TANGKAK: Sambutan Ramadan satu keluarga diselubungi suasana pilu apabila empat beranak terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan bayi berusia kira-kira lima bulan maut, manakala ibu bapa dan kakaknya cedera parah dalam kejadian di Kilometer 149.7 Lebuh Raya Utara Selatan, petang kelmarin.
Dzil Iqram Nor Azimi yang parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang.
Kereta Perodua Kelisa dipandu bapanya Mejar Nor Azimi Idris, 30-an yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Johor Bahru dipercayai gagal dikawal dengan baik terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik di tepi parit di lebuh raya berhampiran Plaza Tol Pagoh.
Kemalangan itu juga menyebabkan, ibu mangsa, Wan Azura Wan Omar, 30, berasal dari Tumpat, Kelantan, yang parah apabila tulang rusuk tertusuk paru-parunya, dihantar menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan masih koma.
Bapa mangsa yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan bertugas sebagai Pegawai Gerak di Kem Majidee, Johor Bahru, patah tulang rusuk manakala kakaknya cedera parah pada badan turut dirawat di hospital sama.
Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan balik ke rumah di Johor Bahru selepas ke ibu negara kerana Nor Azimi menghadiri mesyuarat di Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata Perodua Kelisa yang dipandu Nor Azimi dipercayai gagal dikawal menyebabkannya terbabas ke kiri sebelum terbalik di tepi lebuh raya itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan dituntut oleh anggota keluarganya untuk dikebumikan di Tumpat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shulul Shuaibon di 06-9781222.
SUMBER: HARIAN METRO, 24 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan