PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2008

DEMAM CHIKUNGUNYA: PENDUDUK DIMINTA TIDAK PANIK

Demam chikungunya: Penduduk diminta tidak panik

MUAR 14 Julai – Penduduk Johor diminta tidak panik dengan penyakit demam chikungunya yang dikatakan telah merebak ke beberapa daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, penduduk tidak seharusnya bimbang kerana penyakit bawaan nyamuk aedes itu tidak mendatangkan maut.

Bagaimanapun, katanya, langkah-langkah pencegahan perlu diambil rakyat termasuk bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk tersebut, seterusnya mengelak penularan penyakit tersebut.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan negeri, demam chikungunya dikesan di Kampung Ulu Choh dan Kampung Paya Mengkuang di Gelang Patah pada April lalu dan gejala penyakit itu kemudian dikesan menular ke beberapa kawasan di daerah Ledang iaitu Tangkak, Sagil, Bukit Kangkar dan Sungai Mati sejak 13 Jun lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kelmarin, sebanyak 19 kes di daerah Ledang telah dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Muar dan kesemua sampel darah kes-kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di ibu negara untuk ujian pengesahan chikungunya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada awal Mei lalu, Pejabat Kesihatan negeri mengesahkan seramai 164 penduduk dari Kampung Ulu Choh dan Kampung Paya Mengkuang menghidap demam panas chikungunya akibat gigitan nyamuk daripada spesies aedes itu.

Pemangku Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Daud Abdul Rahim berkata, mangsa mengalami demam panas, ruam di kaki, tangan dan badan serta sakit kepala telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka.

Gejala paling biasa bagi demam itu ialah mangsa mengalami sakit sendi terutama pada bahagian hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali.

Menurut Dr. Robia, meskipun chikungunya bukan penyakit berjangkit, semua klinik kesihatan, hospital dan pusat perubatan swasta diarahkan supaya melapor kejadian penyakit itu untuk tujuan kawalan dan pencegahan.

“Saya juga telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini agar mengatur program gerak tumpu bagi membersihkan kawasan persekitaran serta program pendidikan kepada masyarakat tentang penyakit itu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 15 JULAI 2008

Tiada ulasan: