Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah, Zainurin Bain, ketika ditemui seelpas merasmikan mesyuarat agung MBDM di bangunan Kompleks Penghulu Pagoh, di sini, baru-baru ini, berkata pelantikan muka baru untuk menerajui kepimpinan MBDM selaras pindaan Akta Pembangunan Belia 2008 yang diluluskan Parlimen tahun lalu.
Katanya, melalui pindaan akta itu semua peringkat persatuan belia perlu diterajui pemimpin muda di bawah 40 tahun dan berdaftar dengan Pendaftar Belia (ROY) berbanding dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini.
"Langkah itu bertujuan membolehkan semua persatuan belia diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan termasuk daripada segi penyelenggaraan pertubuhan dan penyaluran peruntukan sama ada untuk menganjurkan kegiatan atau melaksanakan projek dalam semua bidang bagi membangunkan masyarakat belia.
"Berikutan pindaan akta itu juga, persatuan belia yang berdaftar dengan ROY menerima bantuan tahunan RM3,000 daripada pihak kementerian, " katanya ketika merasmikan mesyuarat agung MBDM di bangunan Kompleks Penghulu Pagoh, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Yang Dipertua MBDM, Abu Bakar Mohamad; setiausahanya, Shalihuddin Abas dan bendahari, Datuk Masri Sariani.
Sempena mesyuarat itu juga perwakilan daripada 53 persatuan yang menjadi ahli gabungan MBDM memilih kepimpinan baru mereka termasuk sembilan ahli jawatankuasa dan dua pemeriksa kira-kira bagi sesi 2009-2010.
Asyraf Mokhtar, 38, dari Persatuan Belia Pagoh, dipilih menjadi Yang Dipetua MBDM yang baru dan naibnya ialah Shafie Samin, 33, manakala Halid Tandang, 35, sebagai setiausaha.
Sempena pelantikan itu juga diadakan majlis penyerahan tugas jawatan daripada pemimpin lama kepada pemimpin baru.
SUMBER: BERITA HARIAN, 13 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan