puisi Tangkak 2019 di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Antologi puisi Segala Kasih merupakan himpunan 100 buah sajak tulisan beliau antara tahun 2015 - 2018, semuanya diolah berkisar kepada apa yang berlaku dalam kehidupan sehariannya.

Selain itu, sajak yang digarap turut mencatatkan sejarah sesebuah tempat di kawasan kelahirannya Tangkak berdasarkan pengamatan beliau seperti Chohong Club-1930, Sungai Chohong, Gunung Ledang, Tok Akal dan Di Sini Kasihku Tertumpah.

Mohd Noh turut menukilkan kisah kasih sayang terhadap ayah, ibu, isteri dan anak-anak dalam sajak Segala Kasih, Di Pusara Ayah, Sajak Kepada Isteri, Puisi Untukmu, Permata dan Selagi Ada Nyawa.

Dalam program Santai Puisi Tangkak 2019, Mohd Noh membacakan dua buah puisinya iaitu Segala Kasih dan Chohong Club-1930. Segala Kasih ditulis untuk mengenang kasih sayang terhadap ibunya walaupun telah lama meninggal dunia malah ketabahan dan kepayahan dalam mengharungi kehidupan membesarkan anak-anak menjadi panduan hidup.

Puisi Chohong Club-1930 memaparkan penceritaan mengenai sebuah rumah kayu berdinding papan dan beratap rumbia yang dijadikan wadah penyatuan bangsa Melayu membangkitkan perpaduan menentang penjajah untuk menuntut kemerdekaan.

Tapak Chohong Club kini telah dibangunkan menjadi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak dan ketika itu pejuang bangsa seperti Ahmad Arshad, Ali Raya, Othman Maon, Raja Ahmad dan Meon Abdullah menyatukan orang-orang Melayu di situ demi sebuah kemerdekaan.


Santai Puisi Tangkak turut menampilkan beberapa penulis dan peminat sastera yang membacakan puisi karya Mohamed MN dari antologi Segala Kasih antaranya Ashraf Tumin (Terima Kasih Malam), Juwita ZABP (Sungai Chohong), A Karim Latif (Kampungku), Maisarah Ahmad (Persahabatan), Athira Nia (Biarlah Kita Di Sini) dan Merbau Berdarah (Sebuah Kemerdekaan).

Turut membacakan puisi Datuk Ghafar Nin (Pemimpin Bangsaku), Sueb Norhashim (Ketika Jatuh), Nor’aini A Latif (Di Hujung Pusaramu), Armin Azhari Saleh (Mengenangmu), Lutfi Ismail (Ku Pohon Kepada Tuhan), Zulkhipley Salleh (Tongkat Warrant) serta dua wakil Kelab Bahasa Dan Budaya Melayu (KEBAYU) UiTM Shah Alam iaitu Nor Hidayah (Kembali Mengenangmu) dan Nurul Afiqah (Aku Hanya Seorang Hamba).

Puisi yang dibaca telah diulas oleh Syed Indra Syed Omar (Siso Kopratasa) dari segi isi, tema, dan cara penyampaian.
Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) membuat ulasan setiap puisi yang dibacakan pada program Santai Puisi Tangkak 2019 di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Yang turut hadir, Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf, Pembantu Pustakawan PPAJ Tangkak, Asmaizura Hassan dan Pengerusi Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Ali Md Hanafiah.

Turut memeriahkan program itu ialah bacaan puisi dua orang penulis dari Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS) Rosman Md Shah dan Wan Eidalafua yang masing-masing membacakan puisi bertajuk Lima Sembilan dan Indahnya Lautan Cinta karya mereka sendiri.

Sempena majlis itu turut diadakan penyampaian Anugerah Peminjam Terbanyak (Abdullah Kasil), Anugerah Peminjam Aktif (Mandy See Siew Eng) dan Anugerah Pengunjung Setia (Cikgu Ganesan) daripada PPAJ Cawangan Tangkak.
Menurut Mohd Isnin, setakat ini Karyawan Ledang telah menerbitkan empat buah buku iaitu dua antologi puisi Penunggu Waktu dan Segala Kasih karya Mohamed MN, antologi puisi Mengukir Laut karya ZA Mahsuri dan sebuah Travelog ‘Nginep’ catatan dan puisi Selami Resam Orang Jawa Sengkang bersama Duta Jauhar 4.0 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. -INFOLEDANG

01 Januari 2019

MURID LEBIH KREATIF, BERSEMANGAT TANPA PEPERIKSAAN - MASZLEE

Maszlee (kanan) beramah mesra bersama murid-murid ketika menghadiri lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak. - NSTP/Adi Safri

Oleh Mohamed Farid Noh

TANGKAK: Pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) bermula tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada murid lebih kreatif dan bersemangat ke sekolah.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu juga diharap mampu mentransformasikan pendidikan sekolah rendah negara ini yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan.
“Kita berharap guru Tahap Satu lebih kreatif dalam mencungkil potensi serta kebolehan murid di samping memastikan mereka sentiasa bersemangat dan seronok datang ke sekolah.
“Penumpuan serta fokus terhadap aspek pembelajaran menyeronokkan di dalam kelas juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan murid mendapat manfaat optimum, sekali gus mampu mengembangkan potensi setiap murid yang berlainan.
“Kementerian percaya murid Tahap Satu akan mendapat manfaat dengan menjadi murid lebih kreatif, bijak dan bersemangat dalam pembelajaran mereka selain akan lebih seronok ke sekolah,” katanya selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif.
Tahun lalu, Maszlee mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu akan dimansuhkan bermula tahun hadapan dan digantikan dengan sistem pentaksiran lebih objektif.
Sementara itu, Maszlee berkata selain fokus terhadap pemansuhan peperiksaan Tahap Satu kementerian juga akan menumpukan kepada kaedah mengurangkan bebanan tugas guru tahun ini.
“Saya akan mengumumkan berita baik kepada guru dalam mengurangkan bebanan tugas mereka perutusan Tahun Baru pada 14 Januari nanti.
“Diharap inisiatif yang bakal diumumkan nanti bakal memberi kelegaan di samping meningkatkan semangat guru dalam mendidik anak bangsa,” katanya.
Mengulas isu kurikulum pelajaran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021, Maszlee berkata formula terbaik sedang dikaji bagi memantap kurikulum pendidikan negara.
“Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik sedang merangka dan mengkaji formula terbaik dari dapatan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.
“Kementerian akan umumkan hasil serta formula berkenaan apabila ia selesai bagi mendapatkan maklum balas semua pihak, ” katanya.