MUAR 15 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Muar semalam mengagihkan sebanyak 2,000 penutup mulut dan hidung secara percuma kepada orang ramai di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar dalam usaha membantu mencegah penularan virus selesema babi atau influenza A (H1N1).
Penutup mulut dan risalah mengenai langkah pencegahan virus maut itu diagih-agihkan kepada jemaah selepas solat Jumaat.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Amran Amryn Abd. Malek berkata, usaha pihaknya itu diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman yang dibawa virus tersebut.
"Orang ramai perlu lebih peka mengenai langkah-langkah pencegahan supaya virus selesema babi ini tidak merebak dengan lebih meluas.
"Usaha kami ini tidak lebih daripada membantu Jabatan Kesihatan supaya bersama-sama mengatasi penularan wabak ini," katanya.
Dalam pada itu Amran berkata, Pemuda UMNO bahagian tersebut sedia membantu menyelaras pengedaran penutup mulut itu jika ada pihak ingin mengagihkannya kepada orang ramai secara percuma.
"Sejak kebelakangan ini, kami ada juga mengesan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak yang menjual penutup mulut dengan harga yang begitu mahal.
"Harga penutup mulut yang sepatutnya tidak mencecah sehingga RM1 sekeping itu dengan sengaja dinaikkan sehingga RM1.50," katanya.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu amat dikesali kerana usaha untuk mengatasi penularan wabak itu memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan dijadikan peluang untuk mengaut keuntungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan