PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2014

KEMPEN 'KE ARAH LEDANG BEBAS ASAP ROKOK' DILANCAR

Oleh Badrul Kamal Zakaria; Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam berkenan melancarkan kempen `Ke Arah Ledang Bebas Asap Rokok', antara usaha awal bagi mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada tabiat tidak sihat itu.

Pelancaran disempurnakan sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 yang turut singgah di daerah ini pada hari ketiga semalam. Kempen itu menjadikan Ledang daerah pertama di negeri ini yang melancarkan usaha berterusan membendung gejala negatif terbabit.

Pada majlis di FELDA Bukit Serampang itu, baginda turut menyaksikan demonstrasi memusnahkan rokok menggunakan mesin khas `Cruncher M1' yang biasanya digunakan kastam, selain menceritakan kesan negatif tabiat itu yang boleh menyebabkan barah mulut dan membahayakan kesihatan mereka yang tidak merokok.

Bantu golongan memerlukan

Pada majlis berasingan, dilangsungkan majlis kurniaan bantuan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan oleh Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Program dimeriahkan dengan persembahan muzik kesenian Jawa dinamakan kempling oleh Perkumpulan Kempling Parit Kassan, Bukit Gambir.

Pengerusi persatuan itu, Muslim Jasmin, berkata beliau bersama ahli kumpulannya berasa bertuah apabila dijemput membuat persembahan kempling pada program itu selepas melakukan persiapan dan latihan sejak dua bulan lalu.

Bagi Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, kehadiran rombongan KMJ 2014 sememangnya dinantikan rakyat daerah ini, selain dapat membantu mempromosi Ledang kepada pengunjung luar selaras hasrat menjadikan kawasan ini sebagai daerah pelancongan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Seri Lanang, Muhd Nizam Hamzah, 17, pula berkata, dia bersama rakan gembira dapat menatap wajah Sultan Johor dan kerabat diraja dengan lebih dekat selain melihat sendiri kebolehan baginda memandu bas.

Perasaan sama turut dikongsi Aina Madia Mazlan, 18, dari SMK Tengku Temenggong Ahmad, yang mengakui tidak sabar menunggu ketibaan rombongan KMJ sejak minggu lalu.

Sementara itu, lebih 10,000 penduduk sekitar daerah Muar turut menghadiri Karnival KMJ 2014 di Dataran Tanjung Emas, sempena Hari Perbandaran Muar Ke-13 yang diserikan dengan pelbagai program menarik seperti pameran, pertandingan memanjat tembok, perlumbaan motosikal mini, gerai jualan dan pertandingan mengangkat kereta.

SUMBER: BH, 24 JUN 2014

Tiada ulasan: