MUAR 29 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membantu menambah pendapatan kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan juga akan menyelesaikan sepenuhnya masalah kemiskinan tegar yang melibatkan kira-kira 44,000 penduduk bandar dan luar bandar pada penghujung tahun depan.
"Kita hendak lihat dalam dua tahun ini usaha yang lebih tertumpu untuk tambah pendapatan terutama melibatkan mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan kerana mereka adalah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.
"Walaupun mereka tak miskin tapi kita mahu supaya usaha dibuat untuk tambah pendapatan mereka untuk galakan ceburi dalam bidang-bidang seperti pemprosesan, industri kecil sederhana dan perniagaan," katanya selepas melawat bazar Ramadan di Tapak FAMA Bukit Pasir di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, usaha menangani kemiskinan tegar dan menambah pendapatan rakyat berkenaan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada sasaran kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menyentuh segenap peringkat masyarakat.
"Sebab itu kita menggalakkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan lesen perniagaan, jangan halang atau sekat kerana ini adalah salah satu usaha untuk membantu rakyat tambah pendapatan sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.
Bagi mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 dan tinggal di bandar, menurutnya, mereka masih perlu dibantu kerajaan kerana terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
"Di luar bandar pula, mereka adalah petani, penternak, nelayan yang mungkin tak dapat pendapatan yang mencukupi maka kita kena galakan supaya mereka menambah hasil pendapatan," jelasnya.
Muhyiddin berkata, langkah berkenaan adalah salah satu daripada enam perkara NKRA dan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di peringkat nasional yang mesti dicapai selewat-lewatnya pada 2012.
"Ini bermakna kita sudah komited maka pendekatan ini kita lakukan secara bersungguh-sungguh kerana enam perkara itu adalah berdasarkan hasil kerajaan yang teliti," katanya.
Dalam soal pendidikan, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, NKRA melalui Kementerian Pelajaran akan meningkatkan kemudahan sekolah kerajaan bagi membantu mencapai sasaran KPI meningkatkan jumlah kanak-kanak berusia lima dan enam tahun memasuki prasekolah.
"Ini bermakna mulai tahun depan ada 60,000 anak-anak kita yang tak bersekolah prasekolah, kita akan sediakan sekolah.
"Sekarang 67 peratus yang pergi ke sekolah iaitu 400,000 kanak-kanak tetapi masih ada baki 33 peratus yang tak bersekolah.
"Jadi NKRA kementerian kita nak naikkan 20 peratus lagi daripada 67 naik ke 87 peratus," jelasnya.
Justeru, menurutnya, kerajaan akan menambah pelbagai kemudahan termasuk 800 buah bilik darjah, guru terlatih dan menggalakkan sektor swasta terlibat dalam membina pusat prasekolah.
Beliau berkata, kerajaan akan memberi galakan kepada sektor itu dalam bentuk yang akan diumumkan dalam tempoh sebulan dari sekarang.
"Galakan itu mungkin dalam bentuk cukai, bantuan melatih guru, pinjaman untuk membuka pusat prasekolah bagi membiayai peruntukan yang diperlukan," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan