PENGUNJUNG SETIA

28 April 2015

JURURAWAT HAMIL 4 BULAN MAUT

ZULHISHAM ISAHAK  
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan Nor Farhana Ali yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 27 April - Seorang jururawat yang hamil empat bulan maut manakala anaknya berusia tiga tahun patah tangan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang bertugas di Hospital Segamat memandu kereta Perodua Myvi dari arah Muar menghala ke Segamat sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, kereta dipandu mangsa kemudian merempuh sebuah kereta Toyota di depannya yang pada mulanya cuba mengelak tetapi tidak berjaya.
 
“Kereta Toyota itu yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an cuba mengelak ke bahu jalan tetapi tetap dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam parit.
 
“Pada masa sama, sebuah motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kereta Toyota itu. Namun penunggang motosikal tersebut hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.
 
Menurutnya, mangsa yang ce­dera parah bersama anak lelakinya yang patah tangan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, namun Nor Farhana disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
 
Mohamed Salleh berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Toyota tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Tangkak, Seniman Idris berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 6.54 pagi.
 
“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati seorang wanita mengandung tersepit di bahagian kaki bersama seorang anak lelakinya yang sedang menangis ketakutan dalam kereta Perodua Myvi.
 
“Kita ambil masa lapan minit mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa tetapi lemah dengan menggunakan peralatan khas. Orang ramai turut membantu selain memujuk anak mangsa yang menangis,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2015

17 Mac 2015

PENDUDUK KESAL MASJID LAMA KAMPUNG BEKOH DIROBOHKAN

RAMLI ABD. RAHMAN menunjukkan gambar asal Masjid Kampung Bekoh berusia 117 tahun yang dirobohkan bagi digantikan dengan masjid baharu di Kampung Bekoh dekat Ledang, Johor, kelmarin.
 
LEDANG 16 Mac – Sebilangan besar daripada 1,130 umat Islam di Kampung Bekoh, dekat sini kecewa dan terkilan kerana masjid bersejarah dan tertua di kampung itu dirobohkan bulan lalu tanpa persetujuan mereka.
Penduduk mendakwa bangunan masjid berusia 117 tahun itu mempunyai nilai sejarah yang besar, antaranya satu masa dahulu pernah menjadi tempat pertemuan dan perbincangan Wali Songo, pendakwah terkenal Nusantara.
 
Seorang penduduk, Ramli Abd. Rahman, 63, berkata, masjid itu juga unik kerana seni bina mirip Masjid Agong Danak serta Masjid Sunan Kalijaga di Indonesia dan sememangnya wajar dipulihara sebagai warisan sejarah.
 
“Satu sebab masjid ini dirobohkan kerana disahkan tidak selamat digunakan. Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat melibatkan ahli jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tetapi tanpa melibatkan penduduk.
 
“Walaupun sudah tidak digunakan untuk bersolat, masjid ini masih dibuka untuk aktiviti se­perti kelas mengaji al-Quran untuk golongan dewasa dan kanak-kanak pada setiap petang,” katanya ditemui di sini.
 
Sementara itu, Shahril Sapingi, 40, sedih apabila papan dan tiang masjid yang dirobohkan itu diambil dan digunakan untuk membina sebuah madrasah persendirian yang terletak berhampiran kampung tersebut.
 
“Selepas kira-kira seminggu masjid dirobohkan, struktur utama bangunan masjid seperti papan dan tiang diambil.
 
“Kami tidak terlalu marah jika bahan binaan itu masih berada di masjid ini, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.
 
Zazali Osman, 58, pula berkata, bapanya, Osman Maarof, 84, generasi lama kampung itu menitiskan air mata melihat masjid tersebut dirobohkan kerana rumah ibadat itu memberi makna besar kepada mereka.
 
Sementara itu, Ketua Kampung berkenaan, Arshad Haron ketika dihubungi berkata, masjid tersebut dirobohkan mengikut prosedur yang betul dan perkara itu telah dimaklumkan kepada penduduk sejak dua tahun lalu.
 
Pejabat agama daerah juga membenarkan tindakan itu kerana masjid lama itu sudah tidak selamat digunakan dan akan diganti dengan Dewan Serbaguna Transformasi Balai Islam.
 
“Majlis Fatwa negeri juga membenarkan tapak berkenaan dibina dewan tersebut. Ini semua untuk kemudahan penduduk setempat yang sebelum ini mahukan sebuah dewan serbaguna dibina di kampung ini,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2015

08 Februari 2015

KERJASAMA PENDUDUK BANTERAS WABAK DENGGI


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan meninjau kerja pembersihan longkang pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Pekan Sagil, di sini.
Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kejayaan daerah ini menurunkan kes denggi sehingga hampir 50 peratus tahun lalu berbanding 2013 menunjukkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan tempat tinggal serta persekitaran mereka meningkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Mohd Masni Wakiman (Gambar Kiri), berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat bagi membersihkan kawasan yang menjadi pembiakan nyamuk aedes perlu diteruskan bagi mencegah penularan wabak demam denggi.

Katanya, sesuai dengan kejayaan daerah Ledang sebagai johan di peringkat negeri bagi kategori penurunan dan kes demam denggi paling kurang, masyarakat perlu sentiasa peka dengan kebersihan tempat tinggal mereka agar bebas dari kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“MDT dan Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa bergerak seiring serta bekerjasama bersama komuniti penduduk mengadakan kempen kesedaran demam denggi serta membantu mereka menjalankan gotong-royong pembersihan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“Kami sentiasa membantu penduduk agar kawasan kediaman mereka bersih dan selesa sebagai tempat tinggal tanpa ancaman sebarang penyakit,” katanya pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Balai Raya Pekan Sagil, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan dan turut dihadiri  Ketua Whip MDT, Zakaria Othman dan Pengerusi Program Gerak Mesra Zon Sagil A, Teo Tiam She.

Mohd Masni berkata, MDT sentiasa peka dengan kebersihan kawasan kediaman penduduk malah kontraktor pembersihan yang dilantik perlu melaksanakan kerja pembersihan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Asojan berkata, tindakan pencegahan denggi itu turut mendapat kerjasama Kumpulan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) daerah apabila ia menetapkan 50 program gerak mesra dan kempen anti denggi bagi tahun ini sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kumpulan itu.

Katanya, kejayaan menurunkan kes demam denggi di daerah itu berdasarkan komitmen dan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat yang mementingkan kebersihan kawasan kediaman mereka.

“Di Ledang terdapat lapan kes demam denggi dan tujuh daripadanya di Mukim Tangkak termasuk tiga kes berlaku di Sagil. Kita berharap kawasan yang terdapat kes demam denggi ini digempur habis-habisan agar ia tidak berlaku penularan wabak ke kawasan lain.

“Kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran perlu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka sentiasa peka dengan kawasan pembiakan nyamuk aedes di samping melakukan pembersihan secara berkala,” katanya. -iNFOLEDANG

24 Januari 2015

777 PENERIMA DI DAERAH LEDANG TERIMA BR1M 2015

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (dua kiri) menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Md Noh Nahar sambil diperhatikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin (kiri)pada majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Seramai 777 orang menerima baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 bagi daerah Ledang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata penerima baucer berkenaan sebahagian daripada lebih 3,000 penerima bantuan itu tahun ini manakala selebihnya menerima bayaran menerusi akaun bank masing-masing.

Katanya, pemberian BR1M itu meliputi penerima bujang, isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Seramai 278 individu bujang menerima RM350 yang dibayar sekali iaitu 41 orang bagi DUN Gambir, 78 (DUN Tangkak), 118 (DUN Serom) dan 41 (DUN Bukit Serampang).

“Bagi kategori penerima RM300 pula, seramai 484 orang terdiri daripada 163 penerima dari DUN Gambir, 147 (DUN Tangkak) dan 174 (DUN Serom) manakala penerima RM200 pula seramai 15 orang yang masing-masing 2 dari DUN Gambir, 7 (DUN Tangkak), 4 (DUN Serom) dan 2 (DUN Bukit Serampang),” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat dan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pembayaran BR1M kepada penerima menunjukkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan sebagaimana dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Bajet 2015 yang lalu. 

Katanya, walaupun kerajaan telah bersetuju meneruskan pemberian BR1M namun ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju memusingkan fakta mengatakan terdapat agenda lain di sebalik pemberian bantuan tersebut.

Penerima BR1M kategori bujang, Zainal Abdullah, 54, dari Kampung Solok, Tangkak bersyukur dengan bantuan RM350 yang diterima dan berharap pada masa akan datang ia dapat ditambah bagi meringankan beban penerima.

Katanya, pemberian itu kali kedua buatnya dan beliau menerima baucer berikutan akaun bank kepunyaannya tidak aktif.

Adiknya, Nodin Abdullah, 49, yang tidak mampu berjalan berikutan penyakit gout yang dihidapinya sejak setahun lalu berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan bantuan itu lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan seperti beliau yang tidak mampu membuat sebarang pekerjaan.

Bagi Md Noh Nahar, 58, dari Bukit Gambir, berkata walaupun pemberian BR1M bagi kategori isi rumah dibuat sebanyak tiga kali namun beliau bersyukur dengan bantuan itu yang dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.  -iNFOLEDANG


 

19 Januari 2015

KARNIVAL GUYUP SEKAMPUNG ERATKAN SILATURAHIM PENDUDUK KAMPUNG PARIT KASSAN

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (berdiri 4 dari kanan) bergambar bersama pasukan yang menyertai perlawanan bola sepak berkain batik sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Karnival Guyup Sekampung anjuran Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, di sini berjaya mengeratkan perpaduan masyarakat kampung apabila lebih 300 penduduk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Kehadiran mereka menyertai pelbagai acara yang disediakan seusia bayi hingga dewasa memberikan semangat kepada penganjur untuk menjadikannya sebagai program tahunan.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, Nor Hazrin Namam (gambar), berkata pihaknya menganjurkan karnival itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mewujudkan kerjasama erat dalam kalangan penduduk di semua peringkat usia.

Katanya, pemilihan perkataan ‘guyup’ daripada bahasa Jawa yang bermaksud perpaduan dan muafakat itu adalah tepat bagi menggambarkan semangat bersatu padu dan kerjasama masyarakat kampung dalam melaksanakan program yang dirancang.

“Kami mahu perkataan ‘guyup’ menjadi ikon dan lambang permuafakatan masyarakat kampung yang sememangnya diamalkan oleh kepimpinan terdahulu dalam mewujudkan semangat kerjasama.

“Menerusi aktiviti yang disusun dalam program karnival ini, penduduk kampung pelbagai peringkat usia berpeluang menyertai acara yang diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan,” katanya pada program Karnival Guyup Sekampung yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, di sini.

Karnival sehari itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan, Ketua UMNO Cawangan Parit Kassan, Muslim Jasmin dan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar.

Nor Hazrin berkata, selain acara sukaneka, pertandingan gubahan dan perlawanan bola sepak kain batik, penduduk kampung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan penerangan menerusi Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semakan dan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Ledang dan kaunter Agrobank Cawangan Bukit Gambir.

Katanya, pameran Team ASTRO Ledang dan kereta baru Iriz oleh Proton Edar cawangan Muar turut memeriahkan karnival itu di samping pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Ledang.

“Sambutan meriah dan penyertaan penduduk kampung dalam pertandingan yang diadakan mengikut kategori memberikan semangat kami untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.

“Pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Gambir berjaya menarik lebih 100 penduduk pelbagai peringkat umur membuat pemeriksaan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Nor Hazrin berkata, penganjuran karnival itu mendapat kerjasama UMNO Bahagian Ledang, Pemuda UMNO Bahagian Ledang, UMNO Cawangan Parit Kassan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Kassan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan.

Sementara itu, Datuk Abdull Rahim berkata, program yang dianjurkan di sesebuah komuniti itu dapat mengakrabkan lagi jalinan kekeluargaan yang saling berkaitan antara satu sama lain terutama di dalam sebuah kampung.

Katanya, semangat kerjasama perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat agar ia berterusan dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

“Karnival Guyup Sekampung ini satu program yang mampu membentuk perpaduan dan kerjasama masyarakat kampung tidak mengira peringkat umur kerana aktiviti yang disusun melibatkan semua penduduk.

“Semoga program seumpama ini dapat diadakan di setiap kampung sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang mampu mencetuskan pelbagai idea yang bermanfaat,” katanya ketika berucap menutup rasmi karnival tersebut. -iNFOLEDANG
 
Kaum wanita menyertai acara boling kelapa sempena Karnival Guyup Sekampung.
 
Kaum wanita menyertai acara kupas bawang sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib mencuba permainan dart sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.

 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan (dua kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada Mohamad Irfan Mohd Ismail sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

12 Januari 2015

MURID SK BANDAR TANGKAK BERTEMU SEMULA SELEPAS 32 TAHUN BERPISAH

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak sesi 1978-1983 bergambar ramai bersama bekas guru mereka dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang.Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kenangan di zaman persekolahan dapat diimbau kembali oleh 37 bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak apabila mereka dapat bertemu kembali dalam majlis pertemuan semula selepas 32 tahun berpisah.

Pengerusi Alumni sekolah, Hamaran Mohamed Ariff berkata pertemuan semula (reunion) itu melibatkan bekas murid yang belajar di sekolah berkenaan antara tahun 1978 hingga 1983.

Katanya, usaha menghimpunkan rakan-rakan lama bermula Oktober tahun lalu selepas perbincangan bersama beberapa bekas murid yang menetap di Tangkak untuk menjejaki semula mereka serta bekas guru yang pernah mengajar di sekolah itu.
 
“Menerusi medium media sosial Whatsapp dan Facebook, kami melancarkan usaha menjejaki mereka yang kebanyakannya tinggal di luar Ledang dan apabila beberapa rakan telah dikumpulkan, kami mengadakan perjumpaan awal membentuk jawatankuasa.

“Kami membahagikan tugas kepada rakan-rakan yang ada bagi menjejaki seberapa ramai lagi bekas murid yang sama-sama belajar di sekolah ini untuk menghimpunkan mereka dalam satu majlis yang penuh kenangan,” katanya pada majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak, Ledang.
 
Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad (tengah) memotong kek bersama bekas guru dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Hamaran berkata, majlis itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara bekas murid dan guru yang sama-sama menimba ilmu di sekolah lama selain membuat perancangan membantu meningkatkan keceriaan dan kecemerlangan sekolah itu.

Katanya, nama Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak kini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak namun nostalgia menimba ilmu di sekolah itu masih terpahat apabila bangunan lama yang dijadikan bilik darjah dahulu masih kekal hingga sekarang.

Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad, berkata majlis jalinan mesra itu lebih bermakna apabila turut dihadiri lima orang bekas guru yang pernah mengajar mereka ketika berada di Darjah Satu hingga Darjah Enam.

Katanya, walaupun masing-masing telah berusia namun semangat dan jasa mereka tetap tersemat dalam jiwa anak didik yang pernah mendapat didikan di sekolah itu sehingga menempa kejayaan dalam hidup.

“Walaupun masing-masing mempunyai tugas namun dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, majlis jalinan mesra ini dapat direalisasikan bagi mengeratkan semula hubungan antara rakan-rakan yang sebahagiannya terputus selepas zaman persekolahan tamat.

“Kami berharap pada masa akan datang, majlis reunion ini dapat diadakan dengan lebih meriah serta dapat dihadiri lebih ramai bekas murid yang pernah belajar di sini,” katanya. -iNFOLEDANG

20 Disember 2014

SASAR LEDANG BEBAS DENGGI

ir.HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan
HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan warga emas, Ithnin Ghazali semasa Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat Ledang, Johor,kelmarin.
LEDANG 19 Dis. – Ledang muncul sebagai daerah kedua terendah bagi kes denggi di negeri ini dan usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dite­ruskan sehingga berjaya mencapai tahap bebas sepenuhnya.
 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara yang perlu dilakukan ialah melalui kempen-kempen sedia ada selain gotong-royong membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes.
 
“Selain itu kita perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat yang berkualiti. Daerah ini di tempat kedua paling bawah berlaku kes denggi, ini bermakna Ledang adalah daerah kedua terbaik dalam Kempen Johor Bebas Denggi.
 
“Jika dahulu kawasan Ledang di tempat teratas mengenai kes denggi namun hasil kesedaran dan sokongan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran kediaman mereka, kini kes berkenaan sudah menurun,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini kelmarin.
 
Program anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Bukit Gambir Barat dan Majlis Daerah Tangkak itu turut dihadiri Pengerusi PDM, Abu Bakar Md. Affandi dan Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar.
 
Statistik terbaharu demam denggi di negeri ini dari awal tahun hingga 7 Disember lalu menunjukkan daerah ini kedua terendah iaitu 0.4 peratus diikuti Mersing (2 peratus), Segamat (3 peratus), Batu Pahat (4.2 peratus), Muar (5 peratus), Kluang (7 peratus) dan paling tinggi Johor Bahru (67 peratus).
 
Justeru, Hamim berharap penduduk di sini bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan kesedaran bahaya demam denggi akan dapat terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2014

18 Disember 2014

KONVOKESYEN TAJ LEDANG RAI 216 MURID

ZULHISHAM ISAHAK  
HAMIM Samuri menyampaikan sijil sambil disaksikan oleh Khalid Ithnin (kanan) semasa majlis Konvokesyen TAJ Kali Ke-6 Daerah Ledang 2014 di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran selama dua tahun daripada 16 buah kelas TAJ di sini sejak berusia lima tahun lagi.
 
Katanya, sepanjang mengikuti pembelajaran di TAJ, mereka dididik mengikut silibus yang disediakan bagi memupuk keyakinan diri, berani bersaing dengan rakan selain belajar membaca dan menulis.
 
“Kita memberikan penghargaan kepada kanak-kanak yang berjaya mengikuti kelas TAJ selama dua tahun agar mereka berasa gembira dan menanamkan semangat untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran khususnya pendidikan agama.
 
“Harapan guru dan ibu bapa semoga mereka akan terus berjaya dan menggunakan ilmu yang ada untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air sebagai pelapis kepimpinan akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen TAJ Daerah Ledang kali ke-6 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini kelmarin.
 
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang, Sairozi Subakhir dan Penyelia TAJ Daerah Ledang, Mohd. Khir Abdullah.
 
Menurut Khalid, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerapkan nilai agama, budaya dan adat resam dalam diri anak mereka untuk cemerlang dari sudut akademik dan kerohanian.
 
Sementara itu, Hamim dalam ucapannya berkata, kerajaan sangat prihatin dengan masa depan anak-anak khususnya dalam pendidikan agama Islam dengan menyalurkan secara berterusan peruntukan kepada sekolah agama di negeri ini.
 
Katanya, dengan usaha kerajaan secara berterusan, umat Islam akan terus mempunyai jati diri yang kukuh dan kefahaman terhadap agama Islam yang betul di samping menguasai ilmu sama ada akademik mahu pun kerohanian.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2014

28 November 2014

JOHOR HASILKAN BERAS WANGI SRI LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK
ABD. Razak Minhat (tengah) memasukkan padi ke dalam mesin PGU untuk diproses menjadi beras sewaktu majlis Perasmian Tanaman Padi Kaedah SRI dan Penyampaian Sijil Mygap serta Mesin PGU di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang, Johor, kelmarin. – UTUSAN/Ishak Rahmad.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, usaha komersial beras daripada varieti MRQ76 itu sudah dilakukan awal tahun ini melibatkan lima buah kawasan sawah padi utama dengan keluasan kira-kira 809 hektar di sini.
 
“Beras wangi ini akan menjadi produk istimewa daerah ini yang mungkin dinamakan Beras Wangi Sri Ledang. Kualitinya setanding beras wangi import dan kini dita­nam di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba, Kesang Gate, Pulau Penarek dan Sawah Ring.
 
“Kita mahu mengurangkan import beras wangi antara dua hingga lima peratus yang kini berjumlah RM500 juta setahun,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Tanam­an Padi Kaedah SRI, Penyampaian Sijil Mygap dan Mesih PGU di Ke­sang Tasik, di sini semalam.
 
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
 
Abdullah berkata, sebagai langkah awal, pesawah-pesawah di sini dibekalkan dengan mesin kisar padi yang mempunyai lima fungsi bagi membantu dan memudah penga­singan beras selain dapat menambah pendapatan.
 
Katanya, ketika ini terdapat dua mesin berkenaan untuk kegunaan di Kesang Tasik serta Kesang Gate dan peralatan buatan Thailand itu pertama kali digunakan di negeri ini malah pada masa akan datang sebanyak 25 lagi mesin akan dibawa masuk.
 
Mesin tersebut, ujarnya, mempunyai lima peranan utama iaitu mengasingkan padi berkenaan kepada beras wangi, beras perang dan beras hancur selain serkam dan dedak yang boleh dijual sebagai baja serta makanan ayam.
 
Bagi jangka masa panjang, Abdullah berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pihak yang mengkormesialkan Beras Wangi Sri Ledang termasuk usaha pembungkusan, pelabelan dan pemasaran.
 
“Namun sebelum itu kita merancang untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendirikan sebuah kilang memproses beras wangi di Teluk Rimba supaya produktiviti dalam skala besar dapat dihasilkan.
 
“Kilang itu juga akan memproses hasil beras sama dari Negeri Sembilan dan Melaka. Selain itu kita juga akan terus membaiki prasarana di kawasan sawah padi di sini yang merupakan dikategorikan sebagai bukan jelapang padi,” katanya.
 
Menurut beliau, Ledang merupakan perintis kepada penghasilan beras wangi di negeri ini dengan produktiviti yang tinggi berbanding negeri lain dan dijangka menjadi model untuk daerah lain bagi menghasilkan beras wangi.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2014

26 November 2014

18 TERIMA SIJIL AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI

HAMIM SAMURI (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S di Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 25 Nov. – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) me­nganugerahkan Sijil Amalan Per­sekitaran Berkualiti QE/5S kepada 18 organisasi di negeri ini yang berpotensi untuk ditingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatannya secara optimum.
 
Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain berkata, pensijilan diberikan selepas orga­nisasi terlibat melaksanakan amalan QE/5S melalui bimbingan, latihan, panduan dan tunjuk ajar MPC dalam tempoh tujuh bulan.

"Kita mahu organisasi yang dianugerahkan sijil ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kualiti, penurunan kos operasi, penambahbaikan kepada sistem penyampaian, moral kakitangan dan peningkatan dalam aspek keselamatan.

"MPC berharap amalan persekitaran berkualiti di organisasi yang diberikan pensijilan dapat dikekalkan serta ditingkatkan daripada segi kecekapan sistem dan proses kerja yang boleh menjadi contoh terbaik serta penanda aras kepada organisasi lain,” katanya demikian pada perasmian Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri merasmikan program tersebut.

Mohd. Razali berkata, agensi terpilih menerima manfaat melalui bimbingan berupa persekitaran kerja lebih baik dan kondusif, mendapat pengiktirafan dan lebih penting suntikan anjakan pemikiran untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.

Sementara itu, Hamim berkata, MPC perlu terus menggandakan usaha agar pelaksanaan sistem amalan persekitaran berkualiti dilakukan lebih banyak organisasi sama ada sektor awam atau swasta khususnya di negeri ini.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, daripada 18 organisasi yang menerima pensijilan itu, 12 organisasi dari daerah ini dan kejayaan berkenaan amat membanggakan.

Pada majlis itu, organisasi di sini yang menerima pensijilan itu ialah Pejabat Daerah Ledang; Majlis Daerah Tangkak; Pejabat Kadi Daerah Ledang; Majlis Agama Islam Johor Daerah Ledang; Masjid Jamek Tangkak dan Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas.

Bagi kategori pendidikan pula, Pejabat Pelajar Daerah Muar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Persisiran Perdana; SMK Tengku Mahmud Iskandar; SMK Ledang; SMK Tun Mamat dan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang Tasek.

Turut menerima pensijilan itu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang; Johor Corporation; Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora); Kolej Komuniti Segamat; Politeknik Ibrahim Sultan dan Puteri Specialist Hospital, Johor Bahru.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2014

25 November 2014

RM41.2 BILION PELABURAN MELALUI AEC TAHUN DEPAN

HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima
HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Ledang, semalam.
LEDANG 24 Nov. - Kira-kira RM41.2 bilion pelaburan dijangka berjaya dibawa masuk ke negara ini berdasarkan jumlah pelaburan negara-negara ASEAN yang akan meningkat 10 peratus apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan akhir tahun depan.
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah pelaburan di negara-negara ASEAN ialah RM406.4 bilion pada tahun lalu dan kewujudan AEC akan menawarkan pasaran daripada 627 juta penduduk rantau ini.
 
“AEC boleh meningkatkan ekonomi peserta negara anggota ASEAN melalui jalinan kerjasama ekonomi di antara 10 negara terlibat. Ini memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dengan peluang memasarkan lebih banyak produk ke rantau ASEAN dengan segala kemudahan eksport dan import yang lebih seragam.
 
“Sebagai contoh dengan keseragaman ini menjadikan aktiviti import dan eksport lebih mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Tangkak, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Razali Hussain dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
AEC bakal membentuk sebuah blok ekonomi lebih liberal dan perdagangan terbuka melalui penghapusan tarif cukai, kebebasan pasaran kerja (kemahiran tinggi) dan pergerakan modal yang bertujuan menjadikan ASEAN sebagai satu pasaran yang tunggal.
 
Menurut Hamim, Malaysia perlu mengambil peluang dengan pelaksanaan AEC di samping meningkatkan daya saing dalam sektor pelaburan dan perdagangan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, negara juga perlu meningkatkan daya saing produk supaya setanding dengan negara lain bagi menembusi pasaran dalam ASEAN yang luas dan berpotensi tinggi.
 
“Jika kualiti produk keluaran Malaysia rendah, ini akan menyukarkan untuk eksport dan sebaliknya hanya akan dijual di peringkat domestik sahaja. Ramai pelabur mencari negara dengan persekitaran ekonomi yang baik.
 
“Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S adalah sebahagian daripada kaedah meningkatkan daya saing mutu produk dan pendapatan serta menjadikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan meningkat secara positif,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2014

25 Oktober 2014

WIRA PERKASA JOHOR BUAT LAPORAN POLIS


KETUA Wira PERKASA Johor, Datuk Md Ismail Hamdan bersama ahli PERKASA selepas membuat laporan polis di IPD Ledang, Tangkak.
 
Ledang: Tindakan tegas di bawah Akta Hasutan 1948 selain pemecatan keahlian perwakilan GERAKAN Johor, Tan Lai Soon perlu dikenakan berikutan kenyataan biadapnya yang mendakwa Melayu adalah pendatang di negara ini sama seperti Cina dan India.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Johor, Datuk Md Ismail Hamdan, berkata kenyataan Lai Soon itu satu bentuk provokasi melampau selain membuktikan dirinya amat jahil dengan sejarah orang Melayu dan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkannya amat menyinggung perasaan orang Melayu. Kita beri amaran kepada Lai Soon supaya jangan bermain api dan jangan cuba menjolok sarang tabuan.

“Di Malaysia kita hidup  aman damai serta berbilang kaum. Seharusnya tidak ada pihak yang cuba menggugat dan meruntuhkan keharmonian sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis membantah kenyataan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dekat Tangkak, di sini.

Md Ismail diiringi ahli PERKASA membuat laporan pada 9.33 pagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Lai Soon yang mengeluarkan kenyataan itu pada Persidangan Perwakilan GERAKAN ke-43 di Shah Alam, Selangor, 19 Oktober lalu.

Lai Soon turut mendakwa Melayu bukan Bumiputera di negara ini kerana berhijrah dari Indonesia dan kaum pribumi asal adalah penduduk asal Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Md Ismail berkata, beliau sepatutnya mengkaji dan membaca buku sejarah tentang orang Melayu sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara sensitif sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati terutama orang Melayu terhadap GERAKAN.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat, Lai Soon merupakan satu produk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang gagal memahami aspirasi nasional dan seharusnya tampil memohon maaf kepada semua orang Melayu di atas kebiadapannya.

“Sebagai pengajaran kepada semua, kita menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan mendakwanya di bawah Akta Hasutan 1946 dan mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Kiong memecat keahlian Lai Soon,” tegasnya.

Sementara itu, Wira PERKASA Johor menasihatkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dikaitkan dengan klip video lucah yang dikatakan miripnya agar segera membuat laporan polis bagi membersihkan namanya berikutan perkara itu amat mengaibkannya.

Katanya, penceramah bebas itu tidak seharusnya mengelak atau terus berdiam diri kerana perkara itu membabitkan maruahnya selain dikhuatiri tindakannya akan mengakibatkan orang ramai terus membuat andaian yang buruk. -iNFOLEDANG

11 September 2014

MJSB JOHAN SEPANDUK TERCANTIK PERINGKAT LEDANG

AHLI Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja Syarikat Mohd. Janis Sdn. Bhd. bersama-sama sepanduk yang memenangi pertandingan sepanduk tercantik sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat daerah Ledang, baru-baru ini.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga MJSB menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah bagi kategori swasta.
 
"Kami sepakat menyertai pertandingan sepanduk yang diadakan kali ini dengan melukis dan mewarna secara bergotong-royong selama tiga malam. Sebelum ini, kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah.
 
"Memandangkan pemenang sepanduk tercantik tahun sebelum ini menggunakan kreativiti melukis dan mewarna d serta dapat menarik perhatian, kami mencubanya pula tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Hari Kemerdekaan Kali Ke-57 peringkat daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak di sini baru-baru ini.
 
Yazali berkata, kemenangan itu merupakan 'hadiah' kepada Pengarah Urusan MJSB, Mohd. Janis Abu Bakar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 tahun ini.
 
Dengan kemenangan itu, pasukannya membawa hadiah RM300 dan trofi yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Tempat kedua kategori itu dimenangi Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang, manakala Pejabat Daerah Ledang meraih tempat ketiga.
 
Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Kontinjen Perbarisan Terbaik, Pakaian Terbaik dan Kibaran Jalur Gemilang Tercantik di halaman rumah serta premis.
 
Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan negeri (DUN) Serom muncul johan Pertandingan Perbarisan Terbaik, Pejabat Tanah Ledang (Pakaian Terbaik) dan Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang (Halaman Premis Terbaik) dan Lewan Basman dari Kampung Sagil Parit 1 (Halaman Rumah Terbaik).
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPTEMBER 2014

05 September 2014

SENGKANG MATA TIGA MALAM


Ledang: Kesanggupan bersengkang mata selama tiga malam untuk menyiapkan sepanduk bagi menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Daerah Ledang di sini, berbaloi apabila hasil kreativiti berkenaan mendapat perhatian juri untuk dinobatkan sebagai johan sepanduk tercantik.

Usaha ahli Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja (KESOKEP) Mohd Janis Sdn Bhd membuat persiapan menyediakan sepanduk dan mewarnakannya secara bergotong-royong memberi kepuasan kepada setiap ahli dengan kemenangan yang diperoleh.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga Mohd Janis Sdn Bhd (MJSB) menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan bagi kategori swasta.

Menurutnya, walaupun sambutan dibuat secara sederhana tahun ini, tetapi MJSB tetap bersemangat menyertai acara perbarisan dan pertandingan sepanduk.

"Sebelum ini kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah. Memandangkan pemenang sepanduk tercantik sebelum ini menggunakan kreativiti sendiri dengan melukis dan mewarnanya secara manual menyebabkan kami mencubanya pada tahun ini," katanya.

Yazali berkata, kemenangan itu hasil kerjasama dan muafakat ahli KESOKEP dalam menghasilkan sepanduk yang menarik dan ia juga hadiah kepada Pengarah Urusan MJSB Mohd Janis Abu Bakar yang juga menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada tahun ini.

Hadiah wang tunai RM300 dan trofi itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan selaku wakil Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib johan disandang Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang dan Pejabat Daerah Ledang pula dipilih pemenang ketiga.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 05 SEPTEMBER 2014

01 September 2014

PENAGIH SERANG POLIS

Ledang: Akibat ketagihan melampau, seorang penagih dadah yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Dalam kejadian pada jam 6 petang kelmarin, penagih tegar yang berusia 26 tahun dikatakan membuat bising di dalam lokap, menyebabkan anggota polis itu cuba mententeramkannya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak, berkata suspek kemudian bertindak ganas dengan memukul anggota polis terbabit hingga menyebabkan kecederaan ringan pada bahagian muka mangsa.

"Melihatkan kelakuan suspek yang agresif, anggota terbabit terus beredar dari kawasan kejadian, sebelum beberapa anggota lain berjaya mengawal keadaan.

Alami gangguan mental

"Suspek kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan susulan dan pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan suspek mengalami gangguan mental akibat pengambilan dadah dan gam berlebihan sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Salleh berkata, anggota polis yang juga berusia 26 tahun turut dihantar ke hospital sama dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar akibat cedera ringan.

"Berikutan itu, suspek ditahan sementara di lokap IPD Ledang bagi membantu siasatan sebelum kejadian itu berlaku," katanya.
 
SUMBER: BH, 01 SEPTEMBER 2014