PENGUNJUNG SETIA

27 Ogos 2009

KAMPUNG MELAYU TERDEDAH BANJIR KILAT

Oleh Jamaludin Husin


SAAT menunjukkan permukaan pembetung yang mengalirkan air di bawah tanah ke Sungai Muar di Panchor, tertimbus kerana hakisan dan menyekat pengaliran air.

PANCHOR: Akibat tidak diselenggara dengan sempurna, saliran di kiri kanan bahu Jalan Panchor-Gersik, di sini menjadi cetek dan tersumbat sekali gus mendedahkan penduduk dengan ancaman banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Saliran sepanjang kira-kira 10 kilometer di bahu jalan berkenaan dibina sejak pembinaan jambatan di hulu Sungai Muar yang menghubungkan kedua pekan pedalaman itu pada 1998.

Penduduk mendakwa, dalam tempoh berkenaan saliran di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dibersihkan dengan menggunakan racun rumpai.

Tindakan itu menyebabkan permukaan saliran itu menjadi semakin sempit dan cetek, kerana dipenuhi sampah sarap daripada rumpai yang diracun sekali gus menyekat pengaliran air ke sungai.

Antara kampung yang terdedah dengan ancaman banjir kilat akibat saliran yang cetek dan tersumbat itu ialah Kampung Melayu, Seri Tanjung dan Semaseh.

Tinjauan ke kampung itu mendapati, hampir keseluruhan saliran di kiri kanan bahu jalan berkenaan dipenuhi semak dan sebahagian lagi sudah tertimbus dengan hakisan.

Bagi mengelak rumpai yang memenuhi saliran merebak ke halaman rumah dan kebun, menyebabkan ada penduduk membersihkan sendiri saliran di hadapan rumah mereka.

Tinjauan juga mendapati sebahagian permukaan saliran yang sudah tertimbus dengan sampah sarap dan hakisan menyebabkan kedudukannya hampir sama rata dengan jalan raya.

Pesara guru, Jamal Sudin, 65, berkata kampung yang paling teruk di landa banjir ialah Kampung Melayu dan Seri Tanjung yang kedudukannya di kiri kanan bahu jalan berkenaan.

Beliau berkata, banjir besar yang melanda Johor pada akhir 2006 lalu menyebabkan hampir keseluruhan kampung berkenaan ditenggelami air sehingga lima meter dan lebih 200 penduduk yang menjadi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Bagi penduduk Kampung Melayu yang tinggal di seberang jalan yang memisahkan aliran sungai dengan perkampungan berkenaan menjadi mangsa banjir kilat setiap kali hujan lebat.

“Pembetung bawah tanah yang mengalirkan air dari kawasan perkampungan ke Sungai Muar tidak dapat mengalirkan air dengan sempurna kerana dipenuhi semak dan hakisan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu, Saat Md Samen, berkata JKKK sudah memaklumkan masalah sistem perparitan di kampung berkenaan kepada pihak JKR awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada sebarang tindakan dilakukan oleh agensi berkenaan bagi mengatasi masalah itu sekali gus membimbangkan penduduk, kerana mereka akan diancam banjir kilat berikutan musim hujan sekarang.

Beliau berkata, hasil pemantauannya, mendapati sekurang-kurangnya 10 pembetung bawah tanah yang mengalirkan air ke Sungai Muar dari perkampungan yang kedudukannya di sebelah kiri jalan menghala ke Gersik tertimbus dengan rumpai dan hakisan.

“Keadaan itu menyebabkan kawasan kebun dan kediaman penduduk di tenggelam air apabila hujan sehingga banyak peralatan rumah mengalami kerosakan dan memusnahkan tanaman,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 27 OGOS 2009

Tiada ulasan: