|
|
Namun, seiring dengan pembangunan pesat negara, masih adakah kampung-kampung yang menjadikan ketenangan seperti itu?
Jawapannya, pasti ada! Antara perkampungan yang masih mengekalkan suasana dan keindahan alam semula jadinya adalah Kampung Bahagia Batu 28, Lenga, dekat sini.
Buktinya, kampung tersebut sentiasa menjadi tarikan sehingga menjadikannya salah satu program homestay atau inap desa paling berjaya di negeri Johor.
Kampung yang terletak tidak jauh dari laluan Sungai Muar itu sentiasa meriah setiap kali musim cuti sekolah kerana dikunjungi para pelancong dari seluruh negara.
Pengalaman kehidupan di kawasan luar bandar sememangnya menarik, namun keramahan penduduk di kampung berkenaan menjadikan pengalaman setiap pelancong lebih manis.
Ketua Kampung, Rahmat Idris mengakui, penduduk kampung itu tidak menang tangan setiap kali musim percutian kerana permintaan pelancong yang terlalu banyak.
''Penduduk kampung sebenarnya tidak melihat sangat daripada sudut ekonomi, kami lebih pentingkan kemesraan bersama pengunjung yang datang.
''Sebab itu, ketika para peserta hendak pulang, kita akan berasa sedih sebab sudah menganggap mereka seperti keluarga sendiri," katanya kepada Utasan Malaysia, di sini baru- baru ini.
Rahmat memberitahu, kesemua 20 buah rumah di kampung tersebut kini menyertai program inap desa sejak lewat tahun 90-an.
Katanya, program inap desa itu tidak dianggap penduduk sebagai mata pencarian utama, namun sebagai 'hobi' untuk menambah pendapatan keluarga kerana mereka masih menjadi penoreh getah dan pekebun kelapa sawit.
''Kami bawa para pelancong inap desa ini untuk menikmati kehidupan desa, bersiar- siar menaiki motosikal tengok kampung dan bawa ke dusun.
''Selain itu, para pelancong juga boleh melihat Sungai Muar dan kawasan ini terletak tidak jauh dari perkampungan Orang Asli di Kampung Sentosa,'' katanya.
Pelancong inap desa juga akan sentiasa diberi pendedahan mengenai keunikan tarian Zapin Lenga dan tarian Ceracap Inai.
Katanya, para penduduk kampung sememangnya telah diberi kursus secukupnya bagi menganjurkan program inap desa dan pelbagai lawatan telah dibuat untuk meninjau lokasi-lokasi inap desa di seluruh negeri.
''Kami masih belum menerima lagi para pelancong dari luar negara tetapi sudah ramai juga pengunjung tempatan bukan Melayu yang menginap di kampung ini.
''Pada masa ini, kebanyakan yang datang ialah pelajar serta penuntut universiti, namun kami sambut mereka macam ahli keluarga sendiri," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 OGOS 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan