|
|
Bermula sekadar untuk mencari duit poket selepas sukar mencari pekerjaan kini produk yang dihasilkan berjaya menawan pasaran hingga ke luar negara.
Segalanya hasil daripada keberanian beliau merebut setiap peluang yang ada dan kesediaan membuat pelaburan dari segi modal, tenaga dan masa.
Bermula sebagai pembuat dan mengedar beberapa jenis biskut setiap kali menjelang raya, bersama isteri, Fadzilah Yusof, 35, mereka mencipta jenama biskut sendiri yang dikenali sebagai Del Luscious.
Lebih membanggakan, anak kelahiran tempatan ini berjaya memasarkan produknya ke pasar raya besar tempatan serta mempunyai wakil penjual di 10 buah negara luar.
Terbaru syarikatnya menghantar 30 kontena biskut ke Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan menyambut Krismas Disember hadapan.
Dibantu 80 pekerja di kilang yang terletak di Jalan Tangkak - Sungai Mati, Ledang (Muar), Johor, kini Tuan Sanawi turut bergelut dengan masa untuk menyiapkan tempahan pelanggan menjelang musim perayaan dengan menghasilkan satu juta keping biskut sehari.
Berkongsi cerita, katanya, beliau hanya bermula sebagai usahawan kecil di kampung yang ketika itu ramai jiran-jiran turut mengusahakan makanan ringan seperti kerepek dan kuih muih.
"Kami bersaing secara sihat kerana setiap orang ada kepakaran menghasilkan produk masing-masing, namun saya agak kecewa kerana untuk menunggu pendapatan berganda terpaksa menunggu musim perayaan muncul," katanya yang sedang mencari pengedar baru di sebelah Pantai Timur.
Tuan Senawi menceritakan, di awal menjual biskut, beliau mencuba beberapa resipi biskut baru dan boleh dijual pada hari-hari biasa walaupun berhadapan dengan risiko barangan tidak laku.
"Banyak kali saya mencuba dan terus mencuba menghasilkan biskut yang mudah dan cepat disediakan tetapi enak dan tahan lama, sebab kadang kala kita makan biskut yang sedap tetapi hancur macam serbuk kalau dimasukkan ke dalam bekas.
"Selepas mencuba beberapa kali, akhirnya saya menemui resipi terbaik untuk dipasarkan dan boleh diterima dan digemari orang ramai," katanya.
Di bawah jenama sendiri, biskut Del Lucious berada di beberapa buah negara antaranya, China, Maldives, Libya, Vietnam, Brunei, Hong Kong, India dan Amerika Syarikat.
"Memenuhi permintaan pasaran yang mahu pembungkusan lebih standard dan berkualiti, saya melabur untuk membeli mesin dan membesarkan kilang dan paling utama pelbagai jenis biskut baru dicipta untuk memenuhi selera dan cita rasa," katanya.
Bersandarkan kepada kualiti pembungkusan dan reka bentuk yang menarik, biskutnya juga boleh didapati di seluruh pasar raya Mydin, Jaya Jusco, Tesco, Carrefour serta beberapa agen yang dilantik.
Antara biskut Del Luscious yang mendapat sambutan termasuk cornflake mixed fruit cookies, chocolate almond bars, citrus drop cookies, chocolate chip cookies, softcake, ker-runch cookies, cappuccino swirls dan belinjau cookies.
Menyifatkan perniagaannya masih hijau kerana baru beroperasi secara serius enam tahun lepas, Tuan Sanawi dianggap bertuah kerana berjaya meletakkan produknya sebaris dengan jenama produk popular.
Kejayaan itu katanya kerana berani mempertaruhkan nasib apabila mengikuti rombongan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ke beberapa lokasi luar negara seperti Jerman dan Perancis dua tahun kebelakangan ini.
"Apabila luas mata memandang, lebih banyak pengetahuan berhubung kait dengan produk, teknik pembungkusan, cita rasa serta kehendak pelanggan ditemui di samping berkongsi pengalaman dan idea dengan pengusaha yang telah berjaya di sana," katanya.
Memenuhi permintaan yang bertambah di rantau Asia, beliau melantik dua buah kilang di Bandung, Indonesia untuk mengeluar dan memasarkan Del Lucious dari sana.
Malah katanya, pendapatan sebanyak RM3 juta tahun lepas tidak mustahil ditingkatkan lagi sehingga mencapai sasarannya RM5 juta pada penghujung tahun ini.
"Saya percaya sasaran tersebut kerana berdasarkan rekod produk makanan yang tidak susut permintaannya walaupun dalam kegawatan ekonomi dunia," katanya.
Bapa kepada Tuan Izzuddin, 6, yang mempunyai cita-cita bergelar jutawan dalam usia muda, tidak hanya mensasarkan biskut komersial di kilang sebaliknya mengekalkan edaran biskut khas di musim perayaan seperti tat nenas menggunakan kaedah manual.
"Setiap kali menjelang bulan puasa dan hari raya, biskut-biskut yang biasa dihidang di pagi raya tidak saya lupakan kerana mempunyai kenangan dan nilai sentimental.
"Biskut tersebut boleh dibeli secara pukal atau berhias cantik di dalam hamper dan kepada sesiapa yang berminat menjadi pengedar amat dialu-alukan," ujarnya.
Fadzilah boleh dihubungi di talian e-mel, tstn_dell@yahoo.com.my atau pengedar di Pantai Timur, Mona Aduwi di talian 019-9238322 atau 06- 9755885.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan