PENGUNJUNG SETIA

09 Ogos 2020

SK PARIT KASAN WUJUDKAN GEROBOK REZEKI BANTU MURID MEMERLUKAN

Pengasas NGO Humanity, Mohammad Nizam Wahid (kiri) dan Guru Besar, Mislinah Mesral bertukar Sijil Jalinan Sekolah pada pelancaran Program Gerobok Rezeki di Dewan Lestari SK Parit Kasan dekat Bukit Gambir, Tangkak. (Foto: INFOLEDANG)

 Oleh KHAIRUN HANEFFA

TANGKAK (9 OGOS 2020):  Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan menjadi sekolah pertama di daerah ini mewujudkan program Gerobok Rezeki dalam usaha memberi bantuan kepada murid yang memerlukan dalam kalangan golongan miskin.

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun, berkata usaha mewujudkan Gerobok Rezeki satu usaha yang baik memandangkan murid sekolah datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza.

Katanya, mereka mungkin terdiri daripada golongan asnaf yang memerlukan dan perlu dibantu dengan menyalurkan barangan yang disumbangkan orang ramai menerusi program tersebut.

“Program Gerobok Rezeki ini satu usaha yang sangat baik. Jika kita ada rezeki yang lebih, rezeki tersebut kita kongsikan dengan orang lain kerana masih ada mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.

“Program ini bukan bantuan ‘one-off’ tetapi dibuat secara berterusan di mana orang ramai boleh menyumbang sepanjang masa dan mereka yang memerlukan boleh mendapatkan keperluan tersebut di Gerobok rezeki,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Program  Gerobok Rezeki SK Parit Kasan di Dewan Lestari Sparks, di sini.

Pelancaran disempurnakan Pengasas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Humanity, Mohammad Nizam Wahid. Hadir sama, Guru Besar, Mislinah Mesral dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Musa Basar.

Zakaria berharap  program Gerobok Rezeki ini turut dikongsi di sekolah-sekolah dalam daerah Tangkak bagi menyemai semangat peduli insan sama ada berkolaborasi dengan NGO atau orang ramai.

Mohammad Nizam pula berkata, idea mewujudkan platform Gerobok Rezeki ini yang dibawakan oleh Humanity bertujuan untuk memudahkan golongan yang memerlukan tidak perlu melalui karenah birokrasi pihak tertentu.

Katanya, program itu tidak membataskan bangsa atau agama dan sesiapa sahaja yang memerlukan boleh mengambil barangan keperluan yang disediakan.

“Sebuah sekolah di Pontian telah berjaya melaksanakan konsep Gerobok Rezeki ini di sekolah tersebut yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Pelajar-pelajar sekolah tersebut bekerjasama membantu rakan-rakan mereka tanpa prejudis terhadap bangsa dan agama. Konsep ini telah berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pelajar,” katanya berucap merasmikan program tersebut. Humanity telah digerakkan sejak 2015 dengan konsep Gerobok Rezeki untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pengasas NGO Humanity, Mohammad Nizam Wahid (kiri) menandatangani sepanduk pelancaran Program Gerobok Rezeki disaksikan Guru Besar, Mislinah Mesral di Dewan Lestari SK Parit Kasan dekat Bukit Gambir, Tangkak. (Foto INFOLEDANG)

Mohammad Nizam berkata, pihaknya menekankan kepada pihak sekolah agar aktiviti pembungkusan dan pengagihan barangan keperluan itu dilakukan oleh pelajar untuk mendidik mereka mempraktikkan teori yang mereka pelajari di kelas.

Katanya, Gerobok Rezeki merupakan inovasi sosial yang berterusan bagi membantu mereka yang sememangnya memerlukan keperluan harian terdiri daripada keluarga susah atau golongan asnaf.

Sementara itu, Mislinah berkata, program itu diharap mampu berfungsi sebagai medium untuk kembali meningkatkan semangat peduli insan dalam masyarakat kita.

Pengasas NGO Humanity, Mohammad Nizam Wahid (kiri) menyampaikan sumbangan kepada bapa murid sekolah itu disaksikan Guru Besar, Mislinah Mesral (dua kanan) pada majlis pelancaran Program Gerobok Rezeki. (Foto INFOLEDANG)

Katanya, ia satu kaedah alternatif dalam memberi bantuan kepada murid yang memerlukan khususnya anak miskin selain medium mendidik masyarakat di sekeliling sekolah tentang konsep konsi rezeki.

“Program ini sebagai satu agen perpaduan dengan membantu orang ramai tanpa prejudis terhadap agama dan bangsa serta amalan memberi tanpa persoalan.

“Pihak sekolah mengalu-alukan masyarakat yang berada di persekitaran sekolah ini ataupun golongan korporat yang ingin menyumbang untuk Gerobok Rezeki ini supaya dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan,” katanya. -INFOLEDANG2020

Tiada ulasan: