PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2014

KONVOKESYEN TAJ LEDANG RAI 216 MURID

ZULHISHAM ISAHAK  
HAMIM Samuri menyampaikan sijil sambil disaksikan oleh Khalid Ithnin (kanan) semasa majlis Konvokesyen TAJ Kali Ke-6 Daerah Ledang 2014 di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran selama dua tahun daripada 16 buah kelas TAJ di sini sejak berusia lima tahun lagi.
 
Katanya, sepanjang mengikuti pembelajaran di TAJ, mereka dididik mengikut silibus yang disediakan bagi memupuk keyakinan diri, berani bersaing dengan rakan selain belajar membaca dan menulis.
 
“Kita memberikan penghargaan kepada kanak-kanak yang berjaya mengikuti kelas TAJ selama dua tahun agar mereka berasa gembira dan menanamkan semangat untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran khususnya pendidikan agama.
 
“Harapan guru dan ibu bapa semoga mereka akan terus berjaya dan menggunakan ilmu yang ada untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air sebagai pelapis kepimpinan akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen TAJ Daerah Ledang kali ke-6 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini kelmarin.
 
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang, Sairozi Subakhir dan Penyelia TAJ Daerah Ledang, Mohd. Khir Abdullah.
 
Menurut Khalid, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerapkan nilai agama, budaya dan adat resam dalam diri anak mereka untuk cemerlang dari sudut akademik dan kerohanian.
 
Sementara itu, Hamim dalam ucapannya berkata, kerajaan sangat prihatin dengan masa depan anak-anak khususnya dalam pendidikan agama Islam dengan menyalurkan secara berterusan peruntukan kepada sekolah agama di negeri ini.
 
Katanya, dengan usaha kerajaan secara berterusan, umat Islam akan terus mempunyai jati diri yang kukuh dan kefahaman terhadap agama Islam yang betul di samping menguasai ilmu sama ada akademik mahu pun kerohanian.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2014

Tiada ulasan: