PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

TIADA KOMPROMI

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Kerajaan tidak menghalang penggunaan sesebuah kawasan khas untuk berkumpul bagi membantah sesuatu isu tetapi tidak akan berkompromi dengan perhimpunan jalanan yang jelas mengganggu ketenteraman awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan boleh menyediakan tempat tertentu seperti stadium untuk berkumpul tetapi demonstrasi jalanan tidak wajar dan tidak patut diteruskan kerana ia hanya mengganggu dan menimbulkan kesusahan kepada orang ramai.

“Buat perhimpunan di stadium, bertempik sampai subuh tidak apa tetapi jangan kacau lalu lintas dan orang ramai...tempat khas boleh diberikan untuk berkumpul...kita boleh bagi stadium.

“Malah di Selangor mempunyai stadium bawah kuasa dan pentadbiran kerajaan negeri yang boleh digunakan berhimpun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata demikian mengulas perhimpunan kelmarin bagi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perhimpunan haram itu menjejaskan ketenteraman awam sehingga menyebabkan kesesakan teruk, malah peniaga di beberapa jalan utama mendakwa kerugian berikutan terpaksa menutup premis masing-masing.

Perhimpunan itu diadakan kumpulan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran) yang pro-ISA dengan tujuan menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Najib berkata, pihak berkuasa terutama polis mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam dan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah itu.

Malah, katanya, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan termasuk sama ada menahan pemimpin parti pembangkang susulan demonstrasi itu.

SUMBER: HARIAN METRO, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: