PENGUNJUNG SETIA

02 Januari 2009

KOMA DIPUKUL 10 LELAKI

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my


TANGKAK: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) koma selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki dengan topi keledar dan ditendang dalam kejadian berhampiran kedai makan di Taman Mega, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, tindakan mangsa, Norhafiszal Othman, 22, menegur dua remaja lelaki yang membunyikan enjin motosikal dengan kuat dipercayai menjadi punca menyebabkan dia dibelasah kira-kira 10 lelaki.

Mangsa berasal dari Kampung Paya Kepong, dekat sini, bertugas di TLDM Lumut, Perak tetapi berulang-alik ke kampungnya kerana menjalani kursus di Melaka selama sebulan sejak 26 Disember lalu.

Norhafiszal yang parah di bahagian kepala dan organ dalaman dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan selanjutnya dan dilaporkan tidak sedarkan diri sejak dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) HPSF.

Susulan daripada kejadian itu, polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membantu siasatan kes itu dan usaha giat dijalankan untuk mengesan seorang lagi rakannya yang berusia 19 tahun.

Bapa mangsa, Othman Padri, 52, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, berkata, anaknya memaklumkan mahu keluar makan ketika meninggalkan rumah kira-kira jam 9 malam kelmarin.

“Saya terkejut apabila dihubungi pihak hospital yang memaklumkan anak saya yang menjadi anggota TLDM di bahagian tukang masak sejak dua tahun lalu itu koma dan dimasukkan ke wad, kira-kira jam 11 malam.

“Pada mulanya, dia bercadang keluar ke bandar untuk membeli kasut adiknya tetapi membatalkan hasratnya sebelum keluar makan sendirian selepas solat Isyak.

“Saya tidak menyangka anak saya dipukul dengan teruk menggunakan topi keledar sehingga koma dan doktor memaklumkan anak saya parah di kepala dan dalaman,” katanya ketika ditemui di HPSF.

Othman berkata, dia dimaklumkan kejadian itu berlaku ketika anaknya berada di kedai makan berhampiran Taman Mega apabila berlaku pergaduhan dengan dua lelaki yang turut disaksikan sekumpulan lebih 10 orang.

Menurutnya, dia mengenali dua lelaki yang memukul anaknya kerana tinggal di kampung yang sama termasuk seorang remaja berusia 19 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur dan dikatakan baru pulang ke kampung untuk bercuti.

SUMBER: HARIAN METRO, 2 JANUARI 2009

Tiada ulasan: