Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani bergambar kenang-kenangan bersama penerima-penerima geran hak milik tanah penduduk kampung Telok Rimba, Ledang.
LEDANG: Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, meminta rakyat negeri ini mempertahankan hak milik tanah masing-masing yang dikurniakan kepada mereka demi menjamin kesejahteraan generasi pada masa hadapan.
Katanya, penerima tidak sewajarnya berfikiran singkat dengan menggadaikan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri semata-mata untuk mendapatkan keuntungan segera.
''Saya berharap para penerima dapat mengusahakan tanah masing-masing supaya hasilnya berterusan dan ia kemudiannya dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Jika tanah yang diberikan ini digadaikan, fikirlah apa yang tinggal pada tuan-tuan nanti dan bagaimana pula dengan generasi akan datang?” katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat hak milik tanah kepada 137 penerima dari Kampung Telok Rimba di Dewan Serbaguna Penghulu Long kampung berkenaan, di sini, Jumaat.
Jelasnya lagi, pemberian hak milik tanah kepada rakyat hanya diluluskan oleh Kerajaan Negeri setelah dilakukan semakan terperinci bagi memastikan ia akan dimanfaatkan sepenuhnya seperti menjadikannya kawasan pertanian ataupun mendirikan tapak rumah.
Di samping itu, katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil tempoh yang lama untuk meluluskan sesuatu permohonan kerana ia terlebih dahulu akan dikaji oleh Pejabat Tanah.
''Permohonan ini lambat diluluskan kerana banyak perkara perlu dilihat termasuk kriteria pemohon.
''Selepas menunggu untuk tempoh yang lama, saya berharap para penerima menghargai tanah ini dan memanfaatkannya,'' katanya.
Pada majlis itu, Abdul Ghani turut merasmikan Dewan Serbaguna Penghulu Long Kampung Telok Rimba yang siap dibina awal tahun lalu.
SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR, 6 DISEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan