PENGUNJUNG SETIA

02 September 2009

120 SERTAI KEMBARA JALUR GEMILANG

PESERTA kembara bergambar kenangan di depan Balai Polis Bukit Kepong, Muar, sebelum bertolak ke Ledang, kelmarin.

BUKIT GAMBIR: Bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan ke-52, Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, di sini menganjurkan Program Kembara Bermotosikal Jalur Gemilang 2009, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dan Panitia Sejarah SMK itu membabitkan 120 pelajar Tingkatan Empat hingga Enam.

Guru Penyelaras program itu, Roslan Paimin, berkata selain menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan, program itu bertujuan meningkatkan lagi semangat patriotik di kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah itu.

Beliau berkata, melalui program ini juga dapat melahirkan generasi sihat dengan beriadah sekali gus menjana pembangunan fizikal dan minda.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 02 SEPTEMBER 2009

01 September 2009

KIBAR JALUR GEMILANG DEMI NEGARA

Oleh Jamaludin Husin

PENDUDUK bergambar bersama Asojan (tengah) selepas majlis penyampaian Jalur Gemilang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Gambir.

Rakyat perlu kibar bendera sebagai tanda kecintaan kemerdekaan pertiwi

LEDANG: Rakyat perlu menunjukkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang, sama ada di premis kediaman atau perniagaan, walaupun sambutan kemerdekaan negara kali ini diadakan secara sederhana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan, berkata langkah mengibarkan bendera bukan saja bertujuan menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah itu, tetapi turut mengukuhkan lagi semangat kecintaan kepada negara.

“Walaupun sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini bersamaan dengan Ramadan dan pada masa sama, negara pula diancam dengan wabak H1N1 dan berdasarkan kedua-dua faktor itu, kerajaan mengambil langkah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini secara sederhana.

“Kerajaan juga mengambil langkah berhati-hati dengan tidak menggalakkan rakyat menyertai perhimpunan secara besar-besaran bagi mengelak daripada dijangkiti wabak itu," katanya pada majlis penyampaian Jalur Gemilang DUN Gambir, di sini kelmarin.

Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Sains dan Inovasi negeri berkata, sempena Ramadan juga, rakyat terutama masyarakat Islam disaran menyertai majlis keagamaan yang dianjurkan di kawasan masing-masing.

Mengenai konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, beliau berharap konsep itu difahami oleh pemimpin masyarakat semua kaum di peringkat akar umbi.

“Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin masyarakat terutama pada peringkat akar umbi supaya prihatin terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia kepada komuniti penduduk dalam kawasan masing-masing," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 01 SEPTEMBER 2009

31 Ogos 2009

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-52 PERINGKAT DAERAH LEDANG

SEKITAR SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-52
PERINGKAT DAERAH LEDANG


LOKASI: DATARAN LEDANG, TANGKAK, LEDANG, JOHOR.
WAKIL MENTERI BESAR JOHOR: PENGERUSI JAWATANKUASA PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI JOHOR, YB ABD AZIZ KAPRAWI

Untuk melihat foto-foto sekitar sambutan tersebut, anda boleh layari:
IMA ZAM DESIGNER
atau klik pautan ini: FOTO 1 FOTO2 FOTO3 FOTO4
~menyediakan perkhidmatan fotografi dengan pakej yang menarik~


RUNTUHKAN TEMBOK KAUM


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok- tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata masa yang berlalu telah menyaksikan jambatan yang dibina oleh pejuang-pejuang terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang menurutnya cuba menangguk di air keruh.

Katanya golongan ini telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.

Apa yang penting, kata Najib, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.

"Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan," katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-52 yang disiarkan malam ini.

Najib turut berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

"Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda," katanya.

Najib berkata setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.

Menyingkap kembali sejarah selepas merdeka, Najib berkata dengan pengalaman sendiri begitu singkat dan berlatarbelakangkan pemberontakan komunis yang belum reda, kewujudan ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas dan ditambah dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak pada ketika itu telah meramalkan bahawa Malaysia ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu adalah meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.

Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, yakni dua generasi sahaja.

Menurut Perdana Menteri, formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, "bukannya perkara titik- bengik yang menyebabkan perpecahan". Najib berkata sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.

"Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya," katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya telah memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.

"Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara," katanya.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Hari Kebangsaan kali ke-52 yang jatuh esok disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

"Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua," katanya. - BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OGOS 2009

PERKUKUH PERPADUAN


DOA: Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaminkan doa solat Maghrib pada majlis berbuka puasa dan Majlis Kesyukuran Merdeka sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-52 di Masjid Negara, malam tadi. - Foto Bernama

Rakyat perlu runtuh tembok pemisah antara kaum: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata, masa yang berlalu menyaksikan jambatan yang dibina oleh pejuang terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Katanya, golongan itu mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.

Apa yang penting, kata Najib, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.

"Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan," katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-52 yang disiarkan, malam tadi.

Hari Kebangsaan ke-52 hari ini disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan.

Najib mengingatkan semua pihak, terutama generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu saja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

"Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda," katanya.

Najib berkata, setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.

Menyingkap kembali sejarah selepas merdeka, Najib berkata, dengan pengalaman sendiri begitu singkat dan berlatarbelakangkan pemberontakan komunis yang belum reda, kewujudan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang meluas dan ditambah dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak ketika itu meramalkan Malaysia ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.

Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, iaitu dua generasi saja.

Perdana Menteri berkata, formula rahsia yang mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, "bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan".

Najib berkata, sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.

"Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosio ekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80an dan krisis kewangan Asia hujung 90an. Semuanya kita tempuhi dan semuanya kita redahi dengan jaya," katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan baru.

Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya memperkenalkan dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju, antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.

"Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara," katanya.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

"Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 31 OGOS 2009

SALAM KEMERDEKAAN YANG KE-52

SALAM KEMERDEKAAN YANG KE-52
daripada iNFOLEDANG dan seluruh warga Ledang
1MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN




30 Ogos 2009

PENDAPATAN BAWAH RM3,000 DIBANTU - TPM

MUAR 29 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membantu menambah pendapatan kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan juga akan menyelesaikan sepenuhnya masalah kemiskinan tegar yang melibatkan kira-kira 44,000 penduduk bandar dan luar bandar pada penghujung tahun depan.

"Kita hendak lihat dalam dua tahun ini usaha yang lebih tertumpu untuk tambah pendapatan terutama melibatkan mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan kerana mereka adalah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

"Walaupun mereka tak miskin tapi kita mahu supaya usaha dibuat untuk tambah pendapatan mereka untuk galakan ceburi dalam bidang-bidang seperti pemprosesan, industri kecil sederhana dan perniagaan," katanya selepas melawat bazar Ramadan di Tapak FAMA Bukit Pasir di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha menangani kemiskinan tegar dan menambah pendapatan rakyat berkenaan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada sasaran kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menyentuh segenap peringkat masyarakat.

"Sebab itu kita menggalakkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan lesen perniagaan, jangan halang atau sekat kerana ini adalah salah satu usaha untuk membantu rakyat tambah pendapatan sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.

Bagi mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 dan tinggal di bandar, menurutnya, mereka masih perlu dibantu kerajaan kerana terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Di luar bandar pula, mereka adalah petani, penternak, nelayan yang mungkin tak dapat pendapatan yang mencukupi maka kita kena galakan supaya mereka menambah hasil pendapatan," jelasnya.

Muhyiddin berkata, langkah berkenaan adalah salah satu daripada enam perkara NKRA dan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di peringkat nasional yang mesti dicapai selewat-lewatnya pada 2012.

"Ini bermakna kita sudah komited maka pendekatan ini kita lakukan secara bersungguh-sungguh kerana enam perkara itu adalah berdasarkan hasil kerajaan yang teliti," katanya.

Dalam soal pendidikan, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, NKRA melalui Kementerian Pelajaran akan meningkatkan kemudahan sekolah kerajaan bagi membantu mencapai sasaran KPI meningkatkan jumlah kanak-kanak berusia lima dan enam tahun memasuki prasekolah.

"Ini bermakna mulai tahun depan ada 60,000 anak-anak kita yang tak bersekolah prasekolah, kita akan sediakan sekolah.

"Sekarang 67 peratus yang pergi ke sekolah iaitu 400,000 kanak-kanak tetapi masih ada baki 33 peratus yang tak bersekolah.

"Jadi NKRA kementerian kita nak naikkan 20 peratus lagi daripada 67 naik ke 87 peratus," jelasnya.

Justeru, menurutnya, kerajaan akan menambah pelbagai kemudahan termasuk 800 buah bilik darjah, guru terlatih dan menggalakkan sektor swasta terlibat dalam membina pusat prasekolah.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi galakan kepada sektor itu dalam bentuk yang akan diumumkan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

"Galakan itu mungkin dalam bentuk cukai, bantuan melatih guru, pinjaman untuk membuka pusat prasekolah bagi membiayai peruntukan yang diperlukan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 OGOS 2009

GAJI RM3,000 DIBANTU

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


Tan Sri Muhyiddin Yassin

40 peratus rakyat layak diberi bantuan tambah pendapatan: Muhyiddin

MUAR: Kerajaan akan membantu kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan menambah pendapatan mereka, terutama di kawasan bandar yang berdepan kos sara hidup tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata walaupun kelompok itu tidak tergolong sebagai penduduk miskin, tetapi pendapatan mereka di bawah RM3,000 itu perlu ditingkatkan lagi melalui pelbagai bidang, termasuk menyertai perniagaan kecil.

"Kita mahu usaha ditumpukan bagi menambahkan pendapatan, terutama mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan ini," katanya selepas melawat Bazar Ramadan Bukit Pasir di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, tumpuan itu juga selaras dengan langkah kerajaan mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan enam perkara utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Katanya, pendapatan penduduk luar bandar, terutama petani dan penternak juga perlu ditingkatkan dengan menyertai bidang pemprosesan dan perniagaan kecil.

"Sehubungan itu, kerajaan menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan lesen perniagaan dan jangan halang atau menyekat usaha peniaga kecil sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar untuk menambah pendapatan mereka," katanya.

Katanya, kerajaan akan meningkatkan usaha memastikan masalah 44,000 penduduk miskin tegar dapat diselesaikan hujung tahun depan melalui usaha menambah pendapatan yang dijalankan itu.

Selain itu, katanya usaha turut membabitkan penyediaan kemudahan infrastruktur, memerangi jenayah dan rasuah serta pendidikan yang menjadi antara perkara pokok perlu ditingkatkan.

Mengenai pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi tempoh sama, beliau mahu 87 peratus kanak-kanak berusia lima dan enam tahun mendapat pendidikan prasekolah, meningkat 20 peratus berbanding 67 peratus ketika ini yang mendapat pendidikan prasekolah berikutan pertambahan kira-kira 800 bilik darjah dan guru terlatih.

Katanya, kementerian turut menggalakkan sektor swasta membuka pusat prasekolah dan sebagai galakan, beliau akan mengumumkan bentuk insentif dalam bentuk pengurangan cukai dan bantuan lain untuk melatih guru serta pinjaman membuka projek pusat sekolah berkenaan.

Muhyiddin juga berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Tanpa Portfolio di Jabatan Perdana Menteri selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan lagi organisasinya supaya perkara yang ditetapkan dalam NKRA dan KPI dapat dilaksanakan.

"Kita mahu selewat-lewatnya pada 2012 ini, kita dapat menumpukan enam perkara pokok itu (NKRA) dan Idris dapat memperkukuhkan usaha ke arah itu yang turut menjadi ukuran kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa perubahan besar kepada negara," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 OGOS 2009

PENYERAHAN JALUR GEMILANG DUN GAMBIR

M Asojan (memegang Jalur Gemilang) bergambar bersama pemimpin masyarakat dalam DUN Gambir setelah majlis penyerahan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Gambir, semalam. (FOTO: ADISABARIMAN)

BUKIT GAMBIR, 29 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemimpin masyarakat di dalam kawasannya untuk dikibarkan di kampung-kampung serta pekan sekitar DUN Gambir.

Beliau berkata, penyerahan Jalur Gemilang itu adalah sebagai simbolik sambutan bulan kemerdekaan dan setiap penduduk perlu memasang bendera Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara. -iNFOLEDANG

LAILATUL QADAR


29 Ogos 2009

UMAT ISLAM MALAYSIA BERTUAH TIDAK DILANDA KONFLIK - TPM

TANGKAK 28 Ogos - Masyarakat Islam di negara ini perlu menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dipupuk sejak sekian lama tanpa perlu bimbang akan berlaku konflik sebagaimana di negara Islam lain seperti Iraq dan Afghanistan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, umat Islam di negara ini perlu berasa bertuah kerana mampu menjalani kehidupan harian dengan penuh harmonis, tanpa diancam dengan bahaya pergolakan bersenjata serta konflik.

"Banyak negara lain yang menghadapi masalah sehingga menjejaskan kehidupan mereka termasuk pergaduhan sesama sendiri, perang saudara, pergaduhan antara puak dan penjajahan seperti yang dihadapi di Iraq," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang di Masjid Jamek Al Muhajirin Felda Seri Ledang hari ini.

Muhyiddin berkata, pergolakan yang berlaku di negara Islam terbabit boleh menjejaskan rakyat sehingga tidak dapat mencapai kemajuan dan mengakibatkan mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

Katanya, terdapat juga negara Islam yang sudah merdeka dan mentadbir negara sendiri tetapi masih mundur akibat pergaduhan sesama sendiri sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat negara ini perlu menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada 31 Ogos ini untuk menghayati kembali sejarah hasil daripada perjuangan generasi terdahulu.

Muhyiddin berkata, umat Islam perlu terus mempertingkatkan modal insan melalui penguasaan ilmu yang menjadi antara perkara penting perpaduan ummah.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat soal pendidikan dengan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun termasuk pemberian makanan percuma dengan peruntukan RM1.8 bilion setahun kepada antara lima hingga enam juta pelajar sekolah setiap tahun, dalam usaha memastikan rakyat dapat menguasai ilmu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata melalui peruntukan itu tiada sebab untuk rakyat tidak dapat menguasai ilmu jika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian. - BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 OGOS 2009

PKFZ: RAMAI SOKONG SAYA - TEE KEAT

TANGKAK: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, menegaskan ramai di kalangan pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menyokong tindakannya mahukan isu penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diambil tindakan.

Ong berkata, beliau akan tetap bersuara dan mengambil tindakan berhubung isu PKFZ walaupun terpaksa berhadapan dengan tohmahan sehingga memaksanya membawa isu itu ke mahkamah bagi membersihkan nama baiknya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 400 pemimpin dan anggota MCA dari 15 bahagian di negeri ini di sebuah restoran di Jalan Naib Long di sini, hari ini.

Pada majlis itu pemimpin dan anggota MCA itu turut berkumpul di luar restoran dan memasang sepanduk yang menyokong Ong dan permintaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal PKFZ.

Ong berkata, beliau turut terharu dengan pertemuan 15 daripada 26 bahagian MCA Johor yang telah menyatakan sokongan kepadanya dalam usaha untuk menegakkan kebenaran mengenai isu skandal PKFZ.

Pada masa ini, katanya, anggota MCA sedang dalam usaha mengumpul tandatangan untuk menyokong beliau supaya menuntut semula wang pembayar cukai berjumlah RM1.5 bilion itu.

"Saya terharu (usaha kumpul tandatangan) kerana ini adalah satu titik tolak baru yang menandakan MCA sekarang mengamalkan budaya politik yang bersifat telus dan bertanggungjawab, walaupun apabila saya berbuat demikian (tindakan isu PKFZ) saya terpaksa berdepan dengan tohmahan dan fitnah.

"Walaupun tindakan saya itu memberi risiko kepada kerjaya politik saya tetapi itu adalah kenyataan berdasarkan kebenaran dan saya akan tetap membawa isu PKFZ itu supaya dapat diselesaikan," katanya.

Presiden MCA itu bagaimanapun enggan mengulas isu pemecatan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atau tindakan enam bahagian MCA di Johor yang bukan sahaja mahukan pemecatan tersebut ditarik balik, tetapi juga kuasanya sebagai presiden dilucutkan sementara.

"Saya tak nak cakap mengenai isu lain. Apa yang lain akan saya hantar melalui blog saya. Dalam amalan demokrasi kita tidak pernah menyekat sesiapa untuk bersuara..." katanya. - Bernama

SUMBER: BERITA HARIAN, 29 OGOS 2009

ONG ANGGAP MASIH DAPAT SOKONGAN AHLI

TANGKAK: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, menegaskan bahawa beliau masih mendapat sokongan ramai pemimpin dah ahli parti yang turut mahu penyelewenangan berhubung isu projek pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diambil tindakan walaupun beliau sedar tindakannya itu berisiko kepada kerjaya politiknya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan pemecatan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atau mengenai tindakan enam bahagian MCA di Johor yang meminta tindakan pemecatan itu ditarik balik, dan melucutkan sementara kuasa presiden yang dipegang Ong.

"Saya tak nak cakap mengenai isu lain. Apa yang lain itu akan saya hantar melalui blog saya. Dalam amalan demokrasi kita tidak pernah menyekat sesiapa untuk bersuara termasuk bila ada pihak dalam MCA yang menggesa saya menegakkan kebenaran dan seterusnya menebus kembali RM1.5 bilion yang kononnya dilesapkan oleh kontraktor kerana itu juga hak akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 400 pemimpin dan ahli MCA daripada 15 bahagian Johor Utara, di sebuah restoran di Jalan Naib Long, dekat sini, semalam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 29 OGOS 2009

RECOVER FUNDS, ONG URGED

TANGKAK: More than 400 MCA leaders and grassroots members from 15 divisions in Johor have urged party president Datuk Seri Ong Tee Keat to recover some RM1.5bil claims made by some parties in the Port Klang Free Zone (PKFZ) scandal.

Speaking to reporters here, Ong said it was a spontaneous effort by division leaders and grassroots members in the state to spearhead a campaign to support his move to solve the PKFZ debacle.

He said he was touched by their open support for him.

I’m with you: Ong meeting the crowd upon arriving for the meeting with division leaders and members in Tangkak in Johor Friday.

“I was going to Segamat to attend functions today (yesterday) and many division leaders in the state, including Wanita and Youth leaders, asked me to stop over in Tangkak.

“We discussed current issues and they decided to launch a signature-collecting campaign to support my endeavour in the PKFZ issue,” he said after a closed-door meeting with division leaders and members here yesterday.

Ong, who is also the Transport Minister, said the alleged fraudulent claims concerned public funds, which party leaders and members in Johor wanted him to recover.

He said when he decided to allow PricewaterhouseCoopers to audit and release the report he was exposing himself to all kinds of smearing and unfounded allegations.

He said he then had to resort to law suits to seek justice and to clear his name, adding that in doing so he was also risking his political career.

To a question on six MCA divisions in Johor protesting against him in Johor Baru on Thursday, Ong said the party practised democracy and he could not stop the protest.

“In a democratic society, we cannot stop anyone from expressing his views.

“And it is also democratic that many leaders and members have urged me to recover the RM1.5bil claims.”

SOURCE: THE STAR, AUGUST 29, 2009

28 Ogos 2009

7,000 PENGGUNA KOMUNIKASI TERJEJAS

Bakar sampah di tebing Sungai Muar punca kabel Ledang terbakar


MUAR: Hampir 7,000 pengguna Telekom Malaysia (TM) dan TM Net (Streamyx) di daerah Ledang terputus berikutan kebakaran kabel sepanjang kira-kira 35 meter di tepi Jambatan Sultan Ismail, dipercayai berpunca daripada api sampah di tebing Sungai Muar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, 12 kabel termasuk kabel fiber optik yang terletak di laluan bersebelahan jambatan itu musnah terbakar, sekali gus menyebabkan talian telefon di beberapa kawasan di sekitar Tanjung Agas, Kesang, Parit Bunga, Pekan Rawang, Sungai Mati, Serom dan Bukit Gambir terputus.

Kebakaran itu menyebabkan kerugian lebih RM200,000 akibat kabel yang terbakar, manakala kerugian yang ditanggung oleh pengguna terutama di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas yang menggunakan perkhidmatan talian telefon dan internet, belum dapat ditafsirkan.

Jurucakap TM berkata, seramai 20 kakitangan dan pekerja syarikat kontraktor mula menjalankan operasi membaik pulih termasuk menukarkan kabel sejak jam 8 malam kelmarin dan kerja itu dijangka dapat dijalankan secara berperingkat dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya Sabtu ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah berjaya membaiki dua kabel fiber optik yang dapat membekalkan semula perkhidmatan internet di beberapa kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, manakala pengguna internet lain dijangka dapat menggunakan semula perkhidmatan itu dalam tempoh 24 jam.

Beliau berharap semua pengguna yang terbabit dalam gangguan talian telefon dan internet itu bekerjasama dengan pihaknya dan bersabar sementara perkhidmatan itu pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, dua jentera bomba dengan 14 anggota di hantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.24 malam.

Katanya, kebakaran kabel dan fiber yang menyebabkan asap tebal itu berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira setengah jam dan punca kejadian serta jumlah kerugian kebakaran kabel itu masih dalam siasatan pihak TM.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 28 OGOS 2009