PENGUNJUNG SETIA

27 November 2008

PROMOSI KERJA BESAR-BESARAN

JOHOR BAHRU 26 Nov. - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengadakan promosi kerjaya besar-besaran bagi memaklumkan kekosongan pekerjaan di Johor kepada rakyat negara ini yang berdepan kemungkinan diberhentikan kerja di Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, antara langkah yang akan diambil adalah mengedarkan risalah tentang kekosongan pekerjaan itu di pintu masuk Malaysia-Singapura.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meletakkan risalah penerangan mengenai perkhidmatan JTK dan borang maklumat pencari kerja di pintu masuk.

"Setelah melengkapkan borang itu, mereka boleh memasukkan borang tersebut ke dalam kotak maklum balas yang ditempatkan di pintu keluar Singapura-Malaysia," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tee Siew Kiong (BN-Pulai Sebatang) mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah pemberhentian kerja rakyat negara ini di Singapura dan membantu mereka mengisi peluang pekerjaan di Malaysia.

Asojan berkata, maklumat mengenai perkhidmatan JTK juga akan dipaparkan pada papan tanda gergasi (billboard) di sekitar bandar raya ini yang menjadi kawasan laluan pekerja masuk dan pulang dari Singapura.

Katanya, hebahan tentang maklumat itu juga akan disiarkan melalui media cetak dan elektronik yang memaparkan peranan JTK serta lokasi dan nombor telefon yang boleh dihubungi.

"Mereka yang terlibat juga boleh mendaftarkan diri untuk mencari pekerjaan di JTK secara talian atau datang terus ke jabatan itu.

"Menerusi on-line, mereka boleh mendaftar di laman web jobsmalaysia.gov.my," katanya.

Sementara itu Asojan berkata, terdapat 46,379 peluang pekerjaan di Johor terutamanya di kawasan Iskandar Malaysia yang boleh diisi oleh rakyat negara ini yang berdepan kemungkinan diberhentikan kerja di Singapura.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 19,000 peluang pekerjaan dijangka akan wujud pada tahun depan.

"Buat masa ini, kekosongan pekerjaan yang dilaporkan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) adalah sebanyak 12,091 manakala JTK pula sebanyak 15,288 pekerjaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: