PENGUNJUNG SETIA

18 Januari 2009

JUITA BINA DUA PUSAT JAGAAN ANAK MISKIN


JAMILAH dan Abdul Ghani bergambar bersama penerima sumbangan pada majlis sumbangan Juita sempena Tahun Baru Cina di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak, Muar semalam.

MUAR 17 Jan. - Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Johor (Juita) akan membina dua buah pusat jagaan selepas waktu sekolah di Johor Bahru bagi menjaga keselamatan anak-anak keluarga miskin semasa ibu bapa mereka bekerja.

Yang Dipertua Juita, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin berkata, rumah jagaan yang akan dibina di Jalan Petrie, Johor Bahru dan di Gelang Patah itu, kini dalam proses pengubahsuaian dan dijangka akan dibuka pada pertengahan tahun ini.

''Kalau kita melihat di kawasan bandar raya Johor Bahru yang mana ibu bapa bekerja di Singapura, anak-anak mereka ini perlukan penjagaan.

'''Rumah jagaan ini akan ditumpukan kepada golongan miskin dan kami akan mendapat senarai nama daripada pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan Juita sempena Tahun Baru Cina di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak, di sini semalam.

Hadir sama suami beliau yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan ADUN, Bukit Gambir, M. Asojan.

Menurut Jamilah, projek rumah jagaan dari pukul 1.30 tengah hari hingga 6 petang itu merupakan program perintis dan ia diharap dapat diperluaskan di kawasan lain di seluruh Johor.

''Pihak majlis perbandaran dan daerah di kawasan lain memang boleh mencontohi inisiatif perkara ini sekiranya wujudnya keperluan kepada masyarakat,'' katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20,000 disalurkan kepada 100 penerima yang terdiri daripada golongan susah, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya pada majlis itu.

Selain itu, Juita dan Menteri Besar turut bantuan kewangan berjumlah RM22,800 kepada 228 keluarga di daerah Ledang yang terlibat dalam banjir pada Disember lalu.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 18 JANUARI 2009

Tiada ulasan: