am@hmetro.com.my
Amran (kiri) sedang menyembur air ke arah peserta Program Berkhatan Anak-anak Asnaf Parlimen Ledang sebagai simbolik perasmian di Dataran Ledang, Tangkak.
74 anak asnaf menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum berkhatan
LEDANG: Kegembiraan diarak menaiki 16 buah kenderaan pacuan empat roda mengelilingi sekitar bandar Tangkak menghilangkan perasaan takut 74 peserta Program Berkhatan Anak-anak Asnaf Parlimen Ledang sebelum menyertai program itu.
Program yang berlangsung di Dataran Ledang itu dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Johor, Pejabat Daerah Ledang, UMNO Bahagian Ledang dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Daerah Ledang disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman.
Amran berkata, program yang julung-julung kali diadakan selepas Ledang diisytiharkan sebagai daerah penuh menjadi peristiwa penting dan bersejarah dalam kehidupan peserta program.
Katanya, melalui program khatan beramai-ramai itu dapat memberi pengalaman baru kepada peserta yang rata-rata berusia antara 9 hingga 12 tahun untuk berhijrah ke alam remaja.
“Penyertaan kanak-kanak itu dalam program ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka melalui proses remaja dengan lebih baik untuk menjadi anak yang soleh dalam sesebuah keluarga.
“Program ini juga menunjukkan keprihatinan MAIJ dalam membantu kesusahan dan keperitan hidup golongan kurang bernasib baik melaksanakan tanggungjawab kepada anak-anak mereka,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Ledang, Sulaiman Maidin dan Setiausaha UMNO Bahagian Ledang, Mohd Bahri Sakrani.
Amran berkata, berikutan sambutan yang mengalakkan, pihaknya berhasrat untuk menjadikan program berkhatan beramai-ramai itu sebagai acara tahunan peringkat daerah.
Sebelum dikhatan, Amran memandikan peserta program itu dengan semburan air sebagai simbolik perasmian program yang mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak.
Menurut Ketua Unit Jabatan Kecemasan Hospital Tangkak, Harif Adan, kesemua peserta program dikhatankan menggunakan khidmat 19 ahli Persatuan Penolong Pegawai Perubatan Malaysia.
SUMBER: HARIAN METRO, 4 DISEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan