|
|
LEDANG 9 Ogos - Kekuatan UMNO di peringkat cawangan perlu dijadikan asas bagi menangkis agenda pihak pembangkang yang cuba memecah-belahkan masyarakat Melayu dalam memenuhi cita-cita menguasai kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kekuatan di peringkat cawangan akan membolehkan UMNO terus bertahan bagi menangkis segala bentuk prasangka buruk yang cuba ditimbulkan pihak pembangkang.
Jelas beliau, ancaman perpecahan yang cuba dibawa pembangkang itu merupakan ancaman besar yang perlu ditolak semua pihak kerana kestabilan politik di negara ini adalah sentiasa berteraskan perpaduan masyarakat Melayu dalam UMNO.
"Strategi menghakiskan kekuatan UMNO ini telah dimulakan pembangkang sejak pilihan raya umum lalu dengan pelbagai isu dibangkitkan bagi menimbulkan rasa prasangka, benci dan kemudiannya rasa marah orang Melayu kepada UMNO.
"Malah kita dapat lihat dalam satu kes kematian baru-baru ini telah dibangkitkan rasa prasangka sebagai isu untuk menghakis keyakinan masyarakat terhadap kerajaan yang diterajui UMNO," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor dan Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata demikian ketika pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Dewan Jubli Intan, Tangkak di sini malam tadi.
Mesyuarat itu dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Menurut Abdul Ghani, masyarakat boleh menyaksikan pelbagai manipulasi yang dibangkitkan pihak pembangkang sehingga 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disamakan dengan slogan DAP 'Malaysian Malaysia'.
"Datuk Seri Najib telah pun jelaskan 1Malaysia sebagai konsep masyarakat Malaysia bersatu padu yang berpaksikan perlembagaan dan rukun negara.
"Namun DAP yang disokong Pas dan PKR tanpa segan silu mentakrif sebagai 'Malaysian Malaysia' untuk menolak dan menyangkal hak bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya.
Sementara itu, Adnan dalam ucapannya turut bersetuju dengan kenyataan Abdul Ghani sambil menegaskan penekanan perlu diberi terhadap pelbagai fakta yang telah diputar belitkan pembangkang.
"Kita kena kaji persekitaran, banyak perkara betul telah diputar belitkan pembangkang sehingga menjadi tidak betul.
"Pembangkang cukup pandai dalam perkara ini malah dalam perang teknologi siber pun kita telah kalah pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.
Jelas Adnan, biarpun pelbagai fakta telah dimanipulasikan pakatan yang dibuat parti-parti pembangkang tetap tidak sekukuh permuafakatan di dalam Barisan Nasional (BN).
"Berbeza dengan parti lain, UMNO memperjuangkan orang Melayu namun pada masa sama, kita tidak melupakan hak orang bukan Melayu," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan